
"Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu bagiKu dan Akulah yang membalasnya" (Hadis al-Qudsi riwayat al-Bukhari)
Antara persediaan kita sebelum menghadapi dan menjalankan ibadah puasa ialah Pertama: Bertawakkal kepada Allah. Kita hendak sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah untuk mendapat kemudahan menjalankan ibadah puasa, dipanjangkan umur, sihat tubuh badan, dimurahkan rezeki dan perkara-perkara yang dapat mendorong kita menjalankan ibadah puasa dengan sempurna. Kedua: Sentiasa Bertaubat kepada Allah. Kita hendaklah sentiasa bertaubat kepada Allah dengan memperbanyakkan melakukan solat taubat supaya segala dosa-dosa yang kita lakukan samada sedar atau tidak sedar diampunkan oleh Allah. Juga digalakkan membaca istighfar sekurang-kurangnya 70 kali dalam sehari semoga hati kita sentiasa bersih dan tenang ketika menjalankan ibadah puasa nanti.
Manakala ketika menjalankan ibadah puasa kita hendaklah menghiasi diri kita dengan akhlak-akhlak berikut:
1. Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat iaitu menjauhikan diri perkara yang dilarang oleh Allah dan juga dari perkara-perkara yang samar-samar antara halal dan haram.
2. Memelihara penglihatan daripada perkara yang tidak berfaedah dan maksiat.
3. Memelihara lidah daripada percakapan yang sia-sia dan dusta.
4. Bersifat pemalu seperti tidak mencampuri urusan orang lain, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap dan sentiasa berasa cukup.
5. Bersifat lemah lembut dan sabar seperti berfikiran terbuka, bertolak ansur, tenang dan tidak menyinggung perasaan orang lain.
"Sesungguhnya, Ramadhan adalah bulan yang diwajibkan Allah puasanya dan disunatkan solat malamnya. Maka barangsiapa menjalankan puasa dan solat malam pada bulan itu kerana iman dan mengharap pahala, nescaya bebas dari dosa-dosa seperti saat ketika dilahirkan ibunya". (Hadith Riwayat: An-Nasa'i)
Masih belum terlambat lagi untuk kita memperbanyakkan amalan-amalan dalam bulan Ramadhan ini. Marilah kita sama-sama mengejar ganjaran Allah Taala yang dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W di dalam bulan Ramadhan ini. Semoga selepas Ramadhan kita menjadi insan yang lebih baik dan berada di dalam linkungan rahmat Allah Taala. Insyallah.
No comments:
Post a Comment