Monday, April 20, 2009

Orang Melayu Yang Tidak Memahami Islam


Umat Islam di Malaysia sepatutnya merasa malu kerana sebagai Muslim, mereka wajib berusaha mempelajari, mendalami isi kandungan Al-Quran dan mengamal segala petunjuk yang dibentangkan dalam Al-Quran. Al-Quran dijadikan bacaan setiap hari dan petunjuk ketika menghadapi kesulitan dan persoalan yang berkaitan dunia mahupun akhirat. Dikalangan umat Islam kini masih ada yang tidak mampu untuk membaca Al-Quran, tidak kenal huruf-huruf Al-Quran hatta tidak berminat untuk mendalami dan memahami isi kandungan Al-Quran itu sendiri.

Akibat tidak memahami Al-Quran dan Islam itu sendiri, orang-orang melayu sentiasa bertindak tanpa asas yang bijak walhal tindakan mereka telah menjauhkan lagi umat bukan Islam daripada memahami Islam itu sendiri. Di dalam hal Exco Kerajaan Negeri Perak, YB Nga Ko Ming yang telah membaca sepotong ayat Al-Quran dan terjemahannya, membawa kepada tindakan kurang bijak ahli UMNO Bukit Gantang membuat laporan polis baru-baru ini. Tindakan mereka telah mempamerkan dan memperjelaskan bahawa sesungguhnya selama ini sememangnya orang-orang Melayu masih lagi tidak memahami Islam itu sendiri akibat daripada sifat mereka sendiri yang tidak mahu menghadiri kuliah-kuliah agama ataupun membaca kitab-kitab yang berkaitan dengan Islam. Ini disebabkan kebanyakan orang-orang Melayu beranggapan Islam hanya berkisar di sekitar solat, puasa, haji, nikahkahwin dan tahlil sahaja. Soal-soal lain seperti pemerintahan, undang-undang, ekonomi dan sebagainya tidak diambil peduli. Kelas-kelas pengajian masjid di kampung-kampung hanya membicarakan cara-cara mengambil wudhuk, mandi wajib, perkara-perkara yang membatalkan puasa dan berulang-ulang setiap tahun. Walhal banyak lagi ilmu-ilmu Islam yang harus dikaji dan dipelajari.

Seharusnya sebagai seorang Muslim, umat Islam harus merasa bangga apabila ada umat bukan Islam yang berusaha untuk membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran itu sendiri. Jika sekalipun sebutan mereka salah, kita wajib memperbetulkan sebutan mereka. Mereka bukan menghina ayat Al-Quran itu tapi mereka cuba memahaminya. Bagaimana mungkin orang-orang bukan Islam boleh mendekati Islam padahal orang-orang Islam sendiri menjadi penghalangnya.

Di zaman Rasulullah sendiri, semasa Rasulullah memberi pengajaran kepada umat Islam samada di Mekah ataupun Madinah, orang-orang kafir juga mendengar ajaran Rasulullah dan mengemukakan persoalan-persoalan hinggakan ada yang beriman kepada Allah dan Rasul lantas berjuang di dalam Islam. Berdakwah bukan hanya dengan datang kepada mereka atau berceramah kepada mereka tetapi hidayah Allah boleh datang dengan berbagai cara dan bentuk.

Di dalam isu YB Nga Ko Ming membaca sebaris ayat Al-Quran dan terjemahannya, ini merupakan satu perkembangan yang amat baik kerana memberi petanda bahawa bukan Islam telah mula ingin memahami Islam itu sendiri dan memberi kesan yang amat baik di kemudian hari di dalam usaha kita untuk menegakkan dan melaksanakan undang-undang Islam di muka bumi Malaysia ini.

Tindakan orang-orang yang tidak cerdik ini hanya memalukan umat Islam di Malaysia bahawa betapa ceteknya pandangan dan ilmu mereka. Kedangkalan mereka akan menjarakkan lagi umat Islam dengan bukan Islam dan melembabkan usaha-usaha menarik bukan Islam kepada menerima ajaran Islam itu sendiri. Persoalan yang boleh dibahaskan di sini ialah apakah mereka-mereka yang tidak berakal ini sengaja bertindak demikian kerana adanya agenda-agenda tersembunyi mereka? Sama-sama kita cari jawapannya.

Saturday, April 18, 2009

Tokoh Perjuang Islam Masa Kini

Sesusuk tubuh yang kerdil, wajah yang tenang, bait-bait ucapannya tersusun indah, suaranya sederhana dan terang dan lancar. Kata-katanya sentiasa menjadi perhatian dan setiap ucapan mempunyai makna yang mendalam. Pandangannya jauh ke depan melangkaui batasan pemikiran pemimpin-pemimpin lain dan sukar disanggah. Setiap pandangan dan hujah-hujahnya dibariskan dengan firman Allah dan hadith Rasulullah dan memberi kekuatan kepada segala tindakan-tindakannya sebagai Ketua Kerajaan Negeri Kelantan Darul Iman. Insan yang dimaksudkan disini ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sentiasa menjadi perhatian di mana sahaja beliau berada samada majlis-majlis rasmi ataupun tidak. Dihormati kawan dan lawan di dalam atau luar Negara. Kesungguhan dan jihadnya dalam perjuangan amat dikagumi. Tuan Guru telah membuktikan bahawa seorang Ulama mampu mentadbir sebuah kerajaan dengan lebih berkesan kerana ulama bukan diperintah tetapi memerintah. Beliau telah dianugerahkan Nobel Keamanan versi Asia, satu kejayaan besar dan pengiktirafan besar dari luar kepada seorang Ulama di Negara ini.

Begitu banyak perubahan-perubahan yang telah Tuan Guru lakukan di Negeri Kelantan walaupun menghadapi tekanan-tekanan dari kerajaan pusat seperti disekat geran tahunan, pelaburan dari luar dihalang masuk Kelantan dan banyak lagi. Namun dengan tenang dan sentiasa bertawakkal kepada Allah Tuan Guru dan menganggap ia sebagai ujian yang perlu dihadapi dalam menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Pembangunan material harus seimbang dengan pembangunan kerohanian dan oleh kerana itu Tuan Guru mendidik rakyat Kelantan dengan pendidikan kerohanian terlebih dahulu dan disamping itu membangunkan Negeri Kelantan berlandaskan Al-Quran dan Hadith semampu yang boleh (kerana batasan-batasan yang dicipta oleh perlembagaan Malaysia) dan kini kesannya telahpun terbukti.

Tuan Guru telah memecah tembok pemisahan antara kaum di Negara ini dan ini sejajar dengan ajaran Islam yang tidak membezakan satu kaum dengan kaum yang lain. Dalam Islam hanya taqwa yang membezakan antara seseorang itu bukan darjat keturunan, bangsa atau kaum. Terciptanya manusia berbilang kaum supaya saling kenal mengenali antara satu lain dan sebagai membuktikan akan Kekuasaan Allah yang Maha Pencipta.

“Wahai manusia (tanpa mengira bangsa) sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Surah Al-Hujarat: 13)

Sewajarnya kita mencontohi keperibadian Tuan Guru dan menjadikan beliau sebagai sumber semangat dan inspirasi kepada pejuang-pejuang Islam masa kini. Kisah perjuangan Tuan Guru boleh diikuti dalam buku Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat karya Abdul Shukur Haron dan Annual Bakri Haron terbitan Anbakri Publika Sdn Bhd.

Thursday, April 16, 2009

Raja Dan Pemimpin Kita


Pada Hang Jebat “Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disangah” manakala Hang Tuah pula, “Taat setia hamba pada Sultan melebihi segalanya”. Di bawah adalah sebahagian di antara perbalahan-perbalahan yang berlaku antara Raja dan pemimpin kita. Derhakakah mereka?

(1) Fasal 38 (4) Perlembagaan Persekutuan untuk mengurangkan imuniti raja-raja Melayu pada tahun 1993, Allahyarham Tun Ghafar Baba telah mengemukakan usul khas di Parlimen pada 10 Disember 1993 memberitahu dewan bahawa seorang rakyat Malaysia bernama Douglas Gomez telah dicederakan di Istana Bukit Serene oleh Sultan Johor pada 30 November 1992.

(2) Beberapa menteri kabinet mendedahkan skandal pemilikan harta raja-raja. Antaranya membabitkan pemberian konsesi balak ribuan hektar kepada raja tertentu. Didedahkan juga bahawa tiap-tiap sultan telah ditawarkan 100,000 unit saham Telekom dan berbagai-bagai lagi.

(3) Ahli Parlimen Arau (waktu itu), Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi juara bila mendedahkan keburukan keluarga Sultan Johor yang bertanggungjawab melakukan 23 kes penganiayaan ke atas rakyat jelata yang tidak berdaya termasuk memukul dan mencedera semenjak dari tahun 1972.

(4) Pada 29 April 1993, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Ibrahim Ali menabalkan Tengku Ibrahim Indra Petra di Ketereh dalam majlis anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan yang dipengerusikan Annuar bagi mengantikan Sultan Ismail Petra dan menurut mereka Sultan Ismail Petra bukan waris yang sah.

(5) Program Semarak di Lubok Jong, Pasir Mas mencetuskan perarakan ke istana untuk menyerahkan memorandum mendesak Sultan Kelantan turun takhta dengan dipimpin oleh Tan Sri Mohamed Yaacob.

(6) Demonstrasi menentang perlantikan Menteri Besar Terengganu yang baru, Ahmad Said dan merentang kain rentang menghina Sultan Terengganu oleh ahli UMNO

Sunday, April 12, 2009

Inikah Demokrasi?

Barisan kabinet baru yang diumumkan oleh Najib menunjukkan bahawa tiadanya sifat amanah dan tanggungjawab pemimpin negara terhadap amanah yang telah diberikan oleh rakyat kepada mereka melalui pilihanraya. Walhal bercanang seluruh negara bahawa merekalah pejuang demokrasi, sentiasa akur dengan keputusan majoriti rakyat kerana rakyat berkuasa dan berhak menentukan wakil mereka. Namun hakikatnya keadilan demokrasi mereka hanya berkisar kepada kekuasaan antara golongan mereka sahaja dalam erti kata lain demokrasi dalam pembahagian kekayaan dikalangan mereka. Dimanakah rasionalnya seseorang yang kalah dalam pemilihan boleh terpilih dalam barisan kabinet kerajaan sedang pada hakikatnya rakyat tidak berkehendak kepada pemimpin-pemimpin ini. Secara jelasnya mereka telah mengabaikan amanah yang diberikan oleh rakyat kepada mereka dan lebih utama lagi telah mengabaikan amanah yang diberikan oleh Allah kepada mereka untuk mentadbir muka bumi ini dengan adil dan saksama berdasarkan Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

"dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan" (Al-Qashash : 7)


Bukti-bukti perlanggaran prinsip demokrasi banyak diperlihatkan kepada kita yang memperjelaskan lagi bahawa demokrasi hanya berlaku dan berkisar dikalangan mereka sahaja contohnya perampasan kuasa Menteri Besar Perak daripada Dato’ Seri Mohammad Nizar oleh Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dengan cara amat yang kotor sekali walaupun secara jelas sekali Pakatan Rakyat telah memenangi pilihanraya kecil Parlimen di P059 Bukit Gantang dengan PAS memperolehi undi sebanyak 21, 860 berbanding BN sebanyak 19,071 dengan majoriti 2,789 manakala DUN N25 Bukit Selambau KeADILAN mendapat 12,632 undi dan BN 10,229 undi manakala bebas 1,079 undi untuk 13 calon. Rakyat telah menunjukkan isyarat jelas bahawa sikap dan tindakan tidak demokrasi BN tidak diterima oleh rakyat. Sekiranya isyarat ini tidak diambil pandangan dan tidak diperduli oleh BN, maka demokrasi yang dilaung-laungkan selama ini umpama iklan-iklan komersial dipapan-papan iklan lebuhraya hanya dipandang pada yang berminat atau terpaksa pandang menghilangkan ngantuk memandu sahaja berlalu begitu sahaja selepas hilang dari pandangan mata. Matinya demokrasi itu di atas tangan pendokong-pendokong demokrasi itu sendiri.

''Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ''Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.'' Mereka berkata: ''Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?''. Tuhan berfirman: ''Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui''(Al-Baqarah:30)

Jawapan kepada persoalan tersebut ialah seluruh rakyat Malaysia khususnya harus mengembalikan pemerintahan Negara ini kepada pemerintahan Khalifah, kerajaan yang berpandukan undang al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W serta Ijtimak ulama. Apakah sumbangan kita kearah cita-cita itu? Jawapannya ada pada diri sendiri.

Thursday, April 9, 2009

Pemimpin Yang Berpura-pura


Inilah yang membezakan perjuangan yang berpegang kepada cita-cita kebangsaan atau berpaksi kepada Al-Quran dan Hadith. Pejuang-pejuang berkebangsaan bijak berlakon, berpura-pura dikhalayak ramai namun hakikatnya wajah dan sikap yang dipertontonkan bukan sikap mereka yang sebenarnya. Mereka boleh berubah dalam sekelip mata sahaja. Buktinya; Perhimpunan UMNO baru-baru ini menyaksikan pertemuan dua pemimpin UMNO yang pernah berada dikerusi tertinggi mereka bersalaman dan berpelukan seolah-olah persengketaan mereka selama ini berakhir di pentas perhimpunan tersebut. Gegak gempita bersorak hangat penyokong-penyokong mereka menggegarkan Dewan Merdeka PWTC seolah-olah itulah kemuncak kemenangan perhimpunan pertubuhan tersebut. Selama hampir 5 tahun Mahathir berkecil hati dan marah dengan pemimpin tertinggi UMNO itu serta secara terus terang mengkritik pentadbiran kerajaan samada melalui laman blog beliau mahupun di dalam akhbar-akhbar. Seolah-olah apa yang berlaku selama 5 tahun itu hilang begitu sahaja dan masing-masing melupakan pertelagahan tersebut dan berpelukan sambil menerima tepukan gemuruh daripada semua perwakilan yang hadir.

Namun, dua hari selepas itu beliau menyerang semula dan mengulangi kenyataannya di dalam temuramah BBC akan kesilapan beliau melantik Abdullah sebagai pengganti. Juga menyerang kroni-kroni Abdullah yang didakwa mempunyai pengaruh besar didalam kerajaan (walaupun pada ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia keadaan yang sama juga berlaku). Jelasnya segala yang disaksikan oleh rakyat ialah inilah gelagat pemimpin-pemimpin mereka yang berpelukan di atas pentas tetapi sebaliknya selepas itu. Semata-mata untuk mengaburi mata rakyat bahawa mereka tidak bersengketa dan bersikap keterbukaan.

Demikianlah sebenarnya sikap pemimpin kita yang sentiasa berpura-pura dalam perjuangan mereka. Jika sesama mereka pun boleh bertindak dan bersikap demikian sudah tentu sekali dan berlebih-lebih lagi dengan rakyat yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dan pengaruh di dalam kerajaan. Contoh yang jelas sekali ialah ketika kempen-kempen pilihanraya samada Pilihanraya Umum ataupun Pilihanraya Kecil. Berbagai janji ditaburkan, berbillion-billion diperuntukkan namun selesai sahaja pilihanraya berbagai-bagai alasan pula diberikan.

Penyertaan semula Mahathir dalam UMNO tidak membawa sebarang makna kepada UMNO itu sendiri kerana UMNO sememang sudah demikian sifatnya. Ketika berada di atas tidak boleh menerima teguran tapi bila berada di bawah melalak tak tentu arah.

Monday, March 30, 2009

Buktikan Kuasa Rakyat Dan Jalankan Tanggungjawab Dengan Bijak


Sekali lagi KDN bertindak mengantung penerbitan Harakah akhbar rasmi PAS dan kali ini selama 3 bulan. Penggantungan ini berkebetulan pula dengan Perhimpunan Umno dan juga Pilihan Raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Dan seperti biasa Menteri yang menjaga Hal Elwal Dalam Negeri memberi alasan tanpa bukti atau contoh kesalahan yang menasabah sekadar menyatakan (alasan yang sama setiap kali bertindak) “KDN mendapati Harakah dan Suara Keadilan banyak mengeluarkan artikel-artikel menyentuh perkara-perkara yang memutarbelitkan fakta, menghasut, mengandungi tuduhan liar dan tidak berasas”
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu" (ayat 6 Surah Al-Hujurat)
Harapan yang tinggi diberikan kepada semua pengundi-pengundi Bukit Gantang dan Bukit Selambau supaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebijak-bijaknya supaya pemimpin-pemimpin UMNO yang korup ini sedar bahawa mereka dipilih rakyat untuk membela rakyat bukan membela poket dan keluarga mereka.
Mari kita sama-sama memboikot Utusan Malaysia dan Berita Harian serta saluran media lain seperti TV3, RTM selama 3 bulan ini!

Obama Dan UMNO


Dan ketika Barack Obama memenangi kerusi Presiden Amerika Syarikat masing-masing pemimpin negera dunia ketiga dan Islam meletak harapan kepada perubahan yang akan dibawa oleh Presiden baru Amerika ini membawa sinaran baru kepada mereka. Antaranya kedudukan tentera penjajah Amerika di Iraq, kedudukan tentera Israel di Palestin, tekanan terhadap Iran akibat daripada penerokaan sumber logi nuclear, diskrimisasi terhadap negara-negara Islam dan sebagainya. Pengharapan ini adalah berdasar kepada sejarah dan latar belakang Obama yang mendapat pendidikan dan dibesarkan di Indonesia suatu ketika dahulu. Namun begitu kita harus sedar bahwa siapapun nama Presiden Amerika itu dasarnya tetap tidak berubah dan apabila masih berpandukan dasar yang sama tindakannya tetap sama dan dibimbangi lebih hebat dan keras daripada Bush sendiri. Keraguan ini adalah berdasarkan bahawa beliau sudah memahami sedikit sebanyak mungkin kelemahan umat Islam ketika berada di Asia khususnya di Indonesia dan dengan pengalaman ini akan menjadi senjata untuk merangka strategi melemah dan menawan negara-negara umat Islam samada dengan peperangan persenjataan atau saraf.
Setakat ini belum kedengaran lagi Obama berbicara untuk mengurangkan tentera penjajah Amerika daripada bumi Iraq dan menghentikan tekanan dan sekatan terhadap Iran. Ini secara tidak langsung memberi petunjuk bahawa Presiden baru Amerika Syarikat ini akan meneruskan dasar-dasar yang sedia ada. Kesangsian ini dikuatkan lagi dengan tindakan Presiden Amerika ke-44 ini bertindak melantik Pengarah Urusan White House dari kalangan manusia yang fanatic dengan Yahudi. Sementara ayahnya merupakan bekas pengganas yang telah melakukan pembunuhan beramai-ramai. Selepas memenangi pilihan raya Presiden beliau lebih menumpukan perhatian isu-isu dalaman Amerika untuk memulihkan ekonomi yang semakin teruk sekarang ini. Harus diingatkan bahawa mana-mana pemimpin yang ingin memenangi kerusi Amerika Syarikat harus mendapatkan sokongan daripada Yahudi khususnya Israel. Dan oleh demikian jika diperhatikan setiap kempen dan kenyataan-kenyataan mesti merupakan kenyataan yang dapat meraih undi daripada kalangan Yahudi. Jawapannya, Obama tidak mampu membuat perubahan besar dalam hubungan Asia Barat, menyelesaikan isu Palestin, Iran, Iraq, Afghanistan dan memulihkan hubungan dengan Negara-negara Umat Islam.
Keadaan ini sama dengan peralihan pimpinan UMNO yang diharapkan dapat membawa perubahan kepada kepimpinan Negara, bersih daripada rasuah, penghapusan ISA yang zalim, kebebasan bersuara dan meletakkan hukum dan undang-undang Islam pada dasar yang tinggi dalam undang-undang Negara ini. Namun begitu jika dasar pemerintahan Negara masih berpegang kepada dasar yang sama, undang-undang British masih menjadi rujukan dan aqidah pemimpin Negara tidak kepada undang-undang Islam harapan ini hanya tinggal angan-angan sahaja. Malah berkemungkinan semakin banyaknya rasuah, ISA semakin zalim dan Islam semakin dipinggirkan akan berlaku. Malah akhir-akhir ini keganasan Polis semakin menjadi-jadi dan bertindak di luar pertimbangan kemanusian dan peradaban. Apakah tindakan mereka di atas arahan pihak-pihak tertentu atau mereka sebenarnya cuba menunjukkan bahwa mereka mempunyai kuasa dan boleh bertindak sesuka hati. Kerana apa? Kerana latar belakang pemimpin dan dasar Negara yang masih sama!