Sunday, December 13, 2009

Pembangunan Dan Kritikan

Saya tertarik dengan pandangan kolumnis di dalam Berita Harian baru-baru ini bahwa negara tidak akan maju jika semua rancangan pembangunan yang hendak dilaksanakan diprotes atau dilapurkan kepada Suruhanjaya Pencegahah Rasuah Malaysia (SPRM) dan terpaksa ditangguh untuk siasatan. Tidak diketahui apakah pandangan beliau mewakili kerajaan atau sekadar pandangan peribadi namun secara umumnya beliau memberi pandangan pada sudut pembangunan sahaja tetapi tidak melihat dalam kontek tujuan laporan itu sendiri dibuat. Semua rakyat tidak menolak pembangunan tetapi jika pembangunan itu melibatkan atau mencetuskan penindasan, penyelewengan, rasuah dan ketidakadilan maka seharusnya ditangguhkan atau diberhentikan sama sekali. Apakah kita ingin melihat rakyat ditindas semata-mata untuk pembangunan, rasuah dibenarkan untuk mempercepatkan pembangunan, keadilan diketepikan agar pembangunan diluluskan dan sebagainya.

Sila rujuk Berita Harian bertarikh 12 Disember 2009 bahagian rencana suntingan Jamhariah Jaafar antara petikan rencana tersebut ialah;

“Senario politik yang kini boleh diibaratkan bagai 'sarkas' yang sedang melanda tanah air kita - semua usaha kerajaan ke arah pengukuhan ekonomi dikritik, terutama pembangkang yang menjadikan tugas utama mereka sebagai pengkritik setiap langkah dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pengarah Institut Strategi dan Kajian Antarabangsa (Isis), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, ketika ditanya persoalan itu juga tidak dapat lari daripada meluahkan kebimbangan kerana tat kala dunia sedang mengalami krisis ekonomi yang serius dan kini dalam proses pemulihan, Malaysia masih tidak surut daripada kemelut politik walaupun selepas mendapat Perdana Menteri baru.

Jika setiap satu langkah dikritik dan setiap projek pembangunan dilapor kepada agensi pencegah rasuah, tidak akan ada satu kerja pun akan siap kerana setiap kritikan akan membuatkan kita melangkah semula ke belakang, katanya mengenai senario politik yang turut memberi kesan serius pada perkembangan ekonomi negara hari ini
.“

Tidak sedarkah kita betapa banyak pembaziran terhadap projek-projek yang tidak berkualiti tetapi melibatkankan kos yang amat tinggi akhirnya berlaku kejadian-kejadian seperti keruntuhan, kebocoran dan sebagainya. Semua ini gara-gara tingginya kadar rasuah dalam Negara kita ini dan akibatnya kos yang tinggi tetapi kualiti yang rendah. Rakyat yang perihatin tidak akan membiarkan kejadian seumpama ini berlaku dan bagi menyekat ia terus berlaku laporan dan aduan demi aduan dibuat kepada pihak yang berwajib. Mungkin penulis tersebut terlepas pandangan dalam soal ini tetapi sebagai seorang yang berpendidikan berdasar kepada nama beliau saya kira pandangan beliau tidak tepat. Jika diambil penilaian di negeri Kelantan tidak banyak atau tidak ada langsung aduan rasuah di buat kepada setiap pembangunan Kerajaan Negeri dan pembangunan disokong oleh semua pihak kerana tiada unsur-unsur yang melibat rasuah, penindasan dan sebagainya.

Kita tidak harus menghalalkan untuk mencapai matlamat kerana tiada keberkatan disana. Pembangunan bukan hanya pada pandangan material dan fizikal tetapi pembangunan juga pada sudut rohani. Tiada faedah jika masjid besar tetapi tiada jamaah, bangunan besar tiada penyewa atau jalan besar tiada kenderaan baik disalurkan kepada hal-hal yang lebih manafaat dan memerlukan seperti kemiskinan dan sebagainya.

Friday, December 11, 2009

Sokongan Tak Berbelahbagi

Jelas dan terbukti bahawa rakyat Kelantan masih berdiri teguh dibelakang Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan PAS. Ini terbukti apabila hampir 10,000 rakyat Kelantan berhimpun selepas kuliah mingguan di Medan Ilmu Kota Bahru untuk menyatakan sokongan kepada Tuan Guru pada 4 Disember 2009. BN harus sedar bahawa mereka tidak boleh mengugat kerajaan Negeri Kelantan dan perlu akur hakikat ini. Kedatangan rakyat Kelantan tanpa diarah dan dibayar kerana mereka sedar tanggungjawab mereka untuk mempertahan dan mengekalkan kepimpinan Ulama walaupun UMNO tidak menyukainya (kepimpinan Ulama). Semua rakyat Kelantan tidak mengira bangsa dan agama hidup aman dan damai di negeri Kelantan tanpa ada sebarang tekanan dan penindasan.

Momentum ini harus diteruskan dan dilebarkan keseluruh Negara dan seterusnya mengambil alih pucuk pimpinan Negara. Kepimpinan Negara harus diganti dengan pemimpin-pemimpin yang benar-benar memperjuangkan kedaulatan Islam dan menjaga kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang kehidupan dan pegangan mereka.

Cadangan supaya Tuan Guru Nik Aziz dilantik menerajui Pakatan Rakyat amat tepat sekali kerana ia akan memberi satu kekuatan yang tidak ada di dalam BN. Kekuatan ini akan menjadikan Pakatan Rakyat pasukan yang kuat dalam menghadapi BN pada pilihanraya akan datang. BN semakin lemah dan berusaha menutup kelemahan mereka dengan mengalihkan pandangan rakyat kepada isu-isu ciptaan mereka kepada Pakatan Rakyat. BN cuba mencipta propaganda untuk mengugat keharmonian dalam Pakatan Rakyat walaupun dalam masa yang sama BN sendiri sedang menghadapi perpecahan dan pergolakan yang amat rumit.

Wednesday, December 2, 2009

Manusia Yang Tak Punyai Akal Yang Waras

Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa hak (alasan yang benar) dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, sampaikanlah kepada mereka khabar gembira iaitu azab yang pedih”. (Ali Imran: 21)
Manusia kalau tidak dapat membezakan antara baik dan buruk serta buta hati maka tindakan mereka hanya sekadar menurut nafsu sahaja. Inilah dia Che Johan Che Pa, Timbalan Ketua UMNO Pasir Mas berserta 50 penyokong UMNO yang mengelar diri mereka Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK) menyerahkan memorandum kepada Tuan Guru Nik Aziz meletakkan jawatan ekoran daripada doa Tuan Guru baru-baru ini. Bak kata Tuan Guru yang menyuruh beliau letak jawatan ialah orang UMNO bukan PAS jadi mengapa harus beliau runsingkan dan orang-orang seperti ini memang tak perlu dilayan. Rupa-rupanya orang-orang UMNO Pasir Mas sama sahaja dengan bekas ketua mereka, Ibrahim Ali bertindak dengan meletakkan akal di lutut-lutut mereka.

BN sekarang cuba menutup banyak kepincangan yang berlaku dalam BN sendiri termasuk pergolakan Umno di Terengganu, dua kerajaan di Perak dan perpecahan MCA serta PPP. Mereka cuba mengalih pandangan rakyat kepada negeri Kelantan dengan mengambarkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan sedang bermasalah. Kita harus memberi kepercayaan penuh kepada Tuan Guru Nik Aziz. Beliau masih mampu untuk meneruskan pentadbirannya. Perlu diakui bahawa ketokohan dan gaya pemerintahannya menjadi contoh yang terbaik sehingga disegani kawan dan lawan.

Berbalik kepada isu doa yang dibesar-besarkan oleh media-media pro BN, dalam sirah zaman Nabi Muhammad saw memperlihatkan bagaimana baginda memanjatkan doa kepada Allah supaya diturunkan bala ke atas kaum Quraisy Mekah yang menganiaya baginda dan menentang dakwah Islam.Ekoran itu katanya Allah Taala telah menurunkan kemarau selama tujuh tahun sehingga wujud asap dari langit. Doa menurunkan bala kepada orang yang zalim tidak lebih sebagai satu ugutan agar mereka gerun dengan janji Allah dan terbuka pintu hati untuk mengembalikan semula hak orang lain. Doa seperti itu tidak lebih sebagai satu ugutan atau peringatan kepada pihak yang cuba membuat zalim seperti disebut Tok Guru Nik Abdul Aziz," kata Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak.

Dalam wawancara bersama Husam Musa di ASTRO AWANI kenyataan yang diberikan oleh wakil kerajaan bahawa kerajaan ingin memastikan bahawa wang royalti diguna dan ditadbir dengan baik amat tidak diterima oleh akal dan cuba membelakangkan dan menafikan kecekapan kerajaan Kelantan mentadbir negeri selama ini. Kerajaan negeri Kelantan merupakan negeri yang paling rendah hutang dengan Pusat dan negeri yang bebas daripada rasuah berbanding dengan negeri-negeri yang ditabdir oleh BN. Jika benar Pusat bijak menguruskan kewangan bagaimana negeri Terengganu yang mendapat wang royalti ketika BN mentadbir (kemudian dinafikan hak ketika PAS memerintah) disenaraikan negeri yang tertinggi kadar rakyat termiskin? Kemana dan dimana wang royalti itu disalurkan? Dalam poket kroni-kroni mereka? Lihat apa yang berlaku di Terengganu kebanyakan projek-projek mega menjadi gajah putih dan terbaru stadium yang menelan belanja jutaan ringgit runtuh begitu sahaja.

Kita harus menyahut seruan Tuan Guru Nik Aziz supaya memboikot media-media utama yang sejak akhir-akhir ini begitu jelas menjadi alat BN dengan berita-berita yang sangat membosankan dan mengelirukan tentang kerajaan Pakatan Rakyat. JOM BOIKOT SEMUA AKHBAR UTUSAN, TV1, TV2, TV3.

Monday, November 30, 2009

Busuk Yang Membosan Dan Memualkan

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan sama sahaja bagi mereka, apakah engkau memberi peringatan kepada mereka atau engkau tidak memberi peringatan kepada mereka, mereka tidak beriman juga”. (Yasin: 10)

Sungguh membosan dan memualkan bila membaca akhbar-akhbar utama dan menonton saluran-saluran media utama sejak kebelakangan ini. Bukan soal masalah dalaman MIC atau perbalahan dalam MCA mahupun UMNO itu sendiri kerana memang pun mereka bermasalah tetapi cara olahan paparan dan pemberitaan yang cuba digambarkan terhadap kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat sungguh memualkan lebih-lebih lagi diakhir-akhir ini tumpuan diberikan pada Kerajaan Negeri Kelantan dibawah pimpinan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Asakkan demi asakkan ditujukan kepada Tuan Guru dengan berbagai isu bagi mengambarkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan bermasalah.

Apa yang dilihat disini, asakkan dan serangan saraf ini bermula setelah Kerajaan Negeri Kelantan berusaha bersungguh-sungguh dan bertegas dengan tuntutan royalti minyak dan gas asli baru-baru ini. Serangan-serangan yang bermula dengan serangan peribadi mengaitkan isu tajaan mengerjakan haji kemudian dikecohkan dengan berita ugutan Husam Musa ingin meletakkan jawatan dan terbaru doa Tuan Guru dan isu pengganti beliau. Kita perlu sedar bahawa BN semakin terdesak sekarang ini, oleh itu untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu-isu dalaman yang sedang dihadapi oleh BN maka media-media utama dipergunakkan untuk menutup isu ini dan disasarkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Selepas Kedah dan Selangor usaha mereka tidak menjadi kini mereka beralih kepada Negeri Kelantan.

Desakan-desakan Pemuda UMNO supaya Tuan Guru Nik Aziz meletakkan jawatan atas alasan menerima tajaan mengerja haji amat sungguh membosankan kerana ‘Pemuda-Pemuda’ ini hanya nampak kuman di seberang laut tetapi gajah didepan mata tak nampak. Sedarkah kita berapa banyak aduan dibuat samada kepada Polis mahupun SPRM berkaitan isu rasuah pemimpin BN tetapi hingga sekarang tiada tindakan diambil jika adapun hanya melepaskan batuk ditangga sahaja. Berbanding dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hanya dengan lapuran akhbar tindakan diambil begitu efisen sekali dan kadang-kadang sangat melucukan kerana tindakan dibuat atas kenyataan pemimpin itu sendiri bahawa ada pihak yang cuba memberi rasuah atau tajaan kepada mereka. Kecekapan dan kepantasan SPRM boleh dianugerahkan ‘SIRIM 2009’. Bak kata Tun Mahathir “UMNO kini busuk hingga ke ususnya”.

Berbalik kepada isu royalti, mengapa Kelantan hanya diberi wang ihsan? Tuan Guru dan kerajaannya tidak menolak rezeki wang ihsan itu tetapi wang ihsan hanya disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bukan kepada Kerajaan Negeri. Apakah wajar Kerajaan Negeri yang berusaha tetapi hasilnya diberi dan dihabiskan oleh orang lain. Oleh kerana itulah mereka berusaha bermati-matian untuk merampas Negeri Kelantan kerana di sana ada lubuk emas yang selama ini dinafikan. Tuan Guru tahu, royalti Kelantan tidak boleh diusik dengan wang ihsan itu. Kelantan menuntutnya dari Petronas sama seperti Tunku menuntut kemerdekaan Malaysia daripada Inggeris. Samada BN sedar atau tidak, menindas Kelantan sama juga dengan menindas orang Melayu sendiri kerana majoriti penduduk Kelantan adalah Melayu dan Islam.

Kita dituntut untuk mempertahankan negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya Negeri Kelantan dan Kedah kerana di sana ada keberkatan dan cahaya keimanan dari seorang pemimpin yang ingin menegakkan syariah Islam di muka bumi Malaysia ini. Ya Allah, jahanamkan UMNO dan BN sebagaimana Engkau melenyapkan penduduk dulu dari mukabumi ini kerana keengkaran, kekufuran dan kesombongan mereka.

Tuesday, November 24, 2009

Tanda-Tanda Hari Akhirat

Mungkin akan hampir hari Kiamat bila tanda-tanda Kiamat makin banyak terzahir di zaman mutakhir ini antaranya banyaknya fitnah memfitnah, orang pendusta dianggap benar,orang jujur dibohongi dan tidak dipercayai lagi, setiap daerah diketuai orang munafik, orang alim (ulamak) sudah tidak ditaati, orang alim sudah tidak disenangi, ulamak memihak kepada pemerintah lalu menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal dan banyak orang menjadi pemimpin tetapi tidak boleh dipercayai.

Firman Allah, maksudnya: "Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit (Kiamat) Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan tentang (datangnya) Kiamat itu hanya ada pada sisi Allah. Dan tahukah kamu (Wahai Muhammad), boleh jadi Kiamat sudah dekat pada waktunya” (Al-Ahzab: 63).

Samada sedar atau tidak tanda-tanda tersebut telah banyak muncul di zaman ini dan berlaku disekeliling kita. Jika kita membicarakan soal fitnah saban hari kita dipaparkan dengan berita-berita fitnah lebih-lebih lagi oleh akhbar-akhbar yang membelakangkan soal-soal etika dan lebih-lebih hukum agama. Mereka gemar mewujudkan berita-berita sensasi yang tiada kebenaran dan penuh dengan kesamaran tanpa merasakan bahawa berita yang sampaikan boleh mendatangkan kesan negatif kepada keperibadian seseorang, masyarakat, kerajaan dan sebagainya.

Dewasa ini juga kita perhatikan manusia sudah hilang hormat kepada para ulamak dan gemar menghina dan mengutuk mereka secara terbuka tanpa rasa bersalah. Manusia-manusia ini ada yang datang dari kalangan manusia-manusia yang berlatarkan agama tetapi mereka memanafaatkan ilmu agama mereka untuk mengejar kepentingan dunia mereka tanpa memperdulikan soal akhirat. Tidak gerunkah dalam hati mereka akan balasan Allah di akhirat nanti atau mereka memang berani mencabar kekuasaan Allah? Semak diri kita apakah kita tergolong dari salah seorang daripada mereka jika YA masih ada lagi waktu untuk kita bertaubat dan bersama-sama dengan alim ulamak berjuang menegakkan kebenaran dan semoga amalan kita menjadi bekalan kita di alam kubur dan akhirat nanti.
Firman Allah yang bermaksud, “Dan barang siapa buta (hatinya) di dunia ini, maka di akhirat dia akan buta dan tersesat jauh dari jalan (yang benar).” (Al-Isra:72)

Tuesday, November 10, 2009

Waspada Dengan Serangan Saraf

Jika dilihat pada corak serangan sejak akhir-akhir ini, ia mengambarkan akhbar lidah kerajaan sedang melancarkan serangan saraf terhadap Partai Islam SeMalaysia (PAS) dengan memaparkan isu-isu yang diharap dapat melemahkan kepercayaan masyarakat dan secara tidak langsung gerakan PAS itu sendiri. Bermula dengan isu terhadap Dr Hassan Ali berdepan isu penjualan arak, EGM Khas bermula dari kenyataan Tuan Guru Nik Aziz, sokongan golongan muda dan terbaru dipaparkan isu bai’ah. Walaupun semua isu-isu ini dapat ditanggani dengan harmoni oleh PAS juga antara Pakatan Rakyat (PR) dan ada juga isu-isu yang diputar-belitkan oleh media-media ini namun PAS khususnya dan PR amnya tidak harus mengambil ringan soal ini. Tindakan susulan harus diambil dengan segera agar serangan-serangan saraf ini tidak menjejaskan sokongan masyarakat kepada PAS khasnya dan PR amnya juga keharmonian dan kesepakatan yang sudah terjalin dengan baik di dalam PR itu sendiri.

Adalah wajar pada waktu ini segala isu-isu yang berkaitan antara parti-parti PR tidak bincangkan atau dibangkitkan melalui media-media terutama media perdana milik kerajaan yang secara jelas cuba memburuk-burukkan PR. Disarankan kepada semua pemimpin-pemimpin PR tidak lagi melayani temuramah atau soalan-soalan yang diajukan oleh media-media ini.

Firman Allah yang bermaksud; “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bagian besar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula)”. (An-Nur: 11).

Sunday, November 8, 2009

1 MALAYSIA*Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan

Apa dia sebenarnya konsep 1 Malaysia? Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan Dato’ Sri Mohd Najid Tun Abdul Razak ialah Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita. Katanya konsep “1 Malaysia” ditunjangi oleh dua prinsip utama iaitu sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dan keyakinan antara satu sama lain. Apabila kita sudah menghormati antara satu sama lain bererti kita sudah mempunyai sikap terbuka untuk menghayati konsep perpaduan dalam keperbagaian.

Sebenarnya dalam Islam telahpun ada konsep ini dan bukan merupakan perkara baru ia telah lama dipraktikkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Manusia dijadikan daripada satu iaitu Nabi Adam dan Hawa jesteru kita umat manusia adalah sama walaupun terdiri berbagai-bagai bangsa, berlainan warna kulit dan perbezaan bahasa pertuturan kerana manusia dijadikan untuk saling kenal mengenali. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud; “Wahai manusia (tanpa mengira bangsa) sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Surah Al-Hujarat: 13)

Walaubagaimanapun, kita harus ingat walau dalam keadaan apa sekalipun Islam tetap tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain dan ini berdasarkan firman Allah Taala yang bermaksud; “Sesungguhnya Deen (agama) disisi Allah hanyalah Islam... (Ali’Imran: 19).”

Dan firman Allah Talla lagi yang bermaksud; “…..pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu menjadi agama bagimu…” (Al-Maidah: 3). Oleh itu sama rataan adalah pada perkara-perkara yang berkisar kepada kemanusiaan sahaja tetapi tidak dalam hal-hal yang bersangkutan dengan agama dan ini perlu jelas. Walaubagaimanapun Islam tidak melarang umat-umat lain mempraktikkan amalan dan kepercayaan agama masing-masing.

Telah lama kita membicarakan bahawa dalam Islam semua umat manusia adalah sama dan membezakan di antara mereka ialah keimanan. Oleh demikian kita tidak harus membeza-bezakan dalam hal-hal yang bersangkutan dengan keadilan, pendidikan, ekonomi dan semua hal-hal yang berhubung kait dengan kemanusian. Sebab itulah dalam pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W semua bangsa hidup di dalam penuh keharmonian dan aman damai kerana mereka mendapat pembelaan yang sama rata dan saksama. Rasulullah hanya memerangi mereka jika sekiranya mereka menentang Rasulullah sahaja walau bagaimanapun setelah diberi amaran oleh Baginda.

Oleh demikian dalam konsep 1 Malaysia ini tiada apa yang harus dibanggakan ia hanya sekadar slogan di papan iklan dan diperhati bila terpandang dan dilupakan bila melepasinya. Ia tidak dipraktikkan sebagaimana dislogankan hanya mengaburi mata masyarakat yang sentiasa leka dengan slogan, khayal dengan tema dan bersemangat hanya dalam seminar sahaja. Jika benar 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan ROYALTI tidak akan berubah menjadi EHSAN. Dari segi bahasa pun sudah berlainan maksud antara royalti dan ehsan. Jangan cuba mempermainkan rakyat dengan 1 Malaysia ini kerana kelak di akhirat nanti rakyat akan tuntut kepada pemimpin akan hak yang sepatut mereka terima semasa mereka memerintah iaitu hak sebagai rakyat daripada pemerintah. Firman Allah yang bermaksud; “……..Dan janganlah kamu merugikan mereka terhadap hak-hak mereka dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakkan.” (Hud: 85)