Monday, June 29, 2009

Perpaduankah Ini


Sewajar kita memberi perhatian pandangan yang diberi oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz berhubung Kerajaan Perpaduan yang menjadi perbincangan hangat di media-media utama ketika ini kerana ada logik dan asas pandangan beliau. Diketahui umum setiap kenyataan beliau sentiasa melangkaui batas sempadan masa dan kadang kala perlu dibahas dengan lebih lanjut lagi. Penulis tidak perlu mengimbas semula ketika PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional tetapi ingin menarik perhatian tentang sikap UMNO sendiri. Kerajaan Perpaduan yang difokus sekarang hanya timbul setelah UMNO terumbang-ambing mencari kekuatan semula ekoran penolakan rakyat terhadap UMNO dalam pilihanraya 2008 baru-baru ini.
Mereka harus sedar dan perlu ingat sehingga sekarang UMNO masih lagi menindas rakyat Kelantan hanya kerana kuasa politik mereka. Dan sewajar Tuan Guru Nik Abd Aziz selaku Menteri Besar Kelantan mempersoalkan perpaduan ini. Menindas dan menidakkan hak rakyat Kelantan yang rata-rata berbangsa Melayu dan beragama Islam adakah tidak termasuk dalam perpaduan? Dalam laporan Kementerian Kewangan baru-baru ini, ia telah menyenaraikan Negeri Kelantan sebagai salah sebuah negeri pengeluar sumber gas asli namun dimanakah royalti untuk Negeri Kelantan sebagaimana negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Sabah.
Pembangunan-pembangunan yang diberi kepada negeri-negeri lain tidak dirasai oleh Kelantan sepenuhnya dengan wujudkan berbagai-bagai sekatan dan alasan-alasan yang tidak munasabah umpama rakyat Kelantan itu sendiri bukan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang juga membayar cukai mereka. Atas alasan apakah hak mereka disekat? Hanya kerana negeri Kelantan bukan diperintah UMNO. Kalau UMNO sendiri pun yang memerintah di mana pembangunan yang mereka lakukan sepanjang memerintah Kelantan sebelum ini.
Sebenarnya inilah yang menghampakan Tuan Guru terhadap UMNO. UMNO berbicara tidak pada hakikat sebenar, tidak pada kenyataan yang sebenar, tidak pada wajah yang sebenarnya dan sentiasa berpura-pura. Sememangnya mereka tidak ada bezanya dengan ideologi-ideologi lain hanya membezakan mereka ialah istilah dan susun kata perkataan mereka sahaja.
Namun pada penulis keadaan ini memberi kesan yang baik kepada Negeri Kelantan kerana pembangunan negeri Kelantan sekarang ini adalah atas usaha mereka sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak dan sentiasa seiring dengan pembangunan rohani. Bersih dari amalan rasuah dan lebih penting sekali ialah rakyat Kelantan sentiasa merantau di negeri-negeri lain dan membawa masuk aliran tunai ke Kelantan dan ini memberi keuntungan kepada Kelantan.
Jika benar pemimpin UMNO ikhlas dan bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib bangsa melayu, sewajarnya mereka menumpukan juga bantuan mereka ke negeri Kelantan yang terbukti mempunyai majoriti penduduk melayu melebihi 95% jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Istilah perpaduan hanya mainan slogan sahaja bukan dalam erti kata sebenarnya.