Monday, August 24, 2009

Mereka Semakin Berani Mencabar Allah


Belum lagi kita mendengar fatwa dari Majlis Fatwa terhadap kenyataan Timbalan Presiden UMNO baru-baru ini dengan kenyataan “Ini soal politik. Bila politik dicampur aduk dengan agama-bahaya” keluar pula kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang menghina serban. Dalam kenyataannya berhubung dengan tindakan Tuan Guru Nik Aziz untuk menyaman tiga media yang pro UMNO, Media melaporkan Rais menyebut “Nik Aziz boleh mengemukakan sebanyak mana pun saman yang dia nak, "mungkin lebih panjang dari serbannya." Nampak gaya pemimpin UMNO sudah semakin berani mempermainkan soal akidah.

Inilah yang diperingkatkan oleh para ulama bahwa penghinaan tentang Islam dari orang-orang Islam seharusnya diambil perhatian dahulu sebelum mempersoalkan orang bukan Islam yang sememangnya tidak faham dengan hukum Islam. Kenapa Majlis Fatwa masih membisu? Adakah kerana yang mengeluarkan kenyataan itu orang UMNO maka tak perlu dikeluarkan fatwa walaupun ia terang-terang melibatkan soal iman. Dengan bala wabak H1N1 yang semakin membimbangkan ketika ini, masih ada lagi umat Islam yang sanggup mempermain-mainkan sunnah Nabi S.A.W. Apakah mereka memang berani mencabar hukum Allah dan sanggup berdepan dengan siksaan Allah samada di dunia juga di akhirat. Soalnya bukan mereka sanggup atau tidak tetapi apabila Allah menimpakan musibah atau bala kepada sesuatu Negara atau kaum itu, ia akan menimpa juga keatas semua umat di Negara itu samada yang beriman ataupun tidak. Adakah kita sanggup menghadapinya?

KITA SAMA-SAMA TUNGGU KENYATAAN MAJLIS FATWA

Sunday, August 23, 2009

Hebatnya Fitnah


Firman Allah yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beiman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. (Al-Hujuraat: 6)
Di dalam bulan yang penuh keberkatan ini umat Islam amat dituntut mengerjakan amalan-amalan yang boleh menambahkan pahala pekerjaan mereka seperti perbanyak membaca Al-Quran, menyuruh orang berbuat baik, mengajar ilmu-ilmu agama, bersedekah dan sebagainya. Namun sebaliknya dilakukan oleh para wartawan media cetak dan elekronik bukan pahala yang mereka inginkan tetapi dosa yang mereka cari-cari. Jika mereka membuat fitnah kepada orang lain kita tak akan ambil peduli kerana memang menjadi darah daging kebanyakan wartawan ini menyebarkan gossip dan fitnah tetapi apabila mereka membuat fitnah dan memutarbelitkan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sungguh amat-amat dikesali. Tiada langsung sekelumat rasa hormat dalam diri mereka kepada seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi, peribadi yang sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan Islam dan sentiasa menyebarkan ilmu-ilmu agama kepada umat Malaysia tetapi hanya untuk memenuhi kehendak nafsu syaitan pemimpin-pemimpin UMNO yang sentiasa bertopengkan Islam mereka sanggup mengadaikan maruah diri mereka dan etika kewartawanan mereka.

Dan kini terbukti segala yang mereka sebarkan didalam akhbar-akhbar dan media elektronik mereka ternyata terbukti jelas menyeleweng daripada kenyataan yang sebenarnya. Amat bersetuju sekali tindakan undang-undang dibuat terhadap media cetak dan elektronik ini sebagai satu pengajaran agar mereka lebih berhati-hati dalam membuat sebarang ulasan lebih-lebih lagi kenyataan yang melibatkan aqidah umat Islam. Jika tidak jelas seharus mereka mendapatkan penjelasan daripada orang yang mengeluarkan kenyataan tersebut. Namun dalam hal ini bukan tidak jelas tetapi sengaja memutarbelitkan kenyataan.

Dalam pada itu Majlis Fatwa juga harus memohon maaf kepada Tuan Guru Nik Aziz kerana mengeluarkan kenyataan hanya bersandarkan siaran di media cetak dan elekronik sahaja sebelum mendapatkan penjelasan sebenar daripada Tuan Guru Nik Aziz. Jika Majlis Fatwa tidak berbuat demikian dengan sendiri memperjelaskan bahawa mereka hanya sebagai suruhan kepada UMNO sahaja dan seterusnya menghilangkan kewibawaan Majlis Fatwa itu sendiri. Apakah wajar menjatuhkan fatwa dengan membaca keratan akhbar sahaja? Mengapa tergopoh-gopoh mengeluarkan kenyataan padahal sikap tergopoh-gopoh adalah penyakit rohani akibat daripada kelemahan iman, kelemahan jiwa dan tipu daya syaitan? Bertaubatlah dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Jangan dipisah-pisahkan antara Iman dan Islam, Iman dan amal dan bertawakkal kepada Allah bukan bergantung kepada manusia. Timbulkan rasa hormat kepada orang-orang alim dan berilmu agar kita juga sama-sama dapat manafaat dengan ilmu-ilmu mereka samada untuk kebahagian dunia dan akhirat.
Sama-sama kita tunggu Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa berhubung kenyataan Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin dengan kenyataan "Ini soal Politik, Bila politik dicampur aduk dengan agama - bahaya" (sila rujuk Bernama online, 20 Ogos 2009).

Rasanya memang wajar diboikot akhbar dan media elektronik ini sebagai pengajaran kepada mereka yang merasakan bahawa mereka boleh sewenang-wenangnya berbuat apa sahaja untuk menguntungkan syarikat mereka dan juga menurut segala nafsu pemimpin yang tiada pegangan hidup! Pemimpin-pemimpin hanya mencari agama bila perlu sahaja!

Saturday, August 22, 2009

Ambillah Peringatan Ini Jangan Tersilap Pilih

Apabila ulama dikuasai umarak berkacau bilau dan bercelarulah umat manusia. Setinggi gunung mana sekalipun ilmu ulama itu, melangit mana sekalipun pengajian ilmu agama ulama itu jika ilmu itu tidak digunakan untuk menyatakan kebenaran tentang ayat-ayat Allah, tentang syurga dan neraka, tentang azab kubur tetapi ilmu mereka hanya diguna untuk menurut kata-kata pemerintah atas dasar ketaatan kepada pemerintah yang membuta atau kerana kepentingan saku diri sendiri. Ulama-ulama begini akan wujud disetiap zaman dan sering menjadi penentang dan pembicara kepada pemerintah yang dasar pemerintahan mereka bukan berlandaskan kepada AL-Quran dan Hadith. Ulama-ulama begini tidak wajar diberi penghormatan walaupun mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa di dalam Negara kerana ulama-ulama beginilah yang disukai oleh penentang-penentang Islam atau pemerintah yang pura-pura dengan Islam. Ulasan mereka tentang sesuatu hukum lebih mirip kepada menyebelahi atau mengampu pemerintah bukan menyatakan dengan kebenaran kerana khuatir kedudukan mereka tergugat. Cuba kita perhatikan ulama-ulama disekeliling kita kebanyakannya memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan kehidupan mereka lebih mewah daripada rakyat kebanyakan jadi apakah yang dapat kita tafsirkan. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W sehingga wafat tidak meninggalkan sebarang harta padahal jika Nabi S.A.W berkehendak lebih banyak daripada itu boleh perolehi.

Oleh kerana itulah ulama-ulama sebegini tidak berani menyatakan kebenaran tentang ayat-ayat Allah dan hanya mengambil sebahagian ayat yang boleh digunakan untuk menyatakan dan memihak kepada pemerintah. Kalau kita nilai sendiri dinegara kita berapa ramai cerdik pandai yang mempunyai kelulusan agama menduduki jawatan tertinggi di Pusat Islam, JAKIM, Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya tetapi pernahkah kedengaran mereka mengajar majlis-majlis ilmu di masjid-majid, disurau-surau, menelaah kitab-kitab lama dihadapan para hadiran? Umumnya tidak ada, jika adapun dijemput dalam Forum Perdana (kononnya) yang dipertontonkan dikaca TV kerana apa? Jawapannya publisiti. Tidak menghairankanlah jika ulama-ulama begini sering mengunakan perkataan ajaib iaitu kita mesti lemah lembut. Inilah perkataan yang sangat gemar digunakan. Lemah lembut hanya untuk orang-orang yang baru ingin mengenali Islam tetapi apabila seseorang itu sudah menyatakan akujanji dengan kalimah Lailahaillallah MuhammadRasulullah maka tiada lemah lembut lagi kepada mereka kerana mereka harus akur dengan undang-undang yang Allah turunkan samada secara lembut ataupun tegas.

Ulama-ulama begini tidak berani berhadapan dengan ulama-ulama yang berpegang teguh pada Al-Quran dan Hadith dan sentiasa mengamalkannya dalam kehidupan mereka kerana ulama ini sedar akan kekurangan mereka. Mereka hanya merujuk kepada sumber yang tidak sahih seperti akhbar-akhbar dan dari penyampaian orang lain sedangkan cara ini belum tentu kesahihannya tetapi untuk kepentingan diri sendiri mereka harus memberi pendapat walaupun tidak tepat. Jadi kita tidak harus ragu-ragu untuk tidak memperdulikan ulama-ulama begini walaupun jawatan mereka dipanggil Mufti, Pengerusi Majlis Fatwa atau sebagainya.

Imam al-Ghazali ada menyebut tentang 3 jenis ulama’ iaitu :
1. Ulama’ yang membinasakan dirinya sendiri dan orang lain apabila ulama’ ini terang-terang mengejar dunia dan memusatkan segala perhatiannya kepada dunia
2. Ulama’ yang membahagiakan dirinya dan orang lain apabila mereka menjadi golongan yang mengajak manusia ke jalan Allah secara zahir dan batin
3. Ulama’ yang membinasakan dirinya dan membahagiakan orang lain apabila ulama’ ini mengajak orang lain ke jalan akhirat sehingga pada zahirnya dia seperti menolak dunia sedangkan batinnya timbul perasaan bahawa dia berbuat demikian untuk mempengaruhi orang ramai serta batinnya penuh dengan perasaan ingin memegah diri dan cinta kepada dunia.

Firman Allah Taala; “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualkannya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu tidak makan dalam perut mereka melainkan api, Dan Allah tidak akan berbicara dengan mereka pada hari kiamat, Dan (Allah) tidak akan menyucikan mereka, Dan bagi mereka seksaan yang amat pedih. Merekalah yang membeli kesesatan dengan petunjuk, dan (membeli) seksa dengan keampunan. Maka alangkah beraninya mereka menentang api neraka!” (Al-Baqarah: 174-175)

Saturday, August 15, 2009

Golongan Yang Harus Diperangi


Kenapa kita harus memperbesarkan isu apabila orang-orang bukan Islam mempertikaikan hukum Islam kerana sememang mereka tidak memahami ajaran Islam itu sendiri. Samada kita tidak memberi penerangan yang jelas kepada mereka ataupun kita tidak pernah memperjelaskan kepada mereka kerana tidak ada usaha-usaha dakwah kepada mereka. Sedangkan kita berdiam diri apabila orang-orang Islam yang mengaku beragama Islam, mengaku mendirikan solat, berpuasa, mengeluarkan zakat hatta sudah mengerjakan rukun Islam yang kelima iaitu haji tetapi menghina hukum Islam mereka sendiri secara terang-terangan. Dari kaedahnya, antara dua golongan ini yang mana satukah yang harus kita perangi? Bukan ingin menghukum tetapi selayaknya golongan kedua ini yang harus diperangi dahulu kerana mereka mengaku Islam tetapi menentang Islam. Golongan inilah yang dikatakan sebagai golongan munafik.

Di awal surah Al Baqarah, Allah SWT memperincikan ciri-ciri dan sifat golongan ini di dalam 13 ayat, iaitu ayat 8 sehingga ayat 20 (sila rujuk tafsir al-Quran). Manakala dalam surah An-Nisa Allah Taala berfirman yang bermaksud; "Dan apabila dikatakan kepada mereka,marilah kamu supaya berhukum kepada apa yang diturunkan oleh Allah (dalam Al Quran) dan kepada hukum-hukum yang dinyatakan oleh Rasul,nescaya engkau lihat golongan munafik itu menghalang engkau dengan halangan yang bersungguh-sungguh. Tetapi bilamana mereka ditimpa kemalangan disebabkan kesalahan mereka sendiri,mereka akan datang kepadamu,seraya bersumpah dengan nama Allah 'kami sekali-kali tidak menghendaki kejahatan, melainkan kebaikan dan perdamaian'." (An Nisa: 62)

Terdapat enam (6) ciri Munafiq I’tiqadi yang berlaku pada hari ini:
1. Mendustakan Rasulullah SAW seperti menolak Hadith secara total
2. Mendustakan sebahagian dari ajaran Nabi SAW
3. Benci kepada Nabi SAW
4. Benci dengan sebahagian dari ajaran Nabi SAW dan sunnah Nabi SAW
5. Gembira apabila melihat Islam dihina, ditekan, ditewaskan, dan sebagainya
6. Benci untuk menolong agama Islam

Sebagai golongan yang jahil dengan ilmu-ilmu agama kita seharusnya tidak mempersoalkan kenyataan yang dibuat Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berhubung dengan pertikaian orang bukan Islam tentang hukum Islam sebagaimana yang diperbesar-besarkan oleh media perdana yang sememangnya diketahui umum sentiasa memutar-belitkan kenyataan yang benar. Media-media inilah sentiasa menyebarkan berita-berita palsu dan memutarbelitkan kebenaran hingga umat Islam terkeliru dan menjadi kucar-kacir dan bilau. Kita harus ingat di akhir zaman ini akan ramai golongan ulama yang mementingkan dunia dan menjual ayat-ayat Allah daripada ulama yang berani menyatakan kebenaran. Jadi kita jangan terjerumus dan tertipu dengan ulama-ulama seperti ini.

Firman Allah Taala yang bermaksud; "Dan orang-orang munafik itu bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka dari golongan kamu,pada hal mereka bukan dari golongan kamu,tetapi mereka adalah kaum pengecut(tidak berani terus terang kekafiran mereka).Sekiranya mereka mendapat tempat perlindungan,atau gua-gua atau lubang-lubang dalam tanah,nescaya mereka akan melompat kedalamnya." (At Taubah: 56-57)

Taubat Dan Hijrah

Firman Allah Taala yang bermaksud; “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, dan janganlah kamu memalingkan pandangan kamu daripada mereka hanya kerana kamu mahukan kesenangan hidup di dunia, dan janganlah kamu mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah lakunya melampaui kebenaran.” (Al-Kahfi: 28)

Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan namun Allah Taala dengan RahmatNya sentiasa menerima taubat hamba-hambaNya yang ingin bertaubat. Selain daripada bertaubat kita dianjurkan berhijrah daripada kedudukan sekarang kepada kedudukan yang lebih baik dn bagi memastikan penghijrahan kita benar-benar berhasil hendaklah kita memastikan orang-orang yang berdamping atau bersama kita adalah orang-orang yang memberi kesan positif kepada penghijrahan kita. Persekitaran sekeliling kita sentiasa mempengaruhi perbuatan, amalan, tingkahlaku dan keputusan hati kita jika keimanan kita tidak kuat. Oleh kerana itu, dengan berdampingan dengan orang-orang yang sentiasa rapat dengan Allah secara tidak langsung ia akan dapat membantu kita dalam menjaga hati kita untuk benar-benar bertaubat. Orang-orang yang ikhlas ini akan sentiasa menegur, menasihat dan memberi ilmu yang manafaat kepada kita.

Perumpamaan yang dapat kita petikan di sini ialah umpama perbandingan si penjual minyak wangi dan si tukang pembuat besi. Jika kita merapati kepada si penjual minyak wangi walaupun kita tidak membeli minyak wangi jualannya tetapi setidak-tidaknya si penjual akan memberi kita merasai sedikit minyak wangian ke tangan kita ataupun setidak-tidakpun kita akan merasai bau keharuman minyak tersebut. Berbanding sebaliknya jika kita mendekatkan diri dengan si tukang besi kita dapat merasakan bahang kehangatan panas api mencairkan besi si tukang besi itu walaupun kita hanya melihatnya sahaja. Inilah perumpamaan jika berdampingan dengan orang-orang yang rapat dengan Allah seperti alim ulama, pejuang-pejuang Islam dan sebagainya dengan orang-orang yang sentiasa berjauhan dan melanggar perintah Allah seperti orang-orang yang melalaikan solat, banyak membuat maksiat dan kerosakan dan sebagainya.

Ambillah kesempatan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat dan nikmat ini untuk memperbaiki diri kita kepada insan yang lebih baik dan patuh kepada ajaran-ajaran Allah yang disampaikan melalui nabi Muhammad S.A.W. Dengan kedatangan ramadhan ini sewajarnya ia akan dapat memberi kekuatan kepada kita berhijrah menjadi insan yang sentiasa dekat kepada Allah, sentiasa mengingati Allah dalam apa keadaan sekalipun dan menjadi insan yang sama-sama berjuang untuk menegakkan hukum-hukum Allah di muka bumi ini.