Thursday, July 23, 2009

Musibah Dan Peringatan Allah


Kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak akan terlepas daripada menghadapi ujian daripada Allah Taala. Semua ujian ini adalah sebagai salah satu cara untuk Allah Taala menguji sejauh mana tahap keimanan seseorang hamba Allah dalam menghadapi ujian dan ia menentukan kedudukan keimanan hamba Allah itu. Ujian-ujian ini juga sebagai salah satu cara untuk Allah menghapuskan dosa-dosa dan memberi ganjaran pahala kepada hamba-hambaNya.

Firman Allah Taala yang bermaksud; “Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah antaranya yang lebih baik amalnya.” (Surah Al-Kahfi: 7)

Ujian dan kesulitan itu dapat memberi kesedaran dan pendedahan kepada hamba yang sedar tentang keperluan yang harus mereka pertingkatkan, amalan-amalan yang mereka harus perbanyakkan, keburukan-keburukan yang perlu mereka jauhi atau hindari dan sebagainya. Hamba-hamba Allah yang mempunyai kesedaran sentiasa melakukan muhasabah diri dan bertaubat kepada Allah akan kesilapan dan kesalahan yang telah mereka lakukan.

Allah akan menurunkan ujian-ujian kepada hamba-hambaNya dengan berbagai –bagai cara seperti kesakitan dengan penyakit, kehilangan harta benda atau orang yang disayangi, ujian dengan anak-anak atau keluarga, ujian dengan majikan dan sebagainya. Hamba yang beriman akan menghadapi ujian-ujian tersebut dengan kesabaran dan sentiasa berdoa dan bertawakkal kepada Allah serta menyerahkan diri segala urusan mereka kepada Allah. Hamba-hamba ini akan berusaha mendekatkan diri kepada Allah Taala dengan mengerjakan amalan-amalan yang baik dengan harapan mendapatkan keredaan daripada Allah dan memberi kekuatan dan meningkatkan keimanan mereka.

Sememang menjadi kelemahan manusia apabila ditimpa musibah atas diri mereka perasaan keluh kesah, kekecewaan, penyesalan dan sebagainya akan timbul dalam jiwa mereka. Oleh kerana itu sebagai hamba Allah kita digalakkan sentiasa memperbanyakkan berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah agar dalam keadaan kita ditimpa musibah tersebut kita semakin menghampirkan diri kita Allah dan terhindar daripada tindakan-tindakan yang tidak baik dan melampau batas kemanusiaan.

Firman Allah Taala yang bermaksud; “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka Jahannam dalan keadaan hina.” (Surah Ghafir: 60)

Setiap musibah dan dugaan yang Allah turunkan kepada kita adalah sebagai suatu peringatan kepada kita dan ia merupakan suatu rahmat daripada Allah kerana Allah masih menyayangi kita dan sentiasa memperingatkan kita apabila kita telah melakukan dosa agar kita berkesempatan untuk bertaubat kepadaNya sebelum kita dijemput kembali kepadaNya

“Ya Allah, Tiada Tuhan yang sebenar melainkan Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku, aku adalah hambaMu, dan aku berjanji mentaatiMu semampuku, aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan kelakuanku. Ku kembalikan kepadaMu segala nikmat yang Kau berikan dan aku kembali kepadaMu dengan dosa yang ku lakukan. Ampunilah aku, kerana tiada siapa yang dapat mengampuniku melainkan Engkau.”

Tuesday, July 7, 2009

Cara-Cara Memilih Sahabat


Di dalam memilih sahabat hendaklah diperhatikan syarat-syarat bersahabat. Maka janganlah bersahabat kecuali dengan orang yang layak untuk dijadikan sahabat. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W bersabda ertinya;
“Seseorang itu mengikut agama (cara hidup) sahabatnya, oleh kerana itu hendaklah seseorang kamu melihat terlebih dahulu siapakah yang patut dijadikan sahabat”

Maka apabila hendak mencari sahabat yang engkau dijadikan ia sebagai sahabat didalam menuntut ilmu dan didalam urusan agamamu dan duniamu maka hendaklah engkau tuntut daripadanya (pastikan pada dirinya) lima syarat;
1. Orang yang berakal
2. Orang yang baik akhlaknya
3. Orang yang soleh
4. Jangan bersahabat dengan orang yang tamak dunia
5. Orang yang benar
Berkata Syaidina Ali K.W. ertinya; “ Saudaramu yang sebenarnya ialah orang yang selalu menolongmu (diwaktu senang dan susah) dan ia sanggup berkorban kerana memberi manafaat kepadamu, dan ia sanggup memecahkan segala urusannya kerana menolong engkau dalam menghadapi segala bala’ dan ujian”.
Barangkali susah untuk mendapatkan orang yang memiliki kesemua sifay-sifat ini walaupun pada orang-orang yang duduk mengaji di surau-surau atau duduk beribadah di dalam masjid. Oleh itu tiada ada jalan lain bagimu kecuali engkau memilih antara dua jalan.
Pertama: Beruzlah iaitu mengasingkan diri daripada orang ramai kerana disitulah letaknya keselamatanmu.
Kedua: Bergaul dengan orang ramai mengikut kedudukan mereka masing-masing yang berdasarkan kepada tiga pembahagian.
1. Saudaramu untuk akhiratmu, maka janganlah engkau perhatikan daripadanya kecuali hal-hal agama
2. Saudaramu untuk duniamu, maka janganlah engkau perhatikan daripadanya kecuali hanya akhlak yang baik.
3. Saudaramu untuk kejinakan hatimu, maka janganlah engkau perhatikan daripadanya kecuali hanya keselamatanmu daripada kejahatannya, fitnahnya dan keburukannya.


(Sumber:Permulaan Jalan Hidayah karangan Imam Ghazali)