Tuesday, September 29, 2009

Berlalunya Ramadhan Munculnya Syawal


Ramadhan yang penuh keberkatan sudahpun meninggalkan kita dan kini umat Islam sedang bergembira menyambut Aidil Fitri sebagai tanda kemenangan menempuh dugaan menjalani iabdah puasa. Semoga amal ibadat kita dibulan Ramadhan diterima Allah Taala dan sebagai kebekalan kita di akhirat nanti bukan salah seorang dari hambaNya yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja malah mendapat kutukan daripada Allah Taala. Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah marilah kita sama-sama melanjutkan roh ramadhan dengan mengerjakan puasa sunat syawal.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Dan Batin

Wednesday, September 16, 2009

Jangan Jadi Seperti Mereka


Firman Allah Taala yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar (arak), berjudi, pemujaan berhala, tenung nasib adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan.” (Al-Maidah: 90)

Tidak terlintas bagaimana seorang yang mengaku Islam boleh dilantik sebagai Pengarah San Miguel Corp (SMC) syariakt pengeluar arak terbesar di Filipina inilah dia Mirzan Tun Mahathir (lihat Harakahdaily 13 Sep 2009). Hairan dan sungguh hairan orang UMNO ni. Suatu ketika war-warkan mereka perjuangkan Islam (Islam Hadhari?) tapi dalam masa yang sama menyokong perkara-perkara yang dilarang oleh Allah sepeti arak dan judi, jadi apakah sebenarnya yang mereka ingin lakukan. Sedar atau tidak sebenarnya mereka sendiri mempermainkan Islam dan hukum Allah. Padahal jelas dalam Al-Quran Allah melarang orang-orang yang beriman terlibat dengan apa jua yang berkaitan dengan arak. Jangan pula memberi alasan bawa dalam Al-Quran mereka tidak menjumpai perkataan Beer, Tiger, Guiness dan sebagainya sebagaimana alasan mereka berkaitan dengan judi. Jika ini juga alasan mereka dengan sendiri membuktikan bahawa mereka secara jelas mempermainkan Al-Quran dan Hadith.

Kemana pergi orang-orang yang kononnya memperjuangkan kesucian Islam dan sanggup berdemonstrasi tapi dalam hal ini mendiamkan diri dan tak berani memberi ulasan walaupun jelas bertentangan dengan Islam. Arak adalah ibu kepala kepada segala maksiat dan kemudharatan. Tidak cukup lagi kilang arak di Malaysia kini menjadi pengarah di luar Negara dan tidak hairan nanti diekspot ke Malaysia pula. Tidak cukupkah lagi masalah sosial di Negara ini dan ingin ditambah lagi masalah tersebut? Manusia-manusia ini hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan tidak memperdulikan masalah lain walaupun terpaksa mengadaikan maruah mereka dan bangsa mereka sendiri.

Cuba perhati dan fikirkan di Malaysia pula ahli lembaga Carlsberg Brewey Malaysia Berhad kilang arak terbesar Malaysia ialah Y.A.M. Tunku Naquiyuddin ibni Tuanku Ja’afar, Manakala tokoh korporat berkenaan pula ialah Jen.(B) Tan Sri Dato’ Mohd. Ghazali bin Dato’ Mohd. Seth (Bekas Jeneral Angkatan Tentera Malaysia) dan Tan Sri Datuk Asmat bin Kamaludin (Tokoh Koporat dan Pengarah Scomi Berhad). Apakah makna ini semua? Ingatlah wahai rakyat Malaysia, negara ini bukan Negara Islam sebenarnya kita telah diperbodohkan oleh pemimpin kita.

Hadis riwayat Iman Ahmad daripada Abi Umar, Sabda Rasulullah SAW maksudnya; “Telah dilaknat arak, peminumnya, pemberi minumannya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang memprosesnya dan pemakan harganya (wang hasil penjualan arak).”

Saturday, September 12, 2009

Sejauhmana Ramadhan Mentarbiyyah Diri Kita?


Firman Allah yang bermaksud; “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemulian. Dan tahukah kamu apakah malam kemulian itu? Malam kemulian itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Al-Qadr: 1-5)

Sedar atau tidak, Ramadhan kini sudah memasuki sepuluh terakhir fasa ketiga Ramadhan. Orang-orang yang beriman semakin meningkatkan amalan-amalan ibadah mereka kerana diwaktu inilah akan datang satu malam yang diberi kelebihan lebih baik amalan daripada seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar.

Dalam fasa ketiga ini seharusnya kita umat Islam memberi kelebihan kepada diri kita untuk menumpukan perhatian kepada beribadah kepada Allah dengan amalan-amalan seperti membaca Al-Quran, solat Tahjud, zikir, tasbih dan sebagainya. Masih ada lagi ruang untuk meningkatkan amalan-amalan kita walaupun kemungkinan kita terlalai pada awal Ramadhan tempoh hari. Pada fasa inilah kita luangkan dan melebihkan masa kita dengan amal-amal ibadah berbanding dengan perkerjaan kita yang lain lebih-lebih lagi jika dapat kita beriktiqaf di masjid atau musallah kerana disini kita dapat memberi tumpuan kepada amalan ibadah kita.

Amat malang sekali jika kita masih lagi berkejar-kejar dengan urusan dunia yang sentiasa tidak berkesudahan dan melalaikan. Jika selain dibulan Ramadhan kita leka dengan urusan kerja kita samada di pejabat, rumah atau tempat lain maka sewajarnya pada bulan yang penuh dengan kemuliaan ini kita meluangkan masa lebih kepada beribadah terutama di fasa yang ketiga ini. Tidak menjadi kesalahan untuk kita membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Aidil Fitri tetapi janganlah hingga kita leka hingga terabai dengan malam yang penuh keberkatan ini.

Umat Islam sering mengambil pendekatan yang salah antara Ramadhan dan Aidil Fitri kerana jika kita nilaikan kembali kebanyakan umat Islam lebih menumpukan sambutan Aidil Fitri melebihi Ramadhan. Belum memasuki Ramadhan lagi masing-masing sudah berkira-kira dengan Aidil Fitri, perhiasan apa yang perlu dibuat, kuih apa yang perlu dibeli tetapi amat kurang yang membuat persiapan untuk amalan apa yang hendak bulan Ramadhan, berapa banyak solat sunat hendak didirikan, berapa kali al-Quran hendak dibaca dan sebagainya. Ini ditambah lagi dengan hidangan-hidangan TV-TV dengan iklan-iklan promosi Aidil Fitri semakin merancakkan lagi tumpuan kepada menyambut Aidil Fitri. Pernah kita berkata “Sedihnya Ramadhan semakin dipenghujung” atau ”Ya Allah, banyak lagi amalan-amalanku yang tertinggal” tetapi kita sering berkata “Berapa hari lagi nak raya” atau “Seronoknya Ramadhan tinggal beberapa hari lagi”. Betapa nipisnya nilai Iman kita dan rendahnya ketaqwaan kita kepada Allah Taala hingga kita tidak terlintas di dalam jiwa kita ketinggian dan kemulian Ramadhan itu.

Ini menjelaskan betapa syaitan berjaya mendidik kita mengikuti langkah mereka dan mengajar nafsu menguasai diri kita walaupun di bulan Ramadhan syaitan-syaitan dipenjarakan namun atas didikan mereka selama sebelas bulan mereka berjaya mengekalkan manusia dengan pengaruh mereka. Tiada kesedihan dalam hati kita apabila Ramadhan meninggalkan kita, hanya kesedihan kerana ketiadaan orang-orang kita sayangi atau tidak dapat membeli baju baru atau jauh dirantau orang dan tidak lebih daripada itu.

Ramadhan seharusnya dijadikan sebagai madrasah tarbiyyyah bagi umat Islam untuk memperbaiki diri daripada buruk kepada baik, malas kepada rajin, pemarah kepada pemaaf dan sebagainya. Ramadhan mendidik manusia kepada ketaqwaan kepada Allah Taala. Tetapi kenapa manusia tidak berubah? Jawapannya ialah puasanya mereka di bulan Ramadhan hanya menahan lapar dan dahaga sahaja dan tidak lebih dari itu. Mereka tidak mengambil berat mengenai tarawikh, tahajjud, al-Quran dan jauh sekali Lailatul Qadar.


Firman Allah Taala yang bermaksud; “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya mentaati kesabaran.” (Al-Ashr: 1-3)

Kemiskinan, Zakat Dan Sedekah


Firman Allah Taala yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-yebutnya dan menyakiti (perasaan sipenerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang diatasnya ada tanah. Kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan. Dan Allah tindak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”. (Al-Baqarah: 264)

Ketika mengikuti rancangan Kasih Ramadhan melalui saluran OASIS ASTRO kita dipaparkan masih ramai umat Islam di Negara kita yang perlukan bantuan samada kewangan, tempat tinggal dan sebagainya. Masih ramai lagi yang dibelenggu kemiskinan bak pepatah melayu “kais pagi makan pagi kais petang makan petang”. Masih ada lagi masyarakat kita anak-anak mereka tidak mendapat pendidikan sempurna. Golongan ini perlu diambil perhatian agar mereka dapat merasai kehidupan yang lebih baik dan sempurna seperti orang lain. Persoalannya kenapa masih ada lagi golongan seperti ini walhal dalam Islam, umatnya digalakkan saling bantu membantu dan digalakkan memberi sedekah kepada golongan yang memerlukan. Tak semestinya sedekah itu dalam bentuk wang ringgit tetapi dalam bentuk material dan tenaga seperti membantu membina rumah, menyediakan tapak perniagaan, menyediakan pekerjaan dan sebagainya.

Selain daripada itu dalam Islam diwajibkan umat Islam menunaikan rukun Islam yang keempat iaitu zakat. Antara golongan yang layak menerima zakat ialah fakir miskin. Zakat adalah untuk membantu golongan-golongan ini membina kehidupan mereka lebih baik lagi namun begitu bila diperhatikan kenapa bantuan tersebut masih tidak dapat mencorak kehidupan mereka lebih baik lagi. Mungkin pendekatan yang diambil tidak dapat membantu dengan berkesan. Ada satu ungkapan yang boleh kita jadikan panduan iaitu “Beri mata pancing agar saya boleh dapat ikan lagi tapi jangan beri saya ikan kerana ia akan habis bila dimakan”. Kata-kata ini diluahkan oleh salah seorang daripada peserta yang dilawati di dalam program tersebut. Apakah maksud yang tersirat dengan ungkapan tersebut? Sebenarnya golongan ini bukan hanya memerlukan wang ringgit tetapi memerlukan sesuatu yang boleh digunakan untuk memberi jalan kepada mereka berikhtiar meneruskan kehidupan mereka. Contohnya, jika kita beri mereka modal dan tapak mereka akan dapat berniaga secara kecil-kecilan dan sedikit sebanyak boleh membantu mereka untuk menambahkan pendapatan mereka berbanding memberi makanan kepada mereka kerana akan habis akhirnya dan perlu meminta lagi selepas itu. Berkemungkinan dengan modal tersebut mereka boleh membina perniagaan yang lebih maju dan seterusnya merubah kehidupan mereka dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Dalam soal ini beberapa perkara perlu diambil perhatian;
1. Mengapa setelah disiarkan di media-media baru pihak yang berkenaan mengambil tindakan terhadap golongan ini? Apakah perlu publisiti untuk bertindak? Agak menghairankan dalam sesetengah rancangan ketika ditemubual, wakil rakyat di kawasan tersebut mengetahui kewujudan keluarga tersebut tetapi mengapa tidak bertindak? Hanya setelah tersiar di kaca TV baru tindakan diambil walhal menjadi kewajipan wakil-wakil rakyat ini menjaga kebajikan dan permasalahan rakyat di bawah pentabiran mereka.
2. Pusat Zakat harus mencari kaedah yang lebih baik dalam pengagihan wang-wang zakat agar golongan ini mendapat manafaat yang lebih bermakna.
3. Wang Zakat tidak hanya disimpan sahaja dengan alasan untuk pelaburan kerana wang zakat seharusnya diagih-agihkan kepada 8 asnaf ini kerana zakat adalah untuk membantu bukan untuk dilaburkan.


Apabila tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui adalah sebaik-baik sedekah. Fikir-fikirkanlah dengan sebaik-baiknya dan fikiran terbuka. Jangan hanya berbangga dengan jumlah kutipan yang banyak tetapi manafaat tidak sampai kepada yang berhak. Juga jangan cuba menipu rakyat bahawa Negara sudah maju dan rakyat sudah membangun tetapi hakikatnya masih ramai lagi rakyat merempat di Negara sendiri. Kemajuan tidak bermakna jika hanya setakat terbangunnya bangunan pencakar-pencakar langit tetapi masih ada lagi rakyat yang hidup dalam kemiskinan.

Manusia Yang Tidak Berakal


Apabila manusia hanya menurut nafsu, tidak menggunakan akal fikiran dengan waras dan tidak berilmu maka setiap tindakan mereka hanya melulu sahaja. Manusia yang mempunyai akal dan berilmu akan bertindak dengan merujuk kepada pertimbangan akal yang waras berbanding dengan mereka yang tidak berakal. Demonstrasi yang berlaku di Selangor baru-baru hanya didorong oleh nafsu manusia yang rakus dan membuta tuli sahaja. Islam tidak mengajar umatnya supaya menghina umat manusia yang lain, Islam tidak menyuruh umatnya menghina binatang dan makhluk yang lain kerana jika menghina umat dan makhluk yang lain, mereka juga pastinya akan menghina kita kembali.

Atas dasar apakah yang mendorong mereka mengarak kepala lembu sebagai menunjukkan bantahan? Perjuangan Islam? Perjuangan bangsa? Tidak mungkin kedua-duanya kerana apa bukti mereka memperjuangkan Islam jika selama ini mereka sering menghina dan mempermainkan hukum Islam. Juga apa bukti mereka mempertahankan bangsa jika selama ini mereka membelakang dan menghilangkan identiti bangsa mereka sendiri. Mereka adalah golongan-golongan yang terdesak, golongan yang ingin menarik perhatian dan pengaruh politik kotor mereka.

Menghairankan mengapa ketika mereka berkuasa dan memerintah tiada bantahan yang mereka timbulkan padahal pada waktu itu mereka berhak dan berkuasa untuk meluluskan atau membatalkan lebih-lebih lagi permohonan dan kelulusan tersebut oleh mereka sendiri. Kenapa baru sekarang melalak dan melolong terpinga-pinga membantah atas permohonan yang mereka sendiri luluskan? Memang dasar manusia munafik yang sentiasa mempunyai talam dua muka berpura-pura baik dihadapan tetapi rakus dan jijik dibelakang sentiasa mencari peluang menjatuhkan manusia yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan. Perjuangan seperti ini hanya pada nama sahaja dan tidak bertahan lama. Pudar bila kepentingan mereka dipenuhi dan tercapai walaupun tergadai agama dan bangsa mereka.

Usah sebut untuk memperjuangkan kesucian Islam jika amalan Islam pun tidak menentu, hidup penuh dengan rasuah dan mengamalkan politik kotor. Usah sebut memperjuangkan bangsa jika mereka juga yang menjual dan mengadaikan bangsa sendiri. Terlalu banyak bukti-bukti mereka mengadaikan bangsa mereka sendiri (Melayu) antaranya Isu Bahasa, Bank Bumiputra, tulisan jawi dan banyak lagi. Jika mereka benar-benar berjuang yang ikhlas berjuanglah untuk hidupkan semula tulisan jawi, kembalikan semula Bahasa Melayu pada tempatnya dan hidupkan semula Bank Bumiputra kepada bangsa Melayu. Jangan jadikan binatang sebagai tempat melepaskan nafsu amarah mereka kerana ia adalah makhluk Allah juga.

Namun jangan meletakkan harapan untuk mereka berbuat demikian kerana manusia-manusia ini hanya pandai bermain dengan slogan-slogan dan perjuangan mereka umpama pasang surut air laut. Lagak mereka seperti manusia yang tidak beriman dan bertindak mengikut selera nafsu mereka sahaja tanpa mengira dosa dan pahala.