Tuesday, October 21, 2008

Bersiap Sedia Dengan Kekuatan

Firman Allah Taala yang bermaksud; “ Hai orang-orang beriman, bersiap sedialah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!. Dan sesungguhnya di antara kamu ada yang sangat berlambat-lambat (ke medan pertempuran). Maka jika kamu ditimpa musibah ia berkata: “ sesungguhnya Tuhan telah menganugerahkan nikmat kepada aku kerana aku tidak ikut berperang bersama mereka”. Dan sungguh jika kamu beroleh kurnia (kemenangan) dari Allah tentulah dia mengatakan seolah-olah belum pernah ada hubungan kasih sayang antara kamu dengan dia: “Wahai, kiranya aku ada bersama-sama mereka, tentu aku mendapat kemenangan yang besar (pula)”. Kerana itu, hendaklah orang-orang kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat berperang di jalan Allah. Barang siapa yang berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka kelak akan kami berikan kepadanya pahala yang besar” (Surah An-Nissa’: 71-74)

Semua ahli Jamaah Islam harus mula digerakkan untuk meningkatkan kekuatan jamaah kerana berdasarkan suasana perkembangan politik di negara kita mutakahir ini ia memberi petunjuk bahawa tsunami perubahan politik akan melanda negara kita pada bila-bila masa sahaja. Oleh demikian setiap ahli Jamaah Islam wajib mempersiapkan diri masing-masing dalam menghadapi angin perubahan ini bagi mengimbangi dan menjadi altenatif utama kepada perubahan pemerintahan di negara Malaysia tercinta ini. Persediaan ini amat perlu bagi membuktikan bahawa Islam diturunkan ke muka bumi ini melalui Nabi Muhammad S.A.W adalah untuk kesejahteraan seluruh manusia kerana Islam itu adalah sejahtera. Dan membuktikan bahawa perjuangan kita selama ini adalah perjuangan untuk semua umat manusia di muka bumi Malaysia ini dan bukan untuk orang Melayu sahaja tapi untuk semua bangsa samada China, India, Siam, Kadazan dan lain-lain bangsa yang ada di negara ini. Setiap umat Islam hendaklah sentiasa bersiap sedia sebagaimana dengan firman Allah; “Hai orang-orang beriman, bersiap sedialah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!. (Surah An-Nissa’: 71)

Kekuatan umat Islam adalah terbina di atas 3 syarat. Tanpa salah satu daripada tiga syarat ini kekuatan mereka akan rapuh dan mudah dipecah belahkan oleh musuh-musuh Islam. Syarat-syaratnya ialah
1. Kekuatan Akidah. Ia merupakan kekuatan dalaman (kerohanian) kepada setiap umat Islam. Kekuatan ini tiada pada orang-orang bukan Islam dan dengan kekuatan Akidah umat Islam dapat bersatu dan bergerak di bawah satu matlamat dan kalimah iaitu semata-mata mendaulatkan kalimah Allah di muka bumi ini. Sebagaimana yang berlaku kepada umat Islam di dalam peperangan Badar dapat mengalahkan tentera musyirikin yang berjumlah 1,000 orang walaupun kekuatan umat Islam hanya 300 orang sahaja tetapi demi menegakkan kalimah tauhid dan cintanya mereka kepada Rasulullah S.A.W mereka akhirnya berjaya mengalahkan kaum musyirikin. Ini menjelaskan bahawa manusia menjadi kuat bila mereka mendapat kebenaran dan dengan kebenaran ini menjadi hujjah dan asas untuk mereka melawan kekufuran.

2. Kekuatan Kesatuan (Jamaah). Mengambil contoh peperangan Badar tadi, jika umat Islam mempunyai kekuatan akidah dalam diri mereka tetapi hanya memikirkan diri sendiri sahaja dan tidak memperdulikan orang lain (individualistik) masih belum dapat lagi mencapai kemenangan seperti di dalam peperangan tersebut dalam erti kata lain umat Islam hanya menumpukan menguatkan akidah di atas sejadah sahaja dan tidak memikirkan maslahah umat yang lain. Tetapi dengan berpegangan atas kesatuan ummah dan bersatu dalam satu jamaah serta meningkatkan perhubungan sesama mukmin maka kekuatan ini akan terbina dan akhirnya memberi kejayaan kepada umat Islam. Begitu juga umat Islam jangan bergantung kepada seseorang tetapi bergantung sepenuhnya kepada Allah kerana dengan kebergantungan kepada individu kekuatan dan semangat juang akan hilang tanpa individu tersebut di sisi. Contohnya, kita perlu memperbetulkan anggapan sesetengah kalangan orang bahawa kekuatan PAS adalah pada ketokohan Tuan Guru Nik Aziz. Jika kita berjuang kerana Tuan Guru Nik Aziz, maka kita silap dan perlu segera diperbetulkan. Kekuatan PAS adalah pada perjuangan akidah dan mentauhidkan kalimah Allah berlandas dan berpegang kepada Al-Quran dan Hadith. Tuan Guru Nik Aziz hanya sebagai pencetus dan penterjemah kepada perjuangan PAS.

3. Kekuatan Jihad Fi Sabilillah. Inilah kemuncak perjuangan umat Islam dan umat Islam harus menanam cita-cita dan semangat untuk berjihad Fi Sabilillah. Jihad dalam berbagai bentuk bukan hanya dengan mengangkat senjata tapi dalam berbagai bentuk samada harta, ilmu dan sebagainya. Orang yang berjihad di jalan Allah sanggup mengorbankan dan menyumbang harta benda mereka demi perjuangan Islam. Manakala orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu menyumbangkan ilmu mereka untuk pembangunan dan kemajuan menegakkan Islam tanpa sebarang imbuhan. Namun begitu jihad yang paling besar ialah jihad melawan hawa nafsu kerana apabila nafsu dapat dikalahkan dengan sendiri umat Islam akan dapat membina kekuatan dalaman (kerohanian) dan luaran. Apabila setiap ahli jamaah dapat melengkapkan diri dengan ketiga-tiga syarat tersebut, insyallah Syariah Islam akan tertegak di bumi Malaysia kita ini. Amin.

Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya; “Siapa yang berperang agar kalimah Allah menjadi tinggi, maka ia berperang di jalan Allah”. (HR Bukhari dan Muslim)

Saturday, October 18, 2008

Siapa Sebenarnya Pengganas


Firman Allah Taala yang bermaksud;‘Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.“ (al-Maaidah: 51)

Apabila Amerika melebalkan bahawa Osama bin Laden, Al-Qaeda, JIM, Abu Sayyaf dan lain-lain gerakan atau pertubuhan pembebasan sebagai pengganas maka negara-negara lain pun akur dengan penglebalan ciptaan Amerika ini terutama sekali negara-negara yang berada di bawah telunjuk negara Amerika dan tak terkecuali juga negara-negara yang bersekutu dan ingin mengambil hati negara pengaruh Yahudi ini. Malaysia tak ketinggalan juga sebagai penyumbang sokongan kepada negara Amerika ini sehingga pada satu tahap sanggup mengadai Sekolah Rendah Agama (SRA) hanya untuk membuktikan bahawa Malaysia juga bukan negara yang melatih pengganas. Disebabkan Amerika melabelkan bahwa sekolah-sekolah Agama Rakyat dan pusat pengajian pondok melatih pelajar-pelajarnya sebagai radikal Islam dan melahirkan gerila-gerila pengganas maka Malaysia sanggup akur dengan desakan Amerika ini dengan menghentikan bantuan kewangan perkapita kepada sekolah-sekolah ini dan berselindung dengan alasan lain untuk membenarkan tindakan mereka. Kita akui bahawa sekolah-sekolah ini telah melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai pegangan dan kekuatan yang kuat pada agama sehingga dapat membezakan antara perjuangan yang berlandaskan kebangsaan dan tauhid pengabdian kepada Allah. Dengan pegangan akidah yang kuat dan ilmu agama yang sempurna sememang menyukarkan kerajaan yang mengamalkan sistem pemerintahan sekular ini mempengaruhi mereka untuk memberikan sokongan. Dengan desakan dan keperluan pemimpin negara, mereka akur dan menurut kehendak Amerika dan akhirnya anak-anak kita menjadi mangsa tindakan tak keperimanusian mereka.

Hakikatnya kita tidak seharusnya menurut kehendak negara Amerika laknatullah ini atau kerajaan kita sebenarnya sekadar mengambil kesempatan untuk mengkongkong atau mengawal atau menyekat ataupun sehabis mungkin menghapuskan SRA ini disebabkan kader-kader keluaran sekolah-sekolah ini tidak menyebelahi mereka dan menggunakan alasan pengganas bagi menghalalkan tindakan ‘bertanggungjawab’ mereka. Mereka bertindak mengikut nafsu dan akal bukan menurut keimanan dan memalingkan muka mereka daripada kehendak umat-umat yang memerlukan dan kehausan dengan ilmu agama. Namun begitu mereka harus sedar bahawa semakin mereka menindas SRA ini semakin bertambah kebencian mangsa-mangsa ini terhadap mereka.

Tidak sedarkah pemimpin negara kita bahawa kepada Amerika semua yang melibatkan Islam merupakan ancaman dan fobia kepada mereka. Sedarkah kita bahawa Amerika akan memberi sokongan dan menerima Islam sekira pentafsiran Islam yang dibawa adalah atas telunjuk dan kehendak mereka. Oleh itu jangan mudah dipengaruhi dengan pengiktirafan tinggi yang diberi oleh Amerika kerana kebarangkalian Islam yang dilaksana sebenarnya bukan Islam yang sebenar tapi hanya topeng-topeng sahaja laksana seorang munafik. Kita harus sedar dan sentiasa berwaspada siapa dia negara yang bernama Amerika ini. Tulang belakang yang menerajui dan mastermind pentadbiran Amerika ialah Yahudi. Sesungguhnya Yahudi selama-lamanya hingga akhirat akan memusuhi Islam dan sentiasa mencari jalan untuk menyekat, menindas dan menghapuskan Islam di muka bumi ini.

Firman Allah Taala yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya” (Ali-Imran: 116)

Wednesday, October 15, 2008

Amanah Dan Pemimpin


Bergegarlah seluruh artis-artis Malaysia apabila ‘teman’ mereka yang sangat popular di Bollywood menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri Melaka sempena harijadi ke-70. Maka terkeluarlah berbagai-bagai rasa ketidakpuasan hati masing-masing berkenaan anugerah tersebut dan Ketua Menteri kesayangan rakyat Negeri Melaka pun memberi jawapan akan rasionalnya anugerah tersebut terhadap pembangunan pelancongan Negeri Melaka umpama berbalas pantun kedua-duanya.

Di sini bukan ingin mempertikaikan anugerah tersebut tetapi memperjelaskan dan menekankan bahawa itulah gambaran akan kebodohan dan kejahilan pemimpin-pemimpin kita dalam menentukan hala tuju Negara ini sehinggakan di dalam benak fikiran dan sanubari mereka hanya tergambar kepada keseronokan dan hiburan semata-mata (dan materialistik dunia). Ini menjelaskan bahawa bagaimanakah seorang pemimpin seperti ini akan membawa rakyat kepada ajaran Islam yang sebenar dan mengingatkan akhirat dunia yang kekal abadi. Inilah terjemahan akan Islam Hadhari yang diingini oleh mereka dan Islam Hadhari itu sendiri tiada mempunyai roh keimanan yang menjadi kekuatan kepadanya. Hancur dan kucar-kacir masyarakat kerana punyai pemimpin yang punyai hati beku, sentiasa menuruti kehendak hawa nafsu, tamak dengan hal-hal keduniaan dan lupa dengan Negara Akhirat.

Sabda Rasullullah yang bermaksud; “Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah saat (kehancurannya). Para sahabat bertanya: “Bagaimana menyia-yiakan amanah itu?” Rasullullah S.A.W menjawab: “Apabila suatu perkerjaan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat (kehancurannya)”. (Diriwayatkan oleh Bukhari)

Di antara perkara yang ditemui oleh Rasullullah ketika Israk ialah baginda melihat suatu perilaku yang aneh dimana seorang yang membawa seikat kayu tapi dia tidak berdaya mengangkatnya namun bebannya ditambahnya lagi. Ia adalah perumpamaan mengenai seseorang yang diberi amanah tetapi tidak dapat menyelesaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada namun masih sanggup menerima amanah tersebut. Pemimpin bukan hanya memegang amanah terhadap membangunkan negeri atau Negaranya dengan kemajuan dan pembangunan tetapi lebih besar lagi daripada itu iaitu amanah menjaga agama Islam agar terpelihara dan meningkatkan syiar Islam di muka bumi. Jikalau di dalam benak kehidupan pemimpin itu tidak terlintas langsung untuk menegakkan hukum Allah di muka bumi ini mana mungkin ia akan menjalankan amanah Allah terhadap maslahah-maslahah umat.

Kedua-dua mereka iatu artis dan pemimpin ini tiada bezanya. Masing-masing dengan nafsu dan kehendak diri masing-masing. Hiburan dan hiburan dan hiburan. Antara tanda-tanda hampirnya hari Khiamat ialah artis-artis disanjung dan dipuja-puja dan tanda-tanda ini sudahpun berlaku dengan begitu banyak sekali di zaman mutakakhir ini. Apakah kita tidak mahu mengambil pengajaran daripadanya?

Sunday, October 12, 2008

Perjuangan Tanpa Makna

Firman Allah yang bermaksud; “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Surah al-Hujuraat: 13)

“ Ketuanan Melayu mesti dipertahankan! Orang melayu mesti dibela! Maruah bangsa Melayu jangan dicabar! “ Demikianlah laungan dari mulut pejuang-pejuang ketuanan melayu ini dan sekian kali laungan di suarakan sehingga hampir mencabar dan kebiasaannya terus mencabar bangsa lain dengan cabaran yang boleh mencetuskan pertembungan dan konflik antara bangsa-bangsa tersebut. Kenapa harus begini sikap mereka? Apakah benar-benar mereka memperjuangkan bangsa Melayu? Apakah benar mereka mempertabatkan bangsa Melayu?. Jika dilihat kepada kedudukan Melayu itu sendiri mutakakhir ini sebenarnya perjuangan mereka hanya laungan sahaja dan bukan untuk bangsa melayu tetapi untuk diri sendiri. Jika benar mereka memperjuangkan bangsa Melayu ke mana hilangnya bank kebanggaan orang Melayu? Di mana kedudukan bahasa Melayu? Dan banyak lagi hasil perjuangan tokoh-tokoh pejuang dahulu yang entah hilang di mana hasil kerja perjuangan pejuang-pejuang melayu sekarang. Antara contohnya ialah satu, Bank Bumiputra. Jika diimbas kembali hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputra pada tahun 1965 maka tertubuhlah Bank Bumiputra bagi menjana modal untuk membantu kaum bumiputra khusus orang-orang melayu yang pada ketika itu melakukan berbagai-bagai kegiatan ekonomi dan industri. Juga untuk mengimbangi kedudukan ekonomi Bumiputra dan bukan Bumiputra pada ketika itu. Tapi setelah hampir 34 tahun menghadapi perbagai rintangan, kejayaan dan sumbangan besar kepada perindutrian dan ekonomi bangsa melayu Bank Bumiputra kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah sahaja hasil daripada pengabungan dengan Bank Of Commerce. Walaupun dengan beralasan untuk memperkukuhkan khidmat bank tetapi kenapa harus dikorbankan Bank Bumiputra kerana hasil gabungan tersebut wujudnya Bumiputra-Commerce dan kini CIMB Bank. Kenapa bukan Bank Bumiputra yang mengambilalih bank-bank tersebut? Walhal ramai kakitangan yang berkalibar dan professional di dalam bank tersebut yang mampu mentadbir dan menjalankan perniagaaan bank tersebut. Kenapa dalam soal ini orang-orang UMNO tidak berjuang mempertahankan bank tersebut? Kalau ditinjau, kesannya kepada bangsa Melayu amat besar sekali terutama kakitangan-kakitangan Melayu pada ketika itu dan sekarang walaupun Pengerusinya berbangsa Melayu tetapi jiwanya berbangsa lain.

Dua, kedudukan Bahasa Melayu umpama bahasa kelas kedua walaupun majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu. Orang-orang melayu sendiri kadang-kadang malu untuk bertutur dengan bahasa ibunda mereka maka bagaimana harus kita mahukan bangsa lain untuk bertutur dengan bahasa Melayu? Ditambah dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains di sekolah-sekolah dan ia menambah kedudukan anak-anak melayu dalam pelajaran bertambah parah lagi. Dimanakah pejuang-pejuang bangsa melayu tadi? Mereka juga bersungguh-sungguh menyokong pemimpin mereka dengan alasan demi kemajuan. Bangsa Jepun hanya menggunakan bahasa ibunda mereka sahaja tapi lebih maju kehadapan, orang Korea dan orang China pun begitu juga tapi mereka sering maju kehadapan daripada bangsa dan negara lain hatta Negara China berjaya menghantar rakyat dan roketnya ke angkasa lepas dan bukan sebagai penumpang sahaja walaupun bukan berbahasa Inggeris. Kemajuan dan pembangunan bukan terletak kepada bahasa tetapi kemahuan dan usaha bangsa itu sendiri. Mengadaikan bahasa untuk kemajuan adalah kebodohan pemimpin melayu dan mereka telah menghilangkan identiti bangsa Melayu sedikit demi sedikit.
Ketiga, Siapakah yang menghapuskan tulisan jawi? Penghapusan tulisan jawi meninggalkan kesan jangka panjang kepada orang Melayu kerana asas kemahiran membaca al-Quran ialah mahir membaca tulisan jawi. Berapa ramai anak-anak Melayu sekarang ini yang boleh dan mahir membaca tulisan jawi? Sedih dan kecewa sekali jawapannya tetapi mengapa orang-orang yang mendabik diri mereka memperjuangkan hak orang Melayu tidak menperjuang dan mempertahankannya. Inilah kejahilan mereka sebenarnya.Tiga contoh di atas hanya sebahagian sahaja contoh yang memperlihatkan bahawa perjuangan yang dilaung-laungkan tidak memberi sebarang makna pun pada bangsa itu sendiri.

Siapa sebenarnya yang menindas bangsa Melayu? Adakah bangsa China atau India atau orang asli? Kalau nak dikatakan bangsa China atau India adalah tidak logik dan munasabah kerana semenjak 50 tahun selepas merdeka, Negara kita ditabdir oleh bangsa Melayu dan kesemua Perdana Menteri Malaysia adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Jawapannya ada pada anda sendiri!

Orang-orang yang kononnya memperjuangkan ketuanan bangsa Melayu sebenarnya mereka sendiri tidak faham apakah sebenarnya perjuangan mereka, kemanakah perjuangan mereka dan mereka berjuang hanya menuruti pemimpin-pemimpin mereka yang bertopengkan bangsa untuk kepentingan diri mereka sendiri. Mereka sebenarnya merosak dan menghancurkan bangsa mereka sendiri. Tinggalkanlah perjuangan kebangsaan yang tidak membawa manafaat ini. Allah mencipta manusia berbilang bangsa adalah untuk mereka berkenal-kenalan dan berkasih sayang bukan untuk menuntut perjuangan bangsa. Perjuangan yang sebenar ialah perjuangan menegakkan kalimah Allah dimuka bumi ini kerana ia akan berterusan sehingga hari kiamat. Sesungguhnya Islam adalah untuk semua makhluk di alam semesta ini samada manusia ataupun makhluk-makhluk lain di muka bumi ini. Bangsa atau kaum hanya sementara sahaja di dunia ini tidak ada sebarang makna di sisi Allah kecuali orang-orang yang bertaqwa.

Saturday, October 11, 2008

Jatuhnya Sebuah Pemerintahan


Firman Allah yang bermaksud; “Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: “ Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihat(nya)? Bukankah aku lebih baik dari orang yang hina dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)?” (Surah Az Zukhruf: 52-53)
Sejarah telah membukti bahawa kejatuhan sesebuah kerajaan yang besar adalah akibat daripada jauhnya pemerintah dan umat pada waktu itu daripada syariat Allah, kezaliman berleluasa (oleh pemimpin), pemerintah hanya mengejar kebendaan dan sebagainya sebagaimana jatuhnya Kerajaan Abassiyah dan Kerajaan Uthmaniah dan lenyapnya pemerintahan khalifiyyah. Hatta, kerajaan komunis juga jatuh hanya kerana wujudnya kezaliman pemerintahan dan penindasan terhadap rakyat jelata sehingga rakyat bangkit memberontak menuntut keadilan seperti lenyapnya kerajaan Soviet Union.

Pemerintah yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat seharusnya mengambil ikhtibar daripada sejarah tersebut bagi mewujudkan sebuah pemerintahan yang adil dan bersumberkan Al-Quran dan Hadith. Kalau kita imbas kembali kekuatan umat ketika zaman kegemilangan pemerintahan Islam adalah disebabkan wujudnya hanya seorang Khalifah yang memerintah di dalam sebuah kerajaan Islam terutama semasa tertegaknya Kerajaan Islam di Kota Madinah dibawah pimpinan Rasulullah S.A.W dan juga ketika di zaman Khalifah Syaidina Abu Bakar, Syaidina Othman, Syaidina Umar, Syaidina Ali dan sebagainya. Diwaktu itu umat Islam bersatu di bawah satu kekuatan dan perintah iaitu seorang Khalifah dan setiap arahan dan perintah dapat dilaksanakan tanpa wujudnya percanggahan dan perselisihan pendapat dan bantahan. Lahirnya kekuatan Khalifah ketika itu adalah atas kekuatan keimanan dan pengabdian kepada Allah semata-mata tanpa memperdulikan kemewahan keduniaan contoh yang jelas ialah Nabi Muhammad S.A.W. Ketika wafatnya Rasulullah tiada sebarang harta peninggalan baginda hanya yang ditinggalkan ialah Hadith dan Sunnah baginda yang sehingga kini menjadi panduan dan ikutan umat sehingga kini. Begitu juga dengan Syaidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali yang kenali juga sebagai Zaman Khalifah Harun Al-Rasyiddin.

Berbanding dengan pemerintah atau ketua-ketua Negara di zaman ini samada ia dipanggil Perdana Menteri, Presiden, Sultan atau apa pun panggilan sekalipun pemerintahan mereka tidak berpaksi kepada Al-Quran dan Hadith tetapi berpaksi kepada kemewahan kebendaan dan keduniaan semata-mata walaupun mereka sendiri menggaku bahawa mereka beragama Islam. Jika benar pengakuan mereka bahawa mereka memerintah dan mengistiharkan bahawa Negara pimpinan mereka adalah Negara Islam namun tiada satu pun dalam rang undang-undang kenegaraan mereka mengikut syariat Islam. Dalam pada itu mengambil kesempatan sebagai pentabdir untuk mengumpul sebanyak mungkin harta dan kemewahan untuk diri sendiri dan ahli keluarga. Walhal dalam masa yang sama rakyat jelata hidup dalam serba kekurangan dan tanpa pembelaan yang sewajar. Terlalu banyak contoh-contoh pemimpin seperti ini di zaman mukhakhir ini sehinggakan teguran dianggap sebagai ancaman Negara walhal ia bersifat peribadi lantaran mengakibatkan orang yang berani menegur dilabelkan sebagai pengkianat Negara dan tidak patuh kepada pemimpin dan menjadi mangsa tindakan rakus pemimpin itu sendiri.
Di zaman ini tiada contoh pemimpin Negara yang hidup serba sederhana dan sanggup berkorban untuk rakyat dan memperjuangkan syariat Islam dengan kesungguhan dan keikhlasan tapi Cuma yang ada pemimpin Negara yang punyai rumah tersergam bak istana, dikelilingi pengawal peribadi yang penuh lagak, kereta besar dengan kemegahan dan lain-lain kehebatan yang ada. Mereka berbangga bahawa segala pembangunan yang dicapai adalah hasil daripada usaha tangan mereka dan melahirkan kebongkakkan dan kesombongan dalam diri mereka bahawa hanya mereka sahaja yang layak mentadbir dan boleh mencapai kemajuan Negara ini. Pemimpin begini perlu sedar bahwa ada yang lebih Maha Kuasa lagi yang mampu menenggelamkan mereka seperti Firaun tenggalam di dasar lautan Nil, melenyapkan Qarun dengan harta-hartanya ke perut bumi dan sebagainya. Akan tiba masanya mereka akan dihina oleh Allah jika tidak di dunia sudah pastinya di Akhirat nanti. Oleh demikian mereka harus sedar dan memperbetulkan diri mereka dan sebaik-baik menyerahkan pimpinan Negara kepada seorang insan yang benar-benar memperhambakan diri mereka kepada Allah Taala sekurng-kurangnya hampir menyamai pimpinan Khalifah-khalifah Harun Al-Rasyiddin. Kita harus kembali semula kepada pemerintahan Khalifah di mana hanya satu amirr dalam Negara Islam dan dengan cara ini umat Islam akan bersatu di bawah satu payung, satu kekuatan dan satu kalimah.
Firman Allah: “Maka takkala Kami murka, Kami menghukum mereka lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (di laut). Dan Kami jadikan mereka sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang kemudian.” (Surah Az Zukhruf: 55-56)
_______________________________________
Foto di atas adalah salah satu pandangan sungai Nil

Monday, October 6, 2008

Kesan Ramadhan Pada Orang-Orang Mukmin


Ramadhan yang penuh keberkatan dan kerahmatan telah pun berlalu, berakhirnya bulan yang diberikan ganjaran pahala seribu bulan dan hari ini umat Islam meraikan kesempurnaan menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadhan ini dengan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Kesempurnaan dan kesan dari hasil tarbiyyah bulan Ramadhan ini akan dapat dilihat dan diterjemahkan selepas sempurnanya ibadah puasa ini dengan melihat perubahan-perubahan dan kesinambungan amalan-amalan yang dikerjakan dalam bulan Ramadhan di bulan-bulan lain dalam kehidupan umat Islam itu sendiri. Umpama pelajar memasuki universiti diberikan pendidikan berbagai-bagai ilmu dan praktikal kemudian menduduki peperiksaan untuk menentukan tahap pencapaian pelajar tersebut. Sekiranya pelajar tersebut berjaya di dalam peperiksaan tersebut beliau akan mendapat pengiktirafan dan sijil dan di dunia luar dia akan mendapat pekerjaan yang baik dan kedudukan yang tinggi. Maka begitu jua dengan Ramadhan, ibadah yang benar-benar diterima oleh Allah akan dijelmakan selepas berakhirnya Ramadhan itu sendiri. Sekiranya dalam bulan Ramadhan solat-solat sunat banyak dilakukan hasilnya selepas Ramadhan seseorang itu akan mengekalkan ibadah sunat tersebut, sekiranya banyak memaafkan sesame insan selepas Ramadhan akan menjadi seorang yang pemaaf, sekiranya banyak sedekah maka selepas Ramadhan akan menjadi seorang insan yang pemurah dan sebagainya. Disinilah gambaran keikhlasan ibadah puasa seseorang akan terserlah.

Orang yang benar beriman akan mengiringi pemergian Ramadhan tahun ini dengan tangisan kerana mereka merasakan belum tentu dipertemukan lagi bulan yang penuh ganjaran dan keberkatan ini ditahun hadapan dan menyambut Aidil Fitri dengan kesyukuran kerana dapat menyempurnakan ibadah puasa pada tahun ini. Kerinduan mereka pada Ramadhan diterjemahkan dengan melakukan pula puasa sunat enam hari dalam bulan Aidil Fitri pula. Begitulah jika seseorang itu benar-benar merasai dan menjiwai puasa itu dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Taala. Sentiasa menghindari perkara-perkara maksiat ketika sambutan Aidil Fitri, sentiasa memperbanyakkan bertasbih, tahmid dan takbir dan menziarah sanak-saudara dan bermaaf-maafan. Dari itu marilah kita sama-sama mengekalkan roh Ramadhan dibulan-bulan lain dan menghayati Aidil Fitri dengan keimanan.
__________________________________________________
Penulis mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin

Sunday, September 28, 2008

Rayuan Akhir Ramadhan

Dikala kanak-kanak lain gembira bersama-sama ibu bapa mereka melakukan ibadah puasa dan tidak lama lagi Aidil Fitri namun bagi anak-anak mangsa ISA terpaksa menghadapi hari-hari mereka tanpa bapa mereka dengan penuh kesayuan dan kesedihan. Tiada dakapan dan belian ayah di sisi mereka sambil memandang rakan-rakan sebaya mereka ketawa ria bersama ayah mereka diwaktu berbuka dan bersahur. Dipisahkan daripada ayah mereka sehingga entah bila tanpa noktah yang ada, tanpa bicara untuk mereka dan tiada hukuman yang menjelaskan kesalahan mereka.

Anak-anak kecil ini tertanya-tanya dimanakah ayah mereka, anak-anak yang sudah mengerti tertanya-tanya apakah kesalahan ayah mereka. Apakah ayah mereka pengganas Negara, pengkhianat Negara atau ayah mereka merosakkan agama. Sudah tentu tidak! Yang pasti mereka tahu ayah mereka adalah pejuang Agama, menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Tapi masih tertanya-tanya dibenak hati mereka kenapa ayah mereka yang dipisahkan tanpa bicara walhal penjenayah-penjenayah lain ditangkap, dibicara dan dihukum (sudah tentu pasti tetap hari pembebasan mereka). Dalam Islam hanya mereka yang murtad sahaja dikurung tetapi hanya untuk ditarbiyyah semula dan ada waktu yang ditetapkan sekiranya tidak mahu bertaubat hukuman akan dijalankan tetapi bukan mangsa ini.

Bila kita melihat anak-anak ini tanpa belaian ayah mereka disisi, mata mereka merenung jauh entah kemana agaknya terbayang sekira anak-anak kita tanpa kita disisi. Bagaimana makan minum mereka, kehidupan mereka dan bagaimana isteri kita menghadapi kehidupannya tanpa seorang suami disisi membantu. Di mana dan bagaimana mencari nafkah hidup untuk meneruskan kehidupan ini dan menghadapi pandangan masyarakat terhadap keluarga mereka. Mereka bukan penjenayah tapi inilah hakikat yang mereka terpaksa hadapi kerana kebenaran. Jika punyai kekuatan rohani dan mental mereka akan dapat menghadapi cubaan ini dengan kesabaran dan setia tapi sebaliknya isteri membawa haluan masing-masing. Siapa nak dipersalahkan?

Renungkan mata-mata anak-anak kita ketika mereka tidur. Bayangkan kita tiada bersama mereka bagaimanakah kehidupan mereka? Ketika menyambut Aidil Fitri tidak dapat mencium tangan kita memohon maaf. Sanggupkah kita? Jika kita tidak sanggup, maka adakah kita sanggup melakukan terhadap orang lain? Demikian itu marilah kita sama-sama membantu keluarga-keluarga ISA ini demi satu perjuangan. Pastinya suatu hari nanti anak-anak ini akan bangkit menentang kezaliman ini.

Wednesday, September 24, 2008

Al-Quran Sebagai Panduan Manusia

Firman Allah Taala yang bermaksud; “Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada petala langit dan bumi serta gunung-gunung, maka kesemuanya telah enggan memikulnya dan takut kepadanya, sedang manusia mahu memikulnya, sesungguhnya manusia itu menganiaya dirinya (tidak jujur) dan amat bodohnya”. (Surah al-Ahzab: 72)
Daripada Luh Mahfuz dan dibawa ke langit dunia iaitu Baitul Izza kemudian diturunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W secara peringkat-pringkat bermula pada 17 Ramadhan untuk paduan kepada seluruh umat manusia dan rahmat kepada seluruh alam. Betapa hebat dan besarnya kalimah al-quran itu sehingga ia diturunkan kepada Baginda secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun di mana 10 tahun diturunkan di Mekah dan 13 tahun di Madinah.
Al-Quran diturunkan bagi menghuraikan masalah dunia dan mengadakan penawar untuk menghuraikan masalah tersebut. Allah Taala yang mencipta manusia dan segala makhluk di dunia ini, maka Allah juga yang mengetahui masalah-masalah manusia. Maka diturunkan Al-Quran sebagai panduan dan peraturan hidup dari semua sudut kehidupan manusia sehinggakan memberitau cara-cara mengajar manusia mengenal benda-benda sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud;

“Dan Tuhan mengajarkan Adam nama-nama kesemuanya”. (Surah al-Baqarah: 31)
Kesusahan Nabi Muhammad menanggung dalam menerima Al-Quran ini harus dibalas oleh umatnya dengan melakukan perkara-perkara berikut.

1. Percaya kepada Al-Quran (merupakan salah satu rukun Iman)
2. Sentiasa membaca Al-Quran
3. Memahami apa yang dibicarakan di dalam Al-Quran
4. Berusaha patuh dan beramal apa yang disampaikan di dalam Al-Quran
5. Berusaha menyampaikan berita dalam Al-Quran kepada orang lain
Sebagai makhluk ciptaan Allah adalah tidak wajar manusia meninggalkan undang-undang, peraturan-peraturan dan panduan-panduan yang Allah sampaikan kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui Jibril dan terkandung Al-Quran. Mencipta undang-undang sendiri dan meninggalkan peraturan Allah mengambarkan bahawa manusia mencabar dengan Allah sama seperti Firaun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan dan mencabar kekuasaan Allah. Sedangkan manusia tidak berupaya untuk mencipta kitab sama seperti Al-Quran walaupun satu ayat tetapi manusia masih enggan menjalankan undang-undang Allah dengan alasan-alasan yang dunggu. Apakah kita masih tidak sedar?

Istiqamah Dalam Amalan

Dewasa ini menjadi semacam menjadi satu trend menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel-hotel oleh syarikat-syarikat korporat dengan menjemput anak-anak yatim atau pelajar-pelajar tahfiz ke majlis tersebut. Perkembangan ini dari satu sudut amat membanggakan kerana pihak-pihak berkenaan terutama golongan korporat tidak mengabaikan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat namun persoalannya adakah sumbangan ini benar-benar tanggungjawab sosial atau satu trend masa kini untuk publisiti syarikat semata-mata namun tiada sedikit pun roh sedekah yang ada.
Bersedekah di bulan Ramadhan sememang sangat digalakkan dan dianjurkan oleh Islam tetapi kesinambungan harus berterusan selepas Ramadhan. Anak-anak yatim, pelajar-pelajar tahfiz, rumah orang-orang tua dan sebagainya di bulan Ramadhan akan melimpah ruah dengan sumbangan samada kewangan atau keperluan-keperluan lain seperti pakaian, makanan dan sebagainya namun apabila beralihnya Ramadhan putus segala sumbangan dan bekalan kepada golongan ini walhal mereka memerlukan bantuan bukan hanya pada bulan Ramadhan tetapi di bulan-bulan lain juga. Hanya segelintir masyarakat sahaja yang sentiasa istiqamah menyumbang bantuan kepada mereka. Cuba kita sama-sama renungi wajah anak-anak yatim ini dan letakkan diri kita berada di tempat mereka, tiada tempat mengadu hanya penjaga rumah anak yatim sahaja tempat mereka bergantung, pakaian entah setahun sekali berganti dan tempat tinggal ala kadar sahaja sekadar boleh berlindung dari panas dan hujan manakala bantuan dan sumbangan hanya muncul sekali dalam setahun.
Bersedekah dibulan sangat digalakkan di bulan Ramadhan tetapi masyarakat kita sering membuat kebajikan dan amalan hanya bermusim. Sepatutnya dibulan-bulan yang lain kita juga sentiasa bersedekah dan apabila tibanya bulan Ramadhan kita meningkatkan lagi amalan sedekah kita berlipat ganda lagi. Nabi S.A.W lebih suka umatnya yang sentiasa istiqamah dalam amalan daripada umat yang beramal secara bermusim.
Begitu juga dalam hal-hal solat sunat dan amalan sunat yang lain seperti solat tarawikh, membaca al-Quran dan sebagainya seharusnya amalan ini sentiasa berterusan dan dipertingkatkan lagi apabila berada di bulan Ramadhan. Oleh sebab itulah kita dapati puasa yang dilalui sepanjang Ramadhan tidak dapat membentuk iman dan taqwa yang kuat di dalam diri seseorang itu, tidak merasai dan menghayati roh Ramadhan dan sekelip mata akan berubah menjelang Syawal.

Monday, September 15, 2008

Negeri Di Bawah Pimpinan Ulama


Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu jatuhkan hukuman antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu merka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu”.
Sesebuah pemerintahan yang berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W, negeri itu akan sentiasa mendapat limpahan rahmat dan keberkatan daripada Allah Taala. Kemakmuran dan kesejahteraan dapat dinikmati dan dirasai oleh seluruh penduduk negeri tersebut hatta termasuk juga segala makhluk yang menghuni di situ. Demikianlah yang sedang berlaku di Negeri Kelantan sebuah negeri yang kini diperintah dibawah pentadbiran seorang ulama yang begitu tawadduk dan istiqamah untuk memperjuangkan Islam di muka bumi ini. Ulama tersebut adalah Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Negeri yang dikenali juga dengan Serambi Mekah ini sentiasa meletakkan pembangunan rohani selari dengan pembangunan fizikal. Setiap pembangunan yang dirancang sentiasa berpaksikan perintah Allah dan Rasul walaupun sentiasa mendapat tekanan dan menidakkan hak-hak kerajaan negeri oleh Kerajaan Persekutuan namun sehingga kehari ini Negeri Kelantan semakin pesat membangun.

Slogan Membangun Bersama Islam benar-benar member impak yang besar kepada Negeri Kelantan dan menghasilkan suatu umat yang berkualiti samada dari segi fizikal mahupun rohani. Kita lihat sahaja setiap hari Jumaat berduyun-duyun rakyat Kelantan dengan penuh minat mengikuti kuliah mingguan yang disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Nik Aziz mahupun oleh penceramah-penceramah yang lain. Suasana begini memang jarang kita dapati di mana-mana ditempat lain hatta belum kita temui seorang pemimpin menyampaikan majlis ilmu secara rutin seperti ini. Begitulah kesan daripada tarbiyyah yang diberikan oleh Tuan Guru kepada rakyat negeri Kelantan sehingga rakyat Kelantan dahaga dan gemar dengan ilmu akhirat. Kini kerajaan negeri Perak dan Kedah telah mula mencontohi model yang telah ditonjolkan oleh kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Aziz ini.

Sesungguhnya Allah akan membantu manusia yang sentiasa menolong dan berjihad dengan agamaNya dimuka bumi ini walaupun mereka menghadapi rintangan dan kecaman dari manusia-manusia yang engkar dan enggan melaksanakan dengan perintah Allah dan Rasul.

Thursday, September 11, 2008

Lailatul Qadar


Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan".

Antara kelebihan bulan Ramadhan ialah Allah mengurniakan umat Nabi Muhammad dengan satu malam yang menyamai amalannya 1000 bulan beribadah iaitu malam Lailatulqadar. Dianjurkan agar umat Islam bersedia menyambut dan menghayati malam yang penuh berkat ini dengan memperbanyakkan amalan dan ibadah seperti beriktikaf di masjid, memperbanyakkan solat sunat dan sebagainya.

Allah Taala sengaja merahsiakan bilakah berlaku malam Lailatul Qadar ini supaya umat Islam berusaha bersungguh-sungguh dan menghayati malam Lailatul Qadar ini. Mudah-mudahan dengan cara ini umat Islam akan dapat menemui dan mendapat rahmat yang diharapkan dan berbahagia di dunia dan akhirat serta bertambah keimanan kepada Allah Taala.

Amalan dan Doa pada malam Lailatul Qadar.
1. Solat sunat wudhuk selepas mengambil wudhuk
2. Solat hajat dan berdoa kepada Allah agar dipertemukan Lailatul Qadar
3. Membaca Al-Quran
4. Istighfar selama 30 minit atau 1000 kali
5. Berzikir Laailahaillallah1000 kali
Laailahaillallah Muhammad Rasulullah 300 kali
Allahuakhbar 300 kali
6. Bertasbih Subhanallah Walhamdulillah Walaillahaillallah Allahuakhbar 300 kali
Subhanallah Wabihamdih Subhanallahal Adzim 300 kali
Subhanallah Wabihamdih 300 kali
7. Membaca Penghulu Istighfar
8. Membaca Selawat
9. Solat sunat Tahajjud
10. Solat sunat Tasbih

Sesungguhnya orang-orang yang tekun beribadah di malam tersebut untuk menemui Lailatu Qadar akan mendapat rahmat daripada Allah Taala walaupun tidak menemui atau melihat Lailatul Qadar kerana apa yang penting ialah;
1. Menghayati malam tersebut untuk beribadah
2. Beriman dan yakin dengan Lailatul Qadar
3. Ikhlas kerana Allah

Diriwayatkan daripada Aisyah R.A bermaksud, "Nabi SAW apabila masuk 10 akhir bulan Ramadan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah".

Tuesday, September 9, 2008

Mohassabah Diri: Ramadhan Memasuki Fasa Ke-2

Ramadhan sudahpun hampir memasuki fasa yang kedua di mana umat Islam telahpun melalui Ramadhan melepasi hari ke-9 dan sebaik-baiknya kita menilai dimanakah kedudukan kita setakat ini. Adakah semakin bertambah amalan kita atau masih sama seperti sebelum ramadhan atau semakin berkurangan amalan kita. Mukmin yang berjaya ialah mukmin yang mempunyai amalan lebih baik daripada semalam dan bertambah baik keesokan harinya. Sepuluh yang pertama dalam bulan Ramadhan merupakan fasa Kerahmatan untuk umat Islam. Rebutlah peluang-peluang kenikmatan dan keberkatan yang Allah berikan kepada kita di bulan Ramadhan semoga kita berbahagia di dunia dan akhirat. Hendaknya kita tidak tergolong di kalangan umat yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja tanpa sebarang ganjaran daripada Allah Taala disebabkan kelalaian dan kealpaan kita sendiri dengan kesibukan urusan dunia dan sering berada di dalam keadaan yang mengurangkan pahala puasa itu sendiri. Akhirnya kita tergolong dikalangan manusia yang sangat rugi samada di dunia maupun di akhirat.

Dewasa ini umat Islam lebih mengutamakan sambutan Hari Raya daripada ramadhan itu sendiri. Ini dapat dinilai dengan persediaan dan persiapan menyambut Hari Raya dirancang seawal kedatangan bulan Ramadhan samada persiapan pakaian, kuih muih, hiasan rumah dan lebih mendukacitakan ialah rancangan-rancangan hiburan untuk Hari Raya. Masyarakat kita sering mendakwa bahwa persiapan Hari Raya perlu dirancang seawal yang mungkin bagi mengelakkan daripada tergesa-gesa pada saat-saat akhir sebelum menjelang Hari Raya. Namun, apakah sedemikian juga masyarakat kita lakukan bagi menghadapi kedatangan Ramadhan seperti puasa sunat dibulan Rejab dan Syaaban bagi melatih diri ketika menghadapi Ramadhan nanti? Hanya segelintir sahaja masyarakat kita yang berbuat sedemikian manakala kebanyakkannya melebih-lebihkan sambutan Hari Raya sahaja.

Alim ulama membuat persediaan Ramadhan seawal enam bulan sebelum kedatangan Ramadhan dengan memperbanyakkan puasa sunat dan sentiasa berdoa semoga mereka dipanjangkan umur agar dapat mengerjakan amalan puasa dibulan Ramadhan ini kerana para alim ulama mengetahui bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan yang tersangat istimewa dan bonus kepada umat Islam yang beriman jika mereka mengetahuinya.

Sewajarnya kita menyanjung tinggi dan mengambil contoh inisiatif yang dihasilkan dan kesungguhan oleh TUAN GURU NIK AZIZ memakmurkan KELANTAN dan menjadikan KOTA BHARU sebagai BANDARAYA ISLAM yang pertama di Malaysia di dalam memakmurkan bulan Ramadhan ini. Sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Qariah Ramadhan telah diwujudkan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Di perkampungan berkenaan programnya bukan saja lagi setakat mengerjakan solat sunat Terawih tetapi di situlah juga menjadi medium perhubungan ukhwah dan persaudaraan baik sesama muslim atau pun dengan bukan muslim apabila majlis melibatkan bukan Muslim juga turut sama diadakan. Sesungguhnya program Ihya Ramdhan yang dipenuhi dengan segala macam menu itu sesuatu yang unik dan menarik.

Masih belum terlambat lagi untuk kita meningkatkan lagi amalan-amalan kita mulai dua puluh terakhir bulan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan solat-solat sunat, zikir, selawat, sedekah dan sebagainya. Semoga pada tahun ini kita dipertemukan hari yang mempunyai kelebihan lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam lailatul qadar (Insyallah). Usah kita mengikuti sikap kebanyakkan masyarakat melayu Islam yang hanya nampak kemeriahan Hari Raya sahaja tapi mengabaikan keberkatan Ramadhan yang mulia ini.

Thursday, September 4, 2008

Perihal Menjaga Waktu Solat

Wahai saudaraku sekelian! bersegeralah solat pada awal waktunya, sampai di masjid atau musallah sebelum bermula muazzin menyerukan azan melainkan anda siap berwudhuk dan hadirkan diri di masjid. Jika sedemikian tidak dapat dilakukan paling kurang bersegera menuju musallah sebaik-baik anda mendengar seruan azan. Kita lazim mendengar sahabat-sahabat kita apabila masuknya waktu solat berkata, 'sebentar lagi', 'sedang sibuk' dan sebagainya. Walhal kita ketahui bahwa seruan Illahi adalah lebih utama daripada seruan yang lain, maka kenapa kita sering mengambil mudah soal ini. Apakah kita pasti bahwa kita akan sempat mengerjakan ibadah solat pada waktu yang kita jangka untuk mendirikan solat mungkin sebentar lagi malaikat maut sudah datang mencabut nyawa kita.
Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya;
"Keutamaan awal waktu dari akhirnya umpama keutamaan akhirat daripada dunia"

Ketahuilah bahwa solat adalah tiang agama. Sekiranya teguhnya solat maka teguhlah agama kita sebaliknya rapuhlah agama kita. Sesungguhnya syaitan dan nafsu sangat gemar mengingatkan manusia akan hal-hal penting yang berkaitan dunia walhal tidak terlintas sebelum waktu solat. Syaitan sering mengajak manusia untuk mengutamakan hal-hal dunia dan melewatkan hal-hal akhirat dan akhirnya manusia terlupa dengan kewajipan kepada Allah. Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat umpama syaitan yang dijauhkan dari rahmat Allah dan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan dan laknat Allah Taala.
Sabda Rasulullah yang maksudnya;
"Tiada agama (kepercayaan) bagi siapa yang tiada bersolat'
Menjadi kelaziman dewasa ini apabila seseorang sedang menghadiri sesuatu perjumpaan atau mesyuarat berat untuk meninggalkan majlis dengan alasan yang sangat dangkal dan lemah bahawa mesyuarat belum selesai, menjaga hati ahli mesyuarat bukan beragama Islam padahal tuntutan dan seruan Allah itu lebih utama daripada segalanya. Kita mengutamakan keuntungan duniawi yang sementara sahaja daripada keuntungan akhirat yang akan kekal selama-lamanya. Kita tersangat bertolak ansur atau bertolenrasi dengan manusia daripada takut kepada Allah Taala yang memberi nikmat yang tak terhitung banyaknya kepada kita.

Wednesday, September 3, 2008

Ramadhan Al-Mubarak

Hari ini merupakan hari ke-3 kita menjalankan ibadah puasa dan sama-samalah kita berdoa kepada Allah semoga kita dapat menjalankan ibadah puasa pada tahun ini tanpa sebarang halangan dan mendapat rahmat dariNya. Rasanya belum terlambat lagi untuk kita membicarakan tentang bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Antara tujuan berpuasa ialah Pertama: untuk menundukkan jiwa dari sesuatu yang disukai seperti makan, minum, jimak, melihat perkara-perkara maksiat dan sebagainya. Kedua: untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah Taala kerana puasa adalah hak Allah sebagaimana hadith Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud;
"Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu bagiKu dan Akulah yang membalasnya" (Hadis al-Qudsi riwayat al-Bukhari)
Antara persediaan kita sebelum menghadapi dan menjalankan ibadah puasa ialah Pertama: Bertawakkal kepada Allah. Kita hendak sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah untuk mendapat kemudahan menjalankan ibadah puasa, dipanjangkan umur, sihat tubuh badan, dimurahkan rezeki dan perkara-perkara yang dapat mendorong kita menjalankan ibadah puasa dengan sempurna. Kedua: Sentiasa Bertaubat kepada Allah. Kita hendaklah sentiasa bertaubat kepada Allah dengan memperbanyakkan melakukan solat taubat supaya segala dosa-dosa yang kita lakukan samada sedar atau tidak sedar diampunkan oleh Allah. Juga digalakkan membaca istighfar sekurang-kurangnya 70 kali dalam sehari semoga hati kita sentiasa bersih dan tenang ketika menjalankan ibadah puasa nanti.
Manakala ketika menjalankan ibadah puasa kita hendaklah menghiasi diri kita dengan akhlak-akhlak berikut:
1. Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat iaitu menjauhikan diri perkara yang dilarang oleh Allah dan juga dari perkara-perkara yang samar-samar antara halal dan haram.
2. Memelihara penglihatan daripada perkara yang tidak berfaedah dan maksiat.
3. Memelihara lidah daripada percakapan yang sia-sia dan dusta.
4. Bersifat pemalu seperti tidak mencampuri urusan orang lain, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap dan sentiasa berasa cukup.
5. Bersifat lemah lembut dan sabar seperti berfikiran terbuka, bertolak ansur, tenang dan tidak menyinggung perasaan orang lain.
"Sesungguhnya, Ramadhan adalah bulan yang diwajibkan Allah puasanya dan disunatkan solat malamnya. Maka barangsiapa menjalankan puasa dan solat malam pada bulan itu kerana iman dan mengharap pahala, nescaya bebas dari dosa-dosa seperti saat ketika dilahirkan ibunya". (Hadith Riwayat: An-Nasa'i)

Masih belum terlambat lagi untuk kita memperbanyakkan amalan-amalan dalam bulan Ramadhan ini. Marilah kita sama-sama mengejar ganjaran Allah Taala yang dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W di dalam bulan Ramadhan ini. Semoga selepas Ramadhan kita menjadi insan yang lebih baik dan berada di dalam linkungan rahmat Allah Taala. Insyallah.

Sunday, August 31, 2008

Selamat Datang Ke Madrasah Ramadhan

Alhamdulillah kita bertemu lagi bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan dan bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam lailatul qadar. Ramadhan mengajar dan menguji manusia erti ketahanan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah. Dan dengan datangnya Ramadhan seorang yang jarang ke Masjid akan dekat dengan Masjid, seorang yang jarang dengan majlis ilmu akan hadir dengan majlis ilmu, seorang yang jarang membaca al-Quran akan mula membaca al-Quran dan sebagainya. Umumnya dengan hadirnya Ramadhan ia mampu merubah diri seorang insan daripada kejahatan kepada kebaikan.

Mengambil keberkatan Ramadhan itu sendiri adalah amat sesuai seorang insan untuk memulakan perubahan diri dalam mendekatkan diri kepada Allah Taala demi mengubah diri atau memperbaiki diri kepada insan yang lebih baik lagi. Daripada seorang insan yang sentiasa bercampur baur dengan kemaksiatan dan jauh daripada perintah Allah kepada seorang insan yang penuh ketaatan dan beramal dengan amalan soleh. Kadang-kadang manusia sukar untuk memulakan suatu perubahan mungkin dengan alasan malu dan sebagainya tetapi dengan hadirnya Ramadhan peluang untuk berubah boleh dan dapat dilakukan asalkan ada keazaman dan istiqamah yang kuat.

Penulis amat tertarik sekali dengan keazaman seorang sahabat penulis yang ingin berhenti daripada merokok. Beliau sekian lama cuba untuk berhenti merokok tetapi masih tidak berjaya maka penulis mencadangkan beliau untuk memulakannya pada bulan Ramadhan kerana jika sepanjang hari dalam bulan Ramadhan boleh menahan diri daripada merokok (selain daripada menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa) maka mengapa tidak dilanjutkan selepas berbuka. Hasilnya sahabat penulis telah berjaya berhenti merokok sepenuhnya.

Oleh demikian mari kita mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadhan ini untuk merubah diri kita kepada insan lebih baik dan diri semakin dekat kepada Allah Taala. Perbanyakkanlah amalan-amalan sunat, Taubat, Tahajjud, baca al-Quran dan amalan lain yang mampu kita lakukan asalkan niat kita ikhlas hanya kepada Allah.
Doa awal malam Ramadhan,
“Allah yang Maha Besar, Ya Allah muliakanlah kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan dan Islam. Tuhanku, Tuhanmu ialah Allah”
___________________
Merokok bukan hanya merosakkan kesihatan tetapi hukumnya makruh. Jauhkanlah diri kita daripada banyak melakukan perkara yang makruh kerana dikhuatiri akan terjerumus kepada haram.

Malam Kemerdekaan Yang Membosankan

31hb Ogos ialah tarikh Negara kita menyambut hari ulangtahun kemerdekaan ke-51 dan menjadi kelaziman berbagai-bagai acara sambutan dibuat. Namun pada penulis malam menyambut hari kemerdekaan baru-baru ini sangat membosankan kerana semua saluran TV samada TV1, TV2, TV3, ASTRO dan apa sahaja saluran TV yang ada menyiarkan siaran hiburan yang membosankan dan membingungkan. Tiada mengisian dalam memantapkan diri hanya disuapkan dengan perbagai hiburan yang entah apa matlamatnya. Hiburan dan hiburan sahaja adakah ini yang dikatakan kemerdekaan. Walaupun ada sebuah kumpulan nasyid terkenal terlibat dalam program tersebut tapi pada pandangan penulis kalau kemungkaran lebih besar daripada ibadah lebih baik kumpulan tersebut tidak perlu terlibat dalam program tersebut kerana fitnah lebih banyak daripada kebaikkan. Tak perlu mencemarkan diri dalam program-program seperti ini kerana banyak lagi perkara-perkara yang lebih utama boleh dilakukan.
Sebutlah apa pun nama program tersebut DiAmbang Kemerdekaan ke dan apa-apa sahaja nama namun kesannya kepada golongan yang menghadirkan diri pada malam sambutan tersebut entah dimana agaknya. Berduyun-duyun yang hadir hanya semata-mata untuk hiburan sahaja tetapi apabila diajukan apakah kemerdekaan yang mereka dapat, jawapannya Negara bebas dari penjajah. Apakah hanya itu sahaja dikatakan kemerdekaan? Adakah Negara kita benar-benar bebas daripada penjajah? Benar, bebas daripada penjajah tetapi fizikalnya sahaja. Namun jiwa, sikap, naluri dan tindak tanduk masih lagi dijajah. Pemikiran masih lagi dijajah. Amalan masih lagi dijajah.

Masyarakat kita perlu diajar untuk memantapkan diri dalam perjuangan memerdekakan diri daripada amalan-amalan penjajah bukan dengan menjinakkan diri mereka dengan program-program hiburan seperti ini kerana tanpa rancangan seperti ini tidak bermakna kita tidak menghayati kemerdekaan negara kita. Kita masih lagi terikut-ikut dengan budaya, amalan dan cara negara-negara lain menyambut kemerdekaan. Kita mungkin terlupa bahwa kita adalah sebuah Negara Islam (seperti yang diistiharkan) dan pengistiharan itu melambangkan bahwa kita seharusnya mempamerkan nilai-nilai Islam dalam apa jua tindakan kita. Mengadakan perbarisan kemerdekaan setiap kali menyambut hari kemerdekaan 31hb Ogos tidak dilarang tetapi perjuangan memerdekakan diri, pemikiran dan jiwa rakyat Malaysia daripada amalan-amalan jahiliyah (daripada peninggalan penjajah) dan kembalikan kepada ajaran al-Quran hendaklah diperhebatkan.

Firman Allah yang bermaksud;
“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan member khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar. Dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih”. (Surah Al-Israa: 10-11)

Kalau dinilai kembali program-program yang disiarkan pada malam kemerdekaan ini dan kesannya kepada penonton-penonton pada malam tersebut, hakikatnya hanya bersifat hiburan sahaja sekembalinya mereka ke rumah masing-masing tiada ilmu yang manafaat dibawa sekadar membicarakan bagaimana artis ini menyanyi, cantiknya pakaian artis itu, hebatnya persembahan tersebut dan sebagainya. Mereka langsung lupa dengan kemerdekaan tersebut dan sekadar membazirkan wang rakyat sahaja demi penganjuran program tersebut.

Firman Allah yang bermaksud;
“Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat”. (surah asy-Syuura: 20)

Hiburan dan hiburan dan hiburan hanya ini sahaja modal yang kerajaan kita ada. Tiada modal lain kah yang dapat disantapkan kepada rakyat? Nilaikanlah sendiri dengan Iman.

Wednesday, August 27, 2008

Kemenangan Adalah Rahmat Dan Ujian


Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSA) telah memenangi kerusi Parlimen di dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh (P44) dengan majoriti 15,971 melebihi majoriti yang dimenangi oleh Datin Seri Wan Azizah di dalam pilihanraya umum baru-baru ini. Ini menandakan bahawa rakyat Permatang Pauh masih berdiri teguh di belakang DSA dan menaruh harapan kepada DSA untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat Permatang Pauh khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya walaupun beliau dihujani dengan berbagai asakkan, tohmahan dan tuduhan sejak akhir-akhir ini.

Usaha telah membuahkan hasil dan kemenangan telah tercapai maka sudah sampai masanya menunaikan dan mereliasisasikan janji-janji dan harapan yang diberikan kepada rakyat semasa berkempen ataupun ketika sebelum tercapainya cita-cita untuk bertanding dahulu. Kerana sudah menjadi lumrah manusia sebelum tercapainya cita-cita mereka berbagai-bagai janji ditaburkan, bermacam-macam agenda dilakarkan dengan sebegitu indah dan hebat sekali namun setelah termakbulnya cita-cita tadi janji-janji mereka terkubur dengan kejayaan cita-cita tadi. Kita percaya dan berdoa semoga DSA tidak bersikap sedemikian.

Kemenangan adalah rahmat dan juga ujian. Rahmat kerana usaha yang gigih dan doa yang berpanjangan telah dimakbulkan Allah manakala ujian kerana disitulah manusia diuji apakah mereka bersyukur dengan nikmat Allah dan menzahirkan syukur tersebut dengan berbakti dan mengabdikan diri kepada Allah seperti memperjuangkan syariat Allah, membantu manusia lain, menegakkan keadilan dan sebagainya. Sekiranya berbuat demikian insyallah Allah akan melimpahkan rahmatnya semakin banyak lagi tanpa diduga-duga namun sebaliknya tunggulah akibatnya samada kehancuran yang lebih dahsyat atau lain-lain kehilangan yang tak disangka-sangka. Seperkara lagi hindarkan diri dari bersikap membelas dendam kerana ia akan membezakan antara kita dan mereka.

Para pejuang-pejuang Islam sikap dan pendirian sentiasa harus tetap dan teguh. Prinsip perjuangan hendaklah dipertahankan walaupun terpaksa membuat keputusan yang memahitkan kerana itulah kehendak sebuah perjuangan. Andai segala yang dijanjikan tidak dikotakan oleh mereka, kita harus memperjuangkan prinsip perjuangan kita kerana kita tidak bergantungan kepada kekuatan manusia tetapi kita bergantung dan berharap kepada Allah semata-mata. Segala keputusan pucuk pimpinan haruslah dipatuhi kerana setiap keputusan sentiasa merujuk dan bersandar kepada Al-Quran, Hadith dan Ijmak' Ulama
.
_____________________________________
Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh (P44) telah diadakan pada 26hb Ogos, 2008 setelah Datin Seri Wan Azizah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim bertanding dan menyampaikan hasrat DSA untuk memasukki Parlimen semula.

Monday, August 25, 2008

Semakin Rendahnya Maruah Bangsa Melayu

Umumnya sejak dulu lagi kita ketahui bahawa bangsa Melayu mempunyai nilai budi perkerti yang halus dan luhur dengan sifat sopan santun, lemah lembut, budi bahasa yang halus dan sebagainya. Masakan tidak, dengan sifatnya yang begitu lahirlah pantun-pantun Melayu, puisi, sajak, gurindam dan sebagainya yang menggambarkan betapa sopan dan tingginya maruah orang-orang Melayu (dahulu kala). Semua bangsa-bangsa lain di muka bumi Malaysia ini khasnya dan dunia luar amnya menghormati bangsa Melayu kerana sifat-sifat tersebut. Namun adakah kita sedar bahawa sifat dan tinggi maruahnya bangsa Melayu itu semakin hari semakin terhakis dek disebabkan bangsa Melayu itu sendiri. Perbuatan dan tingkahlaku bangsa Melayu itu sendiri menyebabkan maruah mereka tergadai dan dipandang rendah di mata bangsa-bangsa lain walaupun mereka mengaku bahawa mereka beragama Islam kerana Islamnya mereka hanya pada nama sahaja tetapi amalan-amalan yang berhubung kait dengan ajaran Islam itu sendiri tidak direalisasikan dalam kehidupan mereka.

Orang-orang Melayu sendiri mencalarkan bangsa Melayu dengan kotoran-kotoran yang menjijikkan yang selama ini tidak terfikir dan terlintas di ruang pemikiran manusia akan berlaku tindakan-tindakan luar biasa dan mengemparkan ini. Di manakah maruah bangsa Melayu itu jika dengan mudah dan terbukanya mengaib dan melempar tuduhan-tuduhan yang aib kepada seorang yang berbangsa Melayu juga. Hatta dalam Islam sendiri suami atau isteri dilarang menghebahkan kekurangan pasangan masing-masing lebih-lebih lagi antara kita sesama bangsa Melayu dan beragama Islam.

Jika kita perhatikan dalam kempen-kempen pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh sekarang ini, calon-calon yang bertanding adalah terdiri daripada bangsa Melayu dan Islam tetapi apa yang berlaku dalam usaha untuk mempengaruhi para penggundi memihak kepada mereka tanpa segan dan silu mereka menghilangkan sifat-sifat sopan santun sebagai bangsa Melayu dengan tindakan-tindakan yang sangat mengaibkan. Hilangnya sifat-sifat kelembutan dan malu jika mereka seorang wanita dan lebih-lebih lagi jika mereka seorang lelaki (melampau batas-batas sebagai seorang muslim). Pemimpin sebeginikah yang kita lantik untuk memimpin? Pemimpin seperti inikah yang dapat membela agama Islam dan bangsa Melayu. Dalam soal-soal akhlak sedemikian pun tidak dapat mengawal diri dari melakukannya bagaimanakah untuk mengelakkan diri dari terjerumus kepada perkara-perkara maksiat yang lebih besar dan hebat lagi dan seterusnya untuk mendidik rakyat di bawah tanggungnya. Bangsa Melayu sebeginikah yang dihasilkan dari sebuah negara yang sentiasa diwar-warkan sebagai negara Islam? Rosak dan rendahnya maruah bangsa Melayu adalah disebabkan oleh bangsa Melayu itu sendiri (lihat gambar).

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud;
"Bahawa apabila Allah berkehendak kebinasaan kepada seorang hamba, maka dicabut perasaan malu daripadanya. dan tidak engkau dapati melainkan ia seorang yang dibenci lagi dibencikan. setelah itu ditinggalkan pula perasaan amanah daripadanya. dan engkau dapatinya seorang khianat lagi mengkhianati, seorang yang kehilangan perasaan atau perasaan belas ihsan. kemudian itu jadilah ia seorang yang kasar lagi kasar kelakuannya. dicabut daripadanya ikatan Imannya daripada tengkuknya. akhirnya engkau memandang dia bukan lagi sebagai insan (manusia) tetapi sebagai syaitan yang durjana.
(Rujukan: huraian hadith ke-20 di dlm buku hadith empat puluh Imam Nawawi oleh Ust Mustapha Abdul Rahman)
Marilah kita sama-sama memohon kepada Allah semoga negara kita dilindungi daripada fitnah yang lebih besar lagi. Dan juga semoga tertegaknya sebuah Daulah Islamiah di bumi Malaysia ini khasnya dan di dunia amnya. Amin.

Friday, August 22, 2008

Sumpah Dan Nilainya

Semenjak akhir-akhir ini, kita telah dipersembahkan dengan istilah yang semakin popular samada dikalangan orang ramai, ahli-ahli politik dan sebagainya iaitu Akuan Bersumpah. Sebelum ini dikalangan orang ramai yang tidak arif dengan undang-undang tidak memperdulikan istilah keramat ini samada pernah menggunanya secara langsung ataupun tidak kerana pengamal-pengamal undang-undang yang lebih tepat lagi dipanggil Peguam tidak pernah atau sememang sengaja (mungkin bagi mereka terlalu remeh) untuk menjelaskan kepada orang ramai istilah-istilah begini ketika menandatangani sebarang dokumen yang berkaitan.

Namun begitu apabila istilah Akuan Bersumpah ini begitu popular diwar-warkan atau disebarkan di media-media dalam membuat liputan beberapa kes-kes berprofil tinggi dewasa ini dengan sendirinya ia semakin popular dan menjadi perkataan kebiasaan dikalangan orang ramai. Samada Akuan Bersumpah ini dilakukan mengikut kaedah syariah ataupun tidak bukan menjadi persoalannya disini tetapi persoalannya dimanakah nilainya sumpahan ini dimuktakhir ini yang mengakibatkan orang ramai semakin kebingungan dan kekeliruan dan tertanya-tanya siapakah sebenarnya yang berada dipihak yang benar dan dipihak yang salah kerana kedua-duanya memberikan dan mempersembahkan sumpahan mereka.

Dan semakin membingungkan dalam soal-soal yang melibatkan maruah diri, ia sengaja ditonjol dan pertontonkan kepada khalayak ramai seolah-olah ia adalah suatu trend masakini. Lebih-lebih lagi dengan peranan media-media cetak yang dengan sengaja agaknya menyebut kes-kes begini berulang-ulang kali dan akhirnya orang ramai menjadi kebiasaan dan menerima suatu yang buruk itu sebagai kebaikan atau sebaliknya. Akhirnya kebenaran semakin lama semakin tenggelam disebalik kesesatan dan kejahilan manusia itu sendiri. Nilai-nilai kemanusian semakin terhakis dari didalam jiwa manusia dan yang terserlah hanyalah nilai kehaiwanan yang diselubungi dengan nafsu yang rakus dan jijik.

Jelasnya, undang-undang yang digunakan di negara ini hanya sebuah undang-undang yang dibukukan dan disimpan dirak-rak mahkamah atau di bilik hakim-hakim atau peguam-peguam tetapi bukan untuk diamalkan atau dipraktikkan. Ia hanya untuk diajar atau digunakan di universiti-universiti sebagai alat atau media pelajar-pelajar untuk mendapatkan ijazah dan pengiktirafan sebagai seorang pengamal undang-undang (Peguam?). Undang-undang hanya digunakan apabila ingin menjatuhkan seseorang atau menunjukkan kekuasaan dan pada masa itu mereka tiada kompromi atau tolenrasi dengan sesiapa atas alasan undang-undang telah ditetapkan sedemikian walhal sebelum itu tiada sesiapapun yang mengambil peduli dengan peraturan atau undang-undang tersebut. Undang-undang dipraktikkan dan diamalkan hanya untuk kepentingan diri masing-masing. Oleh sebab itu, berbalik kepada Akuan Sumpah yang semakin popular dewasa ini tidak memberi kesan dan impak yang jelas kepada masyarakat kerana ia sekadar suatu sumpahan yang berselindung disebalik undang-undang bagi menutup kesalahan mereka atau memalingkan kesalahan kepada orang lain. Masyarakat akan semakin menempelak akan undang-undang itu sendiri dan kesannya dalam jangka panjang amat besar sekali.

Firman Allah maksudnya;
"Dan janganlah kamu menjadikan sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu yang menyebabkan tergelincir kaki(mu) sesudah kukuh tegaknya, dan kamu merasakan kemelaratan (di dunia) kerana kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah; dan bagimu azab yang besar" (Surah al-Nahl: 94)

Tuesday, August 19, 2008

Ujian Dari Allah

Sabar merupakan kunci kepada kejayaan samada di dunia atau akhirat. Dengan kesabaran nescaya ujian, penderitaan dan segala rintangan dapat diatasi dengan sendiri.

Firman Allah Taala yang bermaksud;
'Dan sesungguhnya akan Kami beri cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar' (Surah al-Baqarah: 155)

Jelasnya, manusia tidak akan terlepas daripada cubaan daripada Allah Taala samada ditindas, kelaparan, kesempitan hidup atau kehilangan harta yang dimiliki selama ini. Jika seseorang hamba itu dapat menghadapinya dengan penuh kesabaran, menerima dugaan Allah dengan lapang dada, kepastiannya ia akan berakhir dengan suatu kebaikan (dan bertawakkal kepada Allah dalam setiap waktu).

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
'Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah suatu kebaikan (keuntungan), maka ia diberikan penderitaan (Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah)

Dan menurut Rasulullah S.A.W, ada empat jenis sabar iaitu;
1. Sabar menanggung beratnya melaksanakan kewajipan.
2. Sabar menanggung musibah atau ujian.
3. Sabar menahan kezaliman orang terhadap dirinya.
4. Sabar menanggung kemiskinan dan kepapaan.

Firman Allah Taala yang bermaksud;
'(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya kami kembali' (Surah: al-Baqarah: 156)
______________________
15hb August, 2008 penulis mengalami pengalaman yang tidak pernah lalui sebelum ini dan tak akan dilupakan selama-lamanya. Dalam kegembiraan penulis mendapat tiket untuk pulang ke kampung menemui keluarga, penulis telah kehilangan barang-barang peribadi dan juga laptop kepunyaan pejabat sewaktu meletakkan kereta di Perhentian Putra. Walhal penulis tidak pernah meninggalkan barang-barang didalam kereta walau sekejap sekalipun namun Allah telah menentukan bahawa satu ujian akan diberikan kepada penulis sejauh mana tahap kesabaran dan ketenangan yang ada dalam diri penulis sendiri.

Thursday, August 14, 2008

Antara Perjuangan Agama Dan Perjuangan Bangsa

Kita sering dan saban hari mendengar dan terbaca samaada dimedia-media elekronik atau surat-surat khabar samada yang diklasifikasikan sebagai akhbar nasional atau akhbar sisipan (yang diklasifikasi oleh manusia sendiri) bahawa kita harus perjuangkan bangsa kita, berkorban untuk bangsa kita, pertahankan keistemewaan bangsa kita dan sebagainya. Dan kita sering juga diperlihatkan akan lantangnya manusia-manusia yang berbangsa ini bersuara menentang akan suara-suara lain yang mempersoalkan mereka ataupun menyentuh hak-hak mereka hingga hinggar-binggar bumi Malaysia ini seolah-olah akan berlaku peperangan lagaknya.
Namun begitu, agak berlainan pula apabila dalam soal-soal yang berkaitan dengan Islam dalam nada yang lemah lembut dan bersopan-santun manusia-manusia ini akan mempamerkan sebuah sikap yang tersangat toleransi dan berbudi bicaranya mereka. Yang memperjuang dan mempertahankan kesucian Islam ini hanya golongan-golongan yang benar-benar istiqamah dengan perjuangan dan jihad Islam mereka. Namun ada juga yang bersuara mempertahankan Islam ini hanya bersifat munafik sahaja.
Perjuangan yang berbentuk assyabiyah itu tidak akan berkekalan lama kerana lama kelamaan akan menuju kehancuran dan perpecahan juga. Ini disebabkan tiap-tiap diri manusia itu akan hanya membenarkan bahawa hanya bangsa mereka sahaja terbaik, terkuat, terhandal dan sebagainya dan akhirnya mewujudkan pertentangan antara bangsa-bangsa yang berlainan pula.
Namun, sekiranya perjuangan itu berlandaskan keimanan dan ketaqwaan, diri dan jiwa insan-insan itu akan bersatu dengan satu kalimah sahaja iaitu La Ila Ha Il La Allah dan secara automatiknya terhapuslah sifat-sifat assyabiyah dalam diri mereka. Mereka akan bersatu hati dan kekal dalam perjuangan mereka hingga akhirat. Firman Allah yang bermaksud;
'Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuh, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadikan kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara dan kamu telah berada ditepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya.' (ali-Imran: 103).
Berdasar ayat diatas nyatalah manusia akan sentiasa bermusuh-musuh dan berperang-perang antara satu sama lain hanya kerana mereka memperjuang sifat-sifat assyabiyah mereka tapi sebaliknya perjuangan dan jihad yang berasaskan iman, Allah akan satu hati-hati mereka dan mencurahkan nikmat yang melimpah ruah. Sesungguhnya solatku, pekerjaanku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Taala. Amin

Tuesday, August 12, 2008

Islam dan Politik

26hb Ogos, 2008 rakyat Permatang Pauh akan menjalankan kewajipan mereka sebagai pengundi yang berdaftar bagi melantik wakil mereka untuk bersuara di Parlimen nanti. Dalam keghairahan parti-parti politik yang bertanding memulakan kempen pilihan kecil ini mari kita sama-sama membuka sedikit minda kita untuk menghuraikan apakah dia SISTEM POLITIK ISLAM. Dalam menghuraikan persoalan ini rujukan boleh dibuat kepada sebuah buku karangan Dr Khalid Bin Ali Muhammad Al-Anbariy, salah seorang Profesor di Universiti Ajman. Antara petikan dari karangan beliau ialah;

Politik Islam bermaksud memerintah dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Politik dari pandangan Islam ialah menjaga urusan umat di dalam dan luar negara dengan cara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sebenarnya politik adalah ilmu dan kemahiran. Ia merupakan ilmu kerana ia mempunyai prinsip-prinsip dan disiplin-disiplin tertentu yang keseluruhannya membentuk ilmu politik dan ia merupakan kemahiran kerana ingin ditekankan bahawa realiti perlaksanaannya ia tidak mungkin terhad kepada semata-mata melaksanakan undang-undang tetapi menuntut kepakaran tertentu yang diperolehi melalui pengalaman dan pengetahuan mengenai kaedah-kaedah praktikal yang tertentu.
Agama yang menyuruh supaya dipisahkan daripada negara, mentabdir umat dan urusan-urusan ekonomi, sosial dan sebagainya, tidak mungkin ia agama Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t ke atas Nabi Muhammad s.a.w iaitu satu agama yang mempunyai kesempurnaan dan merangkumi seluruh urusan kehidupan. Firman Allah s.w.t maksudnya:

'Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagimu agama kamu dan Aku telah lengkapkan ke atas kamu nikmatKu dan Aku telah reda Islam itu bagi kamu sebagai agama' (Surah al-Maidah: 3)

'Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam yang tiada syirik bagiNya. Dengan itulah aku disuruh dan aku ilah orang yang pertama menyerah diri' (Surah al-An'am: 162-163)

Semua para pemerintah dan rakyat yang diperintah di dalam negara Islam melaksanakan syariat Allah dan beramal dengan hukum-hukumnya. Apabila sistem politik Islam itu mempunyai keistimewaan dengan bersumberkan rabbani, maka ia juga mempunyai keistimewaan ketaatan rabbani di mana sistem ini berusaha kearah menghubungkan antara manusia dengan Allah s.w.t supaya manusia dapat mengenali Tuhannya dengan erti kata yang sebenarnya dan seterusnya bertaqwa kepadaNya dengan sepenuh taqwa serta membebaskan dirinya daripada memperhambakan dirinya kepada yang lain selain daripada Allah s.w.t.

Maka oleh itu, marilah kita sama-sama membuat pendirian kemana arahkah pemerintahan yang kita mahu - Islam atau sekular. Pemimpin yang bagaimana perlu kita pilih? Undang-undang yang bagaimana yang hendak kita ikut? Ingatlah tiada pemisahan antara politik dan Islam.

(Sumber: Sila rujuk Sistem Politik Islam menurut pandangan Al-Quran, Al-Hadis dan pendapat Ulama Salaf karangan Dr Khalid Ali Muhammad Al-Anbariy)

Monday, August 11, 2008

Treasure Hunt Suatu Pengalaman

Baru-baru saya telah menyertai Treasure Hunt ke Kuantan bersama-sama sahabat saya Mohd Farid, Feisal dan Mohd Syukri. Iktibar dan pengajaran yang boleh diambil daripada program ini ialah sesuatu yang kita lakukan adalah sentiasa di dalam lingkungan Allah Taala dimana setiap yang kita usahakan hasilnya akhirnya ditentukan olehNya. Walaubagaimana pun kita harus berusaha sedaya upaya kita dan sesudah itu bertawakkal kepadaNya. Setiap yang dirancang belum tentu hasilnya seperti yang kita impikan atau cita-citakan walaupun pada perkiraan atau logik aqal kita segala yang kita usahakan itu hasilnya sudah tentu sebegini atau sebegitu. Kadang-kadang setiap perancangan kita ke sesuatu matlamat itu walaupun dirancang sebegitu rapi dan teratur tetapi hasilnya tidak sebagaimana yang dirancangkan dimana kita mendapat hasil yang berlainan yang tidak disangka-sangkakan. Dan ini sudah tentunya untuk menguji kesabaran dan ketenangan kita di dalam menghadapi sesuatu kejadian yang menimpa kita samada ujian itu berbentuk baik ataupun tidak baik. DariNya ia datang dan kepadaNya ia dikembalikan.

Sunday, August 10, 2008

Wirid Harian

Wirid harian yang telah diamalkan oleh Imam Ghazali RA. Kita digalakkan mengamalkan wirid-wirid ini dan melakukankannya sekurangkan 1000 kali sehari. Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa mengingati Allah, jiwa mereka akan sentiasa berada didalam keadaan tenang dan aman.

Wirid Setiap Hari Jumaat
Ya Allah
(Ya Allah)

....ikuti sambungannya setiap hari

Keluarga Bahagia Dan Bunga-Bunga Cinta


Inilah keluarga bahagiaku. Aku berterima kasih kepada isteriku yang tersayang yang sentiasa mencurahkan dan memberikan kasih sayangnya kepadaku dan anak-anakku walau dalam apa keadaan sekalipun. Kadang-kadang isteriku terpaksa menghadapi susah payah sendirian tanpa aku disisinya. Pengorbanannya tidak dapat aku balas dan ku ucapkan. Ya Allah kekalkanlah kebahagian keluargaku hingga akhirat dan murahkanlah rezeki kami.
Ya Allah berilah kami kekuatan dalam menghadapi segala dugaan dan teguhkanlah hati-hati kami dalam mengingatiMu. Ya Allah kurniakanlah kami anak-anak yang soleh dan sentiasa beramal ibadah untukMu. Lindungilah kami dari hasutan dan muslihat syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia dan lindungilah kami dari kejahatan manusia dan jin. Hanya kepadaMu kami memohon dan meminta perlindungan. Amin Ya Rabbal Alamin.

Saturday, August 9, 2008

Solat & Keajaibannya


Karya Terakhir Dato Haji Ishak Baharom

Solat merupakan sarana bagi kita untuk berkomunikasi dengan Sang Pemilik Alam Semesta dan Penguasa Alam Raya. Tak terbayang betapa ajaib dan dahsyat ibadah yang satu ini apabila kita benar-benar mempraktikkan sesuai petunjuk RasulNya. Dengan solat, kita sujud dan berdoa dengan hati yang paling khusyuk untuk memohon segala hal yang terbaik dariNya.

Bukankah dalam sebuah hadiths Qudsi Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, "Solat dibahagi dua bahagian antara Aku dengan hambaKu, separuh untukKu dan separuh lagi untuk hambaKu. Untuk hambaKu, ia akan mendapatkan segala yang ia minta." (HR.Muslim)

Dalam buku ini kita akan menemukan paparan penulis tentang berbagai rahsia dan keajaiban solat yang berhasil diungkap para pakar dan tokoh, bahwa solat dapat berfungsi sebagai Pedoman Hidup Sihat, Kunci Sukses Dunia Akhirat dan Resepi Bahagia.

"Melampaui faedah-faedah duniawi, solat tetaplah bahan anugerah dari langit yang mempunyai falsafah amali yang lebih berdarjat. Ia adalah alat bertajalli. Ia talian komunikasi antara langit dan bumi dan seisinya. Solat adalah puncak segala hiburan" - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Meneladani Kemuliaan Akhlak Rasulullah S.A.W

Agama Islam merupakan agama yang mengandungi ajaran-ajaran yang menyeluruh dan sempurna dan merangkumi seluruh kehidupan manusia dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar pekara seperti pemerintahan dan kenegaraan.

Agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W mengandungi misi yang sangat besar iaitu mengembalikan kehidupan manusia yang telah jauh menyeleweng kepada ajaran-ajaran Allah Taala. Ajaran-ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W hendaklah dibawa ketengah masyarakat dengan tujuan untuk meluruskan kehidupan mereka dan seluruh umat manusia sehingga kehidupan manusia itu diwarnai dengan moral agama atau budi luhur yang berdasarkan wahyu Allah.
Baginda adalah suri teladan yang paling penting. Semua jejak dan langkah Rasulullah hendaklah ditiru oleh umat Islam seluruhnya.

Firman Allah Taala;
'Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah' (Surah al-Ahzab:21)

Tidak seharusnya umat Islam hanya meniru sebahagian daripadanya yang mudah sahaja dan meninggalkan yang dianggap susah atau tidak memenuhi kehendak diri atau nafsu mereka. Hendaklah kita mengikuti baginda secara keseluruhan supaya kita menjadi Muslim yang benar-benar mengikuti ajaran dan kepercayaan Islam. Semoga Allah meredhai kita didalam menegakkan kebenaran dan kebaikan melalui ajaran-ajaran Rasulullah S.A.W sehingga Islam benar-benar tegak dibumi Malaysia tercinta ini.