Monday, November 30, 2009

Busuk Yang Membosan Dan Memualkan

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan sama sahaja bagi mereka, apakah engkau memberi peringatan kepada mereka atau engkau tidak memberi peringatan kepada mereka, mereka tidak beriman juga”. (Yasin: 10)

Sungguh membosan dan memualkan bila membaca akhbar-akhbar utama dan menonton saluran-saluran media utama sejak kebelakangan ini. Bukan soal masalah dalaman MIC atau perbalahan dalam MCA mahupun UMNO itu sendiri kerana memang pun mereka bermasalah tetapi cara olahan paparan dan pemberitaan yang cuba digambarkan terhadap kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat sungguh memualkan lebih-lebih lagi diakhir-akhir ini tumpuan diberikan pada Kerajaan Negeri Kelantan dibawah pimpinan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Asakkan demi asakkan ditujukan kepada Tuan Guru dengan berbagai isu bagi mengambarkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan bermasalah.

Apa yang dilihat disini, asakkan dan serangan saraf ini bermula setelah Kerajaan Negeri Kelantan berusaha bersungguh-sungguh dan bertegas dengan tuntutan royalti minyak dan gas asli baru-baru ini. Serangan-serangan yang bermula dengan serangan peribadi mengaitkan isu tajaan mengerjakan haji kemudian dikecohkan dengan berita ugutan Husam Musa ingin meletakkan jawatan dan terbaru doa Tuan Guru dan isu pengganti beliau. Kita perlu sedar bahawa BN semakin terdesak sekarang ini, oleh itu untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu-isu dalaman yang sedang dihadapi oleh BN maka media-media utama dipergunakkan untuk menutup isu ini dan disasarkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Selepas Kedah dan Selangor usaha mereka tidak menjadi kini mereka beralih kepada Negeri Kelantan.

Desakan-desakan Pemuda UMNO supaya Tuan Guru Nik Aziz meletakkan jawatan atas alasan menerima tajaan mengerja haji amat sungguh membosankan kerana ‘Pemuda-Pemuda’ ini hanya nampak kuman di seberang laut tetapi gajah didepan mata tak nampak. Sedarkah kita berapa banyak aduan dibuat samada kepada Polis mahupun SPRM berkaitan isu rasuah pemimpin BN tetapi hingga sekarang tiada tindakan diambil jika adapun hanya melepaskan batuk ditangga sahaja. Berbanding dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hanya dengan lapuran akhbar tindakan diambil begitu efisen sekali dan kadang-kadang sangat melucukan kerana tindakan dibuat atas kenyataan pemimpin itu sendiri bahawa ada pihak yang cuba memberi rasuah atau tajaan kepada mereka. Kecekapan dan kepantasan SPRM boleh dianugerahkan ‘SIRIM 2009’. Bak kata Tun Mahathir “UMNO kini busuk hingga ke ususnya”.

Berbalik kepada isu royalti, mengapa Kelantan hanya diberi wang ihsan? Tuan Guru dan kerajaannya tidak menolak rezeki wang ihsan itu tetapi wang ihsan hanya disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bukan kepada Kerajaan Negeri. Apakah wajar Kerajaan Negeri yang berusaha tetapi hasilnya diberi dan dihabiskan oleh orang lain. Oleh kerana itulah mereka berusaha bermati-matian untuk merampas Negeri Kelantan kerana di sana ada lubuk emas yang selama ini dinafikan. Tuan Guru tahu, royalti Kelantan tidak boleh diusik dengan wang ihsan itu. Kelantan menuntutnya dari Petronas sama seperti Tunku menuntut kemerdekaan Malaysia daripada Inggeris. Samada BN sedar atau tidak, menindas Kelantan sama juga dengan menindas orang Melayu sendiri kerana majoriti penduduk Kelantan adalah Melayu dan Islam.

Kita dituntut untuk mempertahankan negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya Negeri Kelantan dan Kedah kerana di sana ada keberkatan dan cahaya keimanan dari seorang pemimpin yang ingin menegakkan syariah Islam di muka bumi Malaysia ini. Ya Allah, jahanamkan UMNO dan BN sebagaimana Engkau melenyapkan penduduk dulu dari mukabumi ini kerana keengkaran, kekufuran dan kesombongan mereka.

Tuesday, November 24, 2009

Tanda-Tanda Hari Akhirat

Mungkin akan hampir hari Kiamat bila tanda-tanda Kiamat makin banyak terzahir di zaman mutakhir ini antaranya banyaknya fitnah memfitnah, orang pendusta dianggap benar,orang jujur dibohongi dan tidak dipercayai lagi, setiap daerah diketuai orang munafik, orang alim (ulamak) sudah tidak ditaati, orang alim sudah tidak disenangi, ulamak memihak kepada pemerintah lalu menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal dan banyak orang menjadi pemimpin tetapi tidak boleh dipercayai.

Firman Allah, maksudnya: "Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit (Kiamat) Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan tentang (datangnya) Kiamat itu hanya ada pada sisi Allah. Dan tahukah kamu (Wahai Muhammad), boleh jadi Kiamat sudah dekat pada waktunya” (Al-Ahzab: 63).

Samada sedar atau tidak tanda-tanda tersebut telah banyak muncul di zaman ini dan berlaku disekeliling kita. Jika kita membicarakan soal fitnah saban hari kita dipaparkan dengan berita-berita fitnah lebih-lebih lagi oleh akhbar-akhbar yang membelakangkan soal-soal etika dan lebih-lebih hukum agama. Mereka gemar mewujudkan berita-berita sensasi yang tiada kebenaran dan penuh dengan kesamaran tanpa merasakan bahawa berita yang sampaikan boleh mendatangkan kesan negatif kepada keperibadian seseorang, masyarakat, kerajaan dan sebagainya.

Dewasa ini juga kita perhatikan manusia sudah hilang hormat kepada para ulamak dan gemar menghina dan mengutuk mereka secara terbuka tanpa rasa bersalah. Manusia-manusia ini ada yang datang dari kalangan manusia-manusia yang berlatarkan agama tetapi mereka memanafaatkan ilmu agama mereka untuk mengejar kepentingan dunia mereka tanpa memperdulikan soal akhirat. Tidak gerunkah dalam hati mereka akan balasan Allah di akhirat nanti atau mereka memang berani mencabar kekuasaan Allah? Semak diri kita apakah kita tergolong dari salah seorang daripada mereka jika YA masih ada lagi waktu untuk kita bertaubat dan bersama-sama dengan alim ulamak berjuang menegakkan kebenaran dan semoga amalan kita menjadi bekalan kita di alam kubur dan akhirat nanti.
Firman Allah yang bermaksud, “Dan barang siapa buta (hatinya) di dunia ini, maka di akhirat dia akan buta dan tersesat jauh dari jalan (yang benar).” (Al-Isra:72)

Tuesday, November 10, 2009

Waspada Dengan Serangan Saraf

Jika dilihat pada corak serangan sejak akhir-akhir ini, ia mengambarkan akhbar lidah kerajaan sedang melancarkan serangan saraf terhadap Partai Islam SeMalaysia (PAS) dengan memaparkan isu-isu yang diharap dapat melemahkan kepercayaan masyarakat dan secara tidak langsung gerakan PAS itu sendiri. Bermula dengan isu terhadap Dr Hassan Ali berdepan isu penjualan arak, EGM Khas bermula dari kenyataan Tuan Guru Nik Aziz, sokongan golongan muda dan terbaru dipaparkan isu bai’ah. Walaupun semua isu-isu ini dapat ditanggani dengan harmoni oleh PAS juga antara Pakatan Rakyat (PR) dan ada juga isu-isu yang diputar-belitkan oleh media-media ini namun PAS khususnya dan PR amnya tidak harus mengambil ringan soal ini. Tindakan susulan harus diambil dengan segera agar serangan-serangan saraf ini tidak menjejaskan sokongan masyarakat kepada PAS khasnya dan PR amnya juga keharmonian dan kesepakatan yang sudah terjalin dengan baik di dalam PR itu sendiri.

Adalah wajar pada waktu ini segala isu-isu yang berkaitan antara parti-parti PR tidak bincangkan atau dibangkitkan melalui media-media terutama media perdana milik kerajaan yang secara jelas cuba memburuk-burukkan PR. Disarankan kepada semua pemimpin-pemimpin PR tidak lagi melayani temuramah atau soalan-soalan yang diajukan oleh media-media ini.

Firman Allah yang bermaksud; “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bagian besar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula)”. (An-Nur: 11).

Sunday, November 8, 2009

1 MALAYSIA*Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan

Apa dia sebenarnya konsep 1 Malaysia? Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan Dato’ Sri Mohd Najid Tun Abdul Razak ialah Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita. Katanya konsep “1 Malaysia” ditunjangi oleh dua prinsip utama iaitu sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dan keyakinan antara satu sama lain. Apabila kita sudah menghormati antara satu sama lain bererti kita sudah mempunyai sikap terbuka untuk menghayati konsep perpaduan dalam keperbagaian.

Sebenarnya dalam Islam telahpun ada konsep ini dan bukan merupakan perkara baru ia telah lama dipraktikkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Manusia dijadikan daripada satu iaitu Nabi Adam dan Hawa jesteru kita umat manusia adalah sama walaupun terdiri berbagai-bagai bangsa, berlainan warna kulit dan perbezaan bahasa pertuturan kerana manusia dijadikan untuk saling kenal mengenali. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud; “Wahai manusia (tanpa mengira bangsa) sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Surah Al-Hujarat: 13)

Walaubagaimanapun, kita harus ingat walau dalam keadaan apa sekalipun Islam tetap tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain dan ini berdasarkan firman Allah Taala yang bermaksud; “Sesungguhnya Deen (agama) disisi Allah hanyalah Islam... (Ali’Imran: 19).”

Dan firman Allah Talla lagi yang bermaksud; “…..pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu menjadi agama bagimu…” (Al-Maidah: 3). Oleh itu sama rataan adalah pada perkara-perkara yang berkisar kepada kemanusiaan sahaja tetapi tidak dalam hal-hal yang bersangkutan dengan agama dan ini perlu jelas. Walaubagaimanapun Islam tidak melarang umat-umat lain mempraktikkan amalan dan kepercayaan agama masing-masing.

Telah lama kita membicarakan bahawa dalam Islam semua umat manusia adalah sama dan membezakan di antara mereka ialah keimanan. Oleh demikian kita tidak harus membeza-bezakan dalam hal-hal yang bersangkutan dengan keadilan, pendidikan, ekonomi dan semua hal-hal yang berhubung kait dengan kemanusian. Sebab itulah dalam pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W semua bangsa hidup di dalam penuh keharmonian dan aman damai kerana mereka mendapat pembelaan yang sama rata dan saksama. Rasulullah hanya memerangi mereka jika sekiranya mereka menentang Rasulullah sahaja walau bagaimanapun setelah diberi amaran oleh Baginda.

Oleh demikian dalam konsep 1 Malaysia ini tiada apa yang harus dibanggakan ia hanya sekadar slogan di papan iklan dan diperhati bila terpandang dan dilupakan bila melepasinya. Ia tidak dipraktikkan sebagaimana dislogankan hanya mengaburi mata masyarakat yang sentiasa leka dengan slogan, khayal dengan tema dan bersemangat hanya dalam seminar sahaja. Jika benar 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan ROYALTI tidak akan berubah menjadi EHSAN. Dari segi bahasa pun sudah berlainan maksud antara royalti dan ehsan. Jangan cuba mempermainkan rakyat dengan 1 Malaysia ini kerana kelak di akhirat nanti rakyat akan tuntut kepada pemimpin akan hak yang sepatut mereka terima semasa mereka memerintah iaitu hak sebagai rakyat daripada pemerintah. Firman Allah yang bermaksud; “……..Dan janganlah kamu merugikan mereka terhadap hak-hak mereka dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakkan.” (Hud: 85)

Saturday, November 7, 2009

Keterbukaan Dalam Kritikan

Kertas kerja daripada Seminar Politik Memperkasakan PAS dengan para penal terdiri daripada pensyarah Universiti Islam Antarbangsa (UIA) Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan pensyarah dari Universiti Malaya (UM) Dr. Abu Hassan Hasbullah serta Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin parti harus diambil dengan sikap yang terbuka dan menjadikan ia sebagai salah satu sumber untuk memperkasakan perjuangan PAS. Ia perlu dilihat dari perspektif yang positif walaupun adakalanya memedihkan namun akan dapat membantu pucuk pimpinan PAS untuk memperkasa dan memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada.

Mungkin di dada-dada akhbar media perdana akan mengambil kesempatan dengan komentar yang dilontarkan dalam seminar ini tetapi harus diingatkan bahawa harus perdana ini sentiasa mencari ruang untuk memperburukkan PAS dikaca mata masyarakat yang kurang arif dengan PAS kerana pemimpin-pemimpin PAS terdiri dari kalangan pemimpin yang sentiasa terbuka dengan pandangan dan kritikan. Ini jelas sebagaimana yang dilakukan oleh Tuan Guru Nik Aziz baru-baru ini dan seterusnya mendapat reaksi yang segera daripada Jawatan PAS Pusat untuk tindakan selanjut. Dan ini selari sebagaimana Syaidina Omar ketika baru dilantik menjadi Khalifah menggantikan Syadina Abu Bakar dan ucapan pertama beliau ialah “Jika aku bersalah tegurlah walaupun dengan pedang”. Dalam kontek ini pemimpin PAS sekadar ditegur dengan sebatang pena sahaja jika dibanding dengan teguran yang diminta oleh Syaidina Omar.

Walau bagaimanapun setiap teguran harus beradap dan berkhemah seperti tidak meninggi suara dan keras sebagaimana nasihat Luqman al-hakim, “Jangan kamu duduk bertengkar ulama maka kelak kamu akan hina dan jangan kamu bertengkar dengan orang bodoh maka mereka akan memaki kamu sebaliknya kamu sabar bagi orang yang lebih tinggi ilmu daripada kamu dan orang yang lebih rendah ilmu daripada kamu. Maka hendaklah kamu bersama dengan ulama dan sabar bagi mereka dan mengambil daripada mereka ilmu”. Jesteru itu kelemahan pemimpin bukan untuk diperbesarkan tetapi diperbetulkan kerana perjuangan mereka ikhlas dalam menegak hukum Allah di muka bumi ini menurut Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Kita perlu ingat musuh-musuh Islam sentiasa mencari ruang untuk melemahkan perjuangan Islam. Mereka akan menggunakan segala bentuk saluran dalam usaha mengikis kepercayaan masyarakat kepada perjuangan PAS. Usaha-usaha ini semakin hari semakin kuat dengan sokongan secara tidak langsung puak-puak Yahudi dan sekutu-sekutu mereka. Oleh demikian pendokong-pendokong dan pejuang-pejuang Islam harus sentiasa berhati-hati dengan permainan dan tipu muslihat musuh Islam serta tidak terpengaruh dengan hasutan dan provokasi mereka. Mereka boleh menyerupai orang Islam dan berbicara tentang Islam tetapi mereka adalah seperti Abdullah bin Ubai dan golongan inilah yang paling bahaya dan perlu diambil perhatian kerana golongan yang lain seperti Yahudi sememangnya sudah jelas penentangan mereka terhadap Islam.

Dalam pada itu kegiatan usrah harus dipertingkatkan agar kekuatan dan istiqamah dalam perjuangan sentiasa berterusan dan dipertingkatkan. Usrah amat penting kerana ia akan dapat membantu ahli-ahli untuk memperbaiki diri dan meningkatkan kekuatan dalam perjuangan lebih-lebih lagi dalam menghadapi perjuangan yang begitu mencabar dan penuh dengan kekeliruan dan tipu muslihat. Oleh itu jagalah dengan cermat segala rahsia jamaah, mengawal diri daripada tindakan yang menyalahi atau merugikan jamaah serta patuh dengan arahan pucuk pimpinan.

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjungan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai memenangan)” (Ali Imran: 200)

Ke Arah Pembebasan Ummah

Masyarakat Islam mestilah dihindarkan dari dipimpin oleh pemimpinan yang rapuh dan wadah yang hanyut mengikut arus pemimpinan itu, sekiranya perpaduan, keteguhan dan islah hendak diwujudkan dalam masyarakat Islam sebagas asas untuk mengislahkan Negara seluruhnya dan mengeluarkan masyarakat Malaysia dari dibelenggu penjajah untuk mengekalkan Negara ini terus terletak di bawah pengaruh kuasa-kuasa besar.

Masyarakat Islam mestilah dikembalikan kepada pimpinannya yang sejati yang telah diterangkan di dalam Al-Quran dan dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. Masyarakat Islam mestilah dikembalikan kepada pimpinan ulama yang mendokong dan memelihara syariat Allah S.W.T. Pengetahuan di dalam bidang syariat Allah, penghayatan ke atas syariat itu,pemeliharaan yang berterusan ke atas syariat dan ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah, hendaklah menjadi ukuran penting masyarakat Islam bagi menilai pemimpinannya. Masyarakat Islam hendaklah menjadikan orang yang layak di sini Allah sebagai pemimpin mereka dan bukan orang yang layak dilihat dari sudut pandangan penjajah dan kuncu-kuncunya.

Program kami untuk mengembalikan kepimpinan ummah kepada ulama dalam rangka mengislahkan masyarakat Islam, berjalan seiring dengan usaha membangun kembali jiwa ummah merupakan dan memperkuatkan kesedaran mereka, mengukuhkan keyakinan terhadap aqidah Islam sebagai asas kepada pembinaan kembali insan muslim menerusi program pendidikan dan tarbiyyah yang akan dikendalikan perlaksaannya oleh Dewan Ulama dan Intelektual Islam yang diberi tugas dan peranan penting dalam penyusunan baru organisasi Parti Islam yang akan dibentangkan dalam Muktamar ini.

Para Ulama dan Intelektual Islam merupakan gabungan tenaga yang penting dalam usaha memupuk dan meningkatkan kesedaran Islam di kalangan ummah. Seluruh tenaga PAS di peringkat ahli-ahli dan pimpinan mestilah turut serta secara aktif bagi membantu para ulama dan intelektual Islam itu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka dalam suasana baru itu.

Sumber: Ucapan Dasar Pemangku YDP Agung PAS (pada ketika itu), Ustaz Hj Yusuf Rawa bertajuk Ke Arah Pembebasan Ummah, 29 April 1983 bersamaan 16 Rejab 1403.

Tuesday, November 3, 2009

Umat Keliru


Manusia kalau tidak dapat membezakan undang-undang manusia dan Allah ditambah lagi dengan sifat keangkuhan inilah akibatnya. Biarpun dalam enakmen termaktub peraturan-peraturan tertentu dan peraturan-peraturan ini hanya sebagai sifat pertadbiran jabatan ia harus dikendalikan dengan bijaksana. Benar, dalam enakmen Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) menyebut mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada JAIS tetapi pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor sewajarnya bijak dalam tindakan. Mana satu lebih penting, peraturan itu sendiri atau muzakarah? Jika penceramah tersebut dari kalangan ustaz-ustaz yang tidak dikenali atau sememangnya meragukan penyampaiannya sewajarnya mereka bertindak tetapi penceramah tersebut terdiri dari kalangan pensyarah universiti yang bertauliah dan sebagainya tidak sepatutnya penekanan kepada peraturan tersebut dilakukan dengan kasar.

Demikianlah yang berlaku kepada Datuk Dr Asri Zainul Abidin seorang yang berkelulusan ijazah Doktor Falsafah dalam pengajian Al-Qur'an dan sunnah, bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan merupakan pensyarah bahagian Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia tetapi tidak layak mengajar di Negeri Selangor kerana tanpa tauliah. Jika benar pun JAIS tidak memilih siapa pun dalam menguatkuasakan peraturan sepatutnya mereka berjumpa dengan beliau dan berbincang dengan harmoni serta menjelaskan akan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi.

JAIS benar-benar telah mengelirukan umat Islam dengan peraturan-peraturan mereka sendiri dengan cara penangkapan yang sungguh mengaibkan dan menjatuhkan maruah beliau sehingga melibatkan hampir 100 pegawai JAIS termasuk polis seolah-olah operasi memburu seorang penjenayah. Pastinya, musuh-musuh Islam akan bertepuk tangan dan mentertawakan umat Islam sendiri. Kerajaaan Negeri Selangor dan JAIS khususnya harus memperbetulkan keadaan ini dan mengambil tindakan sewajarnya agar sikap terbukaan dalam menuntut Ilmu yang diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri Selangor tidak menjadi sia-sia sahaja. Bukan ingin memihak kepada sesiapa tetapi kaedah haruslah tepat dan berhikmah. Dalam pada itu, Dr Asri harus muhasabah diri akan faktor-faktor yang menjadi musibah pada diri beliau kemungkinan beliau ada membelakangkan sunnah atau Ijmak ulama dalam penyampaian beliau. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Pengampun.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat- ayat kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. (Surah al- A’raf: ayat 175-176).