Friday, April 30, 2010

Laluan Menuju Kepada Jalan Allah

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan. Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup. Untuk menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, MahaPengampun.” (Al-Mulk: 1-2)

Antara jalan-jalan untuk membersihkan hati ialah dengan melalui ujian-ujian daripada Allah Taala. Manusia yang menuju kepada jalan Allah adalah golongan yang mencari suatu yang bersih dan untuk mendapatkan yang bersih terlebih dahulu manusia itu membersihkan hatinya dari segala kekotoran sifat mazmumah. Semakin kuat ujian yang dilalui semakin dekat manusia itu menuju kepada jalan Allah umpama sebiji permata apabila semakin kuat diberi tekanan dan kepanasan maka semakin tinggi nilainya. Dengan ujian manusia dapat mengenali diri dan hati mereka dan merasa bimbang serta gelisah jika tidak diuji kerana mereka tidak melihat pada ujian itu tetapi melihat ia datang dari Allah. Ujian yang berjaya ditempuhi dengan sabar akan menghapuskan segala dosa-dosa dan meningkatkan darjat manusia di sisi Allah Taala.

Namun sebagai manusia, ia sentiasa terdedah dengan hasutan hawa nafsu dan godaan syaitan, sifat keluh kesah dan gelisah sentiasa menghantui diri mereka ketika dilanda ujian dan musibah. Maka dengan keimanan sahajalah ia dapat melawan hasutan dan godaan tersebut disamping mendekatkan diri kepada alim ulama dan orang-orang yang beriman demi mendapatkan kekuatan dan nasihat yang berguna. Firman Allah, “Demi masa. Sungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.” (Al-Asr: 1-3)

Disamping itu tingkatkan sifat mahmudah ke dalam hati seperti kurang sabar kepada berbanyak sabar, sedikit syukur kepada banyak bersyukur, kurang memaafkan kepada banyak memberi maaf, kurang yakin kepada menebalkan keyakinan dan menanamkan segala sifat-sifat yang baik ke dalam hati. Dalam hal ini bagaimana untuk menghindarkan diri daripada mengeluarkan sifat-sifat yang buruk dari hati? Ia dapat dilakukan dengan memperbanyakkan berzikir kepada Allah dan beristiqhfar kepadaNya. Mengurangkan bercakap dan pandangan juga salah satu cara untuk melatih diri daripada mengeluarkan kata-kata buruk yang boleh mengelapkan hati manusia. Firman Allah yang bermaksud,”Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya yang tidak terlihat oleh mereka, mereka memperoleh ampunan dan pahala yang besar.” (Al-Mulk: 12). Dan akhirnya dengan limpah RahmatNya, hati manusia di sinarkan dan diwangikan dengan cahaya keimanan. Maka disaat itu tiada yang lebih ditakuti dan berserah diri hanya kepada Allah Taala sahaja.

Hanya Allah Tempat Memohon

Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah memiliki kekuasaan langit dan bumi. Dia menghidupkan dan mematikan. Tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah.” (AT-Taubah: 116)

Manusia bila menghadapi musibah sering kali tercari-cari kemana arah hendak dituju dan sehinggakan ada dikalangan mereka mendapatkan pertolongan daripada bomoh-bomoh atau tukang-tukang tilik untuk membantu menyelesaikan masalah mereka. Jika mendapatkan pandangan atau nasihat daripada manusia mengenai cara-cara atau amalan-amalan yang perlu dilakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah ia tidak menjadi kesalahan kerana setiap manusia dikurniakan berbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi jika dijadikan manusia sebagai penyelesai masalah adalah syirik hukumnya kerana secara tidak langsung menganggap manusia itu sendiri sebagai penyelesai masalah mereka. Kita sering terbaca di iklan-iklan majalah, akhbar dan sebagainya sesetengah orang menawarkan perkhidmatan menyelesaikan masalah orang ramai dengan janji-janji dan contoh-contoh masalah yang mereka telah berjaya selesaikan disertakan testimonial daripada orang-orang telah mendapatkan khidmat mereka seperti bomoh itu, bomoh ini dan sebagainya. Dalam hal ini secara tidak sedar kita telah melakukan syirik kepada Allah jika kebergantungan kita bukan kepada Allah tetapi kepada bomoh-bomoh ini.

Kebanyakkan kita masih tidak yakin dengan Allah walaupun mengaku beriman kepada Allah tetapi keimanan hanya dibibir sahaja seumpama senipis kulit bawang dan boleh tergugat dengan mudah begitu sahaja.
Dari sudut lain pula, orang-orang yang terhimpit dengan masalah tidak mahu menyemak kembali diri mereka dan kembali kepada Allah. Kita hendaklah muhasabah kepada Allah apakah kesalahan-kesalahan yang telah kita lakukan samada secara sedar atau tidak. Dengan kembali kepada Allah kita dapat menghindarkan diri daripada sifat bongkak dan sombong terhadap orang lain biarpun mereka telah melakukan kesalahan kepada kita kerana ada ketikanya Allah murka kepada manusia melalui manusia juga sebagaimana Allah memberi kebaikan kepada manusia dengan memberi ilham kepada manusia lain untuk berbuat baik kepada atas kebaikan manusia tersebut kepada orang lain sebelum ini.

Dari Abu Hurairah r.a. meriwayatkan dari Nabi SAW, beliau bersabda, “Barangsiapa melepaskan salah satu kesusahan dunia dari seorang mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan hari kiamat darinya. Barangsiapa memudahkan orang yang tengah dilanda kesulitan, maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya.
Barangsiapa menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, membaca kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali bahwa ketenteraman akan turun kepada mereka, rahmat Allah memenuhi mereka, malaikat menaungi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan makhluk yang berada di sisi-Nya. Barangsiapa cacat amalnya, maka nasabnya tidak akan, menyempurnakannya.”

Manusia hanya melihat kebendaan sahaja tetapi tidak menilai dan meletakkan kebendaan itu sebagai jambatan untuk beribadat kepada Allah dan ganjaran pahala daripada Allah. Manusia hanya melihat kekurangan pada diri sendiri tetapi tidak melihat kebawah kekurangan orang lain. Manusia hanya merintih kesusahan diri sendiri tetapi tidak merenung kesusahan orang lain. Manusia hanya memikirkan kehilangan pada diri sendiri tetapi tidak simpati kehilangan pada orang lain. Walhal perkara-perkara tersebut boleh dijadikan sebagai jalan-jalan untuk mereka menambahkan dan mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah. Padahal perkara-perkara tersebut boleh mendekatkan diri mereka kepada Allah. Sebaliknya, ia mengurangkan lagi pahala hatta menambah dosa pada diri mereka dan bertambah berat lagi apa yang mereka hadapi akibat tidak meletakkan keyakinan kepada Allah dalam segala hal.

Berbalik kepada bermohon bantuan kepada Allah, kita semestinya meletakkan keyakinan bahawa bantuan Allah pasti datang kepada kita. Sebelum Allah menghantar bantuanNya, kita harus berusaha, bertaubat dan berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah supaya memberi bantuan dan menyelesaikan masalah kita. Adakala Allah memberi bantuan kepada kita dalam bentuk yang berbeza-beza.

Firman Allah yang bermaksud, “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Berdoalah kepadaNya dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan.” (al-A’raaf: 55-56)

Membalas kebaikan orang dengan kebaikan suatu yang biasa, membalas kesalahan orang dengan kesalahan suatu yang lumrah tetapi membalas kesalahan orang dengan kebaikan amat sukar kita lakukan. Jika kita berhasil membalas kesalahan orang dengan memberi atau membalas dengan kebaikan pula kepadanya ia merupakan suatu kejayaan meletakkan diri kita dengan sifat kemanusian yang sangat tinggi. Hilangnya sifat amarah kita, lunturnya keegoaan kita dan terserlah sifat-sifat kemurniaan diri kita. Memang sukar untuk melakukannya tetapi jika kita berjaya bermakna kita telah meletakkan diri kita pada tahap yang sangat tinggi di sisi Allah Taala.

Prof Dr Hamka dalam buku karangannya bertajuk Peribadi menulis antara ungkapan yang amat bernilai dan perlu kita harus renungi ialah “Membalas baik dengan jahat adalah perangai serendah-rendahnya. Membalas jahat dengan jahat bukanlah perikemanusiaan. Membalas baik dengan baik adalah hal biasa. Tetapi membalas jahat dengan baik adalah cita-cita kemanusiaan yang setinggi-tingginya. Kita harus sanggup hidup memberi cita-cita itu tumbuh”.

Manakala Lukman Al-Hakim mengungkapkan, “Tidaklah dapat kita mengenal orang melainkan pada tiga waktu: Tidak dapat diketahui adakah seorang pemaaf melainkan ketika dia marah. Tidak dapat dikenal orang yang berani melainkan pada waktu berjuang. Tidak dapat dikenal sahabat melainkan dalam waktu susah”.
Sekiranya kita renungi dan hayati sepenuhnya dengan penuh ketakwaan dan keimanan kedua-dua ungkapan tersebut membawa pengertian yang amat mendalam ertinya. Ia mengajar kita erti kesabaran dan ehsan dalam hati manusia dan antara jalan-jalan pembersihan dan kejernihan hati serta meningkatkan darjatnya disisi Allah Taala. Oleh demikian bersama-samalah kita berusaha dan bersedia mengamalkannya semoga Allah sentiasa memberi perlindungan dan hidayah kepada kita sehingga menjadi insan yang mendapat keampunan dan kerahmatanNya, Insyallah. “ Ya Allah, aku memohon kepadaMu jadikanlah akulah hambaMu yang sentiasa bersyukur dengan nikmatMu, jauhkanlah hatiku dari sifat-sifat yang keji, lindungilah aku dari kejahatan manusia, jin dan syaitan. Ya Allah, ampunkan dosaku dan dosa kedua ibubapaku serta orang-orang muslimin dan muslimat sekelian. Ya Allah…Ya Allah…Ya Allah…amin