Friday, September 17, 2010

Sultan Kelantan ke-19


Sabda Nabi Muhammad S.A.W,
خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم وتصلون عليهم ويصلون عليكم , وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم , قيل يا رسول الله , أفلا ننابذهم عند ذلك؟ قال : لا , ما أقاموا فيكم الصلاة , لا ما أقاموا فيكم الصلاة , ألا من ولي عليه وال , فرآه يأتي شيئا من معصية الله فليكره ما يأتي من معصية الله ولا ينزعن يدا من طاعة
Maksudnya : “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah orang yang kamu kasihkan kepada mereka dan mereka mengasihi kamu, kamu mendoakan buat mereka dan mereka mendoakan buat kamu. Seburuk-buruk pemimpin kamu ialah orang yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu,kamu mencaci mereka dan mereka mencaci kamu. Mereka berkata : kami pun bertanya : wahai Rasulullah apakah boleh kami bangkit menentang mereka pada waktu tersebut? Kata Nabi : tidak, selagi mana mereka menegakkan ibadat solat dikalangan kamu. Tidak, selagi mana mereka menegakkan ibadat solat dikalangan kamu. Ketahuilah…sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin, lalu dia melihat pemimpin tersebut melakukan sesuatu maksiat kepada Allah maka hendaklah dia membenci perbuatan maksiat kepada Allah tersebut. Janganlah dia menarik tangan ketaatan”- riwayat Muslim


Maka dengan rasminya pada 13hb September, 2010, Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra (Tengku Mahkota Kelantan) telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan ke-19 dan dengan permasyhuran itu melengkapkan lagi kepimpinan kerajaan Negeri Kelantan yang kini diterajui oleh kepimpinan ulama iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ini berdasarkan pemerhatian bahawa Tengku Faris merupakan seorang sultan yang mempunyai karisma dan peribadi yang berlatar belakangkan Islam serta mempunyai gaya kepimpinan yang amat disukai dan disenangi oleh seluruh rakyat Kelantan yang cintakan Islam. Baginda amat rapat dengan guru-guru pondok dan sering meluangkan masa mendengar kuliah-kuliah agama yang diadakan disekitar Kota Bahru terutama di Masjid Muhammadiah. Belum pernah ditemui seorang Tengku Mahkota mengimanikan solat kecuali baginda. Di sinilah terletaknya kekuatan dan kelebihan banginda.

Moga dengan perlantikan ini, Allah menurunkan rahmatNya keatas bumi Kelantan dan menjadikan negeri dan rakyat Kelantan umat Islam yang bertakwa kepadaNya dengan sebenar-benar takwa. Daulat Tuanku! AllahuAkhbar!

Ramadhan 1431 Telah Berlalu

Daripada Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu." Hadith riwayat oleh Nasai'e, Ibn Majah dan Baihaqi

Ramadhan 1431 telah meninggalkan kita samada kita sedari ataupun tidak dan samada kita rela ataupun tidak hanya yang mampu kita lakukan ialah bermunasabah dalam diri kita apakah ibadah, sedekah, solat, amalan sunat kita dan sebagainya sepanjang Ramadhan yang baru lalu itu diterima oleh Allah Taala. Diakhir Ramadhan ahli-ahli sufi, para abid akan menangisi dan bersedih kerana akan berlalunya bulan yang penuh keberkatan dan keampunan ini samada akan bertemu lagi ditahun akan datang tauapun tidak. Bagaimana dengan kita?

Disepanjang bulan Ramadhan kita berlumba-lumba mengerjakan amal ibadah, solat tahajjud, tarawikh, solat berjemaah dimasjid, berzikir, banyak bersedekah kepada fakir miskin dan amalan sunat yang lain. Kesan Ramadhan kepada orang yang ikhlas beribadah akan berpanjangan dibulan-bulan yang lain dan ini memberi petanda bahawa amalan mereka diterima oleh Allah Taala. Hasil daripada tarbiyyah Ramadhan mereka menjadi insan yang lebih baik dan bertambah kekuatan keimanan mereka kepada Allah Taala dan amalan-amalan mereka disepanjang Ramadhan tidak terhenti apabila berakhirnya Ramadhan tetapi berterusan selepas itu.

Mukmin yang sebenar tidak beribadah kerana bulan tetapi beribadah kerana Allah Taala hanya mengambil kesempatan akan keberkatan bulan Ramadhan yang dijanjikan ganjaran yang banyak jika beribadah pada bulan tersebut. Sabda Nabi S.A.W, “Setiap amalan itu bermula dengan niat.”

Jika disepanjang Ramadhan masjid dan madrasah dipenuhi dengan para jamaah yang ingin beribadah didalamnya tetapi kini masjid dan madrasah kembali semula kepada keadaan dan suasana sebelum Ramadhan. Kehadiran jamaah ke masjid dan madrasah hanya kepada jamaah yang sememang cinta kepada masjid sahaja tanpa mengira samada Ramadhan ataupun tidak. Mereka sentiasa istiqamah dengan masjid atau madrasah. Begitu juga bilangan jamaah yang mengikuti kuliah-kuliah yang dianjurkan oleh masjid atau madrasah hanya dipenuhi oleh jamaah yang sama sebelum Ramadhan manakala selain daripada itu kembali kepada kesibukan mengejar keduniaan.

Mukmin yang baik hendaklah membahagi masa seharian kepada tiga fasa iaitu sepertiga untuk bekerja, sepertiga untuk rehat atau tidur dan sepertiga lagi untuk ibadah khusus kepada Allah Taala. Oleh kerana bagaimanakah kehidupan manusia yang seharian mereka hanya tertumpu kepada keduniaan sahaja demi memenuhi tuntutan hawa nafsu mereka? Ramadhan sebenarnya telah mentarbiyyah orang-orang mukmin bagaimana membahagi kehidupan seharian mereka dengan teratur. Cuba kita fikirkan berapa banyak dalam seharian kita mengingati kepada Allah Taala, lidah dan hati kita menyebut-yebut nama Allah?

Demikian juga Ramadhan menjadikan seorang mukmin itu benar-benar seorang yang bertakwa dengan sifat-sifat takwa yang sebenar iaitu takut kepada Allah, beramal dengan al-Quran, menerima sahaja pemberian Allah (redha kepada Allah) dan sentiasa membuat persedian untuk bertemu denganNya. Oleh yang demikian, jika kita mempunyai tanda sifat-sifat takwa tersebut maka beruntunglah kita kerana kita telah mendapat keredhaan daripada Allah Taala dan amalan kita telah diterima Allah Taala. Insyallah. Firman Allah Taala yang bermaksud,"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan bagi orang-orang sebelummu, agar kamu bertakwa." (Al Baqarah:183)

Istiqamahlah dengan amalan kita yang dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana mukmin yang baik ialah mukmin yang sentiasa lebih baik dari hari semalam. Jangan kita rosakkan Eid Fitri kita dengan program-program yang melalaikan, mungkar dan banyak berhibur. Perbanyakkan kunjung mengunjung mengeratkan silatulrahim disamping itu mengekalkan perkara-perkara sunat yang kita lakukan dibulan Ramadhan seperti solat-solat sunat, bersedekah, zikir dan sebagainya.

Saturday, September 4, 2010

Doa Munajat

http://www.youtube.com/watch?v=RcJbWUMPYLQ

http://www.youtube.com/watch?v=2l3Nsrx8qRw

http://www.youtube.com/watch?v=s32dfF8vCik

http://www.youtube.com/watch?v=SiRAR7glRxg

http://www.youtube.com/watch?v=lVngt8g2kXU

http://www.youtube.com/watch?v=O9VcHepafwg

http://www.youtube.com/watch?v=Hc0bl-bzLmA

http://www.youtube.com/watch?v=Wesr7qzfExw

http://www.youtube.com/watch?v=4A4pFWJXQ68

Tuhanku Aku tidak layak untuk syurgaMu Tetapi aku tidak sanggup Menanggung siksa nerakaMu Oleh itu ampunkanlah Dosa-dosaku Sesungguhnya Engkaulah Maha PengampunTuhanku Aku tidak layak untuk syurgaMu Tetapi aku tidak sanggup Menanggung siksa nerakaMu Oleh itu ampunkanlah Dosa-dosaku Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun

Fasa Kedua Ramadhan Sudah Berlalu


Firman Allah Taala yang bermaksud,” Maka sampaikanlah kepada mereka (ancaman) azab yang pedih. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putus.” (al-Insyiqaq: 24-25)

Hari ini telah masuk 26 Ramadhan dan 3 atau 4 hari lagi Ramadhan 1431 akan meninggalkan kita semua samada akan bertemu atau tidak di tahun hadapan. Kebanyakan umat Islam tidak menghiraukan lagi atau kurangnya tumpuan kepada ibadah puasa ini dan banyak menumpukan tenaga mereka kepada persediaan menyambut Eid Fitri padahal dipenghujung Ramadhan inilah terutama pada 10 terakhir Ramadhan, Rasulullah melipat gandakan ibadat kepada Allah Taala kerana pada saat ini terdapat satu waktu yang sangat besar nilainya berbanding dengan waktu-waktu yang lain iaitu satu malam yang disebut Lailatul Qadar.

Firman Allah Taalah yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemulian itu?. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatus semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.” (Al-Qadr: 1-5)

Rendahnya Iman umat mutakhir ini, nipisnya iman umat di akhir zaman kerana mereka leka mengejar kebahagian dunia tanpa memperdulikan kehidupan yang lebih kekal abadi iaitu kehidupan akhirat. Ibadat mereka hanya hebat dipermulaan Ramadhan, amalan mereka hanya terisi diawal Ramadhan dan semakin berkurang dan leka apabila memasuki pertengahan Ramadhan. Pada hal 10 pertama Ramadhan adalah kenikmatan, 10 pertengahan adalah keampunan manakala 10 terakhir adalah bebas daripada api neraka. Seolah-olah umat manusia hanya mengambil kenikmatan daripada Allah tetapi tidak mahu keampunan dari Allah untuk bebaskan diri dari siksaan api neraka yang amat dahsyat azabnya. Apakah umat manusia berasa diri mereka tidak melakukan dosa-dosa atau apakah umat manusia tidak takut berhadapan dengan siksaan api neraka? Tidakkah kita merasa gerun dengan amaran Allah yang bermaksud,” Sungguh, azab Tuhanmu sangat keras.”(Al-Buruj: 12).

Kebanyakan masjid, surau atau madrasah hanya melimpah ruah pada awal Ramadhan sahaja hingga ada dikalangan jamaah merungut kerana masjid tidak mampu menampung jumlah jamaah yang banyak walaubagaimanapun apabila masuk sahaja 10 pertengahan Ramadhan sesetengah masjid hanya tinggal separuh sahaja berbanding dengan di awal Ramadhan sebelum ini dan kemakin berkurang dikahir Ramadhan. Masing-masing memenuhi ruang-ruang pasaraya-pasaraya, jualan-jualan murah dan sebagainya. Diwaktu ini tidak ada dalam jiwa mereka untuk beribadah dan beramal kepada Allah hanya terbayang pada Eid Fitri sahaja. Memang tidak salah membuat persiapan menyambut Eid Fitri tetapi keutamaan diberi kepada tempat yang salah dan tidak tetap.

Apakah kita tidak mencapai tahap ketakwaan yang diharapkan padahal Ramadhan itu menjadi tarbiah kepada kita untuk menjadi insan yang lebih bertakwa jika dihayati dengan sepenuhnya. Firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 183). Selepas Ramadhan kita kembali kepada amalan-amalan lama, masih dengan sifat kesombongan kita dan sebagainya. Kita belum lagi mencapai ketakwaan yang sebenar yang dikehendaki oleh Allah Taala kerana takwa itu itu terdiri kepada empat perkara iaitu takut kepada Allah, beramal dengan al-Quran, redha dengan pemberian dari Allah dan bersiapa sedia untuk bertemu dengan Allah.

Kita masih tidak takut dengan Allah kerana jika kita takut dengan Allah kita akan menurut segala perintah dan larangannya. Saban hari kita sentiasa melanggar suruhannya dan melakukan larangan-larangannya walaupun telah jelas hukumnya dalam al-Quran dan hadith Nabi. Makin ramai umat manusia yang tidak melakukan solat, puasa dan sebagainya walaupun ia adalah perkara wajib dan salah satu daripada rukun Islam.

Kita juga masih tidak beramal dengan al-Quran sepenuhnya. Banyak hukum-hukum yang digariskan dalam al-Quran kita abaikan atau kita mengambil hukum yang lain menggantikan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah atas berbagai-bagai alasan. Membimbangkan lagi tanpa sedar kita mempertikaikan dan mempersendakan hukum-hukum Allah seperti hudud, qisas dan sebagainya. Kita masih sombong dan angkuh dengan Allah juga dengan sesama manusia.

Kita masih lagi mempersoalkan rezeki yang kita terima dan membandingkan orang lain dengan kita dan menyalahkan takdir kerana kekurangan kita. Kita tidak menyatakan kesyukuran akan pemberian nikmat Allah yang sangat kepada kita. Syukur bukan hanya menyatakan Alhamdulillah dengan lisan dibibir tetapi menterjermahkan dengan hati dan keikhlasan jiwa.

Kita sebenarnya belum bersedia untuk bertemu dengan Allah kerana kita masih leka dengan hal-hal dunia, masih memikirkan kemewahan dunia, masih berlumba-lumba mengejar kesenangan dunia dan hanya meluangkan masa yang sedikit memikirkan tentang azab kubur, soalan-soalan Malaikat Mungkar dan Nangkir, azab neraka, titian siratalmustaqim dan sebagainya. Masih banyak lagi hilai ketawa kita dan kurangnya menangis menyesali diri yang lupa kepada perintah kepada Allah. Apakah kita merasa diri kita boleh menempuh dan menghadapi semua ini tanpa sebarang ketakutan? Jika beginilah kita selepas Ramadhan bermakna ini tanda-tanda bahawa Ramadhan kita hanya berlapar dan dahaga sahaja sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Betapa banyak orang yang berpuasa namun dia tidak mendapatkan dari puasanya melainkan hanya rasa lapar dan dahaga.” (Riwayat Ahmad). Puasanya kita hanya kerana pada adatnya semua orang berpuasa bila tiba bulan Ramadhan tanpa punyai sebarang roh Ramadhan. Oleh kerana itulah kebanyakkan kita lebih mengutamakan menyambut Eid Fitri sebelum kedatangan Ramadhan itu sendiri. Kerana itulah kebanyakkan kita sebelum dan selepas Ramadhan serupa sahaja tanpa sebarang perubahan dan peningkatan keimanan dan ketaqwaan. Bersegeralah muhasabah dan memperbaiki diri supaya kita tidak menjadi manusia yang sentiasa rugi. Firman Allah yang bermaksud, "Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian". (Al-Asr: 1-2)