Saturday, May 15, 2010

Bangkitlah Menentang Lesen Judi Piala Dunia 2010


Firman Allah Taala yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung”. (Al-Maidah: 90)

Ayat diatas menegaskan tentang larangan Allah Taala terhadap minuman keras dan berjudi dan menyifatkan orang-orang melakukan perbuatan tersebut tergolong bersama-sama dengan syaitan. Tergolongnya mereka dengan syaitan bermakna mereka termasuk di kalangan orang-orang yang dilaknat oleh Allah Taala dan di akhirat kelak dihimpunkan bersama-sama dengan ahli neraka. Apa yang jelas ialah kepada umat Islam, judi merupakan dosa-dosa besar yang ditegah di dalam Al-Quran dilakukan walau dengan apa alasan sekalipun sehingga Allah menyifatkan orang yang terlibat dengan perbuatan-perbuatan ini termasuk dengan perbuatan syaitan. Begitulah penegahan Allah Taala terhadap perbuatan tersebut.

Jika umat Islam dilarang mendekati judi maka dari sudut istilah bahasanya terlibat dengan penjualan judi, berkerja, menyediakan sumber atau alat-alat perjudian, memberi lesen dan perkara-perkara yang berkaitan dengan judi hukumnya berdosa juga. Jadi samalah juga dengan memberi kebenaran Lesen perjudian bola sepak piala dunia Jun 2010 oleh kerajaan baru-baru ini. Sifat dan perbuatannya sama maka bagaimana mungkin Negara yang mengaku sebagai sebuah Negara Islam sanggup meluluskan dan merestui perjudian ini. Sedar atau tidak bahawa inilah kesannya apabila Negara mengambil yahudi sebagai penasihatnya dalam pentadbiran Negara.

Kenapa pandangan daripada penasihat di Jabatan Perdana Menteri dalam hal ehwal Islam tidak dirujuk dahulu? Atau pandangan mereka hanya diperlukan dalam suasana atau keadaan untuk memuji kerajaan sahaja? Walau bagaimanapun sebagai penasihat kepada kerajaan dalam hal ehwal Islam mereka tidak perlu menunggu ditanya tetapi harus bertindak secara pro-aktif dalam isu-isu berkaitan dengan hukum-hukum Islam kerana amaran Allah dalam ayat 91 surah Al-Maidah yang bermaksud, “Dengan minuman keras dan judi itu, syaitan hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dan menghalang-halangi kamu dari mengingati Allah dan melakukan solat maka tidaklak kamu mahu berhenti?”.

Umat Islam tidak harus berdiam diri dalam isu ini terutama alim ulama walaupun teguran mereka akan mendapat kritikan dan tentangan dari kerajaan. Penguatkuasa-penguatkuasa yang beragama Islam juga harus menyokong usaha-usaha pihak tertentu menentang kelulusan lesen judi piala dunia ini walaupun secara tidak langsung seperti halnya berlaku diperhimpunan menentang lesen judi baru-baru ini di Masjid Kampung Baru. Sikap anggota-anggota polis yang beragama Islam seperti tidak prihatin dengan isu yang dibangkitkan sehingga menyuraikan peserta perhimpunan dengan cara tidak sopan. Sewajarnya mereka hanya mengawal keadaan bukan bertindak agresif kepada peserta perhimpunan ini. Apakah hanya kerana mereka anggota polis maka mereka tidak takut dengan hukum Allah?. Firman Allah,”Dan katakanlah (Muhammad), kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu, barang siapa menghendaki (beriman) hendaklah dia beriman, dan barang siapa menghendaki (kafir) biarlah dia kafir. Sesungguhnya Kami telah menyediakan neraka bagi orang zalim, yang gejolaknya mengepung mereka. Jika mereka meminta pertolongan (minum), mereka akan diberi air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan wajah. (Itulah) minuman yang paling buruk dan tempat istirehat yang paling jelek.” (Al-Kahf: 29)

Beginilah Kita Berpolitik Dalam Masjid


Oleh Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Masjid adalah Pusat Dakwah dan Pemerintahan di Zaman Nabi (s.a.w.) Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) merupakan pusat kegiatan Jamaah Muslimin. Ia bukan setakat tempat beribadat dan sembahyang bahkan sebagai tempat beribadat, markaz ilmu, kelab sastera, parlimen, tempat perkenalan, tempat berkumpulnya rombongan-rombongan yang datang dari seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab, tempat Rasulullah (s.a.w.) membuat pertemuan dengan mereka dan tempat Rasulullah (s.a.w.) menyampaikan khutbah dan tunjuk ajarnya tentang seluruh kehidupan sama ada urusan keagamaan, kemasyarakatn dan pentadbiran.Di dalam kehidupan Rasulullah (s.a.w.) tidak ada pemisahan di antara urusan agama (mengikut istilah orang sekarang) dan politik. Baginda tidak mempunyai satu tempat yang lain bagi politik dan permasalahannya selain daripada masjid. Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) adalah markaz dakwah dan politik.Masjid Di Zaman Kegemilangan dan Zaman Kemuduran.
Begitu juga di zaman Khulafa Ar Rashidin selepas Rasulullah (s.a.w). Masjid dijadikan sebagai tempat pelbagai aktiviti sama ada aktiviti politik dan sebagainya.Abu Bakar as-Siddiiq menyampaikan ucapan dasarnya yang pertama di masjid. Disinilah beliau menerangkan program politik atau strategi pemerintahannya. Beliau berkata: “Wahai manusia! Aku dilantik memerintah kamu. Aku bukanlah orang yang paling layak dari kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, perbetulkanlah aku.”
Umar bin al-khattab juga menyampaikan ucapan dasarnya di masjid, beliau berkata: “Wahai manusia! Sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku!” Lalu seoang makmum berkata: “Demi Allah, jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkannya dengan mata pedang kami!” Umar menjawab: “Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, mereka yang akan membetulkan penyelewengan Umar dengan mata pedangnya.”
Masjid terus berfungsi di zaman sebaik-baik umat ini dan di zaman kegemilangannya.Tetapi ketika luputnya bintang tamadun Islam dan umat Islam menjadi mundur dalam segenap bidang kehidupan, fungsi masjid turut berubah. Masjid hanya dijadikan tempat menunaikan sembahyang sahaja. Khutbah yang diucapkan mati tidak bertenaga. Kerana ia bukan menyampaikan khutbah tetapi membaca khutbah. Tajuknya hanya berligar di sekitar zuhud di dunia, mengingati kematian, fitnah kubur, dan azab akhirat.Oleh kerana itu sewaktu ruh kebangkitan Islam mula meresapi tubuh umat ini, kita dapati sebahagian daripada khatib bercakap tentang permasalahan umat Islam, mengkritik suasana penyelewengan kehidupan umat, khususnya kezaliman pemerintah, kebisuan ulama dan kedinginan cendikiawan.
Oleh itu kita dapati, setengah orang berkata: Khatib itu bercakap tentang politik…! Politik Yang Diterima dan Politik Yang Ditolak.Kenapa ketika disebut kalimah ‘politik’, seolah-olah ia merupakan satu kehinaan atau jenayah ?! Sedangkan ilmu politik adalah satu cabang ilmu yang paling mulia dan orang yang berkecimpung dalam bidang politik adalah mereka yang memikul satu tugas yang paling mulia. Yang peliknya lagi ialah sebahagian ahli politik sendiri yang bertanya: "Adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik ?” Sedangkan mereka bergelumang dalam politik daripada hujung rambut ke hujung kaki.Politik itu sendiri bukanlah perkara mungkar dan kotor, apabila ia mengikut garisan-garisan yang telah ditetapkan oleh prinsip-prinsip Islam dan berada di dalam lingkaran hukum dan nilai-nilainya.
Politik yang ditolak ialah politik ‘Micheavelli’ yang menyatakan matlamat menghalalkan cara, tidak beriltizam dengan akhlak serta nilai-nilai kebaikan dan mengenepikan halal dan haram.Manakala politik dengan maksud mentadbir urusan seluruh manusia dengan menjaga kepentingan mereka dan menghilangkan keburukan serta menegakkan keadilan di kalangan mereka, makia ia adalah selari dengan agama, bahkan ia adalah sebahagian daripada agama kita, kerana Islam itu adalah aqidah, ibadah, akhlak dan sistem hidup yang lengkap.Risalah masjid sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam yang sebenar tidak dapat digambarkan bahawa ianya boleh dipisahkan daripada politik dengan pengertiannya yang di atas.
Masjid diwujudkan untuk menangani seluruh permasalahan umat Islam dan setiap yang memberi kebaikan dalam urusan agama dan dunia mereka. Melalui masjidlah manusia mempelajari kebenaran, kebaikan, kelebihan di dalam seluruh kehidupan mereka, samada dari segi kerohanian, kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.Hal ini dikenali sebagai ‘an-nasiihah’, salah satu kewajiban Islam yang diketahui, di mana Nabi (s.a.w.) menjadikankannya sebagai seluruh agama sebagaiaman di dalam sabdanya ; الدين النصيحة : قلنا لمن؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وإمامهم“Ad-Deen itu adalah nasihat…” Sahabat bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulullah?”Sabdanya: “Bagi Allah, Kitab وRasul, dan Imam Muslimin serta umat Islam seluruhnya.” Ia juga termasuk dalam konteks berwasiat dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran yang dijadikan oleh al-Quran sebagai syarat untuk mendapat keselamatan daripada kerugian di dunia dan akhirat.
Firman Allah bermaksud *( Al-Asr: 1-3): “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”Ia juga tergolong daripada amar-makruf dan nahi mungkar yang dijadikan oleh Allah Taala sebagai sebab utama kepada kebaikan umat ini.
Firman Allah (s.w.t.): كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan kamu beriman kepada ALLah.” (Ali-Imran: 110).
Allah Taala juga menjadikannya salah satu daripada sifat asasi mukminin dan mukminat. Firman Allah (s.w.t.): Maksudnya: “ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat serta ta’at kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itulah akan diberikan rahmat oleh Allah.”Di dalam ayat di atas, Allah (s.w.t.) mendahulukan kefardhuan amar makruf dan nahi mungkar daipada kefarduan solat dan zakat, sedangkan kedua-duanya merupakan rukun Islam. Ini menunjukkan kepentingan kefardhuan amar-makruf nahi mungkar.
Allah juga memberitakan kepada kita tentang laknat yang menimpa orang yang meninggalkan kewajipan ini di kalangan umat-umat yang terdahulu. FirmanNya:Maksudnya: “Orang-orang kafir Yahudi dari bani Israel telah dilaknat (di dalam kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah nabi Daud dan nabi Isa bin Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri)n dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka lakukan.”Melalui nasihat, berpesan dengan kebenaran dan amar makruf nahi mungkar, masjid berperanan di dalam memberi pengarahan terhadap urusan pentadbiran umat, memberi kesedaran kepada mereka tentang permasalahan hidup mati mereka dan mendedahkan kepada mereka tentang tipu daya musuh.
Semenjak dahulu lagi masjid berperanan meniupkan semangat jihad fi sabilillah dan semangat menentang musuh yang menceroboh.Intifadhah yang diberkati, yang berlaku sekarang di bumi ambiya’ ‘Palestin’ bermula dari masjid. Seruan pertamanya bergema dari menara azan. Pada permulaannya kebangkitan ini dinamakan sebagai kebangkitan masjid.Begitu juga jihad di Afghanistan dan lain lain tempat lagi, masjid mempunyai peranannya yang tidak dapat dinafikan.Yang ditegah ialah menyebut nama-nama orang tertentu dan pendetailan secara terperinci untuk mencerca, menjatuhkan maruah dan memaki hamun. Perkara seumpama ini tidak harus dilakukan di atas mimbar dan tidak harus juga mimbar dipergunakan untuk tujuan memburukkan nama orang dan untuk tujuan fanatik kepartian.Tetapi mimbar boleh digunakan untuk menyebut segala perkara yang melanggar syariat, walaupun ia merupakan polisi kerajaan. Masjid didirikan untuk meneguhkan syariat Allah bukan untuk meyokong polisi mana-mana kerajaan.Ketika kerajaan bercanggah dengan syariat Allah, maka masjid mesti berada di saf syariat, bukan di saf kerajaan.Tidak harus sama sekali masjid ditegah daripada haknya yang tradisi, logik dan bersejarah ini; iaitu hak memberi kesedaran dan peringatan kepada umat daripada taghut-taghut yang tidak melaksanakan syariat Allah dan meghukumkannya mengikut hawa nafsu mereka atau tuan-tuan mereka yang sedikitpun tidak mempunyai kekuatan ketika berhadapan dengan kekuatan Allah (s.w.t.)
Di sesetengah negara Islam, kerajaan mengeluarkan enakmen berhubung hukum kekeluargaan yang bercanggah dengan syariat Islam, lalu ulama bangkit menentangnya dan mengkritik di masjid-masjid, kerana media massa yang lain dikuasai oleh kerajaan. Tindakan kerajaan tersebut terhadap ulama-uama yang berani ialah hukum bunuh dan bakar! Perkara ini secara tepatnya berlaku di Somalia.Pemerintah menggunakan masjid sebagai trompet untuk mengembar-gemburkan polisinya. Apabila mereka mahu berdamai dengan Israel, maka mereka mengatakan bahwa perdamaian adalah satu kebaikan berdasarkan firman Allah (s.w.t):وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ Maksudnya: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah.” (Al-Anfaal: 61)Ketika hubungan mereka dengan Israel menjadi tegang, maka mereka mengatakan bahawa bangsa Yahudi adalah musuh yang paling ketat kepada orang-orang yang beriman. Perdamaian dengan mereka adalah haram dan khianat.
Demikianlah apa yang terjadi. Masjid tidak lagi menjadi lidah yang benar bagi risalah Islam, bahkan ia menjadi agensi dakyah kepada polisi kerajaan. Keadaan ini menyebabkan masjid hilang fungsi dan pengaruhnya di dalam masyarakat dan dalam waktu yang sama ia juga menjatuhkan kemuliaan ulama dan pendakwah kepada jalan Allah. Kita memohon kepada Allah (s.w.t.) agar memberikan keselamatan kepada agama dan dunia kita.

Saturday, May 1, 2010

Orang Melayu Memang Tak mahu Berubah

Kenyataan ini memang tidak digemari oleh sesetengah orang tapi itulah hakikatnya bahawa orang Melayu memang tidak mahu berubah dan sentiasa selesa dalam kehidupan mereka sekarang. Walaupun penulis juga ada campuran darah Melayu tetapi terpaksa menyatakan hakikat ini. Pada orang Melayu perubahan tidak perlu asalkan kehidupan mereka selesa dan tidak ada masalah. Peduli apa dengan hukum hakam, keadilan dan kebenaran kerana keselesaan yang penting. Oleh sebab itulah hidup peneroka felda sejak dari dulu hingga sekarang tidak pernah berubah jika adapun beberapa kerat sahaja. Namakanlah PESAKA, UMNO atau apa nama sekalipun mentaliti tetap sama, semangat melayuan hanya yang menebal dan ketaksuban kepada semangat kebangsaan yang tak bertempat namun semangat berkobar-kobar hilang dengan mudah dengan sogokan RM100 sahaja.

Memang benar taat kepada Raja adalah perlu tetapi ketaatan haruslah bertempat dan berprinsip seperti Jebat dengan prinsipnya bukan Tuah yang membuta tuli. Pada orang Melayu jika Raja bertitah semuanya betul dan benar belaka walhal Raja juga makhluk Allah juga dan perlu ditegur jika melakukan kesalahan. Inilah yang dikatakan taat membuta tuli. Pada orang Melayu bila pendapat bercanggah dengan Raja, derhaka hukumnya. Taat perlu tetapi tak perlu takut kerana Allah Taala yang berhak lebih ditaati.

Kekuasaan dan kemulian adalah pemberian sementara waktu sahaja dan tidak akan kekal selama-lamanya. Dalam surah Ali Imran ayat 26, Allah menegaskan yang bermaksud, “Katakanlah (Muhammad), Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari sesiapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Mahakuasa atas segala sesuatu.” Oleh kerana itu, seorang ulama yang tulen tidak pernah gentar dan berani menegur kesalahan pemerintah samada ia digelar dengan nama Raja, Sultan, Presiden, Perdana Menteri dan sebagainya.

Orang Melayu sering menurut atau merujuk sesuatu acara atau amalan turun temurun tanpa persoalan walaupun amalan tersebut tiada asas atau sandaran dari Al-Quran dan Hadith. Jika diajukan persoalan kenapa lakukan perbuatan tersebut maka jawapannya “Orang dulu-dulu pun lakukan jadi kami ikutlah”. Demikianlah jika bila ditegur bahawa perbuatan ini dilarang oleh Islam maka mereka menafikan bahawa orang dulu tak kata salah pun. Kerana apa? Kerana memang begitulah sikap orang Melayu tidak suka pada perubahan.

Firman Allah yang bermaksud,”Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Ikutlah apa yang telah diturunkan Allah,” mereka menjawab, “(Tidak!) kami mengikut apa yang kami dapati pada nenek moyang kami (melakukannya).” Padahal, nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa pun dan tidak mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah: 170)

Orang-orang China dan India bila diperjelaskan tentang Islam, mereka dapat menerimanya dengan terbuka dan menghormati pendirian orang-orang Islam malah mereka menerima dan mengakui akan kebenaran Islam. Sebaliknya orang-orang Melayu yang mengaku Islam mengakui akan kebenaran Islam tetapi meletakkan alasan lain untuk tidak melaksanakannya seperti masih kurang pengetahuan, kurang pendedahan, tidak bersedia dan sebagainya walhal sudah bergelar muslim selama 60 tahun. Apakah 60 tahun masih tidak cukup lagi pendedahan tentang Islam atau masih tidak cukup sedia lagi? Sebenar orang Melayu bukan mudah lupa tapi tidak mudah berubah dan sering merujuk kesusahan zaman Jepun, 13 Mei dan sebagainya. Sepatutnya rujukan hanya pada Al-Quran, Hadith, Qias dan Ijma Ulama serta sirah Nabi.