Sunday, September 28, 2008

Rayuan Akhir Ramadhan

Dikala kanak-kanak lain gembira bersama-sama ibu bapa mereka melakukan ibadah puasa dan tidak lama lagi Aidil Fitri namun bagi anak-anak mangsa ISA terpaksa menghadapi hari-hari mereka tanpa bapa mereka dengan penuh kesayuan dan kesedihan. Tiada dakapan dan belian ayah di sisi mereka sambil memandang rakan-rakan sebaya mereka ketawa ria bersama ayah mereka diwaktu berbuka dan bersahur. Dipisahkan daripada ayah mereka sehingga entah bila tanpa noktah yang ada, tanpa bicara untuk mereka dan tiada hukuman yang menjelaskan kesalahan mereka.

Anak-anak kecil ini tertanya-tanya dimanakah ayah mereka, anak-anak yang sudah mengerti tertanya-tanya apakah kesalahan ayah mereka. Apakah ayah mereka pengganas Negara, pengkhianat Negara atau ayah mereka merosakkan agama. Sudah tentu tidak! Yang pasti mereka tahu ayah mereka adalah pejuang Agama, menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Tapi masih tertanya-tanya dibenak hati mereka kenapa ayah mereka yang dipisahkan tanpa bicara walhal penjenayah-penjenayah lain ditangkap, dibicara dan dihukum (sudah tentu pasti tetap hari pembebasan mereka). Dalam Islam hanya mereka yang murtad sahaja dikurung tetapi hanya untuk ditarbiyyah semula dan ada waktu yang ditetapkan sekiranya tidak mahu bertaubat hukuman akan dijalankan tetapi bukan mangsa ini.

Bila kita melihat anak-anak ini tanpa belaian ayah mereka disisi, mata mereka merenung jauh entah kemana agaknya terbayang sekira anak-anak kita tanpa kita disisi. Bagaimana makan minum mereka, kehidupan mereka dan bagaimana isteri kita menghadapi kehidupannya tanpa seorang suami disisi membantu. Di mana dan bagaimana mencari nafkah hidup untuk meneruskan kehidupan ini dan menghadapi pandangan masyarakat terhadap keluarga mereka. Mereka bukan penjenayah tapi inilah hakikat yang mereka terpaksa hadapi kerana kebenaran. Jika punyai kekuatan rohani dan mental mereka akan dapat menghadapi cubaan ini dengan kesabaran dan setia tapi sebaliknya isteri membawa haluan masing-masing. Siapa nak dipersalahkan?

Renungkan mata-mata anak-anak kita ketika mereka tidur. Bayangkan kita tiada bersama mereka bagaimanakah kehidupan mereka? Ketika menyambut Aidil Fitri tidak dapat mencium tangan kita memohon maaf. Sanggupkah kita? Jika kita tidak sanggup, maka adakah kita sanggup melakukan terhadap orang lain? Demikian itu marilah kita sama-sama membantu keluarga-keluarga ISA ini demi satu perjuangan. Pastinya suatu hari nanti anak-anak ini akan bangkit menentang kezaliman ini.

Wednesday, September 24, 2008

Al-Quran Sebagai Panduan Manusia

Firman Allah Taala yang bermaksud; “Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada petala langit dan bumi serta gunung-gunung, maka kesemuanya telah enggan memikulnya dan takut kepadanya, sedang manusia mahu memikulnya, sesungguhnya manusia itu menganiaya dirinya (tidak jujur) dan amat bodohnya”. (Surah al-Ahzab: 72)
Daripada Luh Mahfuz dan dibawa ke langit dunia iaitu Baitul Izza kemudian diturunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W secara peringkat-pringkat bermula pada 17 Ramadhan untuk paduan kepada seluruh umat manusia dan rahmat kepada seluruh alam. Betapa hebat dan besarnya kalimah al-quran itu sehingga ia diturunkan kepada Baginda secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun di mana 10 tahun diturunkan di Mekah dan 13 tahun di Madinah.
Al-Quran diturunkan bagi menghuraikan masalah dunia dan mengadakan penawar untuk menghuraikan masalah tersebut. Allah Taala yang mencipta manusia dan segala makhluk di dunia ini, maka Allah juga yang mengetahui masalah-masalah manusia. Maka diturunkan Al-Quran sebagai panduan dan peraturan hidup dari semua sudut kehidupan manusia sehinggakan memberitau cara-cara mengajar manusia mengenal benda-benda sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud;

“Dan Tuhan mengajarkan Adam nama-nama kesemuanya”. (Surah al-Baqarah: 31)
Kesusahan Nabi Muhammad menanggung dalam menerima Al-Quran ini harus dibalas oleh umatnya dengan melakukan perkara-perkara berikut.

1. Percaya kepada Al-Quran (merupakan salah satu rukun Iman)
2. Sentiasa membaca Al-Quran
3. Memahami apa yang dibicarakan di dalam Al-Quran
4. Berusaha patuh dan beramal apa yang disampaikan di dalam Al-Quran
5. Berusaha menyampaikan berita dalam Al-Quran kepada orang lain
Sebagai makhluk ciptaan Allah adalah tidak wajar manusia meninggalkan undang-undang, peraturan-peraturan dan panduan-panduan yang Allah sampaikan kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui Jibril dan terkandung Al-Quran. Mencipta undang-undang sendiri dan meninggalkan peraturan Allah mengambarkan bahawa manusia mencabar dengan Allah sama seperti Firaun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan dan mencabar kekuasaan Allah. Sedangkan manusia tidak berupaya untuk mencipta kitab sama seperti Al-Quran walaupun satu ayat tetapi manusia masih enggan menjalankan undang-undang Allah dengan alasan-alasan yang dunggu. Apakah kita masih tidak sedar?

Istiqamah Dalam Amalan

Dewasa ini menjadi semacam menjadi satu trend menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel-hotel oleh syarikat-syarikat korporat dengan menjemput anak-anak yatim atau pelajar-pelajar tahfiz ke majlis tersebut. Perkembangan ini dari satu sudut amat membanggakan kerana pihak-pihak berkenaan terutama golongan korporat tidak mengabaikan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat namun persoalannya adakah sumbangan ini benar-benar tanggungjawab sosial atau satu trend masa kini untuk publisiti syarikat semata-mata namun tiada sedikit pun roh sedekah yang ada.
Bersedekah di bulan Ramadhan sememang sangat digalakkan dan dianjurkan oleh Islam tetapi kesinambungan harus berterusan selepas Ramadhan. Anak-anak yatim, pelajar-pelajar tahfiz, rumah orang-orang tua dan sebagainya di bulan Ramadhan akan melimpah ruah dengan sumbangan samada kewangan atau keperluan-keperluan lain seperti pakaian, makanan dan sebagainya namun apabila beralihnya Ramadhan putus segala sumbangan dan bekalan kepada golongan ini walhal mereka memerlukan bantuan bukan hanya pada bulan Ramadhan tetapi di bulan-bulan lain juga. Hanya segelintir masyarakat sahaja yang sentiasa istiqamah menyumbang bantuan kepada mereka. Cuba kita sama-sama renungi wajah anak-anak yatim ini dan letakkan diri kita berada di tempat mereka, tiada tempat mengadu hanya penjaga rumah anak yatim sahaja tempat mereka bergantung, pakaian entah setahun sekali berganti dan tempat tinggal ala kadar sahaja sekadar boleh berlindung dari panas dan hujan manakala bantuan dan sumbangan hanya muncul sekali dalam setahun.
Bersedekah dibulan sangat digalakkan di bulan Ramadhan tetapi masyarakat kita sering membuat kebajikan dan amalan hanya bermusim. Sepatutnya dibulan-bulan yang lain kita juga sentiasa bersedekah dan apabila tibanya bulan Ramadhan kita meningkatkan lagi amalan sedekah kita berlipat ganda lagi. Nabi S.A.W lebih suka umatnya yang sentiasa istiqamah dalam amalan daripada umat yang beramal secara bermusim.
Begitu juga dalam hal-hal solat sunat dan amalan sunat yang lain seperti solat tarawikh, membaca al-Quran dan sebagainya seharusnya amalan ini sentiasa berterusan dan dipertingkatkan lagi apabila berada di bulan Ramadhan. Oleh sebab itulah kita dapati puasa yang dilalui sepanjang Ramadhan tidak dapat membentuk iman dan taqwa yang kuat di dalam diri seseorang itu, tidak merasai dan menghayati roh Ramadhan dan sekelip mata akan berubah menjelang Syawal.

Monday, September 15, 2008

Negeri Di Bawah Pimpinan Ulama


Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu jatuhkan hukuman antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu merka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu”.
Sesebuah pemerintahan yang berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W, negeri itu akan sentiasa mendapat limpahan rahmat dan keberkatan daripada Allah Taala. Kemakmuran dan kesejahteraan dapat dinikmati dan dirasai oleh seluruh penduduk negeri tersebut hatta termasuk juga segala makhluk yang menghuni di situ. Demikianlah yang sedang berlaku di Negeri Kelantan sebuah negeri yang kini diperintah dibawah pentadbiran seorang ulama yang begitu tawadduk dan istiqamah untuk memperjuangkan Islam di muka bumi ini. Ulama tersebut adalah Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Negeri yang dikenali juga dengan Serambi Mekah ini sentiasa meletakkan pembangunan rohani selari dengan pembangunan fizikal. Setiap pembangunan yang dirancang sentiasa berpaksikan perintah Allah dan Rasul walaupun sentiasa mendapat tekanan dan menidakkan hak-hak kerajaan negeri oleh Kerajaan Persekutuan namun sehingga kehari ini Negeri Kelantan semakin pesat membangun.

Slogan Membangun Bersama Islam benar-benar member impak yang besar kepada Negeri Kelantan dan menghasilkan suatu umat yang berkualiti samada dari segi fizikal mahupun rohani. Kita lihat sahaja setiap hari Jumaat berduyun-duyun rakyat Kelantan dengan penuh minat mengikuti kuliah mingguan yang disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Nik Aziz mahupun oleh penceramah-penceramah yang lain. Suasana begini memang jarang kita dapati di mana-mana ditempat lain hatta belum kita temui seorang pemimpin menyampaikan majlis ilmu secara rutin seperti ini. Begitulah kesan daripada tarbiyyah yang diberikan oleh Tuan Guru kepada rakyat negeri Kelantan sehingga rakyat Kelantan dahaga dan gemar dengan ilmu akhirat. Kini kerajaan negeri Perak dan Kedah telah mula mencontohi model yang telah ditonjolkan oleh kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Aziz ini.

Sesungguhnya Allah akan membantu manusia yang sentiasa menolong dan berjihad dengan agamaNya dimuka bumi ini walaupun mereka menghadapi rintangan dan kecaman dari manusia-manusia yang engkar dan enggan melaksanakan dengan perintah Allah dan Rasul.

Thursday, September 11, 2008

Lailatul Qadar


Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan".

Antara kelebihan bulan Ramadhan ialah Allah mengurniakan umat Nabi Muhammad dengan satu malam yang menyamai amalannya 1000 bulan beribadah iaitu malam Lailatulqadar. Dianjurkan agar umat Islam bersedia menyambut dan menghayati malam yang penuh berkat ini dengan memperbanyakkan amalan dan ibadah seperti beriktikaf di masjid, memperbanyakkan solat sunat dan sebagainya.

Allah Taala sengaja merahsiakan bilakah berlaku malam Lailatul Qadar ini supaya umat Islam berusaha bersungguh-sungguh dan menghayati malam Lailatul Qadar ini. Mudah-mudahan dengan cara ini umat Islam akan dapat menemui dan mendapat rahmat yang diharapkan dan berbahagia di dunia dan akhirat serta bertambah keimanan kepada Allah Taala.

Amalan dan Doa pada malam Lailatul Qadar.
1. Solat sunat wudhuk selepas mengambil wudhuk
2. Solat hajat dan berdoa kepada Allah agar dipertemukan Lailatul Qadar
3. Membaca Al-Quran
4. Istighfar selama 30 minit atau 1000 kali
5. Berzikir Laailahaillallah1000 kali
Laailahaillallah Muhammad Rasulullah 300 kali
Allahuakhbar 300 kali
6. Bertasbih Subhanallah Walhamdulillah Walaillahaillallah Allahuakhbar 300 kali
Subhanallah Wabihamdih Subhanallahal Adzim 300 kali
Subhanallah Wabihamdih 300 kali
7. Membaca Penghulu Istighfar
8. Membaca Selawat
9. Solat sunat Tahajjud
10. Solat sunat Tasbih

Sesungguhnya orang-orang yang tekun beribadah di malam tersebut untuk menemui Lailatu Qadar akan mendapat rahmat daripada Allah Taala walaupun tidak menemui atau melihat Lailatul Qadar kerana apa yang penting ialah;
1. Menghayati malam tersebut untuk beribadah
2. Beriman dan yakin dengan Lailatul Qadar
3. Ikhlas kerana Allah

Diriwayatkan daripada Aisyah R.A bermaksud, "Nabi SAW apabila masuk 10 akhir bulan Ramadan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah".

Tuesday, September 9, 2008

Mohassabah Diri: Ramadhan Memasuki Fasa Ke-2

Ramadhan sudahpun hampir memasuki fasa yang kedua di mana umat Islam telahpun melalui Ramadhan melepasi hari ke-9 dan sebaik-baiknya kita menilai dimanakah kedudukan kita setakat ini. Adakah semakin bertambah amalan kita atau masih sama seperti sebelum ramadhan atau semakin berkurangan amalan kita. Mukmin yang berjaya ialah mukmin yang mempunyai amalan lebih baik daripada semalam dan bertambah baik keesokan harinya. Sepuluh yang pertama dalam bulan Ramadhan merupakan fasa Kerahmatan untuk umat Islam. Rebutlah peluang-peluang kenikmatan dan keberkatan yang Allah berikan kepada kita di bulan Ramadhan semoga kita berbahagia di dunia dan akhirat. Hendaknya kita tidak tergolong di kalangan umat yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja tanpa sebarang ganjaran daripada Allah Taala disebabkan kelalaian dan kealpaan kita sendiri dengan kesibukan urusan dunia dan sering berada di dalam keadaan yang mengurangkan pahala puasa itu sendiri. Akhirnya kita tergolong dikalangan manusia yang sangat rugi samada di dunia maupun di akhirat.

Dewasa ini umat Islam lebih mengutamakan sambutan Hari Raya daripada ramadhan itu sendiri. Ini dapat dinilai dengan persediaan dan persiapan menyambut Hari Raya dirancang seawal kedatangan bulan Ramadhan samada persiapan pakaian, kuih muih, hiasan rumah dan lebih mendukacitakan ialah rancangan-rancangan hiburan untuk Hari Raya. Masyarakat kita sering mendakwa bahwa persiapan Hari Raya perlu dirancang seawal yang mungkin bagi mengelakkan daripada tergesa-gesa pada saat-saat akhir sebelum menjelang Hari Raya. Namun, apakah sedemikian juga masyarakat kita lakukan bagi menghadapi kedatangan Ramadhan seperti puasa sunat dibulan Rejab dan Syaaban bagi melatih diri ketika menghadapi Ramadhan nanti? Hanya segelintir sahaja masyarakat kita yang berbuat sedemikian manakala kebanyakkannya melebih-lebihkan sambutan Hari Raya sahaja.

Alim ulama membuat persediaan Ramadhan seawal enam bulan sebelum kedatangan Ramadhan dengan memperbanyakkan puasa sunat dan sentiasa berdoa semoga mereka dipanjangkan umur agar dapat mengerjakan amalan puasa dibulan Ramadhan ini kerana para alim ulama mengetahui bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan yang tersangat istimewa dan bonus kepada umat Islam yang beriman jika mereka mengetahuinya.

Sewajarnya kita menyanjung tinggi dan mengambil contoh inisiatif yang dihasilkan dan kesungguhan oleh TUAN GURU NIK AZIZ memakmurkan KELANTAN dan menjadikan KOTA BHARU sebagai BANDARAYA ISLAM yang pertama di Malaysia di dalam memakmurkan bulan Ramadhan ini. Sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Qariah Ramadhan telah diwujudkan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Di perkampungan berkenaan programnya bukan saja lagi setakat mengerjakan solat sunat Terawih tetapi di situlah juga menjadi medium perhubungan ukhwah dan persaudaraan baik sesama muslim atau pun dengan bukan muslim apabila majlis melibatkan bukan Muslim juga turut sama diadakan. Sesungguhnya program Ihya Ramdhan yang dipenuhi dengan segala macam menu itu sesuatu yang unik dan menarik.

Masih belum terlambat lagi untuk kita meningkatkan lagi amalan-amalan kita mulai dua puluh terakhir bulan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan solat-solat sunat, zikir, selawat, sedekah dan sebagainya. Semoga pada tahun ini kita dipertemukan hari yang mempunyai kelebihan lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam lailatul qadar (Insyallah). Usah kita mengikuti sikap kebanyakkan masyarakat melayu Islam yang hanya nampak kemeriahan Hari Raya sahaja tapi mengabaikan keberkatan Ramadhan yang mulia ini.

Thursday, September 4, 2008

Perihal Menjaga Waktu Solat

Wahai saudaraku sekelian! bersegeralah solat pada awal waktunya, sampai di masjid atau musallah sebelum bermula muazzin menyerukan azan melainkan anda siap berwudhuk dan hadirkan diri di masjid. Jika sedemikian tidak dapat dilakukan paling kurang bersegera menuju musallah sebaik-baik anda mendengar seruan azan. Kita lazim mendengar sahabat-sahabat kita apabila masuknya waktu solat berkata, 'sebentar lagi', 'sedang sibuk' dan sebagainya. Walhal kita ketahui bahwa seruan Illahi adalah lebih utama daripada seruan yang lain, maka kenapa kita sering mengambil mudah soal ini. Apakah kita pasti bahwa kita akan sempat mengerjakan ibadah solat pada waktu yang kita jangka untuk mendirikan solat mungkin sebentar lagi malaikat maut sudah datang mencabut nyawa kita.
Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya;
"Keutamaan awal waktu dari akhirnya umpama keutamaan akhirat daripada dunia"

Ketahuilah bahwa solat adalah tiang agama. Sekiranya teguhnya solat maka teguhlah agama kita sebaliknya rapuhlah agama kita. Sesungguhnya syaitan dan nafsu sangat gemar mengingatkan manusia akan hal-hal penting yang berkaitan dunia walhal tidak terlintas sebelum waktu solat. Syaitan sering mengajak manusia untuk mengutamakan hal-hal dunia dan melewatkan hal-hal akhirat dan akhirnya manusia terlupa dengan kewajipan kepada Allah. Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat umpama syaitan yang dijauhkan dari rahmat Allah dan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan dan laknat Allah Taala.
Sabda Rasulullah yang maksudnya;
"Tiada agama (kepercayaan) bagi siapa yang tiada bersolat'
Menjadi kelaziman dewasa ini apabila seseorang sedang menghadiri sesuatu perjumpaan atau mesyuarat berat untuk meninggalkan majlis dengan alasan yang sangat dangkal dan lemah bahawa mesyuarat belum selesai, menjaga hati ahli mesyuarat bukan beragama Islam padahal tuntutan dan seruan Allah itu lebih utama daripada segalanya. Kita mengutamakan keuntungan duniawi yang sementara sahaja daripada keuntungan akhirat yang akan kekal selama-lamanya. Kita tersangat bertolak ansur atau bertolenrasi dengan manusia daripada takut kepada Allah Taala yang memberi nikmat yang tak terhitung banyaknya kepada kita.

Wednesday, September 3, 2008

Ramadhan Al-Mubarak

Hari ini merupakan hari ke-3 kita menjalankan ibadah puasa dan sama-samalah kita berdoa kepada Allah semoga kita dapat menjalankan ibadah puasa pada tahun ini tanpa sebarang halangan dan mendapat rahmat dariNya. Rasanya belum terlambat lagi untuk kita membicarakan tentang bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Antara tujuan berpuasa ialah Pertama: untuk menundukkan jiwa dari sesuatu yang disukai seperti makan, minum, jimak, melihat perkara-perkara maksiat dan sebagainya. Kedua: untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah Taala kerana puasa adalah hak Allah sebagaimana hadith Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud;
"Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu bagiKu dan Akulah yang membalasnya" (Hadis al-Qudsi riwayat al-Bukhari)
Antara persediaan kita sebelum menghadapi dan menjalankan ibadah puasa ialah Pertama: Bertawakkal kepada Allah. Kita hendak sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah untuk mendapat kemudahan menjalankan ibadah puasa, dipanjangkan umur, sihat tubuh badan, dimurahkan rezeki dan perkara-perkara yang dapat mendorong kita menjalankan ibadah puasa dengan sempurna. Kedua: Sentiasa Bertaubat kepada Allah. Kita hendaklah sentiasa bertaubat kepada Allah dengan memperbanyakkan melakukan solat taubat supaya segala dosa-dosa yang kita lakukan samada sedar atau tidak sedar diampunkan oleh Allah. Juga digalakkan membaca istighfar sekurang-kurangnya 70 kali dalam sehari semoga hati kita sentiasa bersih dan tenang ketika menjalankan ibadah puasa nanti.
Manakala ketika menjalankan ibadah puasa kita hendaklah menghiasi diri kita dengan akhlak-akhlak berikut:
1. Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat iaitu menjauhikan diri perkara yang dilarang oleh Allah dan juga dari perkara-perkara yang samar-samar antara halal dan haram.
2. Memelihara penglihatan daripada perkara yang tidak berfaedah dan maksiat.
3. Memelihara lidah daripada percakapan yang sia-sia dan dusta.
4. Bersifat pemalu seperti tidak mencampuri urusan orang lain, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap dan sentiasa berasa cukup.
5. Bersifat lemah lembut dan sabar seperti berfikiran terbuka, bertolak ansur, tenang dan tidak menyinggung perasaan orang lain.
"Sesungguhnya, Ramadhan adalah bulan yang diwajibkan Allah puasanya dan disunatkan solat malamnya. Maka barangsiapa menjalankan puasa dan solat malam pada bulan itu kerana iman dan mengharap pahala, nescaya bebas dari dosa-dosa seperti saat ketika dilahirkan ibunya". (Hadith Riwayat: An-Nasa'i)

Masih belum terlambat lagi untuk kita memperbanyakkan amalan-amalan dalam bulan Ramadhan ini. Marilah kita sama-sama mengejar ganjaran Allah Taala yang dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W di dalam bulan Ramadhan ini. Semoga selepas Ramadhan kita menjadi insan yang lebih baik dan berada di dalam linkungan rahmat Allah Taala. Insyallah.