Sunday, August 31, 2008

Selamat Datang Ke Madrasah Ramadhan

Alhamdulillah kita bertemu lagi bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan dan bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam lailatul qadar. Ramadhan mengajar dan menguji manusia erti ketahanan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah. Dan dengan datangnya Ramadhan seorang yang jarang ke Masjid akan dekat dengan Masjid, seorang yang jarang dengan majlis ilmu akan hadir dengan majlis ilmu, seorang yang jarang membaca al-Quran akan mula membaca al-Quran dan sebagainya. Umumnya dengan hadirnya Ramadhan ia mampu merubah diri seorang insan daripada kejahatan kepada kebaikan.

Mengambil keberkatan Ramadhan itu sendiri adalah amat sesuai seorang insan untuk memulakan perubahan diri dalam mendekatkan diri kepada Allah Taala demi mengubah diri atau memperbaiki diri kepada insan yang lebih baik lagi. Daripada seorang insan yang sentiasa bercampur baur dengan kemaksiatan dan jauh daripada perintah Allah kepada seorang insan yang penuh ketaatan dan beramal dengan amalan soleh. Kadang-kadang manusia sukar untuk memulakan suatu perubahan mungkin dengan alasan malu dan sebagainya tetapi dengan hadirnya Ramadhan peluang untuk berubah boleh dan dapat dilakukan asalkan ada keazaman dan istiqamah yang kuat.

Penulis amat tertarik sekali dengan keazaman seorang sahabat penulis yang ingin berhenti daripada merokok. Beliau sekian lama cuba untuk berhenti merokok tetapi masih tidak berjaya maka penulis mencadangkan beliau untuk memulakannya pada bulan Ramadhan kerana jika sepanjang hari dalam bulan Ramadhan boleh menahan diri daripada merokok (selain daripada menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa) maka mengapa tidak dilanjutkan selepas berbuka. Hasilnya sahabat penulis telah berjaya berhenti merokok sepenuhnya.

Oleh demikian mari kita mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadhan ini untuk merubah diri kita kepada insan lebih baik dan diri semakin dekat kepada Allah Taala. Perbanyakkanlah amalan-amalan sunat, Taubat, Tahajjud, baca al-Quran dan amalan lain yang mampu kita lakukan asalkan niat kita ikhlas hanya kepada Allah.
Doa awal malam Ramadhan,
“Allah yang Maha Besar, Ya Allah muliakanlah kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan dan Islam. Tuhanku, Tuhanmu ialah Allah”
___________________
Merokok bukan hanya merosakkan kesihatan tetapi hukumnya makruh. Jauhkanlah diri kita daripada banyak melakukan perkara yang makruh kerana dikhuatiri akan terjerumus kepada haram.

Malam Kemerdekaan Yang Membosankan

31hb Ogos ialah tarikh Negara kita menyambut hari ulangtahun kemerdekaan ke-51 dan menjadi kelaziman berbagai-bagai acara sambutan dibuat. Namun pada penulis malam menyambut hari kemerdekaan baru-baru ini sangat membosankan kerana semua saluran TV samada TV1, TV2, TV3, ASTRO dan apa sahaja saluran TV yang ada menyiarkan siaran hiburan yang membosankan dan membingungkan. Tiada mengisian dalam memantapkan diri hanya disuapkan dengan perbagai hiburan yang entah apa matlamatnya. Hiburan dan hiburan sahaja adakah ini yang dikatakan kemerdekaan. Walaupun ada sebuah kumpulan nasyid terkenal terlibat dalam program tersebut tapi pada pandangan penulis kalau kemungkaran lebih besar daripada ibadah lebih baik kumpulan tersebut tidak perlu terlibat dalam program tersebut kerana fitnah lebih banyak daripada kebaikkan. Tak perlu mencemarkan diri dalam program-program seperti ini kerana banyak lagi perkara-perkara yang lebih utama boleh dilakukan.
Sebutlah apa pun nama program tersebut DiAmbang Kemerdekaan ke dan apa-apa sahaja nama namun kesannya kepada golongan yang menghadirkan diri pada malam sambutan tersebut entah dimana agaknya. Berduyun-duyun yang hadir hanya semata-mata untuk hiburan sahaja tetapi apabila diajukan apakah kemerdekaan yang mereka dapat, jawapannya Negara bebas dari penjajah. Apakah hanya itu sahaja dikatakan kemerdekaan? Adakah Negara kita benar-benar bebas daripada penjajah? Benar, bebas daripada penjajah tetapi fizikalnya sahaja. Namun jiwa, sikap, naluri dan tindak tanduk masih lagi dijajah. Pemikiran masih lagi dijajah. Amalan masih lagi dijajah.

Masyarakat kita perlu diajar untuk memantapkan diri dalam perjuangan memerdekakan diri daripada amalan-amalan penjajah bukan dengan menjinakkan diri mereka dengan program-program hiburan seperti ini kerana tanpa rancangan seperti ini tidak bermakna kita tidak menghayati kemerdekaan negara kita. Kita masih lagi terikut-ikut dengan budaya, amalan dan cara negara-negara lain menyambut kemerdekaan. Kita mungkin terlupa bahwa kita adalah sebuah Negara Islam (seperti yang diistiharkan) dan pengistiharan itu melambangkan bahwa kita seharusnya mempamerkan nilai-nilai Islam dalam apa jua tindakan kita. Mengadakan perbarisan kemerdekaan setiap kali menyambut hari kemerdekaan 31hb Ogos tidak dilarang tetapi perjuangan memerdekakan diri, pemikiran dan jiwa rakyat Malaysia daripada amalan-amalan jahiliyah (daripada peninggalan penjajah) dan kembalikan kepada ajaran al-Quran hendaklah diperhebatkan.

Firman Allah yang bermaksud;
“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan member khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar. Dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih”. (Surah Al-Israa: 10-11)

Kalau dinilai kembali program-program yang disiarkan pada malam kemerdekaan ini dan kesannya kepada penonton-penonton pada malam tersebut, hakikatnya hanya bersifat hiburan sahaja sekembalinya mereka ke rumah masing-masing tiada ilmu yang manafaat dibawa sekadar membicarakan bagaimana artis ini menyanyi, cantiknya pakaian artis itu, hebatnya persembahan tersebut dan sebagainya. Mereka langsung lupa dengan kemerdekaan tersebut dan sekadar membazirkan wang rakyat sahaja demi penganjuran program tersebut.

Firman Allah yang bermaksud;
“Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat”. (surah asy-Syuura: 20)

Hiburan dan hiburan dan hiburan hanya ini sahaja modal yang kerajaan kita ada. Tiada modal lain kah yang dapat disantapkan kepada rakyat? Nilaikanlah sendiri dengan Iman.

Wednesday, August 27, 2008

Kemenangan Adalah Rahmat Dan Ujian


Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSA) telah memenangi kerusi Parlimen di dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh (P44) dengan majoriti 15,971 melebihi majoriti yang dimenangi oleh Datin Seri Wan Azizah di dalam pilihanraya umum baru-baru ini. Ini menandakan bahawa rakyat Permatang Pauh masih berdiri teguh di belakang DSA dan menaruh harapan kepada DSA untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat Permatang Pauh khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya walaupun beliau dihujani dengan berbagai asakkan, tohmahan dan tuduhan sejak akhir-akhir ini.

Usaha telah membuahkan hasil dan kemenangan telah tercapai maka sudah sampai masanya menunaikan dan mereliasisasikan janji-janji dan harapan yang diberikan kepada rakyat semasa berkempen ataupun ketika sebelum tercapainya cita-cita untuk bertanding dahulu. Kerana sudah menjadi lumrah manusia sebelum tercapainya cita-cita mereka berbagai-bagai janji ditaburkan, bermacam-macam agenda dilakarkan dengan sebegitu indah dan hebat sekali namun setelah termakbulnya cita-cita tadi janji-janji mereka terkubur dengan kejayaan cita-cita tadi. Kita percaya dan berdoa semoga DSA tidak bersikap sedemikian.

Kemenangan adalah rahmat dan juga ujian. Rahmat kerana usaha yang gigih dan doa yang berpanjangan telah dimakbulkan Allah manakala ujian kerana disitulah manusia diuji apakah mereka bersyukur dengan nikmat Allah dan menzahirkan syukur tersebut dengan berbakti dan mengabdikan diri kepada Allah seperti memperjuangkan syariat Allah, membantu manusia lain, menegakkan keadilan dan sebagainya. Sekiranya berbuat demikian insyallah Allah akan melimpahkan rahmatnya semakin banyak lagi tanpa diduga-duga namun sebaliknya tunggulah akibatnya samada kehancuran yang lebih dahsyat atau lain-lain kehilangan yang tak disangka-sangka. Seperkara lagi hindarkan diri dari bersikap membelas dendam kerana ia akan membezakan antara kita dan mereka.

Para pejuang-pejuang Islam sikap dan pendirian sentiasa harus tetap dan teguh. Prinsip perjuangan hendaklah dipertahankan walaupun terpaksa membuat keputusan yang memahitkan kerana itulah kehendak sebuah perjuangan. Andai segala yang dijanjikan tidak dikotakan oleh mereka, kita harus memperjuangkan prinsip perjuangan kita kerana kita tidak bergantungan kepada kekuatan manusia tetapi kita bergantung dan berharap kepada Allah semata-mata. Segala keputusan pucuk pimpinan haruslah dipatuhi kerana setiap keputusan sentiasa merujuk dan bersandar kepada Al-Quran, Hadith dan Ijmak' Ulama
.
_____________________________________
Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh (P44) telah diadakan pada 26hb Ogos, 2008 setelah Datin Seri Wan Azizah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim bertanding dan menyampaikan hasrat DSA untuk memasukki Parlimen semula.

Monday, August 25, 2008

Semakin Rendahnya Maruah Bangsa Melayu

Umumnya sejak dulu lagi kita ketahui bahawa bangsa Melayu mempunyai nilai budi perkerti yang halus dan luhur dengan sifat sopan santun, lemah lembut, budi bahasa yang halus dan sebagainya. Masakan tidak, dengan sifatnya yang begitu lahirlah pantun-pantun Melayu, puisi, sajak, gurindam dan sebagainya yang menggambarkan betapa sopan dan tingginya maruah orang-orang Melayu (dahulu kala). Semua bangsa-bangsa lain di muka bumi Malaysia ini khasnya dan dunia luar amnya menghormati bangsa Melayu kerana sifat-sifat tersebut. Namun adakah kita sedar bahawa sifat dan tinggi maruahnya bangsa Melayu itu semakin hari semakin terhakis dek disebabkan bangsa Melayu itu sendiri. Perbuatan dan tingkahlaku bangsa Melayu itu sendiri menyebabkan maruah mereka tergadai dan dipandang rendah di mata bangsa-bangsa lain walaupun mereka mengaku bahawa mereka beragama Islam kerana Islamnya mereka hanya pada nama sahaja tetapi amalan-amalan yang berhubung kait dengan ajaran Islam itu sendiri tidak direalisasikan dalam kehidupan mereka.

Orang-orang Melayu sendiri mencalarkan bangsa Melayu dengan kotoran-kotoran yang menjijikkan yang selama ini tidak terfikir dan terlintas di ruang pemikiran manusia akan berlaku tindakan-tindakan luar biasa dan mengemparkan ini. Di manakah maruah bangsa Melayu itu jika dengan mudah dan terbukanya mengaib dan melempar tuduhan-tuduhan yang aib kepada seorang yang berbangsa Melayu juga. Hatta dalam Islam sendiri suami atau isteri dilarang menghebahkan kekurangan pasangan masing-masing lebih-lebih lagi antara kita sesama bangsa Melayu dan beragama Islam.

Jika kita perhatikan dalam kempen-kempen pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh sekarang ini, calon-calon yang bertanding adalah terdiri daripada bangsa Melayu dan Islam tetapi apa yang berlaku dalam usaha untuk mempengaruhi para penggundi memihak kepada mereka tanpa segan dan silu mereka menghilangkan sifat-sifat sopan santun sebagai bangsa Melayu dengan tindakan-tindakan yang sangat mengaibkan. Hilangnya sifat-sifat kelembutan dan malu jika mereka seorang wanita dan lebih-lebih lagi jika mereka seorang lelaki (melampau batas-batas sebagai seorang muslim). Pemimpin sebeginikah yang kita lantik untuk memimpin? Pemimpin seperti inikah yang dapat membela agama Islam dan bangsa Melayu. Dalam soal-soal akhlak sedemikian pun tidak dapat mengawal diri dari melakukannya bagaimanakah untuk mengelakkan diri dari terjerumus kepada perkara-perkara maksiat yang lebih besar dan hebat lagi dan seterusnya untuk mendidik rakyat di bawah tanggungnya. Bangsa Melayu sebeginikah yang dihasilkan dari sebuah negara yang sentiasa diwar-warkan sebagai negara Islam? Rosak dan rendahnya maruah bangsa Melayu adalah disebabkan oleh bangsa Melayu itu sendiri (lihat gambar).

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud;
"Bahawa apabila Allah berkehendak kebinasaan kepada seorang hamba, maka dicabut perasaan malu daripadanya. dan tidak engkau dapati melainkan ia seorang yang dibenci lagi dibencikan. setelah itu ditinggalkan pula perasaan amanah daripadanya. dan engkau dapatinya seorang khianat lagi mengkhianati, seorang yang kehilangan perasaan atau perasaan belas ihsan. kemudian itu jadilah ia seorang yang kasar lagi kasar kelakuannya. dicabut daripadanya ikatan Imannya daripada tengkuknya. akhirnya engkau memandang dia bukan lagi sebagai insan (manusia) tetapi sebagai syaitan yang durjana.
(Rujukan: huraian hadith ke-20 di dlm buku hadith empat puluh Imam Nawawi oleh Ust Mustapha Abdul Rahman)
Marilah kita sama-sama memohon kepada Allah semoga negara kita dilindungi daripada fitnah yang lebih besar lagi. Dan juga semoga tertegaknya sebuah Daulah Islamiah di bumi Malaysia ini khasnya dan di dunia amnya. Amin.

Friday, August 22, 2008

Sumpah Dan Nilainya

Semenjak akhir-akhir ini, kita telah dipersembahkan dengan istilah yang semakin popular samada dikalangan orang ramai, ahli-ahli politik dan sebagainya iaitu Akuan Bersumpah. Sebelum ini dikalangan orang ramai yang tidak arif dengan undang-undang tidak memperdulikan istilah keramat ini samada pernah menggunanya secara langsung ataupun tidak kerana pengamal-pengamal undang-undang yang lebih tepat lagi dipanggil Peguam tidak pernah atau sememang sengaja (mungkin bagi mereka terlalu remeh) untuk menjelaskan kepada orang ramai istilah-istilah begini ketika menandatangani sebarang dokumen yang berkaitan.

Namun begitu apabila istilah Akuan Bersumpah ini begitu popular diwar-warkan atau disebarkan di media-media dalam membuat liputan beberapa kes-kes berprofil tinggi dewasa ini dengan sendirinya ia semakin popular dan menjadi perkataan kebiasaan dikalangan orang ramai. Samada Akuan Bersumpah ini dilakukan mengikut kaedah syariah ataupun tidak bukan menjadi persoalannya disini tetapi persoalannya dimanakah nilainya sumpahan ini dimuktakhir ini yang mengakibatkan orang ramai semakin kebingungan dan kekeliruan dan tertanya-tanya siapakah sebenarnya yang berada dipihak yang benar dan dipihak yang salah kerana kedua-duanya memberikan dan mempersembahkan sumpahan mereka.

Dan semakin membingungkan dalam soal-soal yang melibatkan maruah diri, ia sengaja ditonjol dan pertontonkan kepada khalayak ramai seolah-olah ia adalah suatu trend masakini. Lebih-lebih lagi dengan peranan media-media cetak yang dengan sengaja agaknya menyebut kes-kes begini berulang-ulang kali dan akhirnya orang ramai menjadi kebiasaan dan menerima suatu yang buruk itu sebagai kebaikan atau sebaliknya. Akhirnya kebenaran semakin lama semakin tenggelam disebalik kesesatan dan kejahilan manusia itu sendiri. Nilai-nilai kemanusian semakin terhakis dari didalam jiwa manusia dan yang terserlah hanyalah nilai kehaiwanan yang diselubungi dengan nafsu yang rakus dan jijik.

Jelasnya, undang-undang yang digunakan di negara ini hanya sebuah undang-undang yang dibukukan dan disimpan dirak-rak mahkamah atau di bilik hakim-hakim atau peguam-peguam tetapi bukan untuk diamalkan atau dipraktikkan. Ia hanya untuk diajar atau digunakan di universiti-universiti sebagai alat atau media pelajar-pelajar untuk mendapatkan ijazah dan pengiktirafan sebagai seorang pengamal undang-undang (Peguam?). Undang-undang hanya digunakan apabila ingin menjatuhkan seseorang atau menunjukkan kekuasaan dan pada masa itu mereka tiada kompromi atau tolenrasi dengan sesiapa atas alasan undang-undang telah ditetapkan sedemikian walhal sebelum itu tiada sesiapapun yang mengambil peduli dengan peraturan atau undang-undang tersebut. Undang-undang dipraktikkan dan diamalkan hanya untuk kepentingan diri masing-masing. Oleh sebab itu, berbalik kepada Akuan Sumpah yang semakin popular dewasa ini tidak memberi kesan dan impak yang jelas kepada masyarakat kerana ia sekadar suatu sumpahan yang berselindung disebalik undang-undang bagi menutup kesalahan mereka atau memalingkan kesalahan kepada orang lain. Masyarakat akan semakin menempelak akan undang-undang itu sendiri dan kesannya dalam jangka panjang amat besar sekali.

Firman Allah maksudnya;
"Dan janganlah kamu menjadikan sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu yang menyebabkan tergelincir kaki(mu) sesudah kukuh tegaknya, dan kamu merasakan kemelaratan (di dunia) kerana kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah; dan bagimu azab yang besar" (Surah al-Nahl: 94)

Tuesday, August 19, 2008

Ujian Dari Allah

Sabar merupakan kunci kepada kejayaan samada di dunia atau akhirat. Dengan kesabaran nescaya ujian, penderitaan dan segala rintangan dapat diatasi dengan sendiri.

Firman Allah Taala yang bermaksud;
'Dan sesungguhnya akan Kami beri cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar' (Surah al-Baqarah: 155)

Jelasnya, manusia tidak akan terlepas daripada cubaan daripada Allah Taala samada ditindas, kelaparan, kesempitan hidup atau kehilangan harta yang dimiliki selama ini. Jika seseorang hamba itu dapat menghadapinya dengan penuh kesabaran, menerima dugaan Allah dengan lapang dada, kepastiannya ia akan berakhir dengan suatu kebaikan (dan bertawakkal kepada Allah dalam setiap waktu).

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
'Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah suatu kebaikan (keuntungan), maka ia diberikan penderitaan (Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah)

Dan menurut Rasulullah S.A.W, ada empat jenis sabar iaitu;
1. Sabar menanggung beratnya melaksanakan kewajipan.
2. Sabar menanggung musibah atau ujian.
3. Sabar menahan kezaliman orang terhadap dirinya.
4. Sabar menanggung kemiskinan dan kepapaan.

Firman Allah Taala yang bermaksud;
'(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya kami kembali' (Surah: al-Baqarah: 156)
______________________
15hb August, 2008 penulis mengalami pengalaman yang tidak pernah lalui sebelum ini dan tak akan dilupakan selama-lamanya. Dalam kegembiraan penulis mendapat tiket untuk pulang ke kampung menemui keluarga, penulis telah kehilangan barang-barang peribadi dan juga laptop kepunyaan pejabat sewaktu meletakkan kereta di Perhentian Putra. Walhal penulis tidak pernah meninggalkan barang-barang didalam kereta walau sekejap sekalipun namun Allah telah menentukan bahawa satu ujian akan diberikan kepada penulis sejauh mana tahap kesabaran dan ketenangan yang ada dalam diri penulis sendiri.

Thursday, August 14, 2008

Antara Perjuangan Agama Dan Perjuangan Bangsa

Kita sering dan saban hari mendengar dan terbaca samaada dimedia-media elekronik atau surat-surat khabar samada yang diklasifikasikan sebagai akhbar nasional atau akhbar sisipan (yang diklasifikasi oleh manusia sendiri) bahawa kita harus perjuangkan bangsa kita, berkorban untuk bangsa kita, pertahankan keistemewaan bangsa kita dan sebagainya. Dan kita sering juga diperlihatkan akan lantangnya manusia-manusia yang berbangsa ini bersuara menentang akan suara-suara lain yang mempersoalkan mereka ataupun menyentuh hak-hak mereka hingga hinggar-binggar bumi Malaysia ini seolah-olah akan berlaku peperangan lagaknya.
Namun begitu, agak berlainan pula apabila dalam soal-soal yang berkaitan dengan Islam dalam nada yang lemah lembut dan bersopan-santun manusia-manusia ini akan mempamerkan sebuah sikap yang tersangat toleransi dan berbudi bicaranya mereka. Yang memperjuang dan mempertahankan kesucian Islam ini hanya golongan-golongan yang benar-benar istiqamah dengan perjuangan dan jihad Islam mereka. Namun ada juga yang bersuara mempertahankan Islam ini hanya bersifat munafik sahaja.
Perjuangan yang berbentuk assyabiyah itu tidak akan berkekalan lama kerana lama kelamaan akan menuju kehancuran dan perpecahan juga. Ini disebabkan tiap-tiap diri manusia itu akan hanya membenarkan bahawa hanya bangsa mereka sahaja terbaik, terkuat, terhandal dan sebagainya dan akhirnya mewujudkan pertentangan antara bangsa-bangsa yang berlainan pula.
Namun, sekiranya perjuangan itu berlandaskan keimanan dan ketaqwaan, diri dan jiwa insan-insan itu akan bersatu dengan satu kalimah sahaja iaitu La Ila Ha Il La Allah dan secara automatiknya terhapuslah sifat-sifat assyabiyah dalam diri mereka. Mereka akan bersatu hati dan kekal dalam perjuangan mereka hingga akhirat. Firman Allah yang bermaksud;
'Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuh, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadikan kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara dan kamu telah berada ditepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya.' (ali-Imran: 103).
Berdasar ayat diatas nyatalah manusia akan sentiasa bermusuh-musuh dan berperang-perang antara satu sama lain hanya kerana mereka memperjuang sifat-sifat assyabiyah mereka tapi sebaliknya perjuangan dan jihad yang berasaskan iman, Allah akan satu hati-hati mereka dan mencurahkan nikmat yang melimpah ruah. Sesungguhnya solatku, pekerjaanku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Taala. Amin

Tuesday, August 12, 2008

Islam dan Politik

26hb Ogos, 2008 rakyat Permatang Pauh akan menjalankan kewajipan mereka sebagai pengundi yang berdaftar bagi melantik wakil mereka untuk bersuara di Parlimen nanti. Dalam keghairahan parti-parti politik yang bertanding memulakan kempen pilihan kecil ini mari kita sama-sama membuka sedikit minda kita untuk menghuraikan apakah dia SISTEM POLITIK ISLAM. Dalam menghuraikan persoalan ini rujukan boleh dibuat kepada sebuah buku karangan Dr Khalid Bin Ali Muhammad Al-Anbariy, salah seorang Profesor di Universiti Ajman. Antara petikan dari karangan beliau ialah;

Politik Islam bermaksud memerintah dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Politik dari pandangan Islam ialah menjaga urusan umat di dalam dan luar negara dengan cara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sebenarnya politik adalah ilmu dan kemahiran. Ia merupakan ilmu kerana ia mempunyai prinsip-prinsip dan disiplin-disiplin tertentu yang keseluruhannya membentuk ilmu politik dan ia merupakan kemahiran kerana ingin ditekankan bahawa realiti perlaksanaannya ia tidak mungkin terhad kepada semata-mata melaksanakan undang-undang tetapi menuntut kepakaran tertentu yang diperolehi melalui pengalaman dan pengetahuan mengenai kaedah-kaedah praktikal yang tertentu.
Agama yang menyuruh supaya dipisahkan daripada negara, mentabdir umat dan urusan-urusan ekonomi, sosial dan sebagainya, tidak mungkin ia agama Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t ke atas Nabi Muhammad s.a.w iaitu satu agama yang mempunyai kesempurnaan dan merangkumi seluruh urusan kehidupan. Firman Allah s.w.t maksudnya:

'Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagimu agama kamu dan Aku telah lengkapkan ke atas kamu nikmatKu dan Aku telah reda Islam itu bagi kamu sebagai agama' (Surah al-Maidah: 3)

'Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam yang tiada syirik bagiNya. Dengan itulah aku disuruh dan aku ilah orang yang pertama menyerah diri' (Surah al-An'am: 162-163)

Semua para pemerintah dan rakyat yang diperintah di dalam negara Islam melaksanakan syariat Allah dan beramal dengan hukum-hukumnya. Apabila sistem politik Islam itu mempunyai keistimewaan dengan bersumberkan rabbani, maka ia juga mempunyai keistimewaan ketaatan rabbani di mana sistem ini berusaha kearah menghubungkan antara manusia dengan Allah s.w.t supaya manusia dapat mengenali Tuhannya dengan erti kata yang sebenarnya dan seterusnya bertaqwa kepadaNya dengan sepenuh taqwa serta membebaskan dirinya daripada memperhambakan dirinya kepada yang lain selain daripada Allah s.w.t.

Maka oleh itu, marilah kita sama-sama membuat pendirian kemana arahkah pemerintahan yang kita mahu - Islam atau sekular. Pemimpin yang bagaimana perlu kita pilih? Undang-undang yang bagaimana yang hendak kita ikut? Ingatlah tiada pemisahan antara politik dan Islam.

(Sumber: Sila rujuk Sistem Politik Islam menurut pandangan Al-Quran, Al-Hadis dan pendapat Ulama Salaf karangan Dr Khalid Ali Muhammad Al-Anbariy)

Monday, August 11, 2008

Treasure Hunt Suatu Pengalaman

Baru-baru saya telah menyertai Treasure Hunt ke Kuantan bersama-sama sahabat saya Mohd Farid, Feisal dan Mohd Syukri. Iktibar dan pengajaran yang boleh diambil daripada program ini ialah sesuatu yang kita lakukan adalah sentiasa di dalam lingkungan Allah Taala dimana setiap yang kita usahakan hasilnya akhirnya ditentukan olehNya. Walaubagaimana pun kita harus berusaha sedaya upaya kita dan sesudah itu bertawakkal kepadaNya. Setiap yang dirancang belum tentu hasilnya seperti yang kita impikan atau cita-citakan walaupun pada perkiraan atau logik aqal kita segala yang kita usahakan itu hasilnya sudah tentu sebegini atau sebegitu. Kadang-kadang setiap perancangan kita ke sesuatu matlamat itu walaupun dirancang sebegitu rapi dan teratur tetapi hasilnya tidak sebagaimana yang dirancangkan dimana kita mendapat hasil yang berlainan yang tidak disangka-sangkakan. Dan ini sudah tentunya untuk menguji kesabaran dan ketenangan kita di dalam menghadapi sesuatu kejadian yang menimpa kita samada ujian itu berbentuk baik ataupun tidak baik. DariNya ia datang dan kepadaNya ia dikembalikan.

Sunday, August 10, 2008

Wirid Harian

Wirid harian yang telah diamalkan oleh Imam Ghazali RA. Kita digalakkan mengamalkan wirid-wirid ini dan melakukankannya sekurangkan 1000 kali sehari. Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa mengingati Allah, jiwa mereka akan sentiasa berada didalam keadaan tenang dan aman.

Wirid Setiap Hari Jumaat
Ya Allah
(Ya Allah)

....ikuti sambungannya setiap hari

Keluarga Bahagia Dan Bunga-Bunga Cinta


Inilah keluarga bahagiaku. Aku berterima kasih kepada isteriku yang tersayang yang sentiasa mencurahkan dan memberikan kasih sayangnya kepadaku dan anak-anakku walau dalam apa keadaan sekalipun. Kadang-kadang isteriku terpaksa menghadapi susah payah sendirian tanpa aku disisinya. Pengorbanannya tidak dapat aku balas dan ku ucapkan. Ya Allah kekalkanlah kebahagian keluargaku hingga akhirat dan murahkanlah rezeki kami.
Ya Allah berilah kami kekuatan dalam menghadapi segala dugaan dan teguhkanlah hati-hati kami dalam mengingatiMu. Ya Allah kurniakanlah kami anak-anak yang soleh dan sentiasa beramal ibadah untukMu. Lindungilah kami dari hasutan dan muslihat syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia dan lindungilah kami dari kejahatan manusia dan jin. Hanya kepadaMu kami memohon dan meminta perlindungan. Amin Ya Rabbal Alamin.

Saturday, August 9, 2008

Solat & Keajaibannya


Karya Terakhir Dato Haji Ishak Baharom

Solat merupakan sarana bagi kita untuk berkomunikasi dengan Sang Pemilik Alam Semesta dan Penguasa Alam Raya. Tak terbayang betapa ajaib dan dahsyat ibadah yang satu ini apabila kita benar-benar mempraktikkan sesuai petunjuk RasulNya. Dengan solat, kita sujud dan berdoa dengan hati yang paling khusyuk untuk memohon segala hal yang terbaik dariNya.

Bukankah dalam sebuah hadiths Qudsi Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, "Solat dibahagi dua bahagian antara Aku dengan hambaKu, separuh untukKu dan separuh lagi untuk hambaKu. Untuk hambaKu, ia akan mendapatkan segala yang ia minta." (HR.Muslim)

Dalam buku ini kita akan menemukan paparan penulis tentang berbagai rahsia dan keajaiban solat yang berhasil diungkap para pakar dan tokoh, bahwa solat dapat berfungsi sebagai Pedoman Hidup Sihat, Kunci Sukses Dunia Akhirat dan Resepi Bahagia.

"Melampaui faedah-faedah duniawi, solat tetaplah bahan anugerah dari langit yang mempunyai falsafah amali yang lebih berdarjat. Ia adalah alat bertajalli. Ia talian komunikasi antara langit dan bumi dan seisinya. Solat adalah puncak segala hiburan" - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Meneladani Kemuliaan Akhlak Rasulullah S.A.W

Agama Islam merupakan agama yang mengandungi ajaran-ajaran yang menyeluruh dan sempurna dan merangkumi seluruh kehidupan manusia dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar pekara seperti pemerintahan dan kenegaraan.

Agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W mengandungi misi yang sangat besar iaitu mengembalikan kehidupan manusia yang telah jauh menyeleweng kepada ajaran-ajaran Allah Taala. Ajaran-ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W hendaklah dibawa ketengah masyarakat dengan tujuan untuk meluruskan kehidupan mereka dan seluruh umat manusia sehingga kehidupan manusia itu diwarnai dengan moral agama atau budi luhur yang berdasarkan wahyu Allah.
Baginda adalah suri teladan yang paling penting. Semua jejak dan langkah Rasulullah hendaklah ditiru oleh umat Islam seluruhnya.

Firman Allah Taala;
'Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah' (Surah al-Ahzab:21)

Tidak seharusnya umat Islam hanya meniru sebahagian daripadanya yang mudah sahaja dan meninggalkan yang dianggap susah atau tidak memenuhi kehendak diri atau nafsu mereka. Hendaklah kita mengikuti baginda secara keseluruhan supaya kita menjadi Muslim yang benar-benar mengikuti ajaran dan kepercayaan Islam. Semoga Allah meredhai kita didalam menegakkan kebenaran dan kebaikan melalui ajaran-ajaran Rasulullah S.A.W sehingga Islam benar-benar tegak dibumi Malaysia tercinta ini.