Sunday, December 13, 2009

Pembangunan Dan Kritikan

Saya tertarik dengan pandangan kolumnis di dalam Berita Harian baru-baru ini bahwa negara tidak akan maju jika semua rancangan pembangunan yang hendak dilaksanakan diprotes atau dilapurkan kepada Suruhanjaya Pencegahah Rasuah Malaysia (SPRM) dan terpaksa ditangguh untuk siasatan. Tidak diketahui apakah pandangan beliau mewakili kerajaan atau sekadar pandangan peribadi namun secara umumnya beliau memberi pandangan pada sudut pembangunan sahaja tetapi tidak melihat dalam kontek tujuan laporan itu sendiri dibuat. Semua rakyat tidak menolak pembangunan tetapi jika pembangunan itu melibatkan atau mencetuskan penindasan, penyelewengan, rasuah dan ketidakadilan maka seharusnya ditangguhkan atau diberhentikan sama sekali. Apakah kita ingin melihat rakyat ditindas semata-mata untuk pembangunan, rasuah dibenarkan untuk mempercepatkan pembangunan, keadilan diketepikan agar pembangunan diluluskan dan sebagainya.

Sila rujuk Berita Harian bertarikh 12 Disember 2009 bahagian rencana suntingan Jamhariah Jaafar antara petikan rencana tersebut ialah;

“Senario politik yang kini boleh diibaratkan bagai 'sarkas' yang sedang melanda tanah air kita - semua usaha kerajaan ke arah pengukuhan ekonomi dikritik, terutama pembangkang yang menjadikan tugas utama mereka sebagai pengkritik setiap langkah dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pengarah Institut Strategi dan Kajian Antarabangsa (Isis), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, ketika ditanya persoalan itu juga tidak dapat lari daripada meluahkan kebimbangan kerana tat kala dunia sedang mengalami krisis ekonomi yang serius dan kini dalam proses pemulihan, Malaysia masih tidak surut daripada kemelut politik walaupun selepas mendapat Perdana Menteri baru.

Jika setiap satu langkah dikritik dan setiap projek pembangunan dilapor kepada agensi pencegah rasuah, tidak akan ada satu kerja pun akan siap kerana setiap kritikan akan membuatkan kita melangkah semula ke belakang, katanya mengenai senario politik yang turut memberi kesan serius pada perkembangan ekonomi negara hari ini
.“

Tidak sedarkah kita betapa banyak pembaziran terhadap projek-projek yang tidak berkualiti tetapi melibatkankan kos yang amat tinggi akhirnya berlaku kejadian-kejadian seperti keruntuhan, kebocoran dan sebagainya. Semua ini gara-gara tingginya kadar rasuah dalam Negara kita ini dan akibatnya kos yang tinggi tetapi kualiti yang rendah. Rakyat yang perihatin tidak akan membiarkan kejadian seumpama ini berlaku dan bagi menyekat ia terus berlaku laporan dan aduan demi aduan dibuat kepada pihak yang berwajib. Mungkin penulis tersebut terlepas pandangan dalam soal ini tetapi sebagai seorang yang berpendidikan berdasar kepada nama beliau saya kira pandangan beliau tidak tepat. Jika diambil penilaian di negeri Kelantan tidak banyak atau tidak ada langsung aduan rasuah di buat kepada setiap pembangunan Kerajaan Negeri dan pembangunan disokong oleh semua pihak kerana tiada unsur-unsur yang melibat rasuah, penindasan dan sebagainya.

Kita tidak harus menghalalkan untuk mencapai matlamat kerana tiada keberkatan disana. Pembangunan bukan hanya pada pandangan material dan fizikal tetapi pembangunan juga pada sudut rohani. Tiada faedah jika masjid besar tetapi tiada jamaah, bangunan besar tiada penyewa atau jalan besar tiada kenderaan baik disalurkan kepada hal-hal yang lebih manafaat dan memerlukan seperti kemiskinan dan sebagainya.

Friday, December 11, 2009

Sokongan Tak Berbelahbagi

Jelas dan terbukti bahawa rakyat Kelantan masih berdiri teguh dibelakang Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan PAS. Ini terbukti apabila hampir 10,000 rakyat Kelantan berhimpun selepas kuliah mingguan di Medan Ilmu Kota Bahru untuk menyatakan sokongan kepada Tuan Guru pada 4 Disember 2009. BN harus sedar bahawa mereka tidak boleh mengugat kerajaan Negeri Kelantan dan perlu akur hakikat ini. Kedatangan rakyat Kelantan tanpa diarah dan dibayar kerana mereka sedar tanggungjawab mereka untuk mempertahan dan mengekalkan kepimpinan Ulama walaupun UMNO tidak menyukainya (kepimpinan Ulama). Semua rakyat Kelantan tidak mengira bangsa dan agama hidup aman dan damai di negeri Kelantan tanpa ada sebarang tekanan dan penindasan.

Momentum ini harus diteruskan dan dilebarkan keseluruh Negara dan seterusnya mengambil alih pucuk pimpinan Negara. Kepimpinan Negara harus diganti dengan pemimpin-pemimpin yang benar-benar memperjuangkan kedaulatan Islam dan menjaga kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang kehidupan dan pegangan mereka.

Cadangan supaya Tuan Guru Nik Aziz dilantik menerajui Pakatan Rakyat amat tepat sekali kerana ia akan memberi satu kekuatan yang tidak ada di dalam BN. Kekuatan ini akan menjadikan Pakatan Rakyat pasukan yang kuat dalam menghadapi BN pada pilihanraya akan datang. BN semakin lemah dan berusaha menutup kelemahan mereka dengan mengalihkan pandangan rakyat kepada isu-isu ciptaan mereka kepada Pakatan Rakyat. BN cuba mencipta propaganda untuk mengugat keharmonian dalam Pakatan Rakyat walaupun dalam masa yang sama BN sendiri sedang menghadapi perpecahan dan pergolakan yang amat rumit.

Wednesday, December 2, 2009

Manusia Yang Tak Punyai Akal Yang Waras

Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa hak (alasan yang benar) dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, sampaikanlah kepada mereka khabar gembira iaitu azab yang pedih”. (Ali Imran: 21)
Manusia kalau tidak dapat membezakan antara baik dan buruk serta buta hati maka tindakan mereka hanya sekadar menurut nafsu sahaja. Inilah dia Che Johan Che Pa, Timbalan Ketua UMNO Pasir Mas berserta 50 penyokong UMNO yang mengelar diri mereka Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK) menyerahkan memorandum kepada Tuan Guru Nik Aziz meletakkan jawatan ekoran daripada doa Tuan Guru baru-baru ini. Bak kata Tuan Guru yang menyuruh beliau letak jawatan ialah orang UMNO bukan PAS jadi mengapa harus beliau runsingkan dan orang-orang seperti ini memang tak perlu dilayan. Rupa-rupanya orang-orang UMNO Pasir Mas sama sahaja dengan bekas ketua mereka, Ibrahim Ali bertindak dengan meletakkan akal di lutut-lutut mereka.

BN sekarang cuba menutup banyak kepincangan yang berlaku dalam BN sendiri termasuk pergolakan Umno di Terengganu, dua kerajaan di Perak dan perpecahan MCA serta PPP. Mereka cuba mengalih pandangan rakyat kepada negeri Kelantan dengan mengambarkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan sedang bermasalah. Kita harus memberi kepercayaan penuh kepada Tuan Guru Nik Aziz. Beliau masih mampu untuk meneruskan pentadbirannya. Perlu diakui bahawa ketokohan dan gaya pemerintahannya menjadi contoh yang terbaik sehingga disegani kawan dan lawan.

Berbalik kepada isu doa yang dibesar-besarkan oleh media-media pro BN, dalam sirah zaman Nabi Muhammad saw memperlihatkan bagaimana baginda memanjatkan doa kepada Allah supaya diturunkan bala ke atas kaum Quraisy Mekah yang menganiaya baginda dan menentang dakwah Islam.Ekoran itu katanya Allah Taala telah menurunkan kemarau selama tujuh tahun sehingga wujud asap dari langit. Doa menurunkan bala kepada orang yang zalim tidak lebih sebagai satu ugutan agar mereka gerun dengan janji Allah dan terbuka pintu hati untuk mengembalikan semula hak orang lain. Doa seperti itu tidak lebih sebagai satu ugutan atau peringatan kepada pihak yang cuba membuat zalim seperti disebut Tok Guru Nik Abdul Aziz," kata Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak.

Dalam wawancara bersama Husam Musa di ASTRO AWANI kenyataan yang diberikan oleh wakil kerajaan bahawa kerajaan ingin memastikan bahawa wang royalti diguna dan ditadbir dengan baik amat tidak diterima oleh akal dan cuba membelakangkan dan menafikan kecekapan kerajaan Kelantan mentadbir negeri selama ini. Kerajaan negeri Kelantan merupakan negeri yang paling rendah hutang dengan Pusat dan negeri yang bebas daripada rasuah berbanding dengan negeri-negeri yang ditabdir oleh BN. Jika benar Pusat bijak menguruskan kewangan bagaimana negeri Terengganu yang mendapat wang royalti ketika BN mentadbir (kemudian dinafikan hak ketika PAS memerintah) disenaraikan negeri yang tertinggi kadar rakyat termiskin? Kemana dan dimana wang royalti itu disalurkan? Dalam poket kroni-kroni mereka? Lihat apa yang berlaku di Terengganu kebanyakan projek-projek mega menjadi gajah putih dan terbaru stadium yang menelan belanja jutaan ringgit runtuh begitu sahaja.

Kita harus menyahut seruan Tuan Guru Nik Aziz supaya memboikot media-media utama yang sejak akhir-akhir ini begitu jelas menjadi alat BN dengan berita-berita yang sangat membosankan dan mengelirukan tentang kerajaan Pakatan Rakyat. JOM BOIKOT SEMUA AKHBAR UTUSAN, TV1, TV2, TV3.

Monday, November 30, 2009

Busuk Yang Membosan Dan Memualkan

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan sama sahaja bagi mereka, apakah engkau memberi peringatan kepada mereka atau engkau tidak memberi peringatan kepada mereka, mereka tidak beriman juga”. (Yasin: 10)

Sungguh membosan dan memualkan bila membaca akhbar-akhbar utama dan menonton saluran-saluran media utama sejak kebelakangan ini. Bukan soal masalah dalaman MIC atau perbalahan dalam MCA mahupun UMNO itu sendiri kerana memang pun mereka bermasalah tetapi cara olahan paparan dan pemberitaan yang cuba digambarkan terhadap kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat sungguh memualkan lebih-lebih lagi diakhir-akhir ini tumpuan diberikan pada Kerajaan Negeri Kelantan dibawah pimpinan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Asakkan demi asakkan ditujukan kepada Tuan Guru dengan berbagai isu bagi mengambarkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan bermasalah.

Apa yang dilihat disini, asakkan dan serangan saraf ini bermula setelah Kerajaan Negeri Kelantan berusaha bersungguh-sungguh dan bertegas dengan tuntutan royalti minyak dan gas asli baru-baru ini. Serangan-serangan yang bermula dengan serangan peribadi mengaitkan isu tajaan mengerjakan haji kemudian dikecohkan dengan berita ugutan Husam Musa ingin meletakkan jawatan dan terbaru doa Tuan Guru dan isu pengganti beliau. Kita perlu sedar bahawa BN semakin terdesak sekarang ini, oleh itu untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu-isu dalaman yang sedang dihadapi oleh BN maka media-media utama dipergunakkan untuk menutup isu ini dan disasarkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Selepas Kedah dan Selangor usaha mereka tidak menjadi kini mereka beralih kepada Negeri Kelantan.

Desakan-desakan Pemuda UMNO supaya Tuan Guru Nik Aziz meletakkan jawatan atas alasan menerima tajaan mengerja haji amat sungguh membosankan kerana ‘Pemuda-Pemuda’ ini hanya nampak kuman di seberang laut tetapi gajah didepan mata tak nampak. Sedarkah kita berapa banyak aduan dibuat samada kepada Polis mahupun SPRM berkaitan isu rasuah pemimpin BN tetapi hingga sekarang tiada tindakan diambil jika adapun hanya melepaskan batuk ditangga sahaja. Berbanding dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hanya dengan lapuran akhbar tindakan diambil begitu efisen sekali dan kadang-kadang sangat melucukan kerana tindakan dibuat atas kenyataan pemimpin itu sendiri bahawa ada pihak yang cuba memberi rasuah atau tajaan kepada mereka. Kecekapan dan kepantasan SPRM boleh dianugerahkan ‘SIRIM 2009’. Bak kata Tun Mahathir “UMNO kini busuk hingga ke ususnya”.

Berbalik kepada isu royalti, mengapa Kelantan hanya diberi wang ihsan? Tuan Guru dan kerajaannya tidak menolak rezeki wang ihsan itu tetapi wang ihsan hanya disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bukan kepada Kerajaan Negeri. Apakah wajar Kerajaan Negeri yang berusaha tetapi hasilnya diberi dan dihabiskan oleh orang lain. Oleh kerana itulah mereka berusaha bermati-matian untuk merampas Negeri Kelantan kerana di sana ada lubuk emas yang selama ini dinafikan. Tuan Guru tahu, royalti Kelantan tidak boleh diusik dengan wang ihsan itu. Kelantan menuntutnya dari Petronas sama seperti Tunku menuntut kemerdekaan Malaysia daripada Inggeris. Samada BN sedar atau tidak, menindas Kelantan sama juga dengan menindas orang Melayu sendiri kerana majoriti penduduk Kelantan adalah Melayu dan Islam.

Kita dituntut untuk mempertahankan negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya Negeri Kelantan dan Kedah kerana di sana ada keberkatan dan cahaya keimanan dari seorang pemimpin yang ingin menegakkan syariah Islam di muka bumi Malaysia ini. Ya Allah, jahanamkan UMNO dan BN sebagaimana Engkau melenyapkan penduduk dulu dari mukabumi ini kerana keengkaran, kekufuran dan kesombongan mereka.

Tuesday, November 24, 2009

Tanda-Tanda Hari Akhirat

Mungkin akan hampir hari Kiamat bila tanda-tanda Kiamat makin banyak terzahir di zaman mutakhir ini antaranya banyaknya fitnah memfitnah, orang pendusta dianggap benar,orang jujur dibohongi dan tidak dipercayai lagi, setiap daerah diketuai orang munafik, orang alim (ulamak) sudah tidak ditaati, orang alim sudah tidak disenangi, ulamak memihak kepada pemerintah lalu menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal dan banyak orang menjadi pemimpin tetapi tidak boleh dipercayai.

Firman Allah, maksudnya: "Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit (Kiamat) Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan tentang (datangnya) Kiamat itu hanya ada pada sisi Allah. Dan tahukah kamu (Wahai Muhammad), boleh jadi Kiamat sudah dekat pada waktunya” (Al-Ahzab: 63).

Samada sedar atau tidak tanda-tanda tersebut telah banyak muncul di zaman ini dan berlaku disekeliling kita. Jika kita membicarakan soal fitnah saban hari kita dipaparkan dengan berita-berita fitnah lebih-lebih lagi oleh akhbar-akhbar yang membelakangkan soal-soal etika dan lebih-lebih hukum agama. Mereka gemar mewujudkan berita-berita sensasi yang tiada kebenaran dan penuh dengan kesamaran tanpa merasakan bahawa berita yang sampaikan boleh mendatangkan kesan negatif kepada keperibadian seseorang, masyarakat, kerajaan dan sebagainya.

Dewasa ini juga kita perhatikan manusia sudah hilang hormat kepada para ulamak dan gemar menghina dan mengutuk mereka secara terbuka tanpa rasa bersalah. Manusia-manusia ini ada yang datang dari kalangan manusia-manusia yang berlatarkan agama tetapi mereka memanafaatkan ilmu agama mereka untuk mengejar kepentingan dunia mereka tanpa memperdulikan soal akhirat. Tidak gerunkah dalam hati mereka akan balasan Allah di akhirat nanti atau mereka memang berani mencabar kekuasaan Allah? Semak diri kita apakah kita tergolong dari salah seorang daripada mereka jika YA masih ada lagi waktu untuk kita bertaubat dan bersama-sama dengan alim ulamak berjuang menegakkan kebenaran dan semoga amalan kita menjadi bekalan kita di alam kubur dan akhirat nanti.
Firman Allah yang bermaksud, “Dan barang siapa buta (hatinya) di dunia ini, maka di akhirat dia akan buta dan tersesat jauh dari jalan (yang benar).” (Al-Isra:72)

Tuesday, November 10, 2009

Waspada Dengan Serangan Saraf

Jika dilihat pada corak serangan sejak akhir-akhir ini, ia mengambarkan akhbar lidah kerajaan sedang melancarkan serangan saraf terhadap Partai Islam SeMalaysia (PAS) dengan memaparkan isu-isu yang diharap dapat melemahkan kepercayaan masyarakat dan secara tidak langsung gerakan PAS itu sendiri. Bermula dengan isu terhadap Dr Hassan Ali berdepan isu penjualan arak, EGM Khas bermula dari kenyataan Tuan Guru Nik Aziz, sokongan golongan muda dan terbaru dipaparkan isu bai’ah. Walaupun semua isu-isu ini dapat ditanggani dengan harmoni oleh PAS juga antara Pakatan Rakyat (PR) dan ada juga isu-isu yang diputar-belitkan oleh media-media ini namun PAS khususnya dan PR amnya tidak harus mengambil ringan soal ini. Tindakan susulan harus diambil dengan segera agar serangan-serangan saraf ini tidak menjejaskan sokongan masyarakat kepada PAS khasnya dan PR amnya juga keharmonian dan kesepakatan yang sudah terjalin dengan baik di dalam PR itu sendiri.

Adalah wajar pada waktu ini segala isu-isu yang berkaitan antara parti-parti PR tidak bincangkan atau dibangkitkan melalui media-media terutama media perdana milik kerajaan yang secara jelas cuba memburuk-burukkan PR. Disarankan kepada semua pemimpin-pemimpin PR tidak lagi melayani temuramah atau soalan-soalan yang diajukan oleh media-media ini.

Firman Allah yang bermaksud; “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bagian besar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula)”. (An-Nur: 11).

Sunday, November 8, 2009

1 MALAYSIA*Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan

Apa dia sebenarnya konsep 1 Malaysia? Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan Dato’ Sri Mohd Najid Tun Abdul Razak ialah Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita. Katanya konsep “1 Malaysia” ditunjangi oleh dua prinsip utama iaitu sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dan keyakinan antara satu sama lain. Apabila kita sudah menghormati antara satu sama lain bererti kita sudah mempunyai sikap terbuka untuk menghayati konsep perpaduan dalam keperbagaian.

Sebenarnya dalam Islam telahpun ada konsep ini dan bukan merupakan perkara baru ia telah lama dipraktikkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Manusia dijadikan daripada satu iaitu Nabi Adam dan Hawa jesteru kita umat manusia adalah sama walaupun terdiri berbagai-bagai bangsa, berlainan warna kulit dan perbezaan bahasa pertuturan kerana manusia dijadikan untuk saling kenal mengenali. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud; “Wahai manusia (tanpa mengira bangsa) sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Surah Al-Hujarat: 13)

Walaubagaimanapun, kita harus ingat walau dalam keadaan apa sekalipun Islam tetap tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain dan ini berdasarkan firman Allah Taala yang bermaksud; “Sesungguhnya Deen (agama) disisi Allah hanyalah Islam... (Ali’Imran: 19).”

Dan firman Allah Talla lagi yang bermaksud; “…..pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu menjadi agama bagimu…” (Al-Maidah: 3). Oleh itu sama rataan adalah pada perkara-perkara yang berkisar kepada kemanusiaan sahaja tetapi tidak dalam hal-hal yang bersangkutan dengan agama dan ini perlu jelas. Walaubagaimanapun Islam tidak melarang umat-umat lain mempraktikkan amalan dan kepercayaan agama masing-masing.

Telah lama kita membicarakan bahawa dalam Islam semua umat manusia adalah sama dan membezakan di antara mereka ialah keimanan. Oleh demikian kita tidak harus membeza-bezakan dalam hal-hal yang bersangkutan dengan keadilan, pendidikan, ekonomi dan semua hal-hal yang berhubung kait dengan kemanusian. Sebab itulah dalam pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W semua bangsa hidup di dalam penuh keharmonian dan aman damai kerana mereka mendapat pembelaan yang sama rata dan saksama. Rasulullah hanya memerangi mereka jika sekiranya mereka menentang Rasulullah sahaja walau bagaimanapun setelah diberi amaran oleh Baginda.

Oleh demikian dalam konsep 1 Malaysia ini tiada apa yang harus dibanggakan ia hanya sekadar slogan di papan iklan dan diperhati bila terpandang dan dilupakan bila melepasinya. Ia tidak dipraktikkan sebagaimana dislogankan hanya mengaburi mata masyarakat yang sentiasa leka dengan slogan, khayal dengan tema dan bersemangat hanya dalam seminar sahaja. Jika benar 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan ROYALTI tidak akan berubah menjadi EHSAN. Dari segi bahasa pun sudah berlainan maksud antara royalti dan ehsan. Jangan cuba mempermainkan rakyat dengan 1 Malaysia ini kerana kelak di akhirat nanti rakyat akan tuntut kepada pemimpin akan hak yang sepatut mereka terima semasa mereka memerintah iaitu hak sebagai rakyat daripada pemerintah. Firman Allah yang bermaksud; “……..Dan janganlah kamu merugikan mereka terhadap hak-hak mereka dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakkan.” (Hud: 85)

Saturday, November 7, 2009

Keterbukaan Dalam Kritikan

Kertas kerja daripada Seminar Politik Memperkasakan PAS dengan para penal terdiri daripada pensyarah Universiti Islam Antarbangsa (UIA) Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan pensyarah dari Universiti Malaya (UM) Dr. Abu Hassan Hasbullah serta Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin parti harus diambil dengan sikap yang terbuka dan menjadikan ia sebagai salah satu sumber untuk memperkasakan perjuangan PAS. Ia perlu dilihat dari perspektif yang positif walaupun adakalanya memedihkan namun akan dapat membantu pucuk pimpinan PAS untuk memperkasa dan memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada.

Mungkin di dada-dada akhbar media perdana akan mengambil kesempatan dengan komentar yang dilontarkan dalam seminar ini tetapi harus diingatkan bahawa harus perdana ini sentiasa mencari ruang untuk memperburukkan PAS dikaca mata masyarakat yang kurang arif dengan PAS kerana pemimpin-pemimpin PAS terdiri dari kalangan pemimpin yang sentiasa terbuka dengan pandangan dan kritikan. Ini jelas sebagaimana yang dilakukan oleh Tuan Guru Nik Aziz baru-baru ini dan seterusnya mendapat reaksi yang segera daripada Jawatan PAS Pusat untuk tindakan selanjut. Dan ini selari sebagaimana Syaidina Omar ketika baru dilantik menjadi Khalifah menggantikan Syadina Abu Bakar dan ucapan pertama beliau ialah “Jika aku bersalah tegurlah walaupun dengan pedang”. Dalam kontek ini pemimpin PAS sekadar ditegur dengan sebatang pena sahaja jika dibanding dengan teguran yang diminta oleh Syaidina Omar.

Walau bagaimanapun setiap teguran harus beradap dan berkhemah seperti tidak meninggi suara dan keras sebagaimana nasihat Luqman al-hakim, “Jangan kamu duduk bertengkar ulama maka kelak kamu akan hina dan jangan kamu bertengkar dengan orang bodoh maka mereka akan memaki kamu sebaliknya kamu sabar bagi orang yang lebih tinggi ilmu daripada kamu dan orang yang lebih rendah ilmu daripada kamu. Maka hendaklah kamu bersama dengan ulama dan sabar bagi mereka dan mengambil daripada mereka ilmu”. Jesteru itu kelemahan pemimpin bukan untuk diperbesarkan tetapi diperbetulkan kerana perjuangan mereka ikhlas dalam menegak hukum Allah di muka bumi ini menurut Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Kita perlu ingat musuh-musuh Islam sentiasa mencari ruang untuk melemahkan perjuangan Islam. Mereka akan menggunakan segala bentuk saluran dalam usaha mengikis kepercayaan masyarakat kepada perjuangan PAS. Usaha-usaha ini semakin hari semakin kuat dengan sokongan secara tidak langsung puak-puak Yahudi dan sekutu-sekutu mereka. Oleh demikian pendokong-pendokong dan pejuang-pejuang Islam harus sentiasa berhati-hati dengan permainan dan tipu muslihat musuh Islam serta tidak terpengaruh dengan hasutan dan provokasi mereka. Mereka boleh menyerupai orang Islam dan berbicara tentang Islam tetapi mereka adalah seperti Abdullah bin Ubai dan golongan inilah yang paling bahaya dan perlu diambil perhatian kerana golongan yang lain seperti Yahudi sememangnya sudah jelas penentangan mereka terhadap Islam.

Dalam pada itu kegiatan usrah harus dipertingkatkan agar kekuatan dan istiqamah dalam perjuangan sentiasa berterusan dan dipertingkatkan. Usrah amat penting kerana ia akan dapat membantu ahli-ahli untuk memperbaiki diri dan meningkatkan kekuatan dalam perjuangan lebih-lebih lagi dalam menghadapi perjuangan yang begitu mencabar dan penuh dengan kekeliruan dan tipu muslihat. Oleh itu jagalah dengan cermat segala rahsia jamaah, mengawal diri daripada tindakan yang menyalahi atau merugikan jamaah serta patuh dengan arahan pucuk pimpinan.

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjungan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai memenangan)” (Ali Imran: 200)

Ke Arah Pembebasan Ummah

Masyarakat Islam mestilah dihindarkan dari dipimpin oleh pemimpinan yang rapuh dan wadah yang hanyut mengikut arus pemimpinan itu, sekiranya perpaduan, keteguhan dan islah hendak diwujudkan dalam masyarakat Islam sebagas asas untuk mengislahkan Negara seluruhnya dan mengeluarkan masyarakat Malaysia dari dibelenggu penjajah untuk mengekalkan Negara ini terus terletak di bawah pengaruh kuasa-kuasa besar.

Masyarakat Islam mestilah dikembalikan kepada pimpinannya yang sejati yang telah diterangkan di dalam Al-Quran dan dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. Masyarakat Islam mestilah dikembalikan kepada pimpinan ulama yang mendokong dan memelihara syariat Allah S.W.T. Pengetahuan di dalam bidang syariat Allah, penghayatan ke atas syariat itu,pemeliharaan yang berterusan ke atas syariat dan ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah, hendaklah menjadi ukuran penting masyarakat Islam bagi menilai pemimpinannya. Masyarakat Islam hendaklah menjadikan orang yang layak di sini Allah sebagai pemimpin mereka dan bukan orang yang layak dilihat dari sudut pandangan penjajah dan kuncu-kuncunya.

Program kami untuk mengembalikan kepimpinan ummah kepada ulama dalam rangka mengislahkan masyarakat Islam, berjalan seiring dengan usaha membangun kembali jiwa ummah merupakan dan memperkuatkan kesedaran mereka, mengukuhkan keyakinan terhadap aqidah Islam sebagai asas kepada pembinaan kembali insan muslim menerusi program pendidikan dan tarbiyyah yang akan dikendalikan perlaksaannya oleh Dewan Ulama dan Intelektual Islam yang diberi tugas dan peranan penting dalam penyusunan baru organisasi Parti Islam yang akan dibentangkan dalam Muktamar ini.

Para Ulama dan Intelektual Islam merupakan gabungan tenaga yang penting dalam usaha memupuk dan meningkatkan kesedaran Islam di kalangan ummah. Seluruh tenaga PAS di peringkat ahli-ahli dan pimpinan mestilah turut serta secara aktif bagi membantu para ulama dan intelektual Islam itu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka dalam suasana baru itu.

Sumber: Ucapan Dasar Pemangku YDP Agung PAS (pada ketika itu), Ustaz Hj Yusuf Rawa bertajuk Ke Arah Pembebasan Ummah, 29 April 1983 bersamaan 16 Rejab 1403.

Tuesday, November 3, 2009

Umat Keliru


Manusia kalau tidak dapat membezakan undang-undang manusia dan Allah ditambah lagi dengan sifat keangkuhan inilah akibatnya. Biarpun dalam enakmen termaktub peraturan-peraturan tertentu dan peraturan-peraturan ini hanya sebagai sifat pertadbiran jabatan ia harus dikendalikan dengan bijaksana. Benar, dalam enakmen Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) menyebut mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada JAIS tetapi pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor sewajarnya bijak dalam tindakan. Mana satu lebih penting, peraturan itu sendiri atau muzakarah? Jika penceramah tersebut dari kalangan ustaz-ustaz yang tidak dikenali atau sememangnya meragukan penyampaiannya sewajarnya mereka bertindak tetapi penceramah tersebut terdiri dari kalangan pensyarah universiti yang bertauliah dan sebagainya tidak sepatutnya penekanan kepada peraturan tersebut dilakukan dengan kasar.

Demikianlah yang berlaku kepada Datuk Dr Asri Zainul Abidin seorang yang berkelulusan ijazah Doktor Falsafah dalam pengajian Al-Qur'an dan sunnah, bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan merupakan pensyarah bahagian Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia tetapi tidak layak mengajar di Negeri Selangor kerana tanpa tauliah. Jika benar pun JAIS tidak memilih siapa pun dalam menguatkuasakan peraturan sepatutnya mereka berjumpa dengan beliau dan berbincang dengan harmoni serta menjelaskan akan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi.

JAIS benar-benar telah mengelirukan umat Islam dengan peraturan-peraturan mereka sendiri dengan cara penangkapan yang sungguh mengaibkan dan menjatuhkan maruah beliau sehingga melibatkan hampir 100 pegawai JAIS termasuk polis seolah-olah operasi memburu seorang penjenayah. Pastinya, musuh-musuh Islam akan bertepuk tangan dan mentertawakan umat Islam sendiri. Kerajaaan Negeri Selangor dan JAIS khususnya harus memperbetulkan keadaan ini dan mengambil tindakan sewajarnya agar sikap terbukaan dalam menuntut Ilmu yang diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri Selangor tidak menjadi sia-sia sahaja. Bukan ingin memihak kepada sesiapa tetapi kaedah haruslah tepat dan berhikmah. Dalam pada itu, Dr Asri harus muhasabah diri akan faktor-faktor yang menjadi musibah pada diri beliau kemungkinan beliau ada membelakangkan sunnah atau Ijmak ulama dalam penyampaian beliau. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Pengampun.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat- ayat kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. (Surah al- A’raf: ayat 175-176).

Friday, October 2, 2009

N31-Bagan Pinang-Bijaklah Memilih

Sekali lagi rakyat diperlukan untuk menentukan siapakah pilihan mereka untuk menjadi wakil kepada suara mereka di Dewan Undangan Negeri apabila pilihanraya kecil diperlukan di N31-Bagan Pinang. Kali ini PAS berdepan dengan UMNO sebagai calon pilihan rakyat di kawasan tersebut. Kepada pengundi-pengundi N31-Bagan Pinang gunakanlah kebijaksanaan masing-masing ketika memilih wakil rakyat mereka. Jangan hanya pembangunan material sahaja dinilai tetapi pilihlah wakil rakyat yang bersih dan istiqamah dalam perjuangan membela nasib mereka. Kenapa harus takut untuk membuat perubahan jika perlu? Dalam Islam, memilih pemimpin termasuk fardhu kifayah. Namun jika perlaksanaan fardhu kifayah itu tidak terlaksana maka hukumnya fardhu Ain kesetiap mukallaf mempergunakan semua pendekatan samada mengundi, menolong dan membantu sehingga terlantiknya kepimpinan Islam sejati yang diredhai oleh Allah. Imam Ghazali menghuraikan keseluruhan hubungan kepimpinan itu seperti berikut, "Sesungguhnya dunia adalah ladang akhirat dan tidak sempurna agama tanpa dunia dan kerajaan dan agama adalah dua yang berkembar. Maka agama adalah usul dan pemerintah adalah penjaga. Sesuatu benda tanpa usul(agama) akan binasa dan sesuatu tanpa penjaga(pemerintah) adalah sia-sia tiada berguna".
Dalam Islam, pemimpin dikenali sebagai Imam atau khalifah dan khalifah harus menjadi contoh tauladan kepada orang yang dipimpinnya. Khalifah juga bertanggungjawab menjaga dan memelihara kesucian Islam maka menjadi kewajipan kita melantik khalifah yang boleh menjaga Islam bukan mengkhianati Islam.

Tuesday, September 29, 2009

Berlalunya Ramadhan Munculnya Syawal


Ramadhan yang penuh keberkatan sudahpun meninggalkan kita dan kini umat Islam sedang bergembira menyambut Aidil Fitri sebagai tanda kemenangan menempuh dugaan menjalani iabdah puasa. Semoga amal ibadat kita dibulan Ramadhan diterima Allah Taala dan sebagai kebekalan kita di akhirat nanti bukan salah seorang dari hambaNya yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja malah mendapat kutukan daripada Allah Taala. Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah marilah kita sama-sama melanjutkan roh ramadhan dengan mengerjakan puasa sunat syawal.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Dan Batin

Wednesday, September 16, 2009

Jangan Jadi Seperti Mereka


Firman Allah Taala yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar (arak), berjudi, pemujaan berhala, tenung nasib adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan.” (Al-Maidah: 90)

Tidak terlintas bagaimana seorang yang mengaku Islam boleh dilantik sebagai Pengarah San Miguel Corp (SMC) syariakt pengeluar arak terbesar di Filipina inilah dia Mirzan Tun Mahathir (lihat Harakahdaily 13 Sep 2009). Hairan dan sungguh hairan orang UMNO ni. Suatu ketika war-warkan mereka perjuangkan Islam (Islam Hadhari?) tapi dalam masa yang sama menyokong perkara-perkara yang dilarang oleh Allah sepeti arak dan judi, jadi apakah sebenarnya yang mereka ingin lakukan. Sedar atau tidak sebenarnya mereka sendiri mempermainkan Islam dan hukum Allah. Padahal jelas dalam Al-Quran Allah melarang orang-orang yang beriman terlibat dengan apa jua yang berkaitan dengan arak. Jangan pula memberi alasan bawa dalam Al-Quran mereka tidak menjumpai perkataan Beer, Tiger, Guiness dan sebagainya sebagaimana alasan mereka berkaitan dengan judi. Jika ini juga alasan mereka dengan sendiri membuktikan bahawa mereka secara jelas mempermainkan Al-Quran dan Hadith.

Kemana pergi orang-orang yang kononnya memperjuangkan kesucian Islam dan sanggup berdemonstrasi tapi dalam hal ini mendiamkan diri dan tak berani memberi ulasan walaupun jelas bertentangan dengan Islam. Arak adalah ibu kepala kepada segala maksiat dan kemudharatan. Tidak cukup lagi kilang arak di Malaysia kini menjadi pengarah di luar Negara dan tidak hairan nanti diekspot ke Malaysia pula. Tidak cukupkah lagi masalah sosial di Negara ini dan ingin ditambah lagi masalah tersebut? Manusia-manusia ini hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan tidak memperdulikan masalah lain walaupun terpaksa mengadaikan maruah mereka dan bangsa mereka sendiri.

Cuba perhati dan fikirkan di Malaysia pula ahli lembaga Carlsberg Brewey Malaysia Berhad kilang arak terbesar Malaysia ialah Y.A.M. Tunku Naquiyuddin ibni Tuanku Ja’afar, Manakala tokoh korporat berkenaan pula ialah Jen.(B) Tan Sri Dato’ Mohd. Ghazali bin Dato’ Mohd. Seth (Bekas Jeneral Angkatan Tentera Malaysia) dan Tan Sri Datuk Asmat bin Kamaludin (Tokoh Koporat dan Pengarah Scomi Berhad). Apakah makna ini semua? Ingatlah wahai rakyat Malaysia, negara ini bukan Negara Islam sebenarnya kita telah diperbodohkan oleh pemimpin kita.

Hadis riwayat Iman Ahmad daripada Abi Umar, Sabda Rasulullah SAW maksudnya; “Telah dilaknat arak, peminumnya, pemberi minumannya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang memprosesnya dan pemakan harganya (wang hasil penjualan arak).”

Saturday, September 12, 2009

Sejauhmana Ramadhan Mentarbiyyah Diri Kita?


Firman Allah yang bermaksud; “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemulian. Dan tahukah kamu apakah malam kemulian itu? Malam kemulian itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Al-Qadr: 1-5)

Sedar atau tidak, Ramadhan kini sudah memasuki sepuluh terakhir fasa ketiga Ramadhan. Orang-orang yang beriman semakin meningkatkan amalan-amalan ibadah mereka kerana diwaktu inilah akan datang satu malam yang diberi kelebihan lebih baik amalan daripada seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar.

Dalam fasa ketiga ini seharusnya kita umat Islam memberi kelebihan kepada diri kita untuk menumpukan perhatian kepada beribadah kepada Allah dengan amalan-amalan seperti membaca Al-Quran, solat Tahjud, zikir, tasbih dan sebagainya. Masih ada lagi ruang untuk meningkatkan amalan-amalan kita walaupun kemungkinan kita terlalai pada awal Ramadhan tempoh hari. Pada fasa inilah kita luangkan dan melebihkan masa kita dengan amal-amal ibadah berbanding dengan perkerjaan kita yang lain lebih-lebih lagi jika dapat kita beriktiqaf di masjid atau musallah kerana disini kita dapat memberi tumpuan kepada amalan ibadah kita.

Amat malang sekali jika kita masih lagi berkejar-kejar dengan urusan dunia yang sentiasa tidak berkesudahan dan melalaikan. Jika selain dibulan Ramadhan kita leka dengan urusan kerja kita samada di pejabat, rumah atau tempat lain maka sewajarnya pada bulan yang penuh dengan kemuliaan ini kita meluangkan masa lebih kepada beribadah terutama di fasa yang ketiga ini. Tidak menjadi kesalahan untuk kita membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Aidil Fitri tetapi janganlah hingga kita leka hingga terabai dengan malam yang penuh keberkatan ini.

Umat Islam sering mengambil pendekatan yang salah antara Ramadhan dan Aidil Fitri kerana jika kita nilaikan kembali kebanyakan umat Islam lebih menumpukan sambutan Aidil Fitri melebihi Ramadhan. Belum memasuki Ramadhan lagi masing-masing sudah berkira-kira dengan Aidil Fitri, perhiasan apa yang perlu dibuat, kuih apa yang perlu dibeli tetapi amat kurang yang membuat persiapan untuk amalan apa yang hendak bulan Ramadhan, berapa banyak solat sunat hendak didirikan, berapa kali al-Quran hendak dibaca dan sebagainya. Ini ditambah lagi dengan hidangan-hidangan TV-TV dengan iklan-iklan promosi Aidil Fitri semakin merancakkan lagi tumpuan kepada menyambut Aidil Fitri. Pernah kita berkata “Sedihnya Ramadhan semakin dipenghujung” atau ”Ya Allah, banyak lagi amalan-amalanku yang tertinggal” tetapi kita sering berkata “Berapa hari lagi nak raya” atau “Seronoknya Ramadhan tinggal beberapa hari lagi”. Betapa nipisnya nilai Iman kita dan rendahnya ketaqwaan kita kepada Allah Taala hingga kita tidak terlintas di dalam jiwa kita ketinggian dan kemulian Ramadhan itu.

Ini menjelaskan betapa syaitan berjaya mendidik kita mengikuti langkah mereka dan mengajar nafsu menguasai diri kita walaupun di bulan Ramadhan syaitan-syaitan dipenjarakan namun atas didikan mereka selama sebelas bulan mereka berjaya mengekalkan manusia dengan pengaruh mereka. Tiada kesedihan dalam hati kita apabila Ramadhan meninggalkan kita, hanya kesedihan kerana ketiadaan orang-orang kita sayangi atau tidak dapat membeli baju baru atau jauh dirantau orang dan tidak lebih daripada itu.

Ramadhan seharusnya dijadikan sebagai madrasah tarbiyyyah bagi umat Islam untuk memperbaiki diri daripada buruk kepada baik, malas kepada rajin, pemarah kepada pemaaf dan sebagainya. Ramadhan mendidik manusia kepada ketaqwaan kepada Allah Taala. Tetapi kenapa manusia tidak berubah? Jawapannya ialah puasanya mereka di bulan Ramadhan hanya menahan lapar dan dahaga sahaja dan tidak lebih dari itu. Mereka tidak mengambil berat mengenai tarawikh, tahajjud, al-Quran dan jauh sekali Lailatul Qadar.


Firman Allah Taala yang bermaksud; “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya mentaati kesabaran.” (Al-Ashr: 1-3)

Kemiskinan, Zakat Dan Sedekah


Firman Allah Taala yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-yebutnya dan menyakiti (perasaan sipenerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang diatasnya ada tanah. Kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan. Dan Allah tindak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”. (Al-Baqarah: 264)

Ketika mengikuti rancangan Kasih Ramadhan melalui saluran OASIS ASTRO kita dipaparkan masih ramai umat Islam di Negara kita yang perlukan bantuan samada kewangan, tempat tinggal dan sebagainya. Masih ramai lagi yang dibelenggu kemiskinan bak pepatah melayu “kais pagi makan pagi kais petang makan petang”. Masih ada lagi masyarakat kita anak-anak mereka tidak mendapat pendidikan sempurna. Golongan ini perlu diambil perhatian agar mereka dapat merasai kehidupan yang lebih baik dan sempurna seperti orang lain. Persoalannya kenapa masih ada lagi golongan seperti ini walhal dalam Islam, umatnya digalakkan saling bantu membantu dan digalakkan memberi sedekah kepada golongan yang memerlukan. Tak semestinya sedekah itu dalam bentuk wang ringgit tetapi dalam bentuk material dan tenaga seperti membantu membina rumah, menyediakan tapak perniagaan, menyediakan pekerjaan dan sebagainya.

Selain daripada itu dalam Islam diwajibkan umat Islam menunaikan rukun Islam yang keempat iaitu zakat. Antara golongan yang layak menerima zakat ialah fakir miskin. Zakat adalah untuk membantu golongan-golongan ini membina kehidupan mereka lebih baik lagi namun begitu bila diperhatikan kenapa bantuan tersebut masih tidak dapat mencorak kehidupan mereka lebih baik lagi. Mungkin pendekatan yang diambil tidak dapat membantu dengan berkesan. Ada satu ungkapan yang boleh kita jadikan panduan iaitu “Beri mata pancing agar saya boleh dapat ikan lagi tapi jangan beri saya ikan kerana ia akan habis bila dimakan”. Kata-kata ini diluahkan oleh salah seorang daripada peserta yang dilawati di dalam program tersebut. Apakah maksud yang tersirat dengan ungkapan tersebut? Sebenarnya golongan ini bukan hanya memerlukan wang ringgit tetapi memerlukan sesuatu yang boleh digunakan untuk memberi jalan kepada mereka berikhtiar meneruskan kehidupan mereka. Contohnya, jika kita beri mereka modal dan tapak mereka akan dapat berniaga secara kecil-kecilan dan sedikit sebanyak boleh membantu mereka untuk menambahkan pendapatan mereka berbanding memberi makanan kepada mereka kerana akan habis akhirnya dan perlu meminta lagi selepas itu. Berkemungkinan dengan modal tersebut mereka boleh membina perniagaan yang lebih maju dan seterusnya merubah kehidupan mereka dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Dalam soal ini beberapa perkara perlu diambil perhatian;
1. Mengapa setelah disiarkan di media-media baru pihak yang berkenaan mengambil tindakan terhadap golongan ini? Apakah perlu publisiti untuk bertindak? Agak menghairankan dalam sesetengah rancangan ketika ditemubual, wakil rakyat di kawasan tersebut mengetahui kewujudan keluarga tersebut tetapi mengapa tidak bertindak? Hanya setelah tersiar di kaca TV baru tindakan diambil walhal menjadi kewajipan wakil-wakil rakyat ini menjaga kebajikan dan permasalahan rakyat di bawah pentabiran mereka.
2. Pusat Zakat harus mencari kaedah yang lebih baik dalam pengagihan wang-wang zakat agar golongan ini mendapat manafaat yang lebih bermakna.
3. Wang Zakat tidak hanya disimpan sahaja dengan alasan untuk pelaburan kerana wang zakat seharusnya diagih-agihkan kepada 8 asnaf ini kerana zakat adalah untuk membantu bukan untuk dilaburkan.


Apabila tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui adalah sebaik-baik sedekah. Fikir-fikirkanlah dengan sebaik-baiknya dan fikiran terbuka. Jangan hanya berbangga dengan jumlah kutipan yang banyak tetapi manafaat tidak sampai kepada yang berhak. Juga jangan cuba menipu rakyat bahawa Negara sudah maju dan rakyat sudah membangun tetapi hakikatnya masih ramai lagi rakyat merempat di Negara sendiri. Kemajuan tidak bermakna jika hanya setakat terbangunnya bangunan pencakar-pencakar langit tetapi masih ada lagi rakyat yang hidup dalam kemiskinan.

Manusia Yang Tidak Berakal


Apabila manusia hanya menurut nafsu, tidak menggunakan akal fikiran dengan waras dan tidak berilmu maka setiap tindakan mereka hanya melulu sahaja. Manusia yang mempunyai akal dan berilmu akan bertindak dengan merujuk kepada pertimbangan akal yang waras berbanding dengan mereka yang tidak berakal. Demonstrasi yang berlaku di Selangor baru-baru hanya didorong oleh nafsu manusia yang rakus dan membuta tuli sahaja. Islam tidak mengajar umatnya supaya menghina umat manusia yang lain, Islam tidak menyuruh umatnya menghina binatang dan makhluk yang lain kerana jika menghina umat dan makhluk yang lain, mereka juga pastinya akan menghina kita kembali.

Atas dasar apakah yang mendorong mereka mengarak kepala lembu sebagai menunjukkan bantahan? Perjuangan Islam? Perjuangan bangsa? Tidak mungkin kedua-duanya kerana apa bukti mereka memperjuangkan Islam jika selama ini mereka sering menghina dan mempermainkan hukum Islam. Juga apa bukti mereka mempertahankan bangsa jika selama ini mereka membelakang dan menghilangkan identiti bangsa mereka sendiri. Mereka adalah golongan-golongan yang terdesak, golongan yang ingin menarik perhatian dan pengaruh politik kotor mereka.

Menghairankan mengapa ketika mereka berkuasa dan memerintah tiada bantahan yang mereka timbulkan padahal pada waktu itu mereka berhak dan berkuasa untuk meluluskan atau membatalkan lebih-lebih lagi permohonan dan kelulusan tersebut oleh mereka sendiri. Kenapa baru sekarang melalak dan melolong terpinga-pinga membantah atas permohonan yang mereka sendiri luluskan? Memang dasar manusia munafik yang sentiasa mempunyai talam dua muka berpura-pura baik dihadapan tetapi rakus dan jijik dibelakang sentiasa mencari peluang menjatuhkan manusia yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan. Perjuangan seperti ini hanya pada nama sahaja dan tidak bertahan lama. Pudar bila kepentingan mereka dipenuhi dan tercapai walaupun tergadai agama dan bangsa mereka.

Usah sebut untuk memperjuangkan kesucian Islam jika amalan Islam pun tidak menentu, hidup penuh dengan rasuah dan mengamalkan politik kotor. Usah sebut memperjuangkan bangsa jika mereka juga yang menjual dan mengadaikan bangsa sendiri. Terlalu banyak bukti-bukti mereka mengadaikan bangsa mereka sendiri (Melayu) antaranya Isu Bahasa, Bank Bumiputra, tulisan jawi dan banyak lagi. Jika mereka benar-benar berjuang yang ikhlas berjuanglah untuk hidupkan semula tulisan jawi, kembalikan semula Bahasa Melayu pada tempatnya dan hidupkan semula Bank Bumiputra kepada bangsa Melayu. Jangan jadikan binatang sebagai tempat melepaskan nafsu amarah mereka kerana ia adalah makhluk Allah juga.

Namun jangan meletakkan harapan untuk mereka berbuat demikian kerana manusia-manusia ini hanya pandai bermain dengan slogan-slogan dan perjuangan mereka umpama pasang surut air laut. Lagak mereka seperti manusia yang tidak beriman dan bertindak mengikut selera nafsu mereka sahaja tanpa mengira dosa dan pahala.

Monday, August 24, 2009

Mereka Semakin Berani Mencabar Allah


Belum lagi kita mendengar fatwa dari Majlis Fatwa terhadap kenyataan Timbalan Presiden UMNO baru-baru ini dengan kenyataan “Ini soal politik. Bila politik dicampur aduk dengan agama-bahaya” keluar pula kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang menghina serban. Dalam kenyataannya berhubung dengan tindakan Tuan Guru Nik Aziz untuk menyaman tiga media yang pro UMNO, Media melaporkan Rais menyebut “Nik Aziz boleh mengemukakan sebanyak mana pun saman yang dia nak, "mungkin lebih panjang dari serbannya." Nampak gaya pemimpin UMNO sudah semakin berani mempermainkan soal akidah.

Inilah yang diperingkatkan oleh para ulama bahwa penghinaan tentang Islam dari orang-orang Islam seharusnya diambil perhatian dahulu sebelum mempersoalkan orang bukan Islam yang sememangnya tidak faham dengan hukum Islam. Kenapa Majlis Fatwa masih membisu? Adakah kerana yang mengeluarkan kenyataan itu orang UMNO maka tak perlu dikeluarkan fatwa walaupun ia terang-terang melibatkan soal iman. Dengan bala wabak H1N1 yang semakin membimbangkan ketika ini, masih ada lagi umat Islam yang sanggup mempermain-mainkan sunnah Nabi S.A.W. Apakah mereka memang berani mencabar hukum Allah dan sanggup berdepan dengan siksaan Allah samada di dunia juga di akhirat. Soalnya bukan mereka sanggup atau tidak tetapi apabila Allah menimpakan musibah atau bala kepada sesuatu Negara atau kaum itu, ia akan menimpa juga keatas semua umat di Negara itu samada yang beriman ataupun tidak. Adakah kita sanggup menghadapinya?

KITA SAMA-SAMA TUNGGU KENYATAAN MAJLIS FATWA

Sunday, August 23, 2009

Hebatnya Fitnah


Firman Allah yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beiman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. (Al-Hujuraat: 6)
Di dalam bulan yang penuh keberkatan ini umat Islam amat dituntut mengerjakan amalan-amalan yang boleh menambahkan pahala pekerjaan mereka seperti perbanyak membaca Al-Quran, menyuruh orang berbuat baik, mengajar ilmu-ilmu agama, bersedekah dan sebagainya. Namun sebaliknya dilakukan oleh para wartawan media cetak dan elekronik bukan pahala yang mereka inginkan tetapi dosa yang mereka cari-cari. Jika mereka membuat fitnah kepada orang lain kita tak akan ambil peduli kerana memang menjadi darah daging kebanyakan wartawan ini menyebarkan gossip dan fitnah tetapi apabila mereka membuat fitnah dan memutarbelitkan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sungguh amat-amat dikesali. Tiada langsung sekelumat rasa hormat dalam diri mereka kepada seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi, peribadi yang sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan Islam dan sentiasa menyebarkan ilmu-ilmu agama kepada umat Malaysia tetapi hanya untuk memenuhi kehendak nafsu syaitan pemimpin-pemimpin UMNO yang sentiasa bertopengkan Islam mereka sanggup mengadaikan maruah diri mereka dan etika kewartawanan mereka.

Dan kini terbukti segala yang mereka sebarkan didalam akhbar-akhbar dan media elektronik mereka ternyata terbukti jelas menyeleweng daripada kenyataan yang sebenarnya. Amat bersetuju sekali tindakan undang-undang dibuat terhadap media cetak dan elektronik ini sebagai satu pengajaran agar mereka lebih berhati-hati dalam membuat sebarang ulasan lebih-lebih lagi kenyataan yang melibatkan aqidah umat Islam. Jika tidak jelas seharus mereka mendapatkan penjelasan daripada orang yang mengeluarkan kenyataan tersebut. Namun dalam hal ini bukan tidak jelas tetapi sengaja memutarbelitkan kenyataan.

Dalam pada itu Majlis Fatwa juga harus memohon maaf kepada Tuan Guru Nik Aziz kerana mengeluarkan kenyataan hanya bersandarkan siaran di media cetak dan elekronik sahaja sebelum mendapatkan penjelasan sebenar daripada Tuan Guru Nik Aziz. Jika Majlis Fatwa tidak berbuat demikian dengan sendiri memperjelaskan bahawa mereka hanya sebagai suruhan kepada UMNO sahaja dan seterusnya menghilangkan kewibawaan Majlis Fatwa itu sendiri. Apakah wajar menjatuhkan fatwa dengan membaca keratan akhbar sahaja? Mengapa tergopoh-gopoh mengeluarkan kenyataan padahal sikap tergopoh-gopoh adalah penyakit rohani akibat daripada kelemahan iman, kelemahan jiwa dan tipu daya syaitan? Bertaubatlah dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Jangan dipisah-pisahkan antara Iman dan Islam, Iman dan amal dan bertawakkal kepada Allah bukan bergantung kepada manusia. Timbulkan rasa hormat kepada orang-orang alim dan berilmu agar kita juga sama-sama dapat manafaat dengan ilmu-ilmu mereka samada untuk kebahagian dunia dan akhirat.
Sama-sama kita tunggu Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa berhubung kenyataan Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin dengan kenyataan "Ini soal Politik, Bila politik dicampur aduk dengan agama - bahaya" (sila rujuk Bernama online, 20 Ogos 2009).

Rasanya memang wajar diboikot akhbar dan media elektronik ini sebagai pengajaran kepada mereka yang merasakan bahawa mereka boleh sewenang-wenangnya berbuat apa sahaja untuk menguntungkan syarikat mereka dan juga menurut segala nafsu pemimpin yang tiada pegangan hidup! Pemimpin-pemimpin hanya mencari agama bila perlu sahaja!

Saturday, August 22, 2009

Ambillah Peringatan Ini Jangan Tersilap Pilih

Apabila ulama dikuasai umarak berkacau bilau dan bercelarulah umat manusia. Setinggi gunung mana sekalipun ilmu ulama itu, melangit mana sekalipun pengajian ilmu agama ulama itu jika ilmu itu tidak digunakan untuk menyatakan kebenaran tentang ayat-ayat Allah, tentang syurga dan neraka, tentang azab kubur tetapi ilmu mereka hanya diguna untuk menurut kata-kata pemerintah atas dasar ketaatan kepada pemerintah yang membuta atau kerana kepentingan saku diri sendiri. Ulama-ulama begini akan wujud disetiap zaman dan sering menjadi penentang dan pembicara kepada pemerintah yang dasar pemerintahan mereka bukan berlandaskan kepada AL-Quran dan Hadith. Ulama-ulama begini tidak wajar diberi penghormatan walaupun mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa di dalam Negara kerana ulama-ulama beginilah yang disukai oleh penentang-penentang Islam atau pemerintah yang pura-pura dengan Islam. Ulasan mereka tentang sesuatu hukum lebih mirip kepada menyebelahi atau mengampu pemerintah bukan menyatakan dengan kebenaran kerana khuatir kedudukan mereka tergugat. Cuba kita perhatikan ulama-ulama disekeliling kita kebanyakannya memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan kehidupan mereka lebih mewah daripada rakyat kebanyakan jadi apakah yang dapat kita tafsirkan. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W sehingga wafat tidak meninggalkan sebarang harta padahal jika Nabi S.A.W berkehendak lebih banyak daripada itu boleh perolehi.

Oleh kerana itulah ulama-ulama sebegini tidak berani menyatakan kebenaran tentang ayat-ayat Allah dan hanya mengambil sebahagian ayat yang boleh digunakan untuk menyatakan dan memihak kepada pemerintah. Kalau kita nilai sendiri dinegara kita berapa ramai cerdik pandai yang mempunyai kelulusan agama menduduki jawatan tertinggi di Pusat Islam, JAKIM, Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya tetapi pernahkah kedengaran mereka mengajar majlis-majlis ilmu di masjid-majid, disurau-surau, menelaah kitab-kitab lama dihadapan para hadiran? Umumnya tidak ada, jika adapun dijemput dalam Forum Perdana (kononnya) yang dipertontonkan dikaca TV kerana apa? Jawapannya publisiti. Tidak menghairankanlah jika ulama-ulama begini sering mengunakan perkataan ajaib iaitu kita mesti lemah lembut. Inilah perkataan yang sangat gemar digunakan. Lemah lembut hanya untuk orang-orang yang baru ingin mengenali Islam tetapi apabila seseorang itu sudah menyatakan akujanji dengan kalimah Lailahaillallah MuhammadRasulullah maka tiada lemah lembut lagi kepada mereka kerana mereka harus akur dengan undang-undang yang Allah turunkan samada secara lembut ataupun tegas.

Ulama-ulama begini tidak berani berhadapan dengan ulama-ulama yang berpegang teguh pada Al-Quran dan Hadith dan sentiasa mengamalkannya dalam kehidupan mereka kerana ulama ini sedar akan kekurangan mereka. Mereka hanya merujuk kepada sumber yang tidak sahih seperti akhbar-akhbar dan dari penyampaian orang lain sedangkan cara ini belum tentu kesahihannya tetapi untuk kepentingan diri sendiri mereka harus memberi pendapat walaupun tidak tepat. Jadi kita tidak harus ragu-ragu untuk tidak memperdulikan ulama-ulama begini walaupun jawatan mereka dipanggil Mufti, Pengerusi Majlis Fatwa atau sebagainya.

Imam al-Ghazali ada menyebut tentang 3 jenis ulama’ iaitu :
1. Ulama’ yang membinasakan dirinya sendiri dan orang lain apabila ulama’ ini terang-terang mengejar dunia dan memusatkan segala perhatiannya kepada dunia
2. Ulama’ yang membahagiakan dirinya dan orang lain apabila mereka menjadi golongan yang mengajak manusia ke jalan Allah secara zahir dan batin
3. Ulama’ yang membinasakan dirinya dan membahagiakan orang lain apabila ulama’ ini mengajak orang lain ke jalan akhirat sehingga pada zahirnya dia seperti menolak dunia sedangkan batinnya timbul perasaan bahawa dia berbuat demikian untuk mempengaruhi orang ramai serta batinnya penuh dengan perasaan ingin memegah diri dan cinta kepada dunia.

Firman Allah Taala; “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualkannya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu tidak makan dalam perut mereka melainkan api, Dan Allah tidak akan berbicara dengan mereka pada hari kiamat, Dan (Allah) tidak akan menyucikan mereka, Dan bagi mereka seksaan yang amat pedih. Merekalah yang membeli kesesatan dengan petunjuk, dan (membeli) seksa dengan keampunan. Maka alangkah beraninya mereka menentang api neraka!” (Al-Baqarah: 174-175)

Saturday, August 15, 2009

Golongan Yang Harus Diperangi


Kenapa kita harus memperbesarkan isu apabila orang-orang bukan Islam mempertikaikan hukum Islam kerana sememang mereka tidak memahami ajaran Islam itu sendiri. Samada kita tidak memberi penerangan yang jelas kepada mereka ataupun kita tidak pernah memperjelaskan kepada mereka kerana tidak ada usaha-usaha dakwah kepada mereka. Sedangkan kita berdiam diri apabila orang-orang Islam yang mengaku beragama Islam, mengaku mendirikan solat, berpuasa, mengeluarkan zakat hatta sudah mengerjakan rukun Islam yang kelima iaitu haji tetapi menghina hukum Islam mereka sendiri secara terang-terangan. Dari kaedahnya, antara dua golongan ini yang mana satukah yang harus kita perangi? Bukan ingin menghukum tetapi selayaknya golongan kedua ini yang harus diperangi dahulu kerana mereka mengaku Islam tetapi menentang Islam. Golongan inilah yang dikatakan sebagai golongan munafik.

Di awal surah Al Baqarah, Allah SWT memperincikan ciri-ciri dan sifat golongan ini di dalam 13 ayat, iaitu ayat 8 sehingga ayat 20 (sila rujuk tafsir al-Quran). Manakala dalam surah An-Nisa Allah Taala berfirman yang bermaksud; "Dan apabila dikatakan kepada mereka,marilah kamu supaya berhukum kepada apa yang diturunkan oleh Allah (dalam Al Quran) dan kepada hukum-hukum yang dinyatakan oleh Rasul,nescaya engkau lihat golongan munafik itu menghalang engkau dengan halangan yang bersungguh-sungguh. Tetapi bilamana mereka ditimpa kemalangan disebabkan kesalahan mereka sendiri,mereka akan datang kepadamu,seraya bersumpah dengan nama Allah 'kami sekali-kali tidak menghendaki kejahatan, melainkan kebaikan dan perdamaian'." (An Nisa: 62)

Terdapat enam (6) ciri Munafiq I’tiqadi yang berlaku pada hari ini:
1. Mendustakan Rasulullah SAW seperti menolak Hadith secara total
2. Mendustakan sebahagian dari ajaran Nabi SAW
3. Benci kepada Nabi SAW
4. Benci dengan sebahagian dari ajaran Nabi SAW dan sunnah Nabi SAW
5. Gembira apabila melihat Islam dihina, ditekan, ditewaskan, dan sebagainya
6. Benci untuk menolong agama Islam

Sebagai golongan yang jahil dengan ilmu-ilmu agama kita seharusnya tidak mempersoalkan kenyataan yang dibuat Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berhubung dengan pertikaian orang bukan Islam tentang hukum Islam sebagaimana yang diperbesar-besarkan oleh media perdana yang sememangnya diketahui umum sentiasa memutar-belitkan kenyataan yang benar. Media-media inilah sentiasa menyebarkan berita-berita palsu dan memutarbelitkan kebenaran hingga umat Islam terkeliru dan menjadi kucar-kacir dan bilau. Kita harus ingat di akhir zaman ini akan ramai golongan ulama yang mementingkan dunia dan menjual ayat-ayat Allah daripada ulama yang berani menyatakan kebenaran. Jadi kita jangan terjerumus dan tertipu dengan ulama-ulama seperti ini.

Firman Allah Taala yang bermaksud; "Dan orang-orang munafik itu bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka dari golongan kamu,pada hal mereka bukan dari golongan kamu,tetapi mereka adalah kaum pengecut(tidak berani terus terang kekafiran mereka).Sekiranya mereka mendapat tempat perlindungan,atau gua-gua atau lubang-lubang dalam tanah,nescaya mereka akan melompat kedalamnya." (At Taubah: 56-57)

Taubat Dan Hijrah

Firman Allah Taala yang bermaksud; “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, dan janganlah kamu memalingkan pandangan kamu daripada mereka hanya kerana kamu mahukan kesenangan hidup di dunia, dan janganlah kamu mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah lakunya melampaui kebenaran.” (Al-Kahfi: 28)

Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan namun Allah Taala dengan RahmatNya sentiasa menerima taubat hamba-hambaNya yang ingin bertaubat. Selain daripada bertaubat kita dianjurkan berhijrah daripada kedudukan sekarang kepada kedudukan yang lebih baik dn bagi memastikan penghijrahan kita benar-benar berhasil hendaklah kita memastikan orang-orang yang berdamping atau bersama kita adalah orang-orang yang memberi kesan positif kepada penghijrahan kita. Persekitaran sekeliling kita sentiasa mempengaruhi perbuatan, amalan, tingkahlaku dan keputusan hati kita jika keimanan kita tidak kuat. Oleh kerana itu, dengan berdampingan dengan orang-orang yang sentiasa rapat dengan Allah secara tidak langsung ia akan dapat membantu kita dalam menjaga hati kita untuk benar-benar bertaubat. Orang-orang yang ikhlas ini akan sentiasa menegur, menasihat dan memberi ilmu yang manafaat kepada kita.

Perumpamaan yang dapat kita petikan di sini ialah umpama perbandingan si penjual minyak wangi dan si tukang pembuat besi. Jika kita merapati kepada si penjual minyak wangi walaupun kita tidak membeli minyak wangi jualannya tetapi setidak-tidaknya si penjual akan memberi kita merasai sedikit minyak wangian ke tangan kita ataupun setidak-tidakpun kita akan merasai bau keharuman minyak tersebut. Berbanding sebaliknya jika kita mendekatkan diri dengan si tukang besi kita dapat merasakan bahang kehangatan panas api mencairkan besi si tukang besi itu walaupun kita hanya melihatnya sahaja. Inilah perumpamaan jika berdampingan dengan orang-orang yang rapat dengan Allah seperti alim ulama, pejuang-pejuang Islam dan sebagainya dengan orang-orang yang sentiasa berjauhan dan melanggar perintah Allah seperti orang-orang yang melalaikan solat, banyak membuat maksiat dan kerosakan dan sebagainya.

Ambillah kesempatan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat dan nikmat ini untuk memperbaiki diri kita kepada insan yang lebih baik dan patuh kepada ajaran-ajaran Allah yang disampaikan melalui nabi Muhammad S.A.W. Dengan kedatangan ramadhan ini sewajarnya ia akan dapat memberi kekuatan kepada kita berhijrah menjadi insan yang sentiasa dekat kepada Allah, sentiasa mengingati Allah dalam apa keadaan sekalipun dan menjadi insan yang sama-sama berjuang untuk menegakkan hukum-hukum Allah di muka bumi ini.

Thursday, July 23, 2009

Musibah Dan Peringatan Allah


Kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak akan terlepas daripada menghadapi ujian daripada Allah Taala. Semua ujian ini adalah sebagai salah satu cara untuk Allah Taala menguji sejauh mana tahap keimanan seseorang hamba Allah dalam menghadapi ujian dan ia menentukan kedudukan keimanan hamba Allah itu. Ujian-ujian ini juga sebagai salah satu cara untuk Allah menghapuskan dosa-dosa dan memberi ganjaran pahala kepada hamba-hambaNya.

Firman Allah Taala yang bermaksud; “Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah antaranya yang lebih baik amalnya.” (Surah Al-Kahfi: 7)

Ujian dan kesulitan itu dapat memberi kesedaran dan pendedahan kepada hamba yang sedar tentang keperluan yang harus mereka pertingkatkan, amalan-amalan yang mereka harus perbanyakkan, keburukan-keburukan yang perlu mereka jauhi atau hindari dan sebagainya. Hamba-hamba Allah yang mempunyai kesedaran sentiasa melakukan muhasabah diri dan bertaubat kepada Allah akan kesilapan dan kesalahan yang telah mereka lakukan.

Allah akan menurunkan ujian-ujian kepada hamba-hambaNya dengan berbagai –bagai cara seperti kesakitan dengan penyakit, kehilangan harta benda atau orang yang disayangi, ujian dengan anak-anak atau keluarga, ujian dengan majikan dan sebagainya. Hamba yang beriman akan menghadapi ujian-ujian tersebut dengan kesabaran dan sentiasa berdoa dan bertawakkal kepada Allah serta menyerahkan diri segala urusan mereka kepada Allah. Hamba-hamba ini akan berusaha mendekatkan diri kepada Allah Taala dengan mengerjakan amalan-amalan yang baik dengan harapan mendapatkan keredaan daripada Allah dan memberi kekuatan dan meningkatkan keimanan mereka.

Sememang menjadi kelemahan manusia apabila ditimpa musibah atas diri mereka perasaan keluh kesah, kekecewaan, penyesalan dan sebagainya akan timbul dalam jiwa mereka. Oleh kerana itu sebagai hamba Allah kita digalakkan sentiasa memperbanyakkan berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah agar dalam keadaan kita ditimpa musibah tersebut kita semakin menghampirkan diri kita Allah dan terhindar daripada tindakan-tindakan yang tidak baik dan melampau batas kemanusiaan.

Firman Allah Taala yang bermaksud; “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka Jahannam dalan keadaan hina.” (Surah Ghafir: 60)

Setiap musibah dan dugaan yang Allah turunkan kepada kita adalah sebagai suatu peringatan kepada kita dan ia merupakan suatu rahmat daripada Allah kerana Allah masih menyayangi kita dan sentiasa memperingatkan kita apabila kita telah melakukan dosa agar kita berkesempatan untuk bertaubat kepadaNya sebelum kita dijemput kembali kepadaNya

“Ya Allah, Tiada Tuhan yang sebenar melainkan Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku, aku adalah hambaMu, dan aku berjanji mentaatiMu semampuku, aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan kelakuanku. Ku kembalikan kepadaMu segala nikmat yang Kau berikan dan aku kembali kepadaMu dengan dosa yang ku lakukan. Ampunilah aku, kerana tiada siapa yang dapat mengampuniku melainkan Engkau.”

Tuesday, July 7, 2009

Cara-Cara Memilih Sahabat


Di dalam memilih sahabat hendaklah diperhatikan syarat-syarat bersahabat. Maka janganlah bersahabat kecuali dengan orang yang layak untuk dijadikan sahabat. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W bersabda ertinya;
“Seseorang itu mengikut agama (cara hidup) sahabatnya, oleh kerana itu hendaklah seseorang kamu melihat terlebih dahulu siapakah yang patut dijadikan sahabat”

Maka apabila hendak mencari sahabat yang engkau dijadikan ia sebagai sahabat didalam menuntut ilmu dan didalam urusan agamamu dan duniamu maka hendaklah engkau tuntut daripadanya (pastikan pada dirinya) lima syarat;
1. Orang yang berakal
2. Orang yang baik akhlaknya
3. Orang yang soleh
4. Jangan bersahabat dengan orang yang tamak dunia
5. Orang yang benar
Berkata Syaidina Ali K.W. ertinya; “ Saudaramu yang sebenarnya ialah orang yang selalu menolongmu (diwaktu senang dan susah) dan ia sanggup berkorban kerana memberi manafaat kepadamu, dan ia sanggup memecahkan segala urusannya kerana menolong engkau dalam menghadapi segala bala’ dan ujian”.
Barangkali susah untuk mendapatkan orang yang memiliki kesemua sifay-sifat ini walaupun pada orang-orang yang duduk mengaji di surau-surau atau duduk beribadah di dalam masjid. Oleh itu tiada ada jalan lain bagimu kecuali engkau memilih antara dua jalan.
Pertama: Beruzlah iaitu mengasingkan diri daripada orang ramai kerana disitulah letaknya keselamatanmu.
Kedua: Bergaul dengan orang ramai mengikut kedudukan mereka masing-masing yang berdasarkan kepada tiga pembahagian.
1. Saudaramu untuk akhiratmu, maka janganlah engkau perhatikan daripadanya kecuali hal-hal agama
2. Saudaramu untuk duniamu, maka janganlah engkau perhatikan daripadanya kecuali hanya akhlak yang baik.
3. Saudaramu untuk kejinakan hatimu, maka janganlah engkau perhatikan daripadanya kecuali hanya keselamatanmu daripada kejahatannya, fitnahnya dan keburukannya.


(Sumber:Permulaan Jalan Hidayah karangan Imam Ghazali)

Monday, June 29, 2009

Perpaduankah Ini


Sewajar kita memberi perhatian pandangan yang diberi oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz berhubung Kerajaan Perpaduan yang menjadi perbincangan hangat di media-media utama ketika ini kerana ada logik dan asas pandangan beliau. Diketahui umum setiap kenyataan beliau sentiasa melangkaui batas sempadan masa dan kadang kala perlu dibahas dengan lebih lanjut lagi. Penulis tidak perlu mengimbas semula ketika PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional tetapi ingin menarik perhatian tentang sikap UMNO sendiri. Kerajaan Perpaduan yang difokus sekarang hanya timbul setelah UMNO terumbang-ambing mencari kekuatan semula ekoran penolakan rakyat terhadap UMNO dalam pilihanraya 2008 baru-baru ini.
Mereka harus sedar dan perlu ingat sehingga sekarang UMNO masih lagi menindas rakyat Kelantan hanya kerana kuasa politik mereka. Dan sewajar Tuan Guru Nik Abd Aziz selaku Menteri Besar Kelantan mempersoalkan perpaduan ini. Menindas dan menidakkan hak rakyat Kelantan yang rata-rata berbangsa Melayu dan beragama Islam adakah tidak termasuk dalam perpaduan? Dalam laporan Kementerian Kewangan baru-baru ini, ia telah menyenaraikan Negeri Kelantan sebagai salah sebuah negeri pengeluar sumber gas asli namun dimanakah royalti untuk Negeri Kelantan sebagaimana negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Sabah.
Pembangunan-pembangunan yang diberi kepada negeri-negeri lain tidak dirasai oleh Kelantan sepenuhnya dengan wujudkan berbagai-bagai sekatan dan alasan-alasan yang tidak munasabah umpama rakyat Kelantan itu sendiri bukan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang juga membayar cukai mereka. Atas alasan apakah hak mereka disekat? Hanya kerana negeri Kelantan bukan diperintah UMNO. Kalau UMNO sendiri pun yang memerintah di mana pembangunan yang mereka lakukan sepanjang memerintah Kelantan sebelum ini.
Sebenarnya inilah yang menghampakan Tuan Guru terhadap UMNO. UMNO berbicara tidak pada hakikat sebenar, tidak pada kenyataan yang sebenar, tidak pada wajah yang sebenarnya dan sentiasa berpura-pura. Sememangnya mereka tidak ada bezanya dengan ideologi-ideologi lain hanya membezakan mereka ialah istilah dan susun kata perkataan mereka sahaja.
Namun pada penulis keadaan ini memberi kesan yang baik kepada Negeri Kelantan kerana pembangunan negeri Kelantan sekarang ini adalah atas usaha mereka sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak dan sentiasa seiring dengan pembangunan rohani. Bersih dari amalan rasuah dan lebih penting sekali ialah rakyat Kelantan sentiasa merantau di negeri-negeri lain dan membawa masuk aliran tunai ke Kelantan dan ini memberi keuntungan kepada Kelantan.
Jika benar pemimpin UMNO ikhlas dan bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib bangsa melayu, sewajarnya mereka menumpukan juga bantuan mereka ke negeri Kelantan yang terbukti mempunyai majoriti penduduk melayu melebihi 95% jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Istilah perpaduan hanya mainan slogan sahaja bukan dalam erti kata sebenarnya.

Monday, May 11, 2009

Hak Tetap Hak


11 Mei 2009 merupakan hari kemenangan kepada rakyat Perak kerana dengan rasminya Mahkamah Tinggi mengiktiraf Dato Seri Mohamad Nizar Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak yang sah rentetan daripada fail saman Mohamad Nizar mencabar perlantikan Zamry pada 13 Februari lalu serta permohonan pengisytiharan bahawa Zamry tidak berhak memegang jawatan Menteri Besar Perak ekoran rampasan kuasa oleh BN hasil daripada tiga wakil DUN keluar daripada Pakatan Rakyat dan menyokong BN.

Sebagai maklumat, Dato Seri Mohamad Nizar Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak yang sah atas tiga alasan berikut:
(i) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak;
(ii)Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai menteri besar Perak; dan
(iii)Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak

Firman Allah yang bermaksud;
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)” (An-Nisa: 58)

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
“Daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda,”Tanda orang munafik ada tiga, apabila bercakap ia bohong, apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianati”

Mohamad Nizar telah menjalankan tanggungjawab beliau mempertahankan jawatan Menteri Besar Perak atas amanah yang diberikan Allah kepada beliau sebagai Khalifah Allah untuk memperjuangkan sunnah Allah di muka bumi Malaysia ini kerana pada beliau pemimpin yang merampas jawatan tersebut belum pasti lagi memperjuang dan menegakkan hukum Allah di muka bumi Malaysia ini. Contoh yang paling jelas sekali ia, program Sure Heboh yang sebelum ini di haramkan di Negeri Perak telah diadakan semula oleh “Menteri Besar Zamry” walhal Mufti Perak telah mengeluarkan pengisytiharan pengharaman tersebut. Jika baru memegang jawatan selama tiga bulan sudah bertindak sedemikian bagaimana pula jika tiga tahun mentadbir?

BN harus memohon maaf kepada rakyat Perak kerana mengkucar-kacirkan pentabdiran Perak dan mempermain-mainkan undang-undang tubuh Negeri Perak sekaligus menghina Sultan Perak. Renungkanlah hadith Rasulullah di atas dengan hati yang terbuka akan sifat-sifat orang munafik. Jangan kita tergolong daripada kalangan mereka. Sebagai jalan penyelesaian kepada kekusutan ini dan mengelakkan tindakan-tindakan tidak rasional pihak-pihak tertentu, pembubaran DUN negeri Perak dan pilihan raya yang adil harus diadakan bagi memberi hak kepada rakyat menentukannya.

Yang hak tetap akan terima hak mereka dan batil akan tenggelam akhirnya.

Saturday, May 9, 2009

Hilangnya Kemulian Parlimen Dan Dewan Undangan


Sungguh memual dan menjelikkan bila melihat perwatakan pemimpin kita bertelagah dalam dewan yang dikatakan sebuah ruang persidangan yang mulia. Dalam kes dewan undangan Perak, banyak sungguh berlaku ketidakadilan pihak-pihak tertentu dalam melaksanakan undang-undang dan melangkaui batasan-batasan yang ada pada mereka. Pihak-pihak ini secara terang-terangan mencampuri urusan Dewan Undangan serta membelakangkan kuasa yang ada pada jawatan yang tertinggi dalam dewan walhal dalam keadaan yang berbeza pihak ini juga menyatakan bahawa mereka tiada kuasa untuk bertindak dalam Dewan Undangan atau Parlimen. Dalam hal ini kita dapat perhatikan bahawa mereka mempamerkan kepada rakyat sikap sebenar mereka (ada juga rakyat yang tak tahu menilai sendiri atau memejamkan mata sahaja hanya kerana kebendaan).

Sungguh banyak suasana pelik yang berlaku di Perak dan penuh dengan tindakan-tindakan yang boleh dipersoalkan keperluannya.

Atas alasan apa sekalipun samada dikatakan kerajaan haram atau halal, kerajaan pimpinan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir tetap menghadapi masalah dalam pentadbiran beliau atas alasan-alasan berikut;
1. Mempergunakan badan-badan yang punyai kuasa untuk melindungi segala tindakan beliau walaupun tindakan beliau membelakangkan undang-undang
2. Kerajaan pimpinan beliau tidak mendapat sokongan dari ahli-ahli Dewan Undangan Pakatan Rakyat
3. Kerajaan pimpinan beliau tidak direstui oleh kebanyakan rakyat. Rakyat yang menyokong hanya yang punyai kepentingan sendiri sahaja.
Akan hilang rasa hormat rakyat kepada Zamry dan kebuntuan yang berlaku di Perak tidak akan ada kesudahannya lagi. Tak bermakna pun “Satu Malaysia” istilah baru ciptaan Dato’ Seri Najib Razak kalau sedemikian yang ditonjolkan oleh kerajaan BN pimpinan Zamry ini. Sejak perampasan kuasa 5 Februari hingga sekarang kemelut demi kemelut berlaku dan situasi ini memerlukan tindakan bijak Istana dalam meredakan kekusutan ini. Jelasnya imej Malaysia telah tercemar dimata dunia.

Firman Allah yang bermaksud,“Dan siapa yang disesatkan Allah maka tidak ada baginya seorang pemimpin sesudah itu. Dan kamu akan melihat orang-orang yang zalim ketika mereka melihat azab berkata. ‘Adakah kiranya jalan untuk kembali (kedunia).” (Asy-Syura: 44)

Saturday, May 2, 2009

Isu Murtad: Di Mana Umat Islam, Di Mana Pemimpin Kita




Firman Allah yang bermaksud;
“Barang siapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya kalau ia mati dalam kekafiran maka mereka itulah yang sia-sia amalnya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya” (Al-Baqarah: 217)

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
“Sesiapa yang menukar agamanya (Islam kepada yang lain) maka bunuhlah dia.” (Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Masih ingatkah lagi kita kepada peristiwa Aisyah Bukhari, Hartini Kamarudin, Norfazilah Abdul Aziz, Siti Salma Md Yasin dan Azlina Johari. Nama-nama tersebut telah meninggalkan titik hitam dan persoalan kepada umat Islam betapa undang-undang Negara ini tidak mampu menanggani isu-isu murtad dan melindungi umat Islam di Malaysia daripada terjebak dengan penukaran kepada agama lain. Kes-kes tersebut juga memberi gambaran betapa tiada kuasanya Mahkamah Syariah Malaysia walaupun Negara kita pada istilahnya dikatakan Negara Islam. Tidak terfikirkah kita kenapa tidak berupayanya Mahkamah Syariah kita dalam menghadapi fenomena ini? Kerana keengganan kita melaksanakan Hukum Hudud dan Qisas di Negara kita.

Dalam pada itu di manakah umat Islam? Tidak seperti umat Islam di dalam peristiwa Natrah dahulu di mana umat Islam Malaysia dan Singapura ketika itu bangkit mempertahankan Natrah daripada dibawa kembali agama asal ibubapa mereka walaupun akhirnya gagal dipertahankan tetapi umat Islam ketika itu berjuang hingga kesaat akhir mempertahankan aqidah Natrah. Umat Islam sekarang amat lemah, tidak berani dan terlalu mementingkan diri sendiri dengan alasan tidak mahu mencampuri urusan orang lain, tidak mahu berlaku huru hara, kerajaan sudah ada untuk bertindak dan sebagainya. Kelemahan ini ditambah pula dengan sikap kerajaan sendiri yang terlalu bertolenrasi tak bertempat hingga yang menjadi mangsa ialah umat Islam sendiri.

Pembaca disyorkan membaca buku Tragedi Natrah sebagai pengajaran betapa perjuangan umat dahulu dalam mempertahankan kesucian Islam dan Murtad-Jangan Pandang Sebelah Mata tulisan Ann Wan Seng sebagai satu kesedaran betapa berat isu murtad di Negara kita dewasa ini.

Monday, April 27, 2009

Kenapa Saudara Baru Mudah Berpaling Ke Agama Asal Mereka?

Umat Islam wajib menyebar Islam kepada umat-umat lain dan mengajak mereka bertauhid kepada Pencipta sebenar yang menjadikan mereka. Kita hendaklah memberi kefahaman dan mengembangkan tentang Islam kepada umat-umat lain kerana Islam adalah untuk seluruh alam ini dan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W itu sendiri adalah untuk kerahmatan seluruh alam merangkumi semua makhluk-makhluk samada di muka bumi mahupun di lautan.

Dalam kontek ini sebagai umat Islam kita seharusnya mendekatkan diri kita dan Islam itu sendiri kepada umat-umat lain dengan berbagai-bagai kaedah mengikut kesesuaian tetapi di dalam ruang lingkup tabliq dan prinsip-prinsip Islam. Penulis tidak menyebut dengan mendekatkan Islam kepada bangsa lain tetapi umat lain kerana Islam tidak pada bangsa dan Islam bukan diturunkan hanya untuk orang melayu tetapi kepada seluruh umat manusia di bumi ini. Hanya berkebetulan di Negara ini majoriti rakyat Malaysia adalah berbangsa melayu maka keseluruhannya bangsa melayu adalah beragama Islam walaupun sesetengahnya amalannya hanya asasnya sahaja (walallahua’alam).

Sering kita perhatikan bahwa mengajak umat-umat lain mendekati Islam amat sukar sekali berbanding dengan agama-agama lain walhal Islam itu indah dan sempurna. Mereka lebih mudah tertarik dengan agama-agama lain dan lebih senang berbicara tentang agama-agama lain sehinggakan adakalanya ketika diajak berdiskusi tentang Islam agak keberatan dengan berbagai-bagai alasan dikemukakan. Mengapakah situasi ini boleh berlaku? Adakah tidak cukup maklumat tentang Islam atau kurang penerangan-penerangan tentang Islam? Hatta di Negara kita wujudnya berbagai-bagai institusi yang berkaitan dengan Islam umpamanya Jabatan Kefahaman Islam (JAKIM), Pusat Islam, PERKIM dan sebagainya. Apakah peranan mereka tidak memberi manafaat kepada pembangunan dan penyebaran Islam?

Sebenarnya, umat Islam itu sendiri yang menjauhkan bukan Islam daripada Islam. Umat Islam tidak menunjukkan bahawa Islam itu indah. Mereka gagal menterjemahkan keindahan Islam daripada diri mereka sendiri kerana kebanyakan amalan harian mereka bukan berpegang kepada Islam, sifat-sifat mereka tidak mencerminkan wajah Islam, tindakan-tindakan mereka tidak menunjukkan kelembutan Islam dan banyak lagi.

Ini disebabkan kebanyakkan umat Islam di Negara kita yang berbangsa melayu hanya menjadikan Islam pada sebahagiannya sahaja dan tidak pada sebahagian yang lain padahal Islam wajib diambil keseluruhannya dalam cara hidup mereka samada berkeluarga, ekonomi, politik dan sebagainya. Kita gagal menarik umat lain untuk mendekati Islam dan sebagai contoh yang paling kecil dan mudah ialah kita sering kali melarang umat lain mendekati masjid kita lebih-lebih lagi mendengar kuliah-kuliah agama kita dengan alasan orang Islam tidak boleh memasuki masjid dan sebagainya. Tindakan ini menyebabkan mereka beranggapan betapa susah dan cerewetnya Islam dan akhirnya semakin lama semakin jauh mereka daripada Islam, lebih-lebih lagi umat Islam sendiri juga ada yang kurang mendekatkan diri mereka dengan masjid dan kehadiran mereka di masjid hanya pada waktu-waktu berkala sahaja seperti solat Jumaat, solat Hari Raya, kematian dan sebagainya.

Belum lagi persoalan-persoalan yang berhubung kait dengan saudara-saudara baru yang kembali ke agama asal mereka. Berapa ramai saudara-saudara baru yang telah kembali kepada agama asal mereka? Dengan tidak ada susulan dan perhatian daripada umat Islam dan ditambah dengan persoalan-persoalan yang dibicarakan di atas telah menyumbang kepada tindakan tersebut. Umat Islam hanya bangkit apabila isu murtad ini telah dibawa ke mahkamah untuk bicarakan dan diwaktu tersebut terdengarlah suara-suara yang dahulunya sepi dan senyap membisu dengan tiba-tiba lantang bersuara kononnya ingin memperjuangkan kesucian dan kedaulatan Islam namun dalam masa yang sama mereka juga memperkecil dan permain-mainkan Islam itu sendiri.

Sudah sampai masanya umat Islam merubah persepsi ini dan mula menjadikan Islam sebagai panduan dan cara hidup dan menterjemahkan keindahan Islam dalam kehidupan mereka. Umat Islam harus istiqamah dalam perjuangan dalam menegakkan kesucian dan mempamerkan kepada umat-umat lain akan keindahan dan kesempurnaan Islam itu.

Saturday, April 25, 2009

Usrah Dan Gerakan Islam

USRAH sangat penting di dalam gerakan Islam dan menjadi salah satu daripada bentuk tarbiyyah kepada ahli-ahli gerakan. Berikut adalah petikan daripada tulisan as-syahid al-Imam Hassan al-Banna tentang pentingnya usrah. Tulisan ini berupa ringkasan dan pentafsiran terhadap kandungan utama risalah Usrah dan Dakwah oleh al-Imam Hassan al-Banna terbitan Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, 1993. Menurut penerbit, risalah itu berupa petikan daripada karangan Hassan al-Banna yang bertajuk "Nizamul Amru Wa Risalatutta'aim". Penyunting berusaha mengekalkan struktur penulisan (terjemahan) asal. Bahagian lain tulisan ini ialah lapan tindakan dan sepuluh wasiat.

MAKSUD USRAH membentuk ikatan perpaduan untuk penganutnya. Ikatan itu dinamakan usrah. Melalui usrah kita dapat memimpin penganut Islam ke arah contoh-contoh pujian yang tinggi di samping memperkukuh ikatan yang sedia ada. Selain itu, mutu ukhuwah antara sesama ahli boleh ditingkatkan, iaitu dengan merealisasikan teori dalam perbuatan dan amalan. Oleh itu, kita hendaklah memandang berat perkara ini dan bersedia untuk menjadi batu bata yang sihat lagi berguna kepada bangunan keluarga bentukan yang mulia ini, iaitu keluarga Islam.

RUKUN USRAH Rukun ikatan usrah ini tiga perkara iaitu berkenalan, bersefahaman, dan berimbangan. Kita hendaklah mengambil berat perkara ini dan bersungguh-sungguh menjayakannya supaya ikatan itu tidaklah semata-mata menjadi beban yang tidak bererti.

Berkenalan Rukun usrah yang pertama ialah taaruf (berkenalan) antara satu sama lain. Ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan serta berkasih sayang dengan semangat cinta kepada agama. Kita hendaklah memahami pengertian dan hakikat ukhuwah sejati. Elakkan perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwah itu. Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung titah firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. Jadikan firman Allah dan hadis Rasulullah S>A>W sebagai yang wajib diutamakan.

Antara firman Allah dan hadis ialah: Orang-orang mukmin itu bersaudara-mara. (Al-Hujarat, 26:10) Berpeganglah dengan tali Allah semuanya dan janganlah kamu berpecah-belah. (Ali Imran, 3:103) Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain. (Hadis) Orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya. (Hadis) Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dalam perasaan belas kasihan mereka, dan dalam simpati mereka adalah laksana badan yang satu (Hadis).

Bersefahaman Rukun usrah yang kedua ialah tafahum (bersefahaman). Kita hendaklah berpegang pada kebenaran dengan mengerjakan apa-apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan apa-apa yang dilarang-Nya. Periksalah diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar mentaati perintah Allah atau terlibat dalam arena kederhakaan. Setelah memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat.
Rakan yang dinasihati itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat daripada sahabatnya. Pemberi nasihat pula janganlah berubah hati terhadap sahabat yang tersilap itu--walau sejarak sehelai rambut sekali pun.

Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik tanpa memandang rendah sahabat yang dinasihati itu. Pemberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia. Sembunyikan kesilapan sahabat itu daripada pengetahuan naqib selama lebih kurang sebulan. Ceritakanlah kepada naqib apabila anda tidak berdaya membaikinya. Namun demikian, jangan sekali-kali tawar hati terhadap sahabat yang silap itu. Sebaliknya, teruskanlah kasih sayang anda terhadapnya sehingga Allah melakukan apa-apa perubahan yang dikehendaki-Nya.

Sahabat yang diberikan nasihat pula janganlah keras kepala. Janganlah juga berubah hati walau sejarak rambut sekalipun terhadap si pemberi nasihat. Fahamilah bahawa martabat kasih sayang kerana Allah itu adalah setinggi-tinggi martabat bagi pengertian kasih sayang di kalangan umat manusia. Nasihat pula adalah satu dasar yang amat penting dalam agama Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), "Agama itu adalah nasihat." Oleh itu, perhatikanlah dalam-dalam pengajaran yang mulia dalam hadis ini--mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada kamu.

Berimbangan Rukun usrah yang ketiga ialah takaful yang bermaksud memelihara nasib sesama sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar. Amalkan rukun ini dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara menolong memikul bebanan sesama sendiri. Takaful merupakan tunjang iman dan inti sari ukhuwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, berganti-ganti membuat kebajikan dengan jalan segera menolong antara satu sama lain sedaya upaya.

Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya), "Kalau seseorang daripada kamu itu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baginya daripada ia beriktikaf sebulan di masjidku ini. (Hadis) Sabda baginda lagi (maksudnya), "Sesiapa memberikan kesukaan kepada keluarga sesebuah rumah orang muslim nescaya tidak lain yang dibalas Allah melainkan dengan syurga." (Hadis)

PERINGATAN Dua perkara yang perlu dititikberatkan ialah kehadiran dan pengisian tabung usrah. Setiap anggota usrah hendaklah menghadiri pertemuan-pertemuan yang telah dijadualkan walau bagaimana uzur sekalipun. Setiap anggota usrah juga hendaklah menunaikan kewajipannya untuk tabung usrah di cawangan usrahnya. Apabila kita dapat menunaikan kewajipan yang bersifat perseorangan, kemasyarakatan, dan kewangan seperti di atas, maka rukun usrah akan terlaksana dengan jayanya. Sebaliknya, jika dicuaikan, maka segala rukun dan peraturan itu akan beransur-ansur mundur dan akhirnya terus mati. Dengan matinya peraturan usrah yang baik ini, gerakan dakwah akan serugi-ruginya sedangkan gerakan dakwah sangat dikehendaki dan menjadi tempat harapan bagi umat Islam seluruhnya.

KANDUNGAN USRAH Apakah yang perlu dilakukan dalam pertemuan mingguan usrah yang menepati maksud, rukun dan peringatan di atas? Jawapannya mudah: Kita mempunyai banyak kewajipan sedangkan masa kita terlalu sedikit. Oleh itu pertemuan mingguan kita hendaklah dipenuhkan dengan perkara-perkara yang berikut:Membentangkan Kesulitan Setiap anggota membentangkan kesulitan masing-masing. Beri perhatian terhadap kesulitan yang diluahkan oleh rakan kita dan berusahalah mengatasinya. Lakukan hal ini dalam suasana ukhuwah sejati dan dengan niat kerana Allah. Dengan demikian dapatlah diperkuatkan lagi asas saling percaya-mempercayai dan tali hubungan ukhuwah dapat diperkukuhkan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya, "Orang mukmin itu cermin bagi saudaranya." Sabda Rasulullah s.a.w. lagi (maksudnya): Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dan dalam erti kata timbang rasa simpati mereka adalah laksana badan yang satu, iaitu apabila mana-mana anggota mengadukan hal turut menangguhkan seluruh badan dengan berjaga malam dan merasai demam.

Bermuzakarah Anggota usrah hendaklah bermuzakarah iaitu bertukar-tukar fikiran dalam urusan Islam. Teliti risalah yang diedarkan oleh pucuk pimpinan kepada seluruh cawangan usrah. Elakkan pertengkaran atau bertikam lidah kerana semuanya itu adalah dikira "haram" menurut undang-undang usrah. Muzakarah hendaklah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar batas-batas sopan santun yang sempurna dan dengan cara harga-menghargai fikiran yang datang daripada semua pihak dalam muzakarah itu. Apabila hendak ditutup satu-satu perbincangan, atau hendak dibuat keputusan mengenai apa-apa cadangan, atau hendak diberi penjelasan lanjut mengenai cadangan yang hendak ditimbangkan itu, maka perkara itu hendaklah diserahkan kepada naqib supaya beliau sempat terlebih dahulu mengemukakannya kepada pucuk pimpinan.

Jangan dibuat keputusan dengan cara terburu-buru. Tuhan mencela umat-umat manusia yang bersikap terburu-buru dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan apabila datang kepada mereka sesuatu perkara tentang keamanan atau ketakutan maka mereka pun terus mencanangkannya".Setelah Allah S.W.T. mencela mereka yang berperangai begitu maka Tuhan tunjukkan pula apa-apa yang semestinya dilakukan apabila tersua dengan suasana seperti itu dengan firman-Nya yang bermaksud: "Kalaulah mereka kembalikannya kepada Rasul dan kepada pihak berkuasa antara mereka sendiri nescaya orang-orang yang menimbangkannya itu mengetahui hakikatnya".

Kajian Buku Adakan studi (penelitian) terhadap sesebuah kitab yang bermutu. Jelmakan studi itu dalam kehidupan harian walaupun hanya sekadar mengamalkan bermuka manis. Panduan daripada buku boleh disampaikan dalam taklimat sesuatu projek seperti menziarahi orang sakit; menolong orang-orang yang berhajat (walaupun hanya sekadar kata-kata yang baik), mencari dan bertanyakan hal tentang anggota yang tidak kelihatan bersama-sama kumpulan, menanggung bebanan anggota yang terputus rezeki. Semuanya itu dapat menambahkan lagi tali ukhuwah dan dapat melipatgandakan perasaan kasih sayang dalam hati masing-masing.

Aktiviti Sokongan Untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama sendiri, kita hendaklah mengadakan rehlah, lawatan, aktiviti lasak seperti mendayung sampan, mendaki gunung dan berbasikal. Kita hendaklah juga mengadakan aktiviti khusus seperti berpuasa (seminggu sekali atau dua minggu sekali), solat Subuh berjemaah di masjid dan qiamullail.

ENAM PEGANGAN
LANDASAN Nabi-nabi yang telah lalu itu ialah orang-orang yang menyampaikan risalah Allah, serta mereka takut melanggar perintah-Nya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi penghitung (akan segala apa yang dilakukan oleh makhluk-makhluk untuk membalasnya. (Al-Ahzab, 27:39) Lihat juga As-Saba, 34:46-50.

1)Agama hanya dapat dirasakan oleh sesiapa yang menegakkannya dalam dirinya.
2)Bahagia dan saadah hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keyakinan, kebenaran dan keadilan.
3)Kemenangan dan kejayaan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban, kuat menahan penderitaan dan kepapaan.
4)Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada mukmin yang mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
5)Tegaklah dengan keyakinan dan perjuangan kerana makna dan guna hidup terletak pada keyakinan perjuangan.6)Belajar memanfaatkan diri guna kepentingan cita dan agama.

Usrah atau muzakarah berkelompok ini amat besar ertinya. Di dalam muzakarah ini boleh dipelbagaikan dalam pelbagai bentuk mengikut kekretifan naqib yang membawa sesuatu muzakarah itu. Jika kita lihat realiti kemahasiswaan medan muzakarah ini juga boleh dijadikan tempat berkongsi dan perbincangan serta bertukar-tuar maklumat yang dipelajari di kuliah mahupun talaqqi bersama masyaikh.

Ini adalah pokok dalam perlaksanaan muzakarah. Jadi ahli muzakarah boleh dan menampakkan mengikut kreatif masing-masing.Medan ini juga boleh diperbincangkan untuk melakukan sebarang aktiviti yang berfaedah dari pelbagai sudut. Keluasan terbuka agar muzakarah ini boleh memperbaiki diri kita dari masa ke semasa selain kita sentiasa memohon nasihat dari para ulama' kita juga bersifat memohon nasihat dan teguran dari sahabat handai yang sentiasa mendampingi kita.

Semoga Muzakarah Berkelompok ini diperhebatkan supaya dapat mengukuhkan kekuatan kita dalam meneruskan kehidupan sebagai penuntut ilmu sekaligus menjana kekuatan untuk menterjemahkan ilmu sebagai amalan yang bermanfaat terhadap diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
Sumber:http://azharidanperjuangan.blogspot.com (Abu Bakar Razak,Asrama Darul Aman, Madinah Nasr, Cairo ,Mesir.)