Saturday, May 1, 2010

Orang Melayu Memang Tak mahu Berubah

Kenyataan ini memang tidak digemari oleh sesetengah orang tapi itulah hakikatnya bahawa orang Melayu memang tidak mahu berubah dan sentiasa selesa dalam kehidupan mereka sekarang. Walaupun penulis juga ada campuran darah Melayu tetapi terpaksa menyatakan hakikat ini. Pada orang Melayu perubahan tidak perlu asalkan kehidupan mereka selesa dan tidak ada masalah. Peduli apa dengan hukum hakam, keadilan dan kebenaran kerana keselesaan yang penting. Oleh sebab itulah hidup peneroka felda sejak dari dulu hingga sekarang tidak pernah berubah jika adapun beberapa kerat sahaja. Namakanlah PESAKA, UMNO atau apa nama sekalipun mentaliti tetap sama, semangat melayuan hanya yang menebal dan ketaksuban kepada semangat kebangsaan yang tak bertempat namun semangat berkobar-kobar hilang dengan mudah dengan sogokan RM100 sahaja.

Memang benar taat kepada Raja adalah perlu tetapi ketaatan haruslah bertempat dan berprinsip seperti Jebat dengan prinsipnya bukan Tuah yang membuta tuli. Pada orang Melayu jika Raja bertitah semuanya betul dan benar belaka walhal Raja juga makhluk Allah juga dan perlu ditegur jika melakukan kesalahan. Inilah yang dikatakan taat membuta tuli. Pada orang Melayu bila pendapat bercanggah dengan Raja, derhaka hukumnya. Taat perlu tetapi tak perlu takut kerana Allah Taala yang berhak lebih ditaati.

Kekuasaan dan kemulian adalah pemberian sementara waktu sahaja dan tidak akan kekal selama-lamanya. Dalam surah Ali Imran ayat 26, Allah menegaskan yang bermaksud, “Katakanlah (Muhammad), Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari sesiapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Mahakuasa atas segala sesuatu.” Oleh kerana itu, seorang ulama yang tulen tidak pernah gentar dan berani menegur kesalahan pemerintah samada ia digelar dengan nama Raja, Sultan, Presiden, Perdana Menteri dan sebagainya.

Orang Melayu sering menurut atau merujuk sesuatu acara atau amalan turun temurun tanpa persoalan walaupun amalan tersebut tiada asas atau sandaran dari Al-Quran dan Hadith. Jika diajukan persoalan kenapa lakukan perbuatan tersebut maka jawapannya “Orang dulu-dulu pun lakukan jadi kami ikutlah”. Demikianlah jika bila ditegur bahawa perbuatan ini dilarang oleh Islam maka mereka menafikan bahawa orang dulu tak kata salah pun. Kerana apa? Kerana memang begitulah sikap orang Melayu tidak suka pada perubahan.

Firman Allah yang bermaksud,”Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Ikutlah apa yang telah diturunkan Allah,” mereka menjawab, “(Tidak!) kami mengikut apa yang kami dapati pada nenek moyang kami (melakukannya).” Padahal, nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa pun dan tidak mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah: 170)

Orang-orang China dan India bila diperjelaskan tentang Islam, mereka dapat menerimanya dengan terbuka dan menghormati pendirian orang-orang Islam malah mereka menerima dan mengakui akan kebenaran Islam. Sebaliknya orang-orang Melayu yang mengaku Islam mengakui akan kebenaran Islam tetapi meletakkan alasan lain untuk tidak melaksanakannya seperti masih kurang pengetahuan, kurang pendedahan, tidak bersedia dan sebagainya walhal sudah bergelar muslim selama 60 tahun. Apakah 60 tahun masih tidak cukup lagi pendedahan tentang Islam atau masih tidak cukup sedia lagi? Sebenar orang Melayu bukan mudah lupa tapi tidak mudah berubah dan sering merujuk kesusahan zaman Jepun, 13 Mei dan sebagainya. Sepatutnya rujukan hanya pada Al-Quran, Hadith, Qias dan Ijma Ulama serta sirah Nabi.