Monday, July 26, 2010

Amalan-Amalan Di Bulan Syaaban

Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya. Dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.”
1. Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. Pendapat lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.
2. Dari berbagai keterangan ini, yang dapat disimpulkan bagi pengertian bulan Syaaban itu ialah bulan Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan
3. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam celaan dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
4. Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
i. Memperbanyakkan puasa sunat. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
ii. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW : "Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
iii. Bertaubat
iv. Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.
Bersabda Rasulullah SAW, “ Sesungguhnya di syurga ada sungai yang disebut dengan rejab (isinya) lebih putih dari pada susu, dan lebih manis dari pada madu. Barangsiapa yang berpuasa sunat satu hari pada bulan Rejab akan diberi minum oleh Allah dari sungai tersebut.” (HR. Imam Baihaqi)

Adapun puasa sunat pada bulan Rejab banyak hadits-hadits Rasulullah SAW yang menganjurkan untuk melakukannya kerana mempunyai nilai pahala berganda. Diriwayatkan oleh Tsauban bahwa ia pada suatu ketika berjalan bersama Rasul S.A.W melalui suatu tanah perkuburan di mana Rasulullah S.A.W berhenti sejenak dan menangis tersedu-sedu. ” Kenapa engkau menangis ya Rasulullah?” tanya Tsauban, lalu Rasulullah bersabda : “Aku berdoa untuk mereka yang sedang disiksa kuburnya maka diringankanlah siksanya oleh Allah. Cuba mereka berpuasa satu hari dan tidak tidur satu malam dalam bulan Rejab, mereka tidak akan disiksa dalam kuburnya.

Dan bulan Rejab adalah bulan taubat, seorang ulama’ ahli hadits Al-Imam Muhammad bin Abdullah Al Jardani Rohimahullah menerangkan dalam kitab hadits Misbahud-dholam bahwa Diterangkan dalam kitab-kitab Allah yang terdahulu, orang yang membaca :

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَتُبْ عَليَّ ٧٠ ×
Dibaca 70 x setiap ba’da isya’ atau waktu pagi dan petang bulan Rejab,“Orang tersebut akan terhindar dari siksaan api neraka (dosa-dosanya diampuni oleh Allah)”

AMALAN-AMALAN DI BULAN RAJAB
Disyurga ada danau yang bernama Rejab. Airnya putih melebihi putihnya air susu, manis melebihi manisnya madu dan dinginnya melebihi salju. Barang siapa puasa sehari di bulan Rejab kelak Allah akan memberikan minuman dari danau Rejab. (Al-Hadits)
Dari Abi Hurairah berkata ; Rasulullah S.A.W bersabda ; “ Barang siapa puasa pada 27 Rejab Allah mencatatnya sebagaimana orang puasa 60 bulan”.
Dan pada awal hari bulan Rejab malaikat jibril turun kepada Nabi dengan risalah untuk Isra’ bersama Nabi. Nabi bersabda “Ingat bulan Rejab adalah bulannya Allah, barang siapa puasa sehari dibulan Rejab dengan iman dan keikhlasan, maka akan mendapatkan keredhaan-Nya.”(Al-Hadits)

Barang siapa membaca;

رَبِّ اغْفِرْ لي وَارْحَمَنِْي ُوتُبْ عَلَيَّ ٧٠ ×
Setiap ba’da isya’ malam bulan Rejab, maka tidak akan tersentuh kulitnya oleh api neraka (Al-Hadits)

Barang siapa membaca;

أحْمَدُ رَسُولُ الله محمّدُ رَسُولُ الله
Dibaca diantara dua khutbah hari Jumaat akhir bulan Rejab, maka dimudahkan rezekinya dan dicukupi segala keperluannya (Qaul Ulama’)

http://pondokhabib.wordpress.com

Saturday, July 10, 2010

Perjalanan Isra' Dan Mikraj

Saudara Kaum Muslimin Sekalian,

Moga kita semua sentiasa dirahmati serta diberkati ALLAH. Bersama-samalah kita mengenangkan sejenak akan keadaan diri kita, dari segi keimanan kita kepada ALLAH dan RASULNYA, , dan kepatuhan dan ketaatan kita kepada ALLAH dan RASULNYA. Jika kita dapati semakin hari semakin jauh kita dari ALLAH dan RASULNYA, maka segeralah kita kembali ke jalan ALLAH, segeralah kita bertaubat dan menuju ke jalan yang diredhainya, segeralah kita memulakan perjalanan kita ke arah ketaqwaan kepada ALLAH. Adapun jika kita dapati bahawa semakin hari semakin bertambah ketaatan kita kepada ALLAH, segeralah kita memanjatkan kesyukuran kita kepada ALLAH, dan sentiasalah kita mengingati akan kasih sayang ALLAH pada hambanya, dan cinta RASUL kepada umatnya

“Mahasuci ALLAH yang telah memperjalankan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami iaitu ALLAH berkati sekelilingnya supaya dapat Kami tunjukkan kepadanya Tanda-Tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya ALLAH Maha Pendengar lagi Maha Melihat. (Al-Isra’: 1)

Begitulah ALLAH memberitakan perjalanan Baginda Rasulullah s.a.w. sewaktu Isra’ dan mikraj. Suatu perjalanan yang cukup istimewa; perjalanan dari bumi ke langit, bahkan dari hamba menemui Tuhan Penciptanya.

Bayangkan betapa gembiranya Baginda dapat mencapai suatu darjat dan kedudukan yang belum pernah dicapai seseorang sebelum Baginda. Ya ALLAH, segala puji dan syukur bagi MU kerana menjadikan kami pengikut Nabi yang Agung ini, yang telah Engkau muliakan dengan darjat yang tinggi ini.

Mukjizat Isra’ dan Mikraj ini bagi Baginda telah merupakan sebuah ujian bagi keimanan Sahabat Nabi ketika itu, dan sehingga hari ini, merupakan suatu ujian bagi keimanan kita kepada ALLAH dan segala yang ghaib. Firman ALLAH s.w.t. Yang bermaksud, “Dan tidaklah Kami jadikan segala yang Kami perlihatkan kepada mu kecuali sebagai ujian bagi manusia” (Al-Isra’:60)

Ia merupakan suatu ujian bagi mengukuhkan keimanan kita. Dan bagi mereka yang berjaya, maka peristiwa ini akan terus menjadi satu sumber inspirasi dan motivasi yang berterusan untuk agamanya serta bagi kehidupannya di dunia dan di akhirat.

Jika kita singkap kembali lembaran sejarah sebelum berlakunya peristiwa Isra dan Mikraj ini, akan kita dapati bahawa beberapa tahun sebelum berlakunya peristiwa ini, Baginda Muhammad s.a.w. dan mereka yang beriman dengan Baginda telah melalui beberapa keadaan yang menyedihkan dan kesusahan serta penderitaan.

Baginda pertamanya kehilangan isterinya yang tersayang, Sayyidatina Khadijah r.a., yang merupakan orang yang pertama yang beriman dengan Baginda, dan teman sejatinya, serta pendukung Baginda, seorang yang mengorbankan segala hartanya untuk dakwah Baginda. Kemudian, Baginda kehilangan pemeliharaan dari semua kekasaran dan tentangan penduduk Mekkah dengan kematian pakcik Baginda, Abu Talib. Selepas kematian pakcik Baginda ini, mereka yang beriman terpaksa melarikan diri ke sebuah lembah berdekatan Mekkah, di mana tiada makanan atau tempat berteduh di situ.

Bahkan, Baginda begitu sedih apabila Baginda ke Taif dengan harapan agar penduduknya menerima Baginda, namun mereka bukan setakat menolak Baginda, tetapi mencederakan badannya yang mulia. Ramai dari mereka yang beriman terpaksa berhijrah ke Habsyah dan yang kekal bersama Baginda berada di dalam keadaan lemah dan lapar. Apa yang benar-benar mendukakan Nabi ialah kaum Quraisy mengenali Nabi sebagai seorang yang sentiasa jujur, namun mereka enggan beriman dengannya.

Di dalam segala kesedihan ini, ALLAH menganugerahkan Kekasihnya Rasulullah s.a.w. dengan perjalanan Isra’ dan Mikraj ini demi untuk menjadi inspirasi serta sumber kekuatan bagi Baginda dengan memperlihatkan kepada Baginda apa yang tidak pernah dianugerahkan kepada seseorang pun sebelum Baginda. Baginda diperlihatkan tanda-tanda Keagungan ALLAH, serta jaminan bahwa ALLAH akan mengurniakan kejayaan kepada Baginda ke atas segala musuh Baginda. Sesungguhnya, peristiwa Isra’ Mikraj ini telah membuktikan kepada Baginda bahawa jika bumi serta semua penduduknya mendukakan dan menyempitkan Baginda, maka segala pintu langit sentiasa terbuka untuk Baginda, dan sekiranya ada makhluk yang ingin mencederakan Baginda, maka segenap penduduk langit akan membantu dan mempertahankan Baginda. Begitulah tingginya darjat Nabi bagi Ummat ini.

Kita harus mempelajari dari peristiwa ini bahawa Iman itulah merupakan pengukuran yang sebenarnya di dalam Islam. Dan bagaimana kita mempraktikkan ajaran Baginda selepas beriman dengannya. Sesungguhnya, Imanlah yang membezakan Sayyidina Abu Bakar r.a. dan menempatkan beliau pada suatu kedudukan yang tidak dapat ditandingi oleh sahabat Rasulullah s.a.w. yang lain. Beliau lebih dikenali sebagai As-Siddiq yang bererti “yang membenarkan” lebih dari namanya sendiri kerana beliau terus percaya dan beriman dengan khabar dari Baginda Rasulullah s.a.w. ketika diceritakan peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Kita juga mempelajari bahawa Baginda Muhammad s.a.w. telah memilih jalan Fitrah, iaitu jalan kesucian, dengan memilih susu dan bukannya arak, dan harus kita ingat bahawa arak belum lagi diharamkan pada waktu itu. Susu melambangkan kesucian dan Fitrah kerana mudah diminum, sihat lagi menyegarkan, manakala arak ialah ibu kepada segala kejahatan dan punca segala kedurjanaan di muka bumi.

Marilah sama-sama kita perhatikan dunia pada hari ini, dan dapat kita lihat pilihan manusia. Manusia telah memilih arak, lalu menjadikannnya suatu industri dan menghidangkannya, langsung kita melihat bagaimana ia merosakkan minda, jiwa, dan kerohanian manusia. Dengan segala kemajuan teknologi dan sebagainya, manusia tetap menjadi mangsa kepada segala amalan anti-Fitrah atau anti-kesuciannya, seperti peperangan, minda serta usaha-usaha yang merugikan, tamak, kejijikan, keruntuhan akhlak dan sebagainya. Semua ini berlaku apabila manusia memilih untuk menolah Fitrah yang asli, demi mencari cara kehidupan selain dari cara dan jalan ALLAH.

Firman ALLAH s.w.t. Yang bermaksud,“Barangsiapa yang memalingkan dirinya dari peringatan ALLAH, maka baginya ALLAH jadikan kehidupan yang sengsara, dan akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan sesat dan buta” (Taha:124)

Firman ALLAH s.w.t.,Yang bermaksud,“Barangsiapa yang buta di dalam kehidupan dunia ini ( iaitu tidak melihat tanda-tanda kebesaran ALLAH dan tidak beriman dengannya) maka akan butalah dia di akhirat juga dan lebih sesat dari jalan yang sebenarnya” (Al-isra’ : 72)

Maka Fitrah iaitu kesucian dan segala amalan yang berunsurkan kesucian mestilah menjadi pilihan kita. Bahkan, kita semua dilahirkan di dalam keadaan fitrah seperti di dalam hadith Rasulullah s.a.w. Syaitan dan segala kuncunya berusaha sedaya-upaya menjauhkan kita dari mengikuti jalan fitrah. Amatlah penting sekali bagi kita untuk mengenali sifat-sifat amalan Fitrah agar kita tahu untuk memilih dan membezakan jalan Fitrah dari jalan syaitan. Dan sememangnya, kehidupan kita seperti yang ditunjukkan oleh peristiwa Isra’ Mikraj ini ialah berkenaan dengan pemilihan kita sendiri.
KHUTBAH JUMAAT MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA 04 OKTOBER 2002M / 27 REJAB 1423H

Thursday, July 1, 2010

Sedekah

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah, dan orang-orang perempuan yang bersedekah, dan mereka meminjamkan kepada Allah satu pinjaman yang baik, akan dilipatgandakan untuk mereka, dan bagi mereka upah yang mulia.” (Al-Hadid: 18)

Sedekah mempunyai rahsia yang tersembunyi dalam mengubati manusia rohani dan jasmani. Orang-orang yang beriman wajib mempercayai akan pentingnya bersedekah dalam kehidupan mereka. Bersedekah bukan hanya dapat bentuk mata wang tetapi boleh dengan berbagai cara seperti ilmu, tenaga, harta dan sebagainya hatta memberi senyuman juga dianggap sebagai sedekah. Ini menunjukkan bahwa dalam Islam, Allah memberikan seluas-luas jalan atau peluang kepada hambaNya untuk mendapat ganjaran pahala sebagai bekalan mereka di akhirat nanti.

Sesetengah manusia tidak dapat melihat bahawa sedekah itu mempunyai rohnya dalam kehidupan manusia dan memainkan peranan dalam mereka. Cuba kita perhatikan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Apabila mati seorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara: (iaitu pahala amalannya yang dilakukannya semasa hayatnya masih diberikan pahala), sedekah yang berkekalan, atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang solih yang berdoa kepadanya.( Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah). Berdasarkan hadith tersebut, nyata sekali bahawa sedekah mempunyai peranan besar terhadap kehidupan manusia di dunia, alam barzakh hingga ke akhirat. Amalan bersedekah dapat mengurangkan panas roh dalam barzakh dan menjadi penaung manusia di akhirat nanti.

Namun kebanyakkan manusia tidak melihat kepentingan sedekah ini walaupun mempunyai kemampuan yang mencukupi dan kemewahan yang melimpah ruah. Ada riwayatkan bahawa ada sahabat baginda yang merasa sedih kerana tidak bersedekah atas kemiskinan mereka tetapi Rasulullah mengajar mereka bagaimana untuk mendapatkan pahala sedekah dengan membawa Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah allahuakbar. Dengan membaca tasbih, zikir dan takbir tersebut mereka akan mendapat ganjaran sebagaimana orang bersedekah. Ini menunjukkan bahwa betapa besarnya peranan sedekah yang tidak diambil peduli lagi oleh manusia di zaman ini.

Ambillah peluang kedatangan bulan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi untuk kita memperbanyakkan bersedekah dan menjadi amalan berterusan dalam diri kita. Harta tidak memberi manafaat kepada kita jika ia tidak dimanafaatkan kepada jalan-jalan kebajikan dan kebaikan. Kemewahan boleh memberi kesenangan kita di akhirat, juga boleh menjadi kesusahan kepada kita di akhirat bergantung bagaimana kita menghabiskannya semasa di dunia. Kita jangan menjadi bongkak, sombong, takabur dan kikir kerana harta dan wang ringgit. Ia boleh datang dan hilang dengan sekelip mata atas kehendak Allah Taala. Jika kita memegang sedekah itu sebagai amalan kita, harta dan wang ringgit tidak bermakna lagi kepada diri kita kerana keredhaan Allah yang ingin kita capaikan.