Thursday, July 1, 2010

Sedekah

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah, dan orang-orang perempuan yang bersedekah, dan mereka meminjamkan kepada Allah satu pinjaman yang baik, akan dilipatgandakan untuk mereka, dan bagi mereka upah yang mulia.” (Al-Hadid: 18)

Sedekah mempunyai rahsia yang tersembunyi dalam mengubati manusia rohani dan jasmani. Orang-orang yang beriman wajib mempercayai akan pentingnya bersedekah dalam kehidupan mereka. Bersedekah bukan hanya dapat bentuk mata wang tetapi boleh dengan berbagai cara seperti ilmu, tenaga, harta dan sebagainya hatta memberi senyuman juga dianggap sebagai sedekah. Ini menunjukkan bahwa dalam Islam, Allah memberikan seluas-luas jalan atau peluang kepada hambaNya untuk mendapat ganjaran pahala sebagai bekalan mereka di akhirat nanti.

Sesetengah manusia tidak dapat melihat bahawa sedekah itu mempunyai rohnya dalam kehidupan manusia dan memainkan peranan dalam mereka. Cuba kita perhatikan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Apabila mati seorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara: (iaitu pahala amalannya yang dilakukannya semasa hayatnya masih diberikan pahala), sedekah yang berkekalan, atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang solih yang berdoa kepadanya.( Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah). Berdasarkan hadith tersebut, nyata sekali bahawa sedekah mempunyai peranan besar terhadap kehidupan manusia di dunia, alam barzakh hingga ke akhirat. Amalan bersedekah dapat mengurangkan panas roh dalam barzakh dan menjadi penaung manusia di akhirat nanti.

Namun kebanyakkan manusia tidak melihat kepentingan sedekah ini walaupun mempunyai kemampuan yang mencukupi dan kemewahan yang melimpah ruah. Ada riwayatkan bahawa ada sahabat baginda yang merasa sedih kerana tidak bersedekah atas kemiskinan mereka tetapi Rasulullah mengajar mereka bagaimana untuk mendapatkan pahala sedekah dengan membawa Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah allahuakbar. Dengan membaca tasbih, zikir dan takbir tersebut mereka akan mendapat ganjaran sebagaimana orang bersedekah. Ini menunjukkan bahwa betapa besarnya peranan sedekah yang tidak diambil peduli lagi oleh manusia di zaman ini.

Ambillah peluang kedatangan bulan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi untuk kita memperbanyakkan bersedekah dan menjadi amalan berterusan dalam diri kita. Harta tidak memberi manafaat kepada kita jika ia tidak dimanafaatkan kepada jalan-jalan kebajikan dan kebaikan. Kemewahan boleh memberi kesenangan kita di akhirat, juga boleh menjadi kesusahan kepada kita di akhirat bergantung bagaimana kita menghabiskannya semasa di dunia. Kita jangan menjadi bongkak, sombong, takabur dan kikir kerana harta dan wang ringgit. Ia boleh datang dan hilang dengan sekelip mata atas kehendak Allah Taala. Jika kita memegang sedekah itu sebagai amalan kita, harta dan wang ringgit tidak bermakna lagi kepada diri kita kerana keredhaan Allah yang ingin kita capaikan.

No comments: