Monday, October 18, 2010

Bermohonlah Kepada Allah

Firman Allah Taala yang bermaksud,”Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad: 7)

Firman Allah Taala lagi,”Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Al-A’raaf: 55)

Manusia akan sentiasa diuji oleh Allah Taala untuk melihat siapakah dikalangan hamba-hambaNya yang sabar dan lebih dekat kepadaNya. Manusia tidak boleh menyatakan bahawa mereka tidak dapat tahan lagi dengan ujian Allah kerana ia akan bermakna manusia itu sudah putus asa dengan rahmat Allah Taala sedangkan Allah Maha Mengetahui dan Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya. Sebagai hamba Allah, manusia hendaklah sentiasa istiqamah berdoa kepada Allah Taala dan sentiasa berharap daripada Allah Taala. Sabar merupakan sebahagian daripada Iman dan seberat-berat amalan hati. Tanpa kesabaran manusia tidak akan dapat menghadapi segala dugaan dan ujian daripada Allah Taala. Dengan kesabaran manusia akan menjadi tenang dan tenteram serta redha dengan ujian daripada Allah Taala.

Firman Allah Taala yang bermaksud,”Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan solat itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Al-Baqarah: 45)

Dan Firman Allah lagi yang bermaksud,”Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)

Allah yang Maha Pencipta amat mengetahui akan kelemahan manusia dan apa yang diperlukan oleh manusia. Manusia hendaklah sentiasa berdoa dan yakin bahawa pertolongan Allah pasti datang samada segera atau lambat kerana hanya Allah yang Maha Mengetahuinya. Manusia hendaklah yakin bahawa dugaan dan musibah itu akan mengajar manusia menjadi lebih dewasa dan menguatkan lagi keimanan dan kesabaran mereka. Apabila manusia penuh yakin dengan pertolongan Allah sebesar mana sekalipun musibah yang menimpa, mereka akan tetap tenang malah semakin dekat dengan Allah Taala. Keyakinan bergantung setebal mana keimanan seseorang hamba itu kepada Allah Taala dan keimanan itu bukan hanya dengan pengucapan dibibir sahaja tetapi keyakinan dihati serta dizahirkan dengan amalan dan perbuatan.

Kebanyakan daripada manusia berdoa dan memohon pertolongan daripada Allah Taala tetapi dalam masa yang sama hati mereka tidak yakin apakah doa mereka akan dimakbul oleh Allah Taala. Perasaan was-was ini adalah tanda-tanda bahawa keimanan mereka masih belum sempurna lagi dan menjadi kufur kepada Allah Taala kerana hati mereka tidak yakin dengan Kekuasaan Allah yang Maha Berkuasa yang boleh menentukan segala-galanya.

Firman Allah Taala yang bermaksud,”Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya,”Jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu.” (Yasin: 82)

No comments: