Friday, September 17, 2010

Ramadhan 1431 Telah Berlalu

Daripada Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu." Hadith riwayat oleh Nasai'e, Ibn Majah dan Baihaqi

Ramadhan 1431 telah meninggalkan kita samada kita sedari ataupun tidak dan samada kita rela ataupun tidak hanya yang mampu kita lakukan ialah bermunasabah dalam diri kita apakah ibadah, sedekah, solat, amalan sunat kita dan sebagainya sepanjang Ramadhan yang baru lalu itu diterima oleh Allah Taala. Diakhir Ramadhan ahli-ahli sufi, para abid akan menangisi dan bersedih kerana akan berlalunya bulan yang penuh keberkatan dan keampunan ini samada akan bertemu lagi ditahun akan datang tauapun tidak. Bagaimana dengan kita?

Disepanjang bulan Ramadhan kita berlumba-lumba mengerjakan amal ibadah, solat tahajjud, tarawikh, solat berjemaah dimasjid, berzikir, banyak bersedekah kepada fakir miskin dan amalan sunat yang lain. Kesan Ramadhan kepada orang yang ikhlas beribadah akan berpanjangan dibulan-bulan yang lain dan ini memberi petanda bahawa amalan mereka diterima oleh Allah Taala. Hasil daripada tarbiyyah Ramadhan mereka menjadi insan yang lebih baik dan bertambah kekuatan keimanan mereka kepada Allah Taala dan amalan-amalan mereka disepanjang Ramadhan tidak terhenti apabila berakhirnya Ramadhan tetapi berterusan selepas itu.

Mukmin yang sebenar tidak beribadah kerana bulan tetapi beribadah kerana Allah Taala hanya mengambil kesempatan akan keberkatan bulan Ramadhan yang dijanjikan ganjaran yang banyak jika beribadah pada bulan tersebut. Sabda Nabi S.A.W, “Setiap amalan itu bermula dengan niat.”

Jika disepanjang Ramadhan masjid dan madrasah dipenuhi dengan para jamaah yang ingin beribadah didalamnya tetapi kini masjid dan madrasah kembali semula kepada keadaan dan suasana sebelum Ramadhan. Kehadiran jamaah ke masjid dan madrasah hanya kepada jamaah yang sememang cinta kepada masjid sahaja tanpa mengira samada Ramadhan ataupun tidak. Mereka sentiasa istiqamah dengan masjid atau madrasah. Begitu juga bilangan jamaah yang mengikuti kuliah-kuliah yang dianjurkan oleh masjid atau madrasah hanya dipenuhi oleh jamaah yang sama sebelum Ramadhan manakala selain daripada itu kembali kepada kesibukan mengejar keduniaan.

Mukmin yang baik hendaklah membahagi masa seharian kepada tiga fasa iaitu sepertiga untuk bekerja, sepertiga untuk rehat atau tidur dan sepertiga lagi untuk ibadah khusus kepada Allah Taala. Oleh kerana bagaimanakah kehidupan manusia yang seharian mereka hanya tertumpu kepada keduniaan sahaja demi memenuhi tuntutan hawa nafsu mereka? Ramadhan sebenarnya telah mentarbiyyah orang-orang mukmin bagaimana membahagi kehidupan seharian mereka dengan teratur. Cuba kita fikirkan berapa banyak dalam seharian kita mengingati kepada Allah Taala, lidah dan hati kita menyebut-yebut nama Allah?

Demikian juga Ramadhan menjadikan seorang mukmin itu benar-benar seorang yang bertakwa dengan sifat-sifat takwa yang sebenar iaitu takut kepada Allah, beramal dengan al-Quran, menerima sahaja pemberian Allah (redha kepada Allah) dan sentiasa membuat persedian untuk bertemu denganNya. Oleh yang demikian, jika kita mempunyai tanda sifat-sifat takwa tersebut maka beruntunglah kita kerana kita telah mendapat keredhaan daripada Allah Taala dan amalan kita telah diterima Allah Taala. Insyallah. Firman Allah Taala yang bermaksud,"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan bagi orang-orang sebelummu, agar kamu bertakwa." (Al Baqarah:183)

Istiqamahlah dengan amalan kita yang dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana mukmin yang baik ialah mukmin yang sentiasa lebih baik dari hari semalam. Jangan kita rosakkan Eid Fitri kita dengan program-program yang melalaikan, mungkar dan banyak berhibur. Perbanyakkan kunjung mengunjung mengeratkan silatulrahim disamping itu mengekalkan perkara-perkara sunat yang kita lakukan dibulan Ramadhan seperti solat-solat sunat, bersedekah, zikir dan sebagainya.

No comments: