Saturday, September 4, 2010

Fasa Kedua Ramadhan Sudah Berlalu


Firman Allah Taala yang bermaksud,” Maka sampaikanlah kepada mereka (ancaman) azab yang pedih. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putus.” (al-Insyiqaq: 24-25)

Hari ini telah masuk 26 Ramadhan dan 3 atau 4 hari lagi Ramadhan 1431 akan meninggalkan kita semua samada akan bertemu atau tidak di tahun hadapan. Kebanyakan umat Islam tidak menghiraukan lagi atau kurangnya tumpuan kepada ibadah puasa ini dan banyak menumpukan tenaga mereka kepada persediaan menyambut Eid Fitri padahal dipenghujung Ramadhan inilah terutama pada 10 terakhir Ramadhan, Rasulullah melipat gandakan ibadat kepada Allah Taala kerana pada saat ini terdapat satu waktu yang sangat besar nilainya berbanding dengan waktu-waktu yang lain iaitu satu malam yang disebut Lailatul Qadar.

Firman Allah Taalah yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemulian itu?. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatus semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.” (Al-Qadr: 1-5)

Rendahnya Iman umat mutakhir ini, nipisnya iman umat di akhir zaman kerana mereka leka mengejar kebahagian dunia tanpa memperdulikan kehidupan yang lebih kekal abadi iaitu kehidupan akhirat. Ibadat mereka hanya hebat dipermulaan Ramadhan, amalan mereka hanya terisi diawal Ramadhan dan semakin berkurang dan leka apabila memasuki pertengahan Ramadhan. Pada hal 10 pertama Ramadhan adalah kenikmatan, 10 pertengahan adalah keampunan manakala 10 terakhir adalah bebas daripada api neraka. Seolah-olah umat manusia hanya mengambil kenikmatan daripada Allah tetapi tidak mahu keampunan dari Allah untuk bebaskan diri dari siksaan api neraka yang amat dahsyat azabnya. Apakah umat manusia berasa diri mereka tidak melakukan dosa-dosa atau apakah umat manusia tidak takut berhadapan dengan siksaan api neraka? Tidakkah kita merasa gerun dengan amaran Allah yang bermaksud,” Sungguh, azab Tuhanmu sangat keras.”(Al-Buruj: 12).

Kebanyakan masjid, surau atau madrasah hanya melimpah ruah pada awal Ramadhan sahaja hingga ada dikalangan jamaah merungut kerana masjid tidak mampu menampung jumlah jamaah yang banyak walaubagaimanapun apabila masuk sahaja 10 pertengahan Ramadhan sesetengah masjid hanya tinggal separuh sahaja berbanding dengan di awal Ramadhan sebelum ini dan kemakin berkurang dikahir Ramadhan. Masing-masing memenuhi ruang-ruang pasaraya-pasaraya, jualan-jualan murah dan sebagainya. Diwaktu ini tidak ada dalam jiwa mereka untuk beribadah dan beramal kepada Allah hanya terbayang pada Eid Fitri sahaja. Memang tidak salah membuat persiapan menyambut Eid Fitri tetapi keutamaan diberi kepada tempat yang salah dan tidak tetap.

Apakah kita tidak mencapai tahap ketakwaan yang diharapkan padahal Ramadhan itu menjadi tarbiah kepada kita untuk menjadi insan yang lebih bertakwa jika dihayati dengan sepenuhnya. Firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 183). Selepas Ramadhan kita kembali kepada amalan-amalan lama, masih dengan sifat kesombongan kita dan sebagainya. Kita belum lagi mencapai ketakwaan yang sebenar yang dikehendaki oleh Allah Taala kerana takwa itu itu terdiri kepada empat perkara iaitu takut kepada Allah, beramal dengan al-Quran, redha dengan pemberian dari Allah dan bersiapa sedia untuk bertemu dengan Allah.

Kita masih tidak takut dengan Allah kerana jika kita takut dengan Allah kita akan menurut segala perintah dan larangannya. Saban hari kita sentiasa melanggar suruhannya dan melakukan larangan-larangannya walaupun telah jelas hukumnya dalam al-Quran dan hadith Nabi. Makin ramai umat manusia yang tidak melakukan solat, puasa dan sebagainya walaupun ia adalah perkara wajib dan salah satu daripada rukun Islam.

Kita juga masih tidak beramal dengan al-Quran sepenuhnya. Banyak hukum-hukum yang digariskan dalam al-Quran kita abaikan atau kita mengambil hukum yang lain menggantikan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah atas berbagai-bagai alasan. Membimbangkan lagi tanpa sedar kita mempertikaikan dan mempersendakan hukum-hukum Allah seperti hudud, qisas dan sebagainya. Kita masih sombong dan angkuh dengan Allah juga dengan sesama manusia.

Kita masih lagi mempersoalkan rezeki yang kita terima dan membandingkan orang lain dengan kita dan menyalahkan takdir kerana kekurangan kita. Kita tidak menyatakan kesyukuran akan pemberian nikmat Allah yang sangat kepada kita. Syukur bukan hanya menyatakan Alhamdulillah dengan lisan dibibir tetapi menterjermahkan dengan hati dan keikhlasan jiwa.

Kita sebenarnya belum bersedia untuk bertemu dengan Allah kerana kita masih leka dengan hal-hal dunia, masih memikirkan kemewahan dunia, masih berlumba-lumba mengejar kesenangan dunia dan hanya meluangkan masa yang sedikit memikirkan tentang azab kubur, soalan-soalan Malaikat Mungkar dan Nangkir, azab neraka, titian siratalmustaqim dan sebagainya. Masih banyak lagi hilai ketawa kita dan kurangnya menangis menyesali diri yang lupa kepada perintah kepada Allah. Apakah kita merasa diri kita boleh menempuh dan menghadapi semua ini tanpa sebarang ketakutan? Jika beginilah kita selepas Ramadhan bermakna ini tanda-tanda bahawa Ramadhan kita hanya berlapar dan dahaga sahaja sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Betapa banyak orang yang berpuasa namun dia tidak mendapatkan dari puasanya melainkan hanya rasa lapar dan dahaga.” (Riwayat Ahmad). Puasanya kita hanya kerana pada adatnya semua orang berpuasa bila tiba bulan Ramadhan tanpa punyai sebarang roh Ramadhan. Oleh kerana itulah kebanyakkan kita lebih mengutamakan menyambut Eid Fitri sebelum kedatangan Ramadhan itu sendiri. Kerana itulah kebanyakkan kita sebelum dan selepas Ramadhan serupa sahaja tanpa sebarang perubahan dan peningkatan keimanan dan ketaqwaan. Bersegeralah muhasabah dan memperbaiki diri supaya kita tidak menjadi manusia yang sentiasa rugi. Firman Allah yang bermaksud, "Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian". (Al-Asr: 1-2)