Saturday, August 15, 2009

Golongan Yang Harus Diperangi


Kenapa kita harus memperbesarkan isu apabila orang-orang bukan Islam mempertikaikan hukum Islam kerana sememang mereka tidak memahami ajaran Islam itu sendiri. Samada kita tidak memberi penerangan yang jelas kepada mereka ataupun kita tidak pernah memperjelaskan kepada mereka kerana tidak ada usaha-usaha dakwah kepada mereka. Sedangkan kita berdiam diri apabila orang-orang Islam yang mengaku beragama Islam, mengaku mendirikan solat, berpuasa, mengeluarkan zakat hatta sudah mengerjakan rukun Islam yang kelima iaitu haji tetapi menghina hukum Islam mereka sendiri secara terang-terangan. Dari kaedahnya, antara dua golongan ini yang mana satukah yang harus kita perangi? Bukan ingin menghukum tetapi selayaknya golongan kedua ini yang harus diperangi dahulu kerana mereka mengaku Islam tetapi menentang Islam. Golongan inilah yang dikatakan sebagai golongan munafik.

Di awal surah Al Baqarah, Allah SWT memperincikan ciri-ciri dan sifat golongan ini di dalam 13 ayat, iaitu ayat 8 sehingga ayat 20 (sila rujuk tafsir al-Quran). Manakala dalam surah An-Nisa Allah Taala berfirman yang bermaksud; "Dan apabila dikatakan kepada mereka,marilah kamu supaya berhukum kepada apa yang diturunkan oleh Allah (dalam Al Quran) dan kepada hukum-hukum yang dinyatakan oleh Rasul,nescaya engkau lihat golongan munafik itu menghalang engkau dengan halangan yang bersungguh-sungguh. Tetapi bilamana mereka ditimpa kemalangan disebabkan kesalahan mereka sendiri,mereka akan datang kepadamu,seraya bersumpah dengan nama Allah 'kami sekali-kali tidak menghendaki kejahatan, melainkan kebaikan dan perdamaian'." (An Nisa: 62)

Terdapat enam (6) ciri Munafiq I’tiqadi yang berlaku pada hari ini:
1. Mendustakan Rasulullah SAW seperti menolak Hadith secara total
2. Mendustakan sebahagian dari ajaran Nabi SAW
3. Benci kepada Nabi SAW
4. Benci dengan sebahagian dari ajaran Nabi SAW dan sunnah Nabi SAW
5. Gembira apabila melihat Islam dihina, ditekan, ditewaskan, dan sebagainya
6. Benci untuk menolong agama Islam

Sebagai golongan yang jahil dengan ilmu-ilmu agama kita seharusnya tidak mempersoalkan kenyataan yang dibuat Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berhubung dengan pertikaian orang bukan Islam tentang hukum Islam sebagaimana yang diperbesar-besarkan oleh media perdana yang sememangnya diketahui umum sentiasa memutar-belitkan kenyataan yang benar. Media-media inilah sentiasa menyebarkan berita-berita palsu dan memutarbelitkan kebenaran hingga umat Islam terkeliru dan menjadi kucar-kacir dan bilau. Kita harus ingat di akhir zaman ini akan ramai golongan ulama yang mementingkan dunia dan menjual ayat-ayat Allah daripada ulama yang berani menyatakan kebenaran. Jadi kita jangan terjerumus dan tertipu dengan ulama-ulama seperti ini.

Firman Allah Taala yang bermaksud; "Dan orang-orang munafik itu bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka dari golongan kamu,pada hal mereka bukan dari golongan kamu,tetapi mereka adalah kaum pengecut(tidak berani terus terang kekafiran mereka).Sekiranya mereka mendapat tempat perlindungan,atau gua-gua atau lubang-lubang dalam tanah,nescaya mereka akan melompat kedalamnya." (At Taubah: 56-57)