Saturday, August 15, 2009

Taubat Dan Hijrah

Firman Allah Taala yang bermaksud; “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, dan janganlah kamu memalingkan pandangan kamu daripada mereka hanya kerana kamu mahukan kesenangan hidup di dunia, dan janganlah kamu mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah lakunya melampaui kebenaran.” (Al-Kahfi: 28)

Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan namun Allah Taala dengan RahmatNya sentiasa menerima taubat hamba-hambaNya yang ingin bertaubat. Selain daripada bertaubat kita dianjurkan berhijrah daripada kedudukan sekarang kepada kedudukan yang lebih baik dn bagi memastikan penghijrahan kita benar-benar berhasil hendaklah kita memastikan orang-orang yang berdamping atau bersama kita adalah orang-orang yang memberi kesan positif kepada penghijrahan kita. Persekitaran sekeliling kita sentiasa mempengaruhi perbuatan, amalan, tingkahlaku dan keputusan hati kita jika keimanan kita tidak kuat. Oleh kerana itu, dengan berdampingan dengan orang-orang yang sentiasa rapat dengan Allah secara tidak langsung ia akan dapat membantu kita dalam menjaga hati kita untuk benar-benar bertaubat. Orang-orang yang ikhlas ini akan sentiasa menegur, menasihat dan memberi ilmu yang manafaat kepada kita.

Perumpamaan yang dapat kita petikan di sini ialah umpama perbandingan si penjual minyak wangi dan si tukang pembuat besi. Jika kita merapati kepada si penjual minyak wangi walaupun kita tidak membeli minyak wangi jualannya tetapi setidak-tidaknya si penjual akan memberi kita merasai sedikit minyak wangian ke tangan kita ataupun setidak-tidakpun kita akan merasai bau keharuman minyak tersebut. Berbanding sebaliknya jika kita mendekatkan diri dengan si tukang besi kita dapat merasakan bahang kehangatan panas api mencairkan besi si tukang besi itu walaupun kita hanya melihatnya sahaja. Inilah perumpamaan jika berdampingan dengan orang-orang yang rapat dengan Allah seperti alim ulama, pejuang-pejuang Islam dan sebagainya dengan orang-orang yang sentiasa berjauhan dan melanggar perintah Allah seperti orang-orang yang melalaikan solat, banyak membuat maksiat dan kerosakan dan sebagainya.

Ambillah kesempatan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat dan nikmat ini untuk memperbaiki diri kita kepada insan yang lebih baik dan patuh kepada ajaran-ajaran Allah yang disampaikan melalui nabi Muhammad S.A.W. Dengan kedatangan ramadhan ini sewajarnya ia akan dapat memberi kekuatan kepada kita berhijrah menjadi insan yang sentiasa dekat kepada Allah, sentiasa mengingati Allah dalam apa keadaan sekalipun dan menjadi insan yang sama-sama berjuang untuk menegakkan hukum-hukum Allah di muka bumi ini.