Saturday, August 22, 2009

Ambillah Peringatan Ini Jangan Tersilap Pilih

Apabila ulama dikuasai umarak berkacau bilau dan bercelarulah umat manusia. Setinggi gunung mana sekalipun ilmu ulama itu, melangit mana sekalipun pengajian ilmu agama ulama itu jika ilmu itu tidak digunakan untuk menyatakan kebenaran tentang ayat-ayat Allah, tentang syurga dan neraka, tentang azab kubur tetapi ilmu mereka hanya diguna untuk menurut kata-kata pemerintah atas dasar ketaatan kepada pemerintah yang membuta atau kerana kepentingan saku diri sendiri. Ulama-ulama begini akan wujud disetiap zaman dan sering menjadi penentang dan pembicara kepada pemerintah yang dasar pemerintahan mereka bukan berlandaskan kepada AL-Quran dan Hadith. Ulama-ulama begini tidak wajar diberi penghormatan walaupun mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa di dalam Negara kerana ulama-ulama beginilah yang disukai oleh penentang-penentang Islam atau pemerintah yang pura-pura dengan Islam. Ulasan mereka tentang sesuatu hukum lebih mirip kepada menyebelahi atau mengampu pemerintah bukan menyatakan dengan kebenaran kerana khuatir kedudukan mereka tergugat. Cuba kita perhatikan ulama-ulama disekeliling kita kebanyakannya memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan kehidupan mereka lebih mewah daripada rakyat kebanyakan jadi apakah yang dapat kita tafsirkan. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W sehingga wafat tidak meninggalkan sebarang harta padahal jika Nabi S.A.W berkehendak lebih banyak daripada itu boleh perolehi.

Oleh kerana itulah ulama-ulama sebegini tidak berani menyatakan kebenaran tentang ayat-ayat Allah dan hanya mengambil sebahagian ayat yang boleh digunakan untuk menyatakan dan memihak kepada pemerintah. Kalau kita nilai sendiri dinegara kita berapa ramai cerdik pandai yang mempunyai kelulusan agama menduduki jawatan tertinggi di Pusat Islam, JAKIM, Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya tetapi pernahkah kedengaran mereka mengajar majlis-majlis ilmu di masjid-majid, disurau-surau, menelaah kitab-kitab lama dihadapan para hadiran? Umumnya tidak ada, jika adapun dijemput dalam Forum Perdana (kononnya) yang dipertontonkan dikaca TV kerana apa? Jawapannya publisiti. Tidak menghairankanlah jika ulama-ulama begini sering mengunakan perkataan ajaib iaitu kita mesti lemah lembut. Inilah perkataan yang sangat gemar digunakan. Lemah lembut hanya untuk orang-orang yang baru ingin mengenali Islam tetapi apabila seseorang itu sudah menyatakan akujanji dengan kalimah Lailahaillallah MuhammadRasulullah maka tiada lemah lembut lagi kepada mereka kerana mereka harus akur dengan undang-undang yang Allah turunkan samada secara lembut ataupun tegas.

Ulama-ulama begini tidak berani berhadapan dengan ulama-ulama yang berpegang teguh pada Al-Quran dan Hadith dan sentiasa mengamalkannya dalam kehidupan mereka kerana ulama ini sedar akan kekurangan mereka. Mereka hanya merujuk kepada sumber yang tidak sahih seperti akhbar-akhbar dan dari penyampaian orang lain sedangkan cara ini belum tentu kesahihannya tetapi untuk kepentingan diri sendiri mereka harus memberi pendapat walaupun tidak tepat. Jadi kita tidak harus ragu-ragu untuk tidak memperdulikan ulama-ulama begini walaupun jawatan mereka dipanggil Mufti, Pengerusi Majlis Fatwa atau sebagainya.

Imam al-Ghazali ada menyebut tentang 3 jenis ulama’ iaitu :
1. Ulama’ yang membinasakan dirinya sendiri dan orang lain apabila ulama’ ini terang-terang mengejar dunia dan memusatkan segala perhatiannya kepada dunia
2. Ulama’ yang membahagiakan dirinya dan orang lain apabila mereka menjadi golongan yang mengajak manusia ke jalan Allah secara zahir dan batin
3. Ulama’ yang membinasakan dirinya dan membahagiakan orang lain apabila ulama’ ini mengajak orang lain ke jalan akhirat sehingga pada zahirnya dia seperti menolak dunia sedangkan batinnya timbul perasaan bahawa dia berbuat demikian untuk mempengaruhi orang ramai serta batinnya penuh dengan perasaan ingin memegah diri dan cinta kepada dunia.

Firman Allah Taala; “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualkannya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu tidak makan dalam perut mereka melainkan api, Dan Allah tidak akan berbicara dengan mereka pada hari kiamat, Dan (Allah) tidak akan menyucikan mereka, Dan bagi mereka seksaan yang amat pedih. Merekalah yang membeli kesesatan dengan petunjuk, dan (membeli) seksa dengan keampunan. Maka alangkah beraninya mereka menentang api neraka!” (Al-Baqarah: 174-175)