Saturday, September 12, 2009

Sejauhmana Ramadhan Mentarbiyyah Diri Kita?


Firman Allah yang bermaksud; “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemulian. Dan tahukah kamu apakah malam kemulian itu? Malam kemulian itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Al-Qadr: 1-5)

Sedar atau tidak, Ramadhan kini sudah memasuki sepuluh terakhir fasa ketiga Ramadhan. Orang-orang yang beriman semakin meningkatkan amalan-amalan ibadah mereka kerana diwaktu inilah akan datang satu malam yang diberi kelebihan lebih baik amalan daripada seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar.

Dalam fasa ketiga ini seharusnya kita umat Islam memberi kelebihan kepada diri kita untuk menumpukan perhatian kepada beribadah kepada Allah dengan amalan-amalan seperti membaca Al-Quran, solat Tahjud, zikir, tasbih dan sebagainya. Masih ada lagi ruang untuk meningkatkan amalan-amalan kita walaupun kemungkinan kita terlalai pada awal Ramadhan tempoh hari. Pada fasa inilah kita luangkan dan melebihkan masa kita dengan amal-amal ibadah berbanding dengan perkerjaan kita yang lain lebih-lebih lagi jika dapat kita beriktiqaf di masjid atau musallah kerana disini kita dapat memberi tumpuan kepada amalan ibadah kita.

Amat malang sekali jika kita masih lagi berkejar-kejar dengan urusan dunia yang sentiasa tidak berkesudahan dan melalaikan. Jika selain dibulan Ramadhan kita leka dengan urusan kerja kita samada di pejabat, rumah atau tempat lain maka sewajarnya pada bulan yang penuh dengan kemuliaan ini kita meluangkan masa lebih kepada beribadah terutama di fasa yang ketiga ini. Tidak menjadi kesalahan untuk kita membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Aidil Fitri tetapi janganlah hingga kita leka hingga terabai dengan malam yang penuh keberkatan ini.

Umat Islam sering mengambil pendekatan yang salah antara Ramadhan dan Aidil Fitri kerana jika kita nilaikan kembali kebanyakan umat Islam lebih menumpukan sambutan Aidil Fitri melebihi Ramadhan. Belum memasuki Ramadhan lagi masing-masing sudah berkira-kira dengan Aidil Fitri, perhiasan apa yang perlu dibuat, kuih apa yang perlu dibeli tetapi amat kurang yang membuat persiapan untuk amalan apa yang hendak bulan Ramadhan, berapa banyak solat sunat hendak didirikan, berapa kali al-Quran hendak dibaca dan sebagainya. Ini ditambah lagi dengan hidangan-hidangan TV-TV dengan iklan-iklan promosi Aidil Fitri semakin merancakkan lagi tumpuan kepada menyambut Aidil Fitri. Pernah kita berkata “Sedihnya Ramadhan semakin dipenghujung” atau ”Ya Allah, banyak lagi amalan-amalanku yang tertinggal” tetapi kita sering berkata “Berapa hari lagi nak raya” atau “Seronoknya Ramadhan tinggal beberapa hari lagi”. Betapa nipisnya nilai Iman kita dan rendahnya ketaqwaan kita kepada Allah Taala hingga kita tidak terlintas di dalam jiwa kita ketinggian dan kemulian Ramadhan itu.

Ini menjelaskan betapa syaitan berjaya mendidik kita mengikuti langkah mereka dan mengajar nafsu menguasai diri kita walaupun di bulan Ramadhan syaitan-syaitan dipenjarakan namun atas didikan mereka selama sebelas bulan mereka berjaya mengekalkan manusia dengan pengaruh mereka. Tiada kesedihan dalam hati kita apabila Ramadhan meninggalkan kita, hanya kesedihan kerana ketiadaan orang-orang kita sayangi atau tidak dapat membeli baju baru atau jauh dirantau orang dan tidak lebih daripada itu.

Ramadhan seharusnya dijadikan sebagai madrasah tarbiyyyah bagi umat Islam untuk memperbaiki diri daripada buruk kepada baik, malas kepada rajin, pemarah kepada pemaaf dan sebagainya. Ramadhan mendidik manusia kepada ketaqwaan kepada Allah Taala. Tetapi kenapa manusia tidak berubah? Jawapannya ialah puasanya mereka di bulan Ramadhan hanya menahan lapar dan dahaga sahaja dan tidak lebih dari itu. Mereka tidak mengambil berat mengenai tarawikh, tahajjud, al-Quran dan jauh sekali Lailatul Qadar.


Firman Allah Taala yang bermaksud; “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya mentaati kesabaran.” (Al-Ashr: 1-3)

No comments: