Saturday, September 12, 2009

Kemiskinan, Zakat Dan Sedekah


Firman Allah Taala yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-yebutnya dan menyakiti (perasaan sipenerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang diatasnya ada tanah. Kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan. Dan Allah tindak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”. (Al-Baqarah: 264)

Ketika mengikuti rancangan Kasih Ramadhan melalui saluran OASIS ASTRO kita dipaparkan masih ramai umat Islam di Negara kita yang perlukan bantuan samada kewangan, tempat tinggal dan sebagainya. Masih ramai lagi yang dibelenggu kemiskinan bak pepatah melayu “kais pagi makan pagi kais petang makan petang”. Masih ada lagi masyarakat kita anak-anak mereka tidak mendapat pendidikan sempurna. Golongan ini perlu diambil perhatian agar mereka dapat merasai kehidupan yang lebih baik dan sempurna seperti orang lain. Persoalannya kenapa masih ada lagi golongan seperti ini walhal dalam Islam, umatnya digalakkan saling bantu membantu dan digalakkan memberi sedekah kepada golongan yang memerlukan. Tak semestinya sedekah itu dalam bentuk wang ringgit tetapi dalam bentuk material dan tenaga seperti membantu membina rumah, menyediakan tapak perniagaan, menyediakan pekerjaan dan sebagainya.

Selain daripada itu dalam Islam diwajibkan umat Islam menunaikan rukun Islam yang keempat iaitu zakat. Antara golongan yang layak menerima zakat ialah fakir miskin. Zakat adalah untuk membantu golongan-golongan ini membina kehidupan mereka lebih baik lagi namun begitu bila diperhatikan kenapa bantuan tersebut masih tidak dapat mencorak kehidupan mereka lebih baik lagi. Mungkin pendekatan yang diambil tidak dapat membantu dengan berkesan. Ada satu ungkapan yang boleh kita jadikan panduan iaitu “Beri mata pancing agar saya boleh dapat ikan lagi tapi jangan beri saya ikan kerana ia akan habis bila dimakan”. Kata-kata ini diluahkan oleh salah seorang daripada peserta yang dilawati di dalam program tersebut. Apakah maksud yang tersirat dengan ungkapan tersebut? Sebenarnya golongan ini bukan hanya memerlukan wang ringgit tetapi memerlukan sesuatu yang boleh digunakan untuk memberi jalan kepada mereka berikhtiar meneruskan kehidupan mereka. Contohnya, jika kita beri mereka modal dan tapak mereka akan dapat berniaga secara kecil-kecilan dan sedikit sebanyak boleh membantu mereka untuk menambahkan pendapatan mereka berbanding memberi makanan kepada mereka kerana akan habis akhirnya dan perlu meminta lagi selepas itu. Berkemungkinan dengan modal tersebut mereka boleh membina perniagaan yang lebih maju dan seterusnya merubah kehidupan mereka dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Dalam soal ini beberapa perkara perlu diambil perhatian;
1. Mengapa setelah disiarkan di media-media baru pihak yang berkenaan mengambil tindakan terhadap golongan ini? Apakah perlu publisiti untuk bertindak? Agak menghairankan dalam sesetengah rancangan ketika ditemubual, wakil rakyat di kawasan tersebut mengetahui kewujudan keluarga tersebut tetapi mengapa tidak bertindak? Hanya setelah tersiar di kaca TV baru tindakan diambil walhal menjadi kewajipan wakil-wakil rakyat ini menjaga kebajikan dan permasalahan rakyat di bawah pentabiran mereka.
2. Pusat Zakat harus mencari kaedah yang lebih baik dalam pengagihan wang-wang zakat agar golongan ini mendapat manafaat yang lebih bermakna.
3. Wang Zakat tidak hanya disimpan sahaja dengan alasan untuk pelaburan kerana wang zakat seharusnya diagih-agihkan kepada 8 asnaf ini kerana zakat adalah untuk membantu bukan untuk dilaburkan.


Apabila tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui adalah sebaik-baik sedekah. Fikir-fikirkanlah dengan sebaik-baiknya dan fikiran terbuka. Jangan hanya berbangga dengan jumlah kutipan yang banyak tetapi manafaat tidak sampai kepada yang berhak. Juga jangan cuba menipu rakyat bahawa Negara sudah maju dan rakyat sudah membangun tetapi hakikatnya masih ramai lagi rakyat merempat di Negara sendiri. Kemajuan tidak bermakna jika hanya setakat terbangunnya bangunan pencakar-pencakar langit tetapi masih ada lagi rakyat yang hidup dalam kemiskinan.

No comments: