Wednesday, October 15, 2008

Amanah Dan Pemimpin


Bergegarlah seluruh artis-artis Malaysia apabila ‘teman’ mereka yang sangat popular di Bollywood menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri Melaka sempena harijadi ke-70. Maka terkeluarlah berbagai-bagai rasa ketidakpuasan hati masing-masing berkenaan anugerah tersebut dan Ketua Menteri kesayangan rakyat Negeri Melaka pun memberi jawapan akan rasionalnya anugerah tersebut terhadap pembangunan pelancongan Negeri Melaka umpama berbalas pantun kedua-duanya.

Di sini bukan ingin mempertikaikan anugerah tersebut tetapi memperjelaskan dan menekankan bahawa itulah gambaran akan kebodohan dan kejahilan pemimpin-pemimpin kita dalam menentukan hala tuju Negara ini sehinggakan di dalam benak fikiran dan sanubari mereka hanya tergambar kepada keseronokan dan hiburan semata-mata (dan materialistik dunia). Ini menjelaskan bahawa bagaimanakah seorang pemimpin seperti ini akan membawa rakyat kepada ajaran Islam yang sebenar dan mengingatkan akhirat dunia yang kekal abadi. Inilah terjemahan akan Islam Hadhari yang diingini oleh mereka dan Islam Hadhari itu sendiri tiada mempunyai roh keimanan yang menjadi kekuatan kepadanya. Hancur dan kucar-kacir masyarakat kerana punyai pemimpin yang punyai hati beku, sentiasa menuruti kehendak hawa nafsu, tamak dengan hal-hal keduniaan dan lupa dengan Negara Akhirat.

Sabda Rasullullah yang bermaksud; “Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah saat (kehancurannya). Para sahabat bertanya: “Bagaimana menyia-yiakan amanah itu?” Rasullullah S.A.W menjawab: “Apabila suatu perkerjaan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat (kehancurannya)”. (Diriwayatkan oleh Bukhari)

Di antara perkara yang ditemui oleh Rasullullah ketika Israk ialah baginda melihat suatu perilaku yang aneh dimana seorang yang membawa seikat kayu tapi dia tidak berdaya mengangkatnya namun bebannya ditambahnya lagi. Ia adalah perumpamaan mengenai seseorang yang diberi amanah tetapi tidak dapat menyelesaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada namun masih sanggup menerima amanah tersebut. Pemimpin bukan hanya memegang amanah terhadap membangunkan negeri atau Negaranya dengan kemajuan dan pembangunan tetapi lebih besar lagi daripada itu iaitu amanah menjaga agama Islam agar terpelihara dan meningkatkan syiar Islam di muka bumi. Jikalau di dalam benak kehidupan pemimpin itu tidak terlintas langsung untuk menegakkan hukum Allah di muka bumi ini mana mungkin ia akan menjalankan amanah Allah terhadap maslahah-maslahah umat.

Kedua-dua mereka iatu artis dan pemimpin ini tiada bezanya. Masing-masing dengan nafsu dan kehendak diri masing-masing. Hiburan dan hiburan dan hiburan. Antara tanda-tanda hampirnya hari Khiamat ialah artis-artis disanjung dan dipuja-puja dan tanda-tanda ini sudahpun berlaku dengan begitu banyak sekali di zaman mutakakhir ini. Apakah kita tidak mahu mengambil pengajaran daripadanya?