Monday, October 6, 2008

Kesan Ramadhan Pada Orang-Orang Mukmin


Ramadhan yang penuh keberkatan dan kerahmatan telah pun berlalu, berakhirnya bulan yang diberikan ganjaran pahala seribu bulan dan hari ini umat Islam meraikan kesempurnaan menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadhan ini dengan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Kesempurnaan dan kesan dari hasil tarbiyyah bulan Ramadhan ini akan dapat dilihat dan diterjemahkan selepas sempurnanya ibadah puasa ini dengan melihat perubahan-perubahan dan kesinambungan amalan-amalan yang dikerjakan dalam bulan Ramadhan di bulan-bulan lain dalam kehidupan umat Islam itu sendiri. Umpama pelajar memasuki universiti diberikan pendidikan berbagai-bagai ilmu dan praktikal kemudian menduduki peperiksaan untuk menentukan tahap pencapaian pelajar tersebut. Sekiranya pelajar tersebut berjaya di dalam peperiksaan tersebut beliau akan mendapat pengiktirafan dan sijil dan di dunia luar dia akan mendapat pekerjaan yang baik dan kedudukan yang tinggi. Maka begitu jua dengan Ramadhan, ibadah yang benar-benar diterima oleh Allah akan dijelmakan selepas berakhirnya Ramadhan itu sendiri. Sekiranya dalam bulan Ramadhan solat-solat sunat banyak dilakukan hasilnya selepas Ramadhan seseorang itu akan mengekalkan ibadah sunat tersebut, sekiranya banyak memaafkan sesame insan selepas Ramadhan akan menjadi seorang yang pemaaf, sekiranya banyak sedekah maka selepas Ramadhan akan menjadi seorang insan yang pemurah dan sebagainya. Disinilah gambaran keikhlasan ibadah puasa seseorang akan terserlah.

Orang yang benar beriman akan mengiringi pemergian Ramadhan tahun ini dengan tangisan kerana mereka merasakan belum tentu dipertemukan lagi bulan yang penuh ganjaran dan keberkatan ini ditahun hadapan dan menyambut Aidil Fitri dengan kesyukuran kerana dapat menyempurnakan ibadah puasa pada tahun ini. Kerinduan mereka pada Ramadhan diterjemahkan dengan melakukan pula puasa sunat enam hari dalam bulan Aidil Fitri pula. Begitulah jika seseorang itu benar-benar merasai dan menjiwai puasa itu dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Taala. Sentiasa menghindari perkara-perkara maksiat ketika sambutan Aidil Fitri, sentiasa memperbanyakkan bertasbih, tahmid dan takbir dan menziarah sanak-saudara dan bermaaf-maafan. Dari itu marilah kita sama-sama mengekalkan roh Ramadhan dibulan-bulan lain dan menghayati Aidil Fitri dengan keimanan.
__________________________________________________
Penulis mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin