Sunday, October 12, 2008

Perjuangan Tanpa Makna

Firman Allah yang bermaksud; “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Surah al-Hujuraat: 13)

“ Ketuanan Melayu mesti dipertahankan! Orang melayu mesti dibela! Maruah bangsa Melayu jangan dicabar! “ Demikianlah laungan dari mulut pejuang-pejuang ketuanan melayu ini dan sekian kali laungan di suarakan sehingga hampir mencabar dan kebiasaannya terus mencabar bangsa lain dengan cabaran yang boleh mencetuskan pertembungan dan konflik antara bangsa-bangsa tersebut. Kenapa harus begini sikap mereka? Apakah benar-benar mereka memperjuangkan bangsa Melayu? Apakah benar mereka mempertabatkan bangsa Melayu?. Jika dilihat kepada kedudukan Melayu itu sendiri mutakakhir ini sebenarnya perjuangan mereka hanya laungan sahaja dan bukan untuk bangsa melayu tetapi untuk diri sendiri. Jika benar mereka memperjuangkan bangsa Melayu ke mana hilangnya bank kebanggaan orang Melayu? Di mana kedudukan bahasa Melayu? Dan banyak lagi hasil perjuangan tokoh-tokoh pejuang dahulu yang entah hilang di mana hasil kerja perjuangan pejuang-pejuang melayu sekarang. Antara contohnya ialah satu, Bank Bumiputra. Jika diimbas kembali hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputra pada tahun 1965 maka tertubuhlah Bank Bumiputra bagi menjana modal untuk membantu kaum bumiputra khusus orang-orang melayu yang pada ketika itu melakukan berbagai-bagai kegiatan ekonomi dan industri. Juga untuk mengimbangi kedudukan ekonomi Bumiputra dan bukan Bumiputra pada ketika itu. Tapi setelah hampir 34 tahun menghadapi perbagai rintangan, kejayaan dan sumbangan besar kepada perindutrian dan ekonomi bangsa melayu Bank Bumiputra kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah sahaja hasil daripada pengabungan dengan Bank Of Commerce. Walaupun dengan beralasan untuk memperkukuhkan khidmat bank tetapi kenapa harus dikorbankan Bank Bumiputra kerana hasil gabungan tersebut wujudnya Bumiputra-Commerce dan kini CIMB Bank. Kenapa bukan Bank Bumiputra yang mengambilalih bank-bank tersebut? Walhal ramai kakitangan yang berkalibar dan professional di dalam bank tersebut yang mampu mentadbir dan menjalankan perniagaaan bank tersebut. Kenapa dalam soal ini orang-orang UMNO tidak berjuang mempertahankan bank tersebut? Kalau ditinjau, kesannya kepada bangsa Melayu amat besar sekali terutama kakitangan-kakitangan Melayu pada ketika itu dan sekarang walaupun Pengerusinya berbangsa Melayu tetapi jiwanya berbangsa lain.

Dua, kedudukan Bahasa Melayu umpama bahasa kelas kedua walaupun majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu. Orang-orang melayu sendiri kadang-kadang malu untuk bertutur dengan bahasa ibunda mereka maka bagaimana harus kita mahukan bangsa lain untuk bertutur dengan bahasa Melayu? Ditambah dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains di sekolah-sekolah dan ia menambah kedudukan anak-anak melayu dalam pelajaran bertambah parah lagi. Dimanakah pejuang-pejuang bangsa melayu tadi? Mereka juga bersungguh-sungguh menyokong pemimpin mereka dengan alasan demi kemajuan. Bangsa Jepun hanya menggunakan bahasa ibunda mereka sahaja tapi lebih maju kehadapan, orang Korea dan orang China pun begitu juga tapi mereka sering maju kehadapan daripada bangsa dan negara lain hatta Negara China berjaya menghantar rakyat dan roketnya ke angkasa lepas dan bukan sebagai penumpang sahaja walaupun bukan berbahasa Inggeris. Kemajuan dan pembangunan bukan terletak kepada bahasa tetapi kemahuan dan usaha bangsa itu sendiri. Mengadaikan bahasa untuk kemajuan adalah kebodohan pemimpin melayu dan mereka telah menghilangkan identiti bangsa Melayu sedikit demi sedikit.
Ketiga, Siapakah yang menghapuskan tulisan jawi? Penghapusan tulisan jawi meninggalkan kesan jangka panjang kepada orang Melayu kerana asas kemahiran membaca al-Quran ialah mahir membaca tulisan jawi. Berapa ramai anak-anak Melayu sekarang ini yang boleh dan mahir membaca tulisan jawi? Sedih dan kecewa sekali jawapannya tetapi mengapa orang-orang yang mendabik diri mereka memperjuangkan hak orang Melayu tidak menperjuang dan mempertahankannya. Inilah kejahilan mereka sebenarnya.Tiga contoh di atas hanya sebahagian sahaja contoh yang memperlihatkan bahawa perjuangan yang dilaung-laungkan tidak memberi sebarang makna pun pada bangsa itu sendiri.

Siapa sebenarnya yang menindas bangsa Melayu? Adakah bangsa China atau India atau orang asli? Kalau nak dikatakan bangsa China atau India adalah tidak logik dan munasabah kerana semenjak 50 tahun selepas merdeka, Negara kita ditabdir oleh bangsa Melayu dan kesemua Perdana Menteri Malaysia adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Jawapannya ada pada anda sendiri!

Orang-orang yang kononnya memperjuangkan ketuanan bangsa Melayu sebenarnya mereka sendiri tidak faham apakah sebenarnya perjuangan mereka, kemanakah perjuangan mereka dan mereka berjuang hanya menuruti pemimpin-pemimpin mereka yang bertopengkan bangsa untuk kepentingan diri mereka sendiri. Mereka sebenarnya merosak dan menghancurkan bangsa mereka sendiri. Tinggalkanlah perjuangan kebangsaan yang tidak membawa manafaat ini. Allah mencipta manusia berbilang bangsa adalah untuk mereka berkenal-kenalan dan berkasih sayang bukan untuk menuntut perjuangan bangsa. Perjuangan yang sebenar ialah perjuangan menegakkan kalimah Allah dimuka bumi ini kerana ia akan berterusan sehingga hari kiamat. Sesungguhnya Islam adalah untuk semua makhluk di alam semesta ini samada manusia ataupun makhluk-makhluk lain di muka bumi ini. Bangsa atau kaum hanya sementara sahaja di dunia ini tidak ada sebarang makna di sisi Allah kecuali orang-orang yang bertaqwa.