Tuesday, October 21, 2008

Bersiap Sedia Dengan Kekuatan

Firman Allah Taala yang bermaksud; “ Hai orang-orang beriman, bersiap sedialah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!. Dan sesungguhnya di antara kamu ada yang sangat berlambat-lambat (ke medan pertempuran). Maka jika kamu ditimpa musibah ia berkata: “ sesungguhnya Tuhan telah menganugerahkan nikmat kepada aku kerana aku tidak ikut berperang bersama mereka”. Dan sungguh jika kamu beroleh kurnia (kemenangan) dari Allah tentulah dia mengatakan seolah-olah belum pernah ada hubungan kasih sayang antara kamu dengan dia: “Wahai, kiranya aku ada bersama-sama mereka, tentu aku mendapat kemenangan yang besar (pula)”. Kerana itu, hendaklah orang-orang kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat berperang di jalan Allah. Barang siapa yang berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka kelak akan kami berikan kepadanya pahala yang besar” (Surah An-Nissa’: 71-74)

Semua ahli Jamaah Islam harus mula digerakkan untuk meningkatkan kekuatan jamaah kerana berdasarkan suasana perkembangan politik di negara kita mutakahir ini ia memberi petunjuk bahawa tsunami perubahan politik akan melanda negara kita pada bila-bila masa sahaja. Oleh demikian setiap ahli Jamaah Islam wajib mempersiapkan diri masing-masing dalam menghadapi angin perubahan ini bagi mengimbangi dan menjadi altenatif utama kepada perubahan pemerintahan di negara Malaysia tercinta ini. Persediaan ini amat perlu bagi membuktikan bahawa Islam diturunkan ke muka bumi ini melalui Nabi Muhammad S.A.W adalah untuk kesejahteraan seluruh manusia kerana Islam itu adalah sejahtera. Dan membuktikan bahawa perjuangan kita selama ini adalah perjuangan untuk semua umat manusia di muka bumi Malaysia ini dan bukan untuk orang Melayu sahaja tapi untuk semua bangsa samada China, India, Siam, Kadazan dan lain-lain bangsa yang ada di negara ini. Setiap umat Islam hendaklah sentiasa bersiap sedia sebagaimana dengan firman Allah; “Hai orang-orang beriman, bersiap sedialah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!. (Surah An-Nissa’: 71)

Kekuatan umat Islam adalah terbina di atas 3 syarat. Tanpa salah satu daripada tiga syarat ini kekuatan mereka akan rapuh dan mudah dipecah belahkan oleh musuh-musuh Islam. Syarat-syaratnya ialah
1. Kekuatan Akidah. Ia merupakan kekuatan dalaman (kerohanian) kepada setiap umat Islam. Kekuatan ini tiada pada orang-orang bukan Islam dan dengan kekuatan Akidah umat Islam dapat bersatu dan bergerak di bawah satu matlamat dan kalimah iaitu semata-mata mendaulatkan kalimah Allah di muka bumi ini. Sebagaimana yang berlaku kepada umat Islam di dalam peperangan Badar dapat mengalahkan tentera musyirikin yang berjumlah 1,000 orang walaupun kekuatan umat Islam hanya 300 orang sahaja tetapi demi menegakkan kalimah tauhid dan cintanya mereka kepada Rasulullah S.A.W mereka akhirnya berjaya mengalahkan kaum musyirikin. Ini menjelaskan bahawa manusia menjadi kuat bila mereka mendapat kebenaran dan dengan kebenaran ini menjadi hujjah dan asas untuk mereka melawan kekufuran.

2. Kekuatan Kesatuan (Jamaah). Mengambil contoh peperangan Badar tadi, jika umat Islam mempunyai kekuatan akidah dalam diri mereka tetapi hanya memikirkan diri sendiri sahaja dan tidak memperdulikan orang lain (individualistik) masih belum dapat lagi mencapai kemenangan seperti di dalam peperangan tersebut dalam erti kata lain umat Islam hanya menumpukan menguatkan akidah di atas sejadah sahaja dan tidak memikirkan maslahah umat yang lain. Tetapi dengan berpegangan atas kesatuan ummah dan bersatu dalam satu jamaah serta meningkatkan perhubungan sesama mukmin maka kekuatan ini akan terbina dan akhirnya memberi kejayaan kepada umat Islam. Begitu juga umat Islam jangan bergantung kepada seseorang tetapi bergantung sepenuhnya kepada Allah kerana dengan kebergantungan kepada individu kekuatan dan semangat juang akan hilang tanpa individu tersebut di sisi. Contohnya, kita perlu memperbetulkan anggapan sesetengah kalangan orang bahawa kekuatan PAS adalah pada ketokohan Tuan Guru Nik Aziz. Jika kita berjuang kerana Tuan Guru Nik Aziz, maka kita silap dan perlu segera diperbetulkan. Kekuatan PAS adalah pada perjuangan akidah dan mentauhidkan kalimah Allah berlandas dan berpegang kepada Al-Quran dan Hadith. Tuan Guru Nik Aziz hanya sebagai pencetus dan penterjemah kepada perjuangan PAS.

3. Kekuatan Jihad Fi Sabilillah. Inilah kemuncak perjuangan umat Islam dan umat Islam harus menanam cita-cita dan semangat untuk berjihad Fi Sabilillah. Jihad dalam berbagai bentuk bukan hanya dengan mengangkat senjata tapi dalam berbagai bentuk samada harta, ilmu dan sebagainya. Orang yang berjihad di jalan Allah sanggup mengorbankan dan menyumbang harta benda mereka demi perjuangan Islam. Manakala orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu menyumbangkan ilmu mereka untuk pembangunan dan kemajuan menegakkan Islam tanpa sebarang imbuhan. Namun begitu jihad yang paling besar ialah jihad melawan hawa nafsu kerana apabila nafsu dapat dikalahkan dengan sendiri umat Islam akan dapat membina kekuatan dalaman (kerohanian) dan luaran. Apabila setiap ahli jamaah dapat melengkapkan diri dengan ketiga-tiga syarat tersebut, insyallah Syariah Islam akan tertegak di bumi Malaysia kita ini. Amin.

Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya; “Siapa yang berperang agar kalimah Allah menjadi tinggi, maka ia berperang di jalan Allah”. (HR Bukhari dan Muslim)