Saturday, April 18, 2009

Tokoh Perjuang Islam Masa Kini

Sesusuk tubuh yang kerdil, wajah yang tenang, bait-bait ucapannya tersusun indah, suaranya sederhana dan terang dan lancar. Kata-katanya sentiasa menjadi perhatian dan setiap ucapan mempunyai makna yang mendalam. Pandangannya jauh ke depan melangkaui batasan pemikiran pemimpin-pemimpin lain dan sukar disanggah. Setiap pandangan dan hujah-hujahnya dibariskan dengan firman Allah dan hadith Rasulullah dan memberi kekuatan kepada segala tindakan-tindakannya sebagai Ketua Kerajaan Negeri Kelantan Darul Iman. Insan yang dimaksudkan disini ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sentiasa menjadi perhatian di mana sahaja beliau berada samada majlis-majlis rasmi ataupun tidak. Dihormati kawan dan lawan di dalam atau luar Negara. Kesungguhan dan jihadnya dalam perjuangan amat dikagumi. Tuan Guru telah membuktikan bahawa seorang Ulama mampu mentadbir sebuah kerajaan dengan lebih berkesan kerana ulama bukan diperintah tetapi memerintah. Beliau telah dianugerahkan Nobel Keamanan versi Asia, satu kejayaan besar dan pengiktirafan besar dari luar kepada seorang Ulama di Negara ini.

Begitu banyak perubahan-perubahan yang telah Tuan Guru lakukan di Negeri Kelantan walaupun menghadapi tekanan-tekanan dari kerajaan pusat seperti disekat geran tahunan, pelaburan dari luar dihalang masuk Kelantan dan banyak lagi. Namun dengan tenang dan sentiasa bertawakkal kepada Allah Tuan Guru dan menganggap ia sebagai ujian yang perlu dihadapi dalam menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Pembangunan material harus seimbang dengan pembangunan kerohanian dan oleh kerana itu Tuan Guru mendidik rakyat Kelantan dengan pendidikan kerohanian terlebih dahulu dan disamping itu membangunkan Negeri Kelantan berlandaskan Al-Quran dan Hadith semampu yang boleh (kerana batasan-batasan yang dicipta oleh perlembagaan Malaysia) dan kini kesannya telahpun terbukti.

Tuan Guru telah memecah tembok pemisahan antara kaum di Negara ini dan ini sejajar dengan ajaran Islam yang tidak membezakan satu kaum dengan kaum yang lain. Dalam Islam hanya taqwa yang membezakan antara seseorang itu bukan darjat keturunan, bangsa atau kaum. Terciptanya manusia berbilang kaum supaya saling kenal mengenali antara satu lain dan sebagai membuktikan akan Kekuasaan Allah yang Maha Pencipta.

“Wahai manusia (tanpa mengira bangsa) sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Surah Al-Hujarat: 13)

Sewajarnya kita mencontohi keperibadian Tuan Guru dan menjadikan beliau sebagai sumber semangat dan inspirasi kepada pejuang-pejuang Islam masa kini. Kisah perjuangan Tuan Guru boleh diikuti dalam buku Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat karya Abdul Shukur Haron dan Annual Bakri Haron terbitan Anbakri Publika Sdn Bhd.

No comments: