Thursday, April 9, 2009

Pemimpin Yang Berpura-pura


Inilah yang membezakan perjuangan yang berpegang kepada cita-cita kebangsaan atau berpaksi kepada Al-Quran dan Hadith. Pejuang-pejuang berkebangsaan bijak berlakon, berpura-pura dikhalayak ramai namun hakikatnya wajah dan sikap yang dipertontonkan bukan sikap mereka yang sebenarnya. Mereka boleh berubah dalam sekelip mata sahaja. Buktinya; Perhimpunan UMNO baru-baru ini menyaksikan pertemuan dua pemimpin UMNO yang pernah berada dikerusi tertinggi mereka bersalaman dan berpelukan seolah-olah persengketaan mereka selama ini berakhir di pentas perhimpunan tersebut. Gegak gempita bersorak hangat penyokong-penyokong mereka menggegarkan Dewan Merdeka PWTC seolah-olah itulah kemuncak kemenangan perhimpunan pertubuhan tersebut. Selama hampir 5 tahun Mahathir berkecil hati dan marah dengan pemimpin tertinggi UMNO itu serta secara terus terang mengkritik pentadbiran kerajaan samada melalui laman blog beliau mahupun di dalam akhbar-akhbar. Seolah-olah apa yang berlaku selama 5 tahun itu hilang begitu sahaja dan masing-masing melupakan pertelagahan tersebut dan berpelukan sambil menerima tepukan gemuruh daripada semua perwakilan yang hadir.

Namun, dua hari selepas itu beliau menyerang semula dan mengulangi kenyataannya di dalam temuramah BBC akan kesilapan beliau melantik Abdullah sebagai pengganti. Juga menyerang kroni-kroni Abdullah yang didakwa mempunyai pengaruh besar didalam kerajaan (walaupun pada ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia keadaan yang sama juga berlaku). Jelasnya segala yang disaksikan oleh rakyat ialah inilah gelagat pemimpin-pemimpin mereka yang berpelukan di atas pentas tetapi sebaliknya selepas itu. Semata-mata untuk mengaburi mata rakyat bahawa mereka tidak bersengketa dan bersikap keterbukaan.

Demikianlah sebenarnya sikap pemimpin kita yang sentiasa berpura-pura dalam perjuangan mereka. Jika sesama mereka pun boleh bertindak dan bersikap demikian sudah tentu sekali dan berlebih-lebih lagi dengan rakyat yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dan pengaruh di dalam kerajaan. Contoh yang jelas sekali ialah ketika kempen-kempen pilihanraya samada Pilihanraya Umum ataupun Pilihanraya Kecil. Berbagai janji ditaburkan, berbillion-billion diperuntukkan namun selesai sahaja pilihanraya berbagai-bagai alasan pula diberikan.

Penyertaan semula Mahathir dalam UMNO tidak membawa sebarang makna kepada UMNO itu sendiri kerana UMNO sememang sudah demikian sifatnya. Ketika berada di atas tidak boleh menerima teguran tapi bila berada di bawah melalak tak tentu arah.