Monday, April 20, 2009

Orang Melayu Yang Tidak Memahami Islam


Umat Islam di Malaysia sepatutnya merasa malu kerana sebagai Muslim, mereka wajib berusaha mempelajari, mendalami isi kandungan Al-Quran dan mengamal segala petunjuk yang dibentangkan dalam Al-Quran. Al-Quran dijadikan bacaan setiap hari dan petunjuk ketika menghadapi kesulitan dan persoalan yang berkaitan dunia mahupun akhirat. Dikalangan umat Islam kini masih ada yang tidak mampu untuk membaca Al-Quran, tidak kenal huruf-huruf Al-Quran hatta tidak berminat untuk mendalami dan memahami isi kandungan Al-Quran itu sendiri.

Akibat tidak memahami Al-Quran dan Islam itu sendiri, orang-orang melayu sentiasa bertindak tanpa asas yang bijak walhal tindakan mereka telah menjauhkan lagi umat bukan Islam daripada memahami Islam itu sendiri. Di dalam hal Exco Kerajaan Negeri Perak, YB Nga Ko Ming yang telah membaca sepotong ayat Al-Quran dan terjemahannya, membawa kepada tindakan kurang bijak ahli UMNO Bukit Gantang membuat laporan polis baru-baru ini. Tindakan mereka telah mempamerkan dan memperjelaskan bahawa sesungguhnya selama ini sememangnya orang-orang Melayu masih lagi tidak memahami Islam itu sendiri akibat daripada sifat mereka sendiri yang tidak mahu menghadiri kuliah-kuliah agama ataupun membaca kitab-kitab yang berkaitan dengan Islam. Ini disebabkan kebanyakan orang-orang Melayu beranggapan Islam hanya berkisar di sekitar solat, puasa, haji, nikahkahwin dan tahlil sahaja. Soal-soal lain seperti pemerintahan, undang-undang, ekonomi dan sebagainya tidak diambil peduli. Kelas-kelas pengajian masjid di kampung-kampung hanya membicarakan cara-cara mengambil wudhuk, mandi wajib, perkara-perkara yang membatalkan puasa dan berulang-ulang setiap tahun. Walhal banyak lagi ilmu-ilmu Islam yang harus dikaji dan dipelajari.

Seharusnya sebagai seorang Muslim, umat Islam harus merasa bangga apabila ada umat bukan Islam yang berusaha untuk membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran itu sendiri. Jika sekalipun sebutan mereka salah, kita wajib memperbetulkan sebutan mereka. Mereka bukan menghina ayat Al-Quran itu tapi mereka cuba memahaminya. Bagaimana mungkin orang-orang bukan Islam boleh mendekati Islam padahal orang-orang Islam sendiri menjadi penghalangnya.

Di zaman Rasulullah sendiri, semasa Rasulullah memberi pengajaran kepada umat Islam samada di Mekah ataupun Madinah, orang-orang kafir juga mendengar ajaran Rasulullah dan mengemukakan persoalan-persoalan hinggakan ada yang beriman kepada Allah dan Rasul lantas berjuang di dalam Islam. Berdakwah bukan hanya dengan datang kepada mereka atau berceramah kepada mereka tetapi hidayah Allah boleh datang dengan berbagai cara dan bentuk.

Di dalam isu YB Nga Ko Ming membaca sebaris ayat Al-Quran dan terjemahannya, ini merupakan satu perkembangan yang amat baik kerana memberi petanda bahawa bukan Islam telah mula ingin memahami Islam itu sendiri dan memberi kesan yang amat baik di kemudian hari di dalam usaha kita untuk menegakkan dan melaksanakan undang-undang Islam di muka bumi Malaysia ini.

Tindakan orang-orang yang tidak cerdik ini hanya memalukan umat Islam di Malaysia bahawa betapa ceteknya pandangan dan ilmu mereka. Kedangkalan mereka akan menjarakkan lagi umat Islam dengan bukan Islam dan melembabkan usaha-usaha menarik bukan Islam kepada menerima ajaran Islam itu sendiri. Persoalan yang boleh dibahaskan di sini ialah apakah mereka-mereka yang tidak berakal ini sengaja bertindak demikian kerana adanya agenda-agenda tersembunyi mereka? Sama-sama kita cari jawapannya.