Monday, April 27, 2009

Kenapa Saudara Baru Mudah Berpaling Ke Agama Asal Mereka?

Umat Islam wajib menyebar Islam kepada umat-umat lain dan mengajak mereka bertauhid kepada Pencipta sebenar yang menjadikan mereka. Kita hendaklah memberi kefahaman dan mengembangkan tentang Islam kepada umat-umat lain kerana Islam adalah untuk seluruh alam ini dan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W itu sendiri adalah untuk kerahmatan seluruh alam merangkumi semua makhluk-makhluk samada di muka bumi mahupun di lautan.

Dalam kontek ini sebagai umat Islam kita seharusnya mendekatkan diri kita dan Islam itu sendiri kepada umat-umat lain dengan berbagai-bagai kaedah mengikut kesesuaian tetapi di dalam ruang lingkup tabliq dan prinsip-prinsip Islam. Penulis tidak menyebut dengan mendekatkan Islam kepada bangsa lain tetapi umat lain kerana Islam tidak pada bangsa dan Islam bukan diturunkan hanya untuk orang melayu tetapi kepada seluruh umat manusia di bumi ini. Hanya berkebetulan di Negara ini majoriti rakyat Malaysia adalah berbangsa melayu maka keseluruhannya bangsa melayu adalah beragama Islam walaupun sesetengahnya amalannya hanya asasnya sahaja (walallahua’alam).

Sering kita perhatikan bahwa mengajak umat-umat lain mendekati Islam amat sukar sekali berbanding dengan agama-agama lain walhal Islam itu indah dan sempurna. Mereka lebih mudah tertarik dengan agama-agama lain dan lebih senang berbicara tentang agama-agama lain sehinggakan adakalanya ketika diajak berdiskusi tentang Islam agak keberatan dengan berbagai-bagai alasan dikemukakan. Mengapakah situasi ini boleh berlaku? Adakah tidak cukup maklumat tentang Islam atau kurang penerangan-penerangan tentang Islam? Hatta di Negara kita wujudnya berbagai-bagai institusi yang berkaitan dengan Islam umpamanya Jabatan Kefahaman Islam (JAKIM), Pusat Islam, PERKIM dan sebagainya. Apakah peranan mereka tidak memberi manafaat kepada pembangunan dan penyebaran Islam?

Sebenarnya, umat Islam itu sendiri yang menjauhkan bukan Islam daripada Islam. Umat Islam tidak menunjukkan bahawa Islam itu indah. Mereka gagal menterjemahkan keindahan Islam daripada diri mereka sendiri kerana kebanyakan amalan harian mereka bukan berpegang kepada Islam, sifat-sifat mereka tidak mencerminkan wajah Islam, tindakan-tindakan mereka tidak menunjukkan kelembutan Islam dan banyak lagi.

Ini disebabkan kebanyakkan umat Islam di Negara kita yang berbangsa melayu hanya menjadikan Islam pada sebahagiannya sahaja dan tidak pada sebahagian yang lain padahal Islam wajib diambil keseluruhannya dalam cara hidup mereka samada berkeluarga, ekonomi, politik dan sebagainya. Kita gagal menarik umat lain untuk mendekati Islam dan sebagai contoh yang paling kecil dan mudah ialah kita sering kali melarang umat lain mendekati masjid kita lebih-lebih lagi mendengar kuliah-kuliah agama kita dengan alasan orang Islam tidak boleh memasuki masjid dan sebagainya. Tindakan ini menyebabkan mereka beranggapan betapa susah dan cerewetnya Islam dan akhirnya semakin lama semakin jauh mereka daripada Islam, lebih-lebih lagi umat Islam sendiri juga ada yang kurang mendekatkan diri mereka dengan masjid dan kehadiran mereka di masjid hanya pada waktu-waktu berkala sahaja seperti solat Jumaat, solat Hari Raya, kematian dan sebagainya.

Belum lagi persoalan-persoalan yang berhubung kait dengan saudara-saudara baru yang kembali ke agama asal mereka. Berapa ramai saudara-saudara baru yang telah kembali kepada agama asal mereka? Dengan tidak ada susulan dan perhatian daripada umat Islam dan ditambah dengan persoalan-persoalan yang dibicarakan di atas telah menyumbang kepada tindakan tersebut. Umat Islam hanya bangkit apabila isu murtad ini telah dibawa ke mahkamah untuk bicarakan dan diwaktu tersebut terdengarlah suara-suara yang dahulunya sepi dan senyap membisu dengan tiba-tiba lantang bersuara kononnya ingin memperjuangkan kesucian dan kedaulatan Islam namun dalam masa yang sama mereka juga memperkecil dan permain-mainkan Islam itu sendiri.

Sudah sampai masanya umat Islam merubah persepsi ini dan mula menjadikan Islam sebagai panduan dan cara hidup dan menterjemahkan keindahan Islam dalam kehidupan mereka. Umat Islam harus istiqamah dalam perjuangan dalam menegakkan kesucian dan mempamerkan kepada umat-umat lain akan keindahan dan kesempurnaan Islam itu.