Monday, June 21, 2010

Bahayanya Ulama Su'

Petikan dari Harakahdaily, “ KUALA LUMPUR, 20 Jun: Satu blog pro Umno mendakwa, bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin bersama 100 ulama berkelulusan tinggi, termasuk Phd akan menyertai Umno, Jumaat depan menerusi UMNO Cawangan Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Menurut blog itu, Setiausaha Kerja Umno Malaysia, Datuk Ab Rauf Yusoh, percaya penyertaan mereka itu akan menyemarakkan keyakinan orang-orang Melayu dan Bumiputera kepada Umno.”

“Saya rasa kalau 100 ulama ini dapat kita terjemah sebagai 100 kekuatan luar biasa di dalam Umno, PAS tidak akan tidur lena," kata Shahidan.”

Dalam hal ini mari kita sama-sama perhatikan hadith Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud "Akan muncul di akhir zaman orang-orang yang mencari dunia dengan agama. Di hadapan manusia mereka memakai baju dari bulu domba untuk memberi kesan kerendahan hati mereka, lisan mereka lebih manis dari gula namun hati mereka adalah hati serigala (sangat menyukai harta dan kedudukan). Allah SWT berfirman : 'Apakah dengan-Ku (kasih dan kesempatan yang kuberikan) kalian tertipu ataukah kalian berani kepada-Ku. Demi diriku, Aku bersumpah, Aku akan mengirim bencana dari antara mereka sendiri yang menjadikan orang-orang santun menjadi kebingungan (apalagi selain mereka) sehingga mereka tidak mampu melepaskan diri darinya." (HR. Tirmidzi).

Ulama Su’ adalah ulama fasik yang menjilat para pemerintah untuk kedudukan, pangkat, pengaruh, kemewahan dan kesenangan dunia. Ulama ini adalah perosak agama, pemadam sunnah, pelindung bidaah dan maksiat. "Tidaklah merusak agama ini melainkan para raja, ulama su', dan para rahibnya.". Ulama Su’ memakai pakaian ulama, mereka menggunakan ayat-ayat Allah tetapi mereka menjual agama untuk dunia dan kepentingan mereka. Mereka mudah dipergunakan oleh pemerintah sekular yang tidak mahu menghukum dengan hukuman dari Al-Quran atau anasir-anasir yang ingin memecahbelahkan umat Islam. Ulama begini amat merbahaya kepada umat Islam.

Biarpun 100 orang atau 1000 orang atau berapa sekalipun jumlah ulama yang menyertai UMNO tetapi jika dasar perjuangannya masih tetap dengan perjuangan kebangsaan dan tidak mendaulatkan syiar dan undang-undang berdasarkan Al-Quran, Hadith, Ijmak Ulama dan Qias maka sama sahaja samada ada ulama ini ada ataupun tidak. Jika 100 ulama ini menyertai UMNO dan menukar dasar perjuangan UMNO itu sendiri kepada perjuangan menegakkan Islam berlandaskan Al-Quran dan Hadith maka sudah tentu PAS akan berfikir untuk bergabung atau dibubarkan kerana pemerintahan sudah melaksanakan hukum-hukum Islam yang sebenar. Namun kenyataan ini tidak mungkin akan berlaku.

Kita perlu ingat berapa ramai cendikiawan Islam, ulama atau ilmuan Islam dalam UMNO tetapi sehingga kini tidak berani memperjuangkan Islam secara total dan hanya menurut hawa nafsu pemerintah sahaja. Menghukum bila ada keperluan daripada pemerintah tetapi diam membisu jika tidak diperlukan walaupun secara jelas bahwa sesuatu perkara itu dilarang oleh Islam.

Jika benarlah apa yang dinyatakan di atas tadi, 100 ulama ini harus berfikir semasak-masaknya dan kembali kepada Allah dalam membuat sebarang keputusan kerana jangan digelar nanti sebagai ulama Su’ atau fasik dan mendapat siksaan Allah di akhirat nanti. Lebih baik ulama-ulama ini berada di luar kawalan pemerintah kerana mereka tidak akan terikat dan dikawal suara mereka untuk menyuarakan pendapat dan bantahan.

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan janganlah kamu jual ayat-ayat Ku dengan harga murah, dan bertakwalah hanya kepadaKu.” (Al-Baqarah: 41)

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan jangan kamu campuradukkan kebenaran dan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran , sedangkan kamu mengetahuinya.” (Al-Baqarah:42)
Kita tidak tidur lena kerana terpaksa membetulkan dan mengingatkan masyarakat Islam akan bahayanya ulama sebegini dan memberi penerangan tentang sesuatu hukum dengan sebenarnya. Sama-sama kita bermohon perlindungan daripada Allah supaya musibah ini tidak berlaku di negara kita dan terhindar dari fitnah dan bala malapetaka yang lebih dahsyat lagi.
Firman Allah yang bermaksud, “Barang siapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, pasti Kami berikan (balasan) penuh atas pekerjaan mereka di dunia (dengan sempurna) dan mereka di dunia tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi (sesuatu) di akhirat kecuali neraka, dan sia-sialah di sana apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan terhapuslah apa yang telah mereka kerjakan.” (Hud: 15-16)
Firman Allah lagi yang bermaksud, “Mereka itulah orang yang merugikan dirinya sendiri, dan lenyaplah dari mereka apa yang selalu mereka ada-adakan.” (Hud: 21)

No comments: