Sunday, September 28, 2008

Rayuan Akhir Ramadhan

Dikala kanak-kanak lain gembira bersama-sama ibu bapa mereka melakukan ibadah puasa dan tidak lama lagi Aidil Fitri namun bagi anak-anak mangsa ISA terpaksa menghadapi hari-hari mereka tanpa bapa mereka dengan penuh kesayuan dan kesedihan. Tiada dakapan dan belian ayah di sisi mereka sambil memandang rakan-rakan sebaya mereka ketawa ria bersama ayah mereka diwaktu berbuka dan bersahur. Dipisahkan daripada ayah mereka sehingga entah bila tanpa noktah yang ada, tanpa bicara untuk mereka dan tiada hukuman yang menjelaskan kesalahan mereka.

Anak-anak kecil ini tertanya-tanya dimanakah ayah mereka, anak-anak yang sudah mengerti tertanya-tanya apakah kesalahan ayah mereka. Apakah ayah mereka pengganas Negara, pengkhianat Negara atau ayah mereka merosakkan agama. Sudah tentu tidak! Yang pasti mereka tahu ayah mereka adalah pejuang Agama, menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Tapi masih tertanya-tanya dibenak hati mereka kenapa ayah mereka yang dipisahkan tanpa bicara walhal penjenayah-penjenayah lain ditangkap, dibicara dan dihukum (sudah tentu pasti tetap hari pembebasan mereka). Dalam Islam hanya mereka yang murtad sahaja dikurung tetapi hanya untuk ditarbiyyah semula dan ada waktu yang ditetapkan sekiranya tidak mahu bertaubat hukuman akan dijalankan tetapi bukan mangsa ini.

Bila kita melihat anak-anak ini tanpa belaian ayah mereka disisi, mata mereka merenung jauh entah kemana agaknya terbayang sekira anak-anak kita tanpa kita disisi. Bagaimana makan minum mereka, kehidupan mereka dan bagaimana isteri kita menghadapi kehidupannya tanpa seorang suami disisi membantu. Di mana dan bagaimana mencari nafkah hidup untuk meneruskan kehidupan ini dan menghadapi pandangan masyarakat terhadap keluarga mereka. Mereka bukan penjenayah tapi inilah hakikat yang mereka terpaksa hadapi kerana kebenaran. Jika punyai kekuatan rohani dan mental mereka akan dapat menghadapi cubaan ini dengan kesabaran dan setia tapi sebaliknya isteri membawa haluan masing-masing. Siapa nak dipersalahkan?

Renungkan mata-mata anak-anak kita ketika mereka tidur. Bayangkan kita tiada bersama mereka bagaimanakah kehidupan mereka? Ketika menyambut Aidil Fitri tidak dapat mencium tangan kita memohon maaf. Sanggupkah kita? Jika kita tidak sanggup, maka adakah kita sanggup melakukan terhadap orang lain? Demikian itu marilah kita sama-sama membantu keluarga-keluarga ISA ini demi satu perjuangan. Pastinya suatu hari nanti anak-anak ini akan bangkit menentang kezaliman ini.