Thursday, September 4, 2008

Perihal Menjaga Waktu Solat

Wahai saudaraku sekelian! bersegeralah solat pada awal waktunya, sampai di masjid atau musallah sebelum bermula muazzin menyerukan azan melainkan anda siap berwudhuk dan hadirkan diri di masjid. Jika sedemikian tidak dapat dilakukan paling kurang bersegera menuju musallah sebaik-baik anda mendengar seruan azan. Kita lazim mendengar sahabat-sahabat kita apabila masuknya waktu solat berkata, 'sebentar lagi', 'sedang sibuk' dan sebagainya. Walhal kita ketahui bahwa seruan Illahi adalah lebih utama daripada seruan yang lain, maka kenapa kita sering mengambil mudah soal ini. Apakah kita pasti bahwa kita akan sempat mengerjakan ibadah solat pada waktu yang kita jangka untuk mendirikan solat mungkin sebentar lagi malaikat maut sudah datang mencabut nyawa kita.
Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya;
"Keutamaan awal waktu dari akhirnya umpama keutamaan akhirat daripada dunia"

Ketahuilah bahwa solat adalah tiang agama. Sekiranya teguhnya solat maka teguhlah agama kita sebaliknya rapuhlah agama kita. Sesungguhnya syaitan dan nafsu sangat gemar mengingatkan manusia akan hal-hal penting yang berkaitan dunia walhal tidak terlintas sebelum waktu solat. Syaitan sering mengajak manusia untuk mengutamakan hal-hal dunia dan melewatkan hal-hal akhirat dan akhirnya manusia terlupa dengan kewajipan kepada Allah. Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat umpama syaitan yang dijauhkan dari rahmat Allah dan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan dan laknat Allah Taala.
Sabda Rasulullah yang maksudnya;
"Tiada agama (kepercayaan) bagi siapa yang tiada bersolat'
Menjadi kelaziman dewasa ini apabila seseorang sedang menghadiri sesuatu perjumpaan atau mesyuarat berat untuk meninggalkan majlis dengan alasan yang sangat dangkal dan lemah bahawa mesyuarat belum selesai, menjaga hati ahli mesyuarat bukan beragama Islam padahal tuntutan dan seruan Allah itu lebih utama daripada segalanya. Kita mengutamakan keuntungan duniawi yang sementara sahaja daripada keuntungan akhirat yang akan kekal selama-lamanya. Kita tersangat bertolak ansur atau bertolenrasi dengan manusia daripada takut kepada Allah Taala yang memberi nikmat yang tak terhitung banyaknya kepada kita.