Wednesday, September 24, 2008

Istiqamah Dalam Amalan

Dewasa ini menjadi semacam menjadi satu trend menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel-hotel oleh syarikat-syarikat korporat dengan menjemput anak-anak yatim atau pelajar-pelajar tahfiz ke majlis tersebut. Perkembangan ini dari satu sudut amat membanggakan kerana pihak-pihak berkenaan terutama golongan korporat tidak mengabaikan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat namun persoalannya adakah sumbangan ini benar-benar tanggungjawab sosial atau satu trend masa kini untuk publisiti syarikat semata-mata namun tiada sedikit pun roh sedekah yang ada.
Bersedekah di bulan Ramadhan sememang sangat digalakkan dan dianjurkan oleh Islam tetapi kesinambungan harus berterusan selepas Ramadhan. Anak-anak yatim, pelajar-pelajar tahfiz, rumah orang-orang tua dan sebagainya di bulan Ramadhan akan melimpah ruah dengan sumbangan samada kewangan atau keperluan-keperluan lain seperti pakaian, makanan dan sebagainya namun apabila beralihnya Ramadhan putus segala sumbangan dan bekalan kepada golongan ini walhal mereka memerlukan bantuan bukan hanya pada bulan Ramadhan tetapi di bulan-bulan lain juga. Hanya segelintir masyarakat sahaja yang sentiasa istiqamah menyumbang bantuan kepada mereka. Cuba kita sama-sama renungi wajah anak-anak yatim ini dan letakkan diri kita berada di tempat mereka, tiada tempat mengadu hanya penjaga rumah anak yatim sahaja tempat mereka bergantung, pakaian entah setahun sekali berganti dan tempat tinggal ala kadar sahaja sekadar boleh berlindung dari panas dan hujan manakala bantuan dan sumbangan hanya muncul sekali dalam setahun.
Bersedekah dibulan sangat digalakkan di bulan Ramadhan tetapi masyarakat kita sering membuat kebajikan dan amalan hanya bermusim. Sepatutnya dibulan-bulan yang lain kita juga sentiasa bersedekah dan apabila tibanya bulan Ramadhan kita meningkatkan lagi amalan sedekah kita berlipat ganda lagi. Nabi S.A.W lebih suka umatnya yang sentiasa istiqamah dalam amalan daripada umat yang beramal secara bermusim.
Begitu juga dalam hal-hal solat sunat dan amalan sunat yang lain seperti solat tarawikh, membaca al-Quran dan sebagainya seharusnya amalan ini sentiasa berterusan dan dipertingkatkan lagi apabila berada di bulan Ramadhan. Oleh sebab itulah kita dapati puasa yang dilalui sepanjang Ramadhan tidak dapat membentuk iman dan taqwa yang kuat di dalam diri seseorang itu, tidak merasai dan menghayati roh Ramadhan dan sekelip mata akan berubah menjelang Syawal.