Tuesday, September 9, 2008

Mohassabah Diri: Ramadhan Memasuki Fasa Ke-2

Ramadhan sudahpun hampir memasuki fasa yang kedua di mana umat Islam telahpun melalui Ramadhan melepasi hari ke-9 dan sebaik-baiknya kita menilai dimanakah kedudukan kita setakat ini. Adakah semakin bertambah amalan kita atau masih sama seperti sebelum ramadhan atau semakin berkurangan amalan kita. Mukmin yang berjaya ialah mukmin yang mempunyai amalan lebih baik daripada semalam dan bertambah baik keesokan harinya. Sepuluh yang pertama dalam bulan Ramadhan merupakan fasa Kerahmatan untuk umat Islam. Rebutlah peluang-peluang kenikmatan dan keberkatan yang Allah berikan kepada kita di bulan Ramadhan semoga kita berbahagia di dunia dan akhirat. Hendaknya kita tidak tergolong di kalangan umat yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja tanpa sebarang ganjaran daripada Allah Taala disebabkan kelalaian dan kealpaan kita sendiri dengan kesibukan urusan dunia dan sering berada di dalam keadaan yang mengurangkan pahala puasa itu sendiri. Akhirnya kita tergolong dikalangan manusia yang sangat rugi samada di dunia maupun di akhirat.

Dewasa ini umat Islam lebih mengutamakan sambutan Hari Raya daripada ramadhan itu sendiri. Ini dapat dinilai dengan persediaan dan persiapan menyambut Hari Raya dirancang seawal kedatangan bulan Ramadhan samada persiapan pakaian, kuih muih, hiasan rumah dan lebih mendukacitakan ialah rancangan-rancangan hiburan untuk Hari Raya. Masyarakat kita sering mendakwa bahwa persiapan Hari Raya perlu dirancang seawal yang mungkin bagi mengelakkan daripada tergesa-gesa pada saat-saat akhir sebelum menjelang Hari Raya. Namun, apakah sedemikian juga masyarakat kita lakukan bagi menghadapi kedatangan Ramadhan seperti puasa sunat dibulan Rejab dan Syaaban bagi melatih diri ketika menghadapi Ramadhan nanti? Hanya segelintir sahaja masyarakat kita yang berbuat sedemikian manakala kebanyakkannya melebih-lebihkan sambutan Hari Raya sahaja.

Alim ulama membuat persediaan Ramadhan seawal enam bulan sebelum kedatangan Ramadhan dengan memperbanyakkan puasa sunat dan sentiasa berdoa semoga mereka dipanjangkan umur agar dapat mengerjakan amalan puasa dibulan Ramadhan ini kerana para alim ulama mengetahui bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan yang tersangat istimewa dan bonus kepada umat Islam yang beriman jika mereka mengetahuinya.

Sewajarnya kita menyanjung tinggi dan mengambil contoh inisiatif yang dihasilkan dan kesungguhan oleh TUAN GURU NIK AZIZ memakmurkan KELANTAN dan menjadikan KOTA BHARU sebagai BANDARAYA ISLAM yang pertama di Malaysia di dalam memakmurkan bulan Ramadhan ini. Sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Qariah Ramadhan telah diwujudkan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Di perkampungan berkenaan programnya bukan saja lagi setakat mengerjakan solat sunat Terawih tetapi di situlah juga menjadi medium perhubungan ukhwah dan persaudaraan baik sesama muslim atau pun dengan bukan muslim apabila majlis melibatkan bukan Muslim juga turut sama diadakan. Sesungguhnya program Ihya Ramdhan yang dipenuhi dengan segala macam menu itu sesuatu yang unik dan menarik.

Masih belum terlambat lagi untuk kita meningkatkan lagi amalan-amalan kita mulai dua puluh terakhir bulan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan solat-solat sunat, zikir, selawat, sedekah dan sebagainya. Semoga pada tahun ini kita dipertemukan hari yang mempunyai kelebihan lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam lailatul qadar (Insyallah). Usah kita mengikuti sikap kebanyakkan masyarakat melayu Islam yang hanya nampak kemeriahan Hari Raya sahaja tapi mengabaikan keberkatan Ramadhan yang mulia ini.

No comments: