Monday, September 15, 2008

Negeri Di Bawah Pimpinan Ulama


Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu jatuhkan hukuman antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu merka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu”.
Sesebuah pemerintahan yang berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W, negeri itu akan sentiasa mendapat limpahan rahmat dan keberkatan daripada Allah Taala. Kemakmuran dan kesejahteraan dapat dinikmati dan dirasai oleh seluruh penduduk negeri tersebut hatta termasuk juga segala makhluk yang menghuni di situ. Demikianlah yang sedang berlaku di Negeri Kelantan sebuah negeri yang kini diperintah dibawah pentadbiran seorang ulama yang begitu tawadduk dan istiqamah untuk memperjuangkan Islam di muka bumi ini. Ulama tersebut adalah Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Negeri yang dikenali juga dengan Serambi Mekah ini sentiasa meletakkan pembangunan rohani selari dengan pembangunan fizikal. Setiap pembangunan yang dirancang sentiasa berpaksikan perintah Allah dan Rasul walaupun sentiasa mendapat tekanan dan menidakkan hak-hak kerajaan negeri oleh Kerajaan Persekutuan namun sehingga kehari ini Negeri Kelantan semakin pesat membangun.

Slogan Membangun Bersama Islam benar-benar member impak yang besar kepada Negeri Kelantan dan menghasilkan suatu umat yang berkualiti samada dari segi fizikal mahupun rohani. Kita lihat sahaja setiap hari Jumaat berduyun-duyun rakyat Kelantan dengan penuh minat mengikuti kuliah mingguan yang disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Nik Aziz mahupun oleh penceramah-penceramah yang lain. Suasana begini memang jarang kita dapati di mana-mana ditempat lain hatta belum kita temui seorang pemimpin menyampaikan majlis ilmu secara rutin seperti ini. Begitulah kesan daripada tarbiyyah yang diberikan oleh Tuan Guru kepada rakyat negeri Kelantan sehingga rakyat Kelantan dahaga dan gemar dengan ilmu akhirat. Kini kerajaan negeri Perak dan Kedah telah mula mencontohi model yang telah ditonjolkan oleh kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Aziz ini.

Sesungguhnya Allah akan membantu manusia yang sentiasa menolong dan berjihad dengan agamaNya dimuka bumi ini walaupun mereka menghadapi rintangan dan kecaman dari manusia-manusia yang engkar dan enggan melaksanakan dengan perintah Allah dan Rasul.