Saturday, November 7, 2009

Ke Arah Pembebasan Ummah

Masyarakat Islam mestilah dihindarkan dari dipimpin oleh pemimpinan yang rapuh dan wadah yang hanyut mengikut arus pemimpinan itu, sekiranya perpaduan, keteguhan dan islah hendak diwujudkan dalam masyarakat Islam sebagas asas untuk mengislahkan Negara seluruhnya dan mengeluarkan masyarakat Malaysia dari dibelenggu penjajah untuk mengekalkan Negara ini terus terletak di bawah pengaruh kuasa-kuasa besar.

Masyarakat Islam mestilah dikembalikan kepada pimpinannya yang sejati yang telah diterangkan di dalam Al-Quran dan dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. Masyarakat Islam mestilah dikembalikan kepada pimpinan ulama yang mendokong dan memelihara syariat Allah S.W.T. Pengetahuan di dalam bidang syariat Allah, penghayatan ke atas syariat itu,pemeliharaan yang berterusan ke atas syariat dan ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah, hendaklah menjadi ukuran penting masyarakat Islam bagi menilai pemimpinannya. Masyarakat Islam hendaklah menjadikan orang yang layak di sini Allah sebagai pemimpin mereka dan bukan orang yang layak dilihat dari sudut pandangan penjajah dan kuncu-kuncunya.

Program kami untuk mengembalikan kepimpinan ummah kepada ulama dalam rangka mengislahkan masyarakat Islam, berjalan seiring dengan usaha membangun kembali jiwa ummah merupakan dan memperkuatkan kesedaran mereka, mengukuhkan keyakinan terhadap aqidah Islam sebagai asas kepada pembinaan kembali insan muslim menerusi program pendidikan dan tarbiyyah yang akan dikendalikan perlaksaannya oleh Dewan Ulama dan Intelektual Islam yang diberi tugas dan peranan penting dalam penyusunan baru organisasi Parti Islam yang akan dibentangkan dalam Muktamar ini.

Para Ulama dan Intelektual Islam merupakan gabungan tenaga yang penting dalam usaha memupuk dan meningkatkan kesedaran Islam di kalangan ummah. Seluruh tenaga PAS di peringkat ahli-ahli dan pimpinan mestilah turut serta secara aktif bagi membantu para ulama dan intelektual Islam itu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka dalam suasana baru itu.

Sumber: Ucapan Dasar Pemangku YDP Agung PAS (pada ketika itu), Ustaz Hj Yusuf Rawa bertajuk Ke Arah Pembebasan Ummah, 29 April 1983 bersamaan 16 Rejab 1403.

No comments: