Tuesday, November 3, 2009

Umat Keliru


Manusia kalau tidak dapat membezakan undang-undang manusia dan Allah ditambah lagi dengan sifat keangkuhan inilah akibatnya. Biarpun dalam enakmen termaktub peraturan-peraturan tertentu dan peraturan-peraturan ini hanya sebagai sifat pertadbiran jabatan ia harus dikendalikan dengan bijaksana. Benar, dalam enakmen Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) menyebut mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada JAIS tetapi pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor sewajarnya bijak dalam tindakan. Mana satu lebih penting, peraturan itu sendiri atau muzakarah? Jika penceramah tersebut dari kalangan ustaz-ustaz yang tidak dikenali atau sememangnya meragukan penyampaiannya sewajarnya mereka bertindak tetapi penceramah tersebut terdiri dari kalangan pensyarah universiti yang bertauliah dan sebagainya tidak sepatutnya penekanan kepada peraturan tersebut dilakukan dengan kasar.

Demikianlah yang berlaku kepada Datuk Dr Asri Zainul Abidin seorang yang berkelulusan ijazah Doktor Falsafah dalam pengajian Al-Qur'an dan sunnah, bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan merupakan pensyarah bahagian Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia tetapi tidak layak mengajar di Negeri Selangor kerana tanpa tauliah. Jika benar pun JAIS tidak memilih siapa pun dalam menguatkuasakan peraturan sepatutnya mereka berjumpa dengan beliau dan berbincang dengan harmoni serta menjelaskan akan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi.

JAIS benar-benar telah mengelirukan umat Islam dengan peraturan-peraturan mereka sendiri dengan cara penangkapan yang sungguh mengaibkan dan menjatuhkan maruah beliau sehingga melibatkan hampir 100 pegawai JAIS termasuk polis seolah-olah operasi memburu seorang penjenayah. Pastinya, musuh-musuh Islam akan bertepuk tangan dan mentertawakan umat Islam sendiri. Kerajaaan Negeri Selangor dan JAIS khususnya harus memperbetulkan keadaan ini dan mengambil tindakan sewajarnya agar sikap terbukaan dalam menuntut Ilmu yang diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri Selangor tidak menjadi sia-sia sahaja. Bukan ingin memihak kepada sesiapa tetapi kaedah haruslah tepat dan berhikmah. Dalam pada itu, Dr Asri harus muhasabah diri akan faktor-faktor yang menjadi musibah pada diri beliau kemungkinan beliau ada membelakangkan sunnah atau Ijmak ulama dalam penyampaian beliau. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Pengampun.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat- ayat kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. (Surah al- A’raf: ayat 175-176).