Sunday, November 8, 2009

1 MALAYSIA*Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan

Apa dia sebenarnya konsep 1 Malaysia? Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan Dato’ Sri Mohd Najid Tun Abdul Razak ialah Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita. Katanya konsep “1 Malaysia” ditunjangi oleh dua prinsip utama iaitu sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dan keyakinan antara satu sama lain. Apabila kita sudah menghormati antara satu sama lain bererti kita sudah mempunyai sikap terbuka untuk menghayati konsep perpaduan dalam keperbagaian.

Sebenarnya dalam Islam telahpun ada konsep ini dan bukan merupakan perkara baru ia telah lama dipraktikkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Manusia dijadikan daripada satu iaitu Nabi Adam dan Hawa jesteru kita umat manusia adalah sama walaupun terdiri berbagai-bagai bangsa, berlainan warna kulit dan perbezaan bahasa pertuturan kerana manusia dijadikan untuk saling kenal mengenali. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud; “Wahai manusia (tanpa mengira bangsa) sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Surah Al-Hujarat: 13)

Walaubagaimanapun, kita harus ingat walau dalam keadaan apa sekalipun Islam tetap tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain dan ini berdasarkan firman Allah Taala yang bermaksud; “Sesungguhnya Deen (agama) disisi Allah hanyalah Islam... (Ali’Imran: 19).”

Dan firman Allah Talla lagi yang bermaksud; “…..pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu menjadi agama bagimu…” (Al-Maidah: 3). Oleh itu sama rataan adalah pada perkara-perkara yang berkisar kepada kemanusiaan sahaja tetapi tidak dalam hal-hal yang bersangkutan dengan agama dan ini perlu jelas. Walaubagaimanapun Islam tidak melarang umat-umat lain mempraktikkan amalan dan kepercayaan agama masing-masing.

Telah lama kita membicarakan bahawa dalam Islam semua umat manusia adalah sama dan membezakan di antara mereka ialah keimanan. Oleh demikian kita tidak harus membeza-bezakan dalam hal-hal yang bersangkutan dengan keadilan, pendidikan, ekonomi dan semua hal-hal yang berhubung kait dengan kemanusian. Sebab itulah dalam pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W semua bangsa hidup di dalam penuh keharmonian dan aman damai kerana mereka mendapat pembelaan yang sama rata dan saksama. Rasulullah hanya memerangi mereka jika sekiranya mereka menentang Rasulullah sahaja walau bagaimanapun setelah diberi amaran oleh Baginda.

Oleh demikian dalam konsep 1 Malaysia ini tiada apa yang harus dibanggakan ia hanya sekadar slogan di papan iklan dan diperhati bila terpandang dan dilupakan bila melepasinya. Ia tidak dipraktikkan sebagaimana dislogankan hanya mengaburi mata masyarakat yang sentiasa leka dengan slogan, khayal dengan tema dan bersemangat hanya dalam seminar sahaja. Jika benar 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan ROYALTI tidak akan berubah menjadi EHSAN. Dari segi bahasa pun sudah berlainan maksud antara royalti dan ehsan. Jangan cuba mempermainkan rakyat dengan 1 Malaysia ini kerana kelak di akhirat nanti rakyat akan tuntut kepada pemimpin akan hak yang sepatut mereka terima semasa mereka memerintah iaitu hak sebagai rakyat daripada pemerintah. Firman Allah yang bermaksud; “……..Dan janganlah kamu merugikan mereka terhadap hak-hak mereka dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakkan.” (Hud: 85)