Tuesday, August 19, 2008

Ujian Dari Allah

Sabar merupakan kunci kepada kejayaan samada di dunia atau akhirat. Dengan kesabaran nescaya ujian, penderitaan dan segala rintangan dapat diatasi dengan sendiri.

Firman Allah Taala yang bermaksud;
'Dan sesungguhnya akan Kami beri cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar' (Surah al-Baqarah: 155)

Jelasnya, manusia tidak akan terlepas daripada cubaan daripada Allah Taala samada ditindas, kelaparan, kesempitan hidup atau kehilangan harta yang dimiliki selama ini. Jika seseorang hamba itu dapat menghadapinya dengan penuh kesabaran, menerima dugaan Allah dengan lapang dada, kepastiannya ia akan berakhir dengan suatu kebaikan (dan bertawakkal kepada Allah dalam setiap waktu).

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
'Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah suatu kebaikan (keuntungan), maka ia diberikan penderitaan (Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah)

Dan menurut Rasulullah S.A.W, ada empat jenis sabar iaitu;
1. Sabar menanggung beratnya melaksanakan kewajipan.
2. Sabar menanggung musibah atau ujian.
3. Sabar menahan kezaliman orang terhadap dirinya.
4. Sabar menanggung kemiskinan dan kepapaan.

Firman Allah Taala yang bermaksud;
'(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya kami kembali' (Surah: al-Baqarah: 156)
______________________
15hb August, 2008 penulis mengalami pengalaman yang tidak pernah lalui sebelum ini dan tak akan dilupakan selama-lamanya. Dalam kegembiraan penulis mendapat tiket untuk pulang ke kampung menemui keluarga, penulis telah kehilangan barang-barang peribadi dan juga laptop kepunyaan pejabat sewaktu meletakkan kereta di Perhentian Putra. Walhal penulis tidak pernah meninggalkan barang-barang didalam kereta walau sekejap sekalipun namun Allah telah menentukan bahawa satu ujian akan diberikan kepada penulis sejauh mana tahap kesabaran dan ketenangan yang ada dalam diri penulis sendiri.