Tuesday, August 12, 2008

Islam dan Politik

26hb Ogos, 2008 rakyat Permatang Pauh akan menjalankan kewajipan mereka sebagai pengundi yang berdaftar bagi melantik wakil mereka untuk bersuara di Parlimen nanti. Dalam keghairahan parti-parti politik yang bertanding memulakan kempen pilihan kecil ini mari kita sama-sama membuka sedikit minda kita untuk menghuraikan apakah dia SISTEM POLITIK ISLAM. Dalam menghuraikan persoalan ini rujukan boleh dibuat kepada sebuah buku karangan Dr Khalid Bin Ali Muhammad Al-Anbariy, salah seorang Profesor di Universiti Ajman. Antara petikan dari karangan beliau ialah;

Politik Islam bermaksud memerintah dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Politik dari pandangan Islam ialah menjaga urusan umat di dalam dan luar negara dengan cara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sebenarnya politik adalah ilmu dan kemahiran. Ia merupakan ilmu kerana ia mempunyai prinsip-prinsip dan disiplin-disiplin tertentu yang keseluruhannya membentuk ilmu politik dan ia merupakan kemahiran kerana ingin ditekankan bahawa realiti perlaksanaannya ia tidak mungkin terhad kepada semata-mata melaksanakan undang-undang tetapi menuntut kepakaran tertentu yang diperolehi melalui pengalaman dan pengetahuan mengenai kaedah-kaedah praktikal yang tertentu.
Agama yang menyuruh supaya dipisahkan daripada negara, mentabdir umat dan urusan-urusan ekonomi, sosial dan sebagainya, tidak mungkin ia agama Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t ke atas Nabi Muhammad s.a.w iaitu satu agama yang mempunyai kesempurnaan dan merangkumi seluruh urusan kehidupan. Firman Allah s.w.t maksudnya:

'Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagimu agama kamu dan Aku telah lengkapkan ke atas kamu nikmatKu dan Aku telah reda Islam itu bagi kamu sebagai agama' (Surah al-Maidah: 3)

'Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam yang tiada syirik bagiNya. Dengan itulah aku disuruh dan aku ilah orang yang pertama menyerah diri' (Surah al-An'am: 162-163)

Semua para pemerintah dan rakyat yang diperintah di dalam negara Islam melaksanakan syariat Allah dan beramal dengan hukum-hukumnya. Apabila sistem politik Islam itu mempunyai keistimewaan dengan bersumberkan rabbani, maka ia juga mempunyai keistimewaan ketaatan rabbani di mana sistem ini berusaha kearah menghubungkan antara manusia dengan Allah s.w.t supaya manusia dapat mengenali Tuhannya dengan erti kata yang sebenarnya dan seterusnya bertaqwa kepadaNya dengan sepenuh taqwa serta membebaskan dirinya daripada memperhambakan dirinya kepada yang lain selain daripada Allah s.w.t.

Maka oleh itu, marilah kita sama-sama membuat pendirian kemana arahkah pemerintahan yang kita mahu - Islam atau sekular. Pemimpin yang bagaimana perlu kita pilih? Undang-undang yang bagaimana yang hendak kita ikut? Ingatlah tiada pemisahan antara politik dan Islam.

(Sumber: Sila rujuk Sistem Politik Islam menurut pandangan Al-Quran, Al-Hadis dan pendapat Ulama Salaf karangan Dr Khalid Ali Muhammad Al-Anbariy)