Saturday, August 9, 2008

Meneladani Kemuliaan Akhlak Rasulullah S.A.W

Agama Islam merupakan agama yang mengandungi ajaran-ajaran yang menyeluruh dan sempurna dan merangkumi seluruh kehidupan manusia dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar pekara seperti pemerintahan dan kenegaraan.

Agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W mengandungi misi yang sangat besar iaitu mengembalikan kehidupan manusia yang telah jauh menyeleweng kepada ajaran-ajaran Allah Taala. Ajaran-ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W hendaklah dibawa ketengah masyarakat dengan tujuan untuk meluruskan kehidupan mereka dan seluruh umat manusia sehingga kehidupan manusia itu diwarnai dengan moral agama atau budi luhur yang berdasarkan wahyu Allah.
Baginda adalah suri teladan yang paling penting. Semua jejak dan langkah Rasulullah hendaklah ditiru oleh umat Islam seluruhnya.

Firman Allah Taala;
'Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah' (Surah al-Ahzab:21)

Tidak seharusnya umat Islam hanya meniru sebahagian daripadanya yang mudah sahaja dan meninggalkan yang dianggap susah atau tidak memenuhi kehendak diri atau nafsu mereka. Hendaklah kita mengikuti baginda secara keseluruhan supaya kita menjadi Muslim yang benar-benar mengikuti ajaran dan kepercayaan Islam. Semoga Allah meredhai kita didalam menegakkan kebenaran dan kebaikan melalui ajaran-ajaran Rasulullah S.A.W sehingga Islam benar-benar tegak dibumi Malaysia tercinta ini.