Friday, August 22, 2008

Sumpah Dan Nilainya

Semenjak akhir-akhir ini, kita telah dipersembahkan dengan istilah yang semakin popular samada dikalangan orang ramai, ahli-ahli politik dan sebagainya iaitu Akuan Bersumpah. Sebelum ini dikalangan orang ramai yang tidak arif dengan undang-undang tidak memperdulikan istilah keramat ini samada pernah menggunanya secara langsung ataupun tidak kerana pengamal-pengamal undang-undang yang lebih tepat lagi dipanggil Peguam tidak pernah atau sememang sengaja (mungkin bagi mereka terlalu remeh) untuk menjelaskan kepada orang ramai istilah-istilah begini ketika menandatangani sebarang dokumen yang berkaitan.

Namun begitu apabila istilah Akuan Bersumpah ini begitu popular diwar-warkan atau disebarkan di media-media dalam membuat liputan beberapa kes-kes berprofil tinggi dewasa ini dengan sendirinya ia semakin popular dan menjadi perkataan kebiasaan dikalangan orang ramai. Samada Akuan Bersumpah ini dilakukan mengikut kaedah syariah ataupun tidak bukan menjadi persoalannya disini tetapi persoalannya dimanakah nilainya sumpahan ini dimuktakhir ini yang mengakibatkan orang ramai semakin kebingungan dan kekeliruan dan tertanya-tanya siapakah sebenarnya yang berada dipihak yang benar dan dipihak yang salah kerana kedua-duanya memberikan dan mempersembahkan sumpahan mereka.

Dan semakin membingungkan dalam soal-soal yang melibatkan maruah diri, ia sengaja ditonjol dan pertontonkan kepada khalayak ramai seolah-olah ia adalah suatu trend masakini. Lebih-lebih lagi dengan peranan media-media cetak yang dengan sengaja agaknya menyebut kes-kes begini berulang-ulang kali dan akhirnya orang ramai menjadi kebiasaan dan menerima suatu yang buruk itu sebagai kebaikan atau sebaliknya. Akhirnya kebenaran semakin lama semakin tenggelam disebalik kesesatan dan kejahilan manusia itu sendiri. Nilai-nilai kemanusian semakin terhakis dari didalam jiwa manusia dan yang terserlah hanyalah nilai kehaiwanan yang diselubungi dengan nafsu yang rakus dan jijik.

Jelasnya, undang-undang yang digunakan di negara ini hanya sebuah undang-undang yang dibukukan dan disimpan dirak-rak mahkamah atau di bilik hakim-hakim atau peguam-peguam tetapi bukan untuk diamalkan atau dipraktikkan. Ia hanya untuk diajar atau digunakan di universiti-universiti sebagai alat atau media pelajar-pelajar untuk mendapatkan ijazah dan pengiktirafan sebagai seorang pengamal undang-undang (Peguam?). Undang-undang hanya digunakan apabila ingin menjatuhkan seseorang atau menunjukkan kekuasaan dan pada masa itu mereka tiada kompromi atau tolenrasi dengan sesiapa atas alasan undang-undang telah ditetapkan sedemikian walhal sebelum itu tiada sesiapapun yang mengambil peduli dengan peraturan atau undang-undang tersebut. Undang-undang dipraktikkan dan diamalkan hanya untuk kepentingan diri masing-masing. Oleh sebab itu, berbalik kepada Akuan Sumpah yang semakin popular dewasa ini tidak memberi kesan dan impak yang jelas kepada masyarakat kerana ia sekadar suatu sumpahan yang berselindung disebalik undang-undang bagi menutup kesalahan mereka atau memalingkan kesalahan kepada orang lain. Masyarakat akan semakin menempelak akan undang-undang itu sendiri dan kesannya dalam jangka panjang amat besar sekali.

Firman Allah maksudnya;
"Dan janganlah kamu menjadikan sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu yang menyebabkan tergelincir kaki(mu) sesudah kukuh tegaknya, dan kamu merasakan kemelaratan (di dunia) kerana kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah; dan bagimu azab yang besar" (Surah al-Nahl: 94)

No comments: