Sunday, August 31, 2008

Selamat Datang Ke Madrasah Ramadhan

Alhamdulillah kita bertemu lagi bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan dan bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam lailatul qadar. Ramadhan mengajar dan menguji manusia erti ketahanan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah. Dan dengan datangnya Ramadhan seorang yang jarang ke Masjid akan dekat dengan Masjid, seorang yang jarang dengan majlis ilmu akan hadir dengan majlis ilmu, seorang yang jarang membaca al-Quran akan mula membaca al-Quran dan sebagainya. Umumnya dengan hadirnya Ramadhan ia mampu merubah diri seorang insan daripada kejahatan kepada kebaikan.

Mengambil keberkatan Ramadhan itu sendiri adalah amat sesuai seorang insan untuk memulakan perubahan diri dalam mendekatkan diri kepada Allah Taala demi mengubah diri atau memperbaiki diri kepada insan yang lebih baik lagi. Daripada seorang insan yang sentiasa bercampur baur dengan kemaksiatan dan jauh daripada perintah Allah kepada seorang insan yang penuh ketaatan dan beramal dengan amalan soleh. Kadang-kadang manusia sukar untuk memulakan suatu perubahan mungkin dengan alasan malu dan sebagainya tetapi dengan hadirnya Ramadhan peluang untuk berubah boleh dan dapat dilakukan asalkan ada keazaman dan istiqamah yang kuat.

Penulis amat tertarik sekali dengan keazaman seorang sahabat penulis yang ingin berhenti daripada merokok. Beliau sekian lama cuba untuk berhenti merokok tetapi masih tidak berjaya maka penulis mencadangkan beliau untuk memulakannya pada bulan Ramadhan kerana jika sepanjang hari dalam bulan Ramadhan boleh menahan diri daripada merokok (selain daripada menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa) maka mengapa tidak dilanjutkan selepas berbuka. Hasilnya sahabat penulis telah berjaya berhenti merokok sepenuhnya.

Oleh demikian mari kita mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadhan ini untuk merubah diri kita kepada insan lebih baik dan diri semakin dekat kepada Allah Taala. Perbanyakkanlah amalan-amalan sunat, Taubat, Tahajjud, baca al-Quran dan amalan lain yang mampu kita lakukan asalkan niat kita ikhlas hanya kepada Allah.
Doa awal malam Ramadhan,
“Allah yang Maha Besar, Ya Allah muliakanlah kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan dan Islam. Tuhanku, Tuhanmu ialah Allah”
___________________
Merokok bukan hanya merosakkan kesihatan tetapi hukumnya makruh. Jauhkanlah diri kita daripada banyak melakukan perkara yang makruh kerana dikhuatiri akan terjerumus kepada haram.

No comments: