Wednesday, August 27, 2008

Kemenangan Adalah Rahmat Dan Ujian


Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSA) telah memenangi kerusi Parlimen di dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh (P44) dengan majoriti 15,971 melebihi majoriti yang dimenangi oleh Datin Seri Wan Azizah di dalam pilihanraya umum baru-baru ini. Ini menandakan bahawa rakyat Permatang Pauh masih berdiri teguh di belakang DSA dan menaruh harapan kepada DSA untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat Permatang Pauh khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya walaupun beliau dihujani dengan berbagai asakkan, tohmahan dan tuduhan sejak akhir-akhir ini.

Usaha telah membuahkan hasil dan kemenangan telah tercapai maka sudah sampai masanya menunaikan dan mereliasisasikan janji-janji dan harapan yang diberikan kepada rakyat semasa berkempen ataupun ketika sebelum tercapainya cita-cita untuk bertanding dahulu. Kerana sudah menjadi lumrah manusia sebelum tercapainya cita-cita mereka berbagai-bagai janji ditaburkan, bermacam-macam agenda dilakarkan dengan sebegitu indah dan hebat sekali namun setelah termakbulnya cita-cita tadi janji-janji mereka terkubur dengan kejayaan cita-cita tadi. Kita percaya dan berdoa semoga DSA tidak bersikap sedemikian.

Kemenangan adalah rahmat dan juga ujian. Rahmat kerana usaha yang gigih dan doa yang berpanjangan telah dimakbulkan Allah manakala ujian kerana disitulah manusia diuji apakah mereka bersyukur dengan nikmat Allah dan menzahirkan syukur tersebut dengan berbakti dan mengabdikan diri kepada Allah seperti memperjuangkan syariat Allah, membantu manusia lain, menegakkan keadilan dan sebagainya. Sekiranya berbuat demikian insyallah Allah akan melimpahkan rahmatnya semakin banyak lagi tanpa diduga-duga namun sebaliknya tunggulah akibatnya samada kehancuran yang lebih dahsyat atau lain-lain kehilangan yang tak disangka-sangka. Seperkara lagi hindarkan diri dari bersikap membelas dendam kerana ia akan membezakan antara kita dan mereka.

Para pejuang-pejuang Islam sikap dan pendirian sentiasa harus tetap dan teguh. Prinsip perjuangan hendaklah dipertahankan walaupun terpaksa membuat keputusan yang memahitkan kerana itulah kehendak sebuah perjuangan. Andai segala yang dijanjikan tidak dikotakan oleh mereka, kita harus memperjuangkan prinsip perjuangan kita kerana kita tidak bergantungan kepada kekuatan manusia tetapi kita bergantung dan berharap kepada Allah semata-mata. Segala keputusan pucuk pimpinan haruslah dipatuhi kerana setiap keputusan sentiasa merujuk dan bersandar kepada Al-Quran, Hadith dan Ijmak' Ulama
.
_____________________________________
Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh (P44) telah diadakan pada 26hb Ogos, 2008 setelah Datin Seri Wan Azizah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim bertanding dan menyampaikan hasrat DSA untuk memasukki Parlimen semula.