Sunday, August 31, 2008

Malam Kemerdekaan Yang Membosankan

31hb Ogos ialah tarikh Negara kita menyambut hari ulangtahun kemerdekaan ke-51 dan menjadi kelaziman berbagai-bagai acara sambutan dibuat. Namun pada penulis malam menyambut hari kemerdekaan baru-baru ini sangat membosankan kerana semua saluran TV samada TV1, TV2, TV3, ASTRO dan apa sahaja saluran TV yang ada menyiarkan siaran hiburan yang membosankan dan membingungkan. Tiada mengisian dalam memantapkan diri hanya disuapkan dengan perbagai hiburan yang entah apa matlamatnya. Hiburan dan hiburan sahaja adakah ini yang dikatakan kemerdekaan. Walaupun ada sebuah kumpulan nasyid terkenal terlibat dalam program tersebut tapi pada pandangan penulis kalau kemungkaran lebih besar daripada ibadah lebih baik kumpulan tersebut tidak perlu terlibat dalam program tersebut kerana fitnah lebih banyak daripada kebaikkan. Tak perlu mencemarkan diri dalam program-program seperti ini kerana banyak lagi perkara-perkara yang lebih utama boleh dilakukan.
Sebutlah apa pun nama program tersebut DiAmbang Kemerdekaan ke dan apa-apa sahaja nama namun kesannya kepada golongan yang menghadirkan diri pada malam sambutan tersebut entah dimana agaknya. Berduyun-duyun yang hadir hanya semata-mata untuk hiburan sahaja tetapi apabila diajukan apakah kemerdekaan yang mereka dapat, jawapannya Negara bebas dari penjajah. Apakah hanya itu sahaja dikatakan kemerdekaan? Adakah Negara kita benar-benar bebas daripada penjajah? Benar, bebas daripada penjajah tetapi fizikalnya sahaja. Namun jiwa, sikap, naluri dan tindak tanduk masih lagi dijajah. Pemikiran masih lagi dijajah. Amalan masih lagi dijajah.

Masyarakat kita perlu diajar untuk memantapkan diri dalam perjuangan memerdekakan diri daripada amalan-amalan penjajah bukan dengan menjinakkan diri mereka dengan program-program hiburan seperti ini kerana tanpa rancangan seperti ini tidak bermakna kita tidak menghayati kemerdekaan negara kita. Kita masih lagi terikut-ikut dengan budaya, amalan dan cara negara-negara lain menyambut kemerdekaan. Kita mungkin terlupa bahwa kita adalah sebuah Negara Islam (seperti yang diistiharkan) dan pengistiharan itu melambangkan bahwa kita seharusnya mempamerkan nilai-nilai Islam dalam apa jua tindakan kita. Mengadakan perbarisan kemerdekaan setiap kali menyambut hari kemerdekaan 31hb Ogos tidak dilarang tetapi perjuangan memerdekakan diri, pemikiran dan jiwa rakyat Malaysia daripada amalan-amalan jahiliyah (daripada peninggalan penjajah) dan kembalikan kepada ajaran al-Quran hendaklah diperhebatkan.

Firman Allah yang bermaksud;
“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan member khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar. Dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih”. (Surah Al-Israa: 10-11)

Kalau dinilai kembali program-program yang disiarkan pada malam kemerdekaan ini dan kesannya kepada penonton-penonton pada malam tersebut, hakikatnya hanya bersifat hiburan sahaja sekembalinya mereka ke rumah masing-masing tiada ilmu yang manafaat dibawa sekadar membicarakan bagaimana artis ini menyanyi, cantiknya pakaian artis itu, hebatnya persembahan tersebut dan sebagainya. Mereka langsung lupa dengan kemerdekaan tersebut dan sekadar membazirkan wang rakyat sahaja demi penganjuran program tersebut.

Firman Allah yang bermaksud;
“Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat”. (surah asy-Syuura: 20)

Hiburan dan hiburan dan hiburan hanya ini sahaja modal yang kerajaan kita ada. Tiada modal lain kah yang dapat disantapkan kepada rakyat? Nilaikanlah sendiri dengan Iman.